JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Saturday, June 28, 2014

YB USTAZ NASRUDIN HASSAN : AJK PAS PUSAT / AHLI PARLIMEN TEMERLOH (JILID 2)

Banyak cara untuk bersedekah

NASRUDIN HASSAN | .


Hadith:

Dari Abu Dzar r.a katanya:Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka. Jawab Rasulullah SAW:Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah. Mereka bertanya:Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami? Jawab Rasulullah SAW Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala. (Riwayat: al-Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.

Sumber HD - 6-7-2014

Ahli Parlimen lunas janji PRU

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .



TEMERLOH: Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan hari ini mulai melunaskan satu lagi janji pilihan raya umum (PRU) yang lalu iaitu memberi bantuan benih ikan kepada penternak ikan sangkar di daerah ini.
(Gambar atas: Nasrudin (dua kiri) sedang melepaskan anak benih ikan patin ke dalam sangkar seorang penternak)

Berikutan itu, sebanyak 2,000 anak ikan patin dilepaskan kepada penternak ikan sangkar di Kampung Paya Kechik dan Kampung Lompat dekat sini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut menyampaikan bantuan jala kepada tiga orang nelayan sungai di kampung yang sama.

“Hari ini kita sumbangkan dulu kepada dua penternak. Kita bagi beringkat-peringkat. Sasaran kita boleh memenuhi keperluan antara tiga ke empat orang penternak dalam sebulan sehingga semua yang memerlukan dapat.

“Kita tidak mempunyai peruntukan rasmi daripada kerajaan. Jadi kita terpaksa mengehadkan sumbangan kepada mereka yang betul-betul memerlukan kerana kita juga mencari dana daripada sumbangan orang ramai,” ujarnya.

Kata Nasrudin, usaha tersebut bagi melunaskan apa yang dijanjikan sebelum PRU dan agak tergendala, tetapi akhirnya berjaya walaupun tidak mampu memberi secara serentak kepada pengusaha sangkar kerana terpaksa menggunakan kos yang besar.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus.

Mengenai kritikan sesetengah pihak kononnya beliau hanya menumpukan kuliah dimasjid, Nasrudin menafikannya dan berkata penduduk di sini merangkumi semua aspek kategori masyarakat.

“Ada yang di pasar, ada yang di padang dan ada yang di masjid. Kekerapan kuliah ilmu di masjid. Kesemuanya saya pergi. Saya perasan seperti ada yang tak senang apabila saya begitu aktif menghidupkan masjid dan surau.

“Bagi saya sebahagian daripada pembentukan masyarakat dan daerah mesti bermula daripada ilmu. Jadi salah satu ialah melalui kuliah yang konsisten. Jadi, sebab itu satu kuliah saya boleh bertemu ratusan malah ribuan pengunjung atau rakyat yang hadir.

“Maka saya dapat tiga dalam satu. Yang pertama saya dapat bekalkan ilmu yang kedua saya dapat beramah mesra dengan rakyat di Temerloh dan yang ketiga saya dapat maklum balas daripada mereka apa yang perlu saya lakukan sebagai wakil rakyat di Parlimen Temerloh,” katanya.

Nasrudin menjelaskan, beliau tidak merasa kesal dengan aktiviti malah merasa bangga kerana dapat menghidupkan masjid. Dengan itu bukan saja dapat membekalkan agama tetapi juga dapat memulihkan sistem sosial seperti menasihatkan mereka supaya menjauhkan diri daripada kemungkaran, jenayah dan semua itu nasihat datang daripada majlis-majlis yang diadakan. - HARAKAHDAILY 28/6/2014

Sumber HD - 28-6-2014

No comments:

Post a Comment