JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

JABATAN AMAL PAS


PAS beruntung punyai Jabatan Amal

HARAKAHDAILY | .


Mohamad berucap di majlis makan malam dan pelancaran Tabung Amal Malaysia di Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Majlis Makan Malam dan pelancaran Tabung Amal Malaysia yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang MBPJ, dekat sini, malam Isnin lalu berlangsung meriah di saat para pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir mengenang kembali jasa dan pengorbanan para anggota badan sukarela yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia itu.

Dengan slogan "Beramal Kerana Allah", kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan anggota Jabatan Amal melonjakkan nama pertubuhan tersebut di kalangan masyarakat.

Jabatan Amal adalah unit sukarelawan Pemuda PAS yang ditubuhkan pada 1991 dengan nama Unit Amal dan kini mempunyai 3,000 ahli di seluruh negara.

Tujuan utama jabatan ini ditubuhkan adalah untuk membentuk jati diri generasi muda dan mengembalikan nilai-nilai kebajikan dan sukarelawan umat lslam.

Antara tugas-tugas yang dilaksanakan anggota Jabatan Amal adalah menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat ketika berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh, mencari mangsa yang hilang sama ada di hutan, sungai, lombong dan sebagainya.

Anggota Jabatan Amal juga membantu kawalan keselamatan dan ketenteraman awam pada sesuatu majlis, melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan membaik pulih rumah mangsa bencana.

Jabatan Amal juga telah membuktikan komitmen, dedikasi dan profesionalisme mereka dalam menjalankan tugas dalam beberapa program besar seperti Himpunan Bersih dan Himpunan Anti- GST.

Ahli-ahli Jabatan Amal turut bertungkus lumus membantu mangsa banjir di Johor, Terengganu, Kedah dan Pahang sehingga mendapat jolokan "Tentera Merah".

Berucap pada majlis tersebut, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mewakili Presiden PAS mengucapkan syabas kepada anggota Jabatan Amal yang telah mencipta nama di persada negara dan dunia.

Bagi beliau, kehadiran Jabatan Amal dikagumi kawan dan lawan.

"Mereka datang dan beramal dan mereka pulang dengan pengorbanan. Rumah mereka banjir dan rosak namun mereka tinggalkan demi membantu saudara-saudara di kawasan lain," katanya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat ketika berucap berkata, tiada sebarang institusi kebajikan massa di Malaysia yang mampu menandingi usaha kebajikan yang dilaksanakan anggota Jabatan Amal.

"Bahkan ada rakan-rakan media menyatakan berulang kali bahawa mereka tidak menyangka ada anak-anak muda Malaysia yang mengorbankan diri sendiri demi membantu rakyat yang berada dalam kesusahan," ujarnya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula kagum dengan semangat anggota Jabatan Amal yang bertungkus lumus melaksanakan amanah yang diberikan parti di bidang kebajikan.

Beliau menyaksikan sendiri bagaimana anggota Jabatan Amal sanggup tidur di atas lantai dan mengetepikan keselesaan semasa memberikan khidmat.

Tony Pua merasakan betapa beruntungnya PAS kerana mempunyai tenaga kerja yang cukup ikhlas dalam menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Acara kemuncak adalah pelancaran Tabung Amal Malaysia oleh Mohamad Sabu.

Mereka yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Amal Malaysia di nombor akaun 8601 9135 58 (CIMB).

Turut hadir pada majlis makan malam itu ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Naib Presiden PKR, Tian Chua, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abd Samad, aktivis mahasiswa, Adam Adli dan para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat pelbagai peringkat. – HARAKAHDAILY, 10/6/2014


Aktivis Jabatan Amal dan dif jemputan bergambar ramai seusainya majlis.

Sumber HD - 10-6-2014

No comments:

Post a Comment