JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Monday, June 9, 2014

LAWATAN PM KE NEGARA LUAR



Kisah Najib dan telur separuh masak di China

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Cerita yang dikongsi Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak dibenar makan telur setengah masak semasa melawat China baru-baru ini, membuatkan mereka yang hadir di dalam dewan perasmian Invest Malaysia 2014 di sini hari ini, ketawa besar.

Perdana menteri berkata semasa di Beijing, beliau tidak dapat menikmati telur setengah masak setiap pagi seperti biasa atas sebab kesihatan dan ada seorang pegawai kesihatan yang dilantik China untuk memastikan perkara itu.

"Saya biasanya suka makan telur setengah masak yang direbus dalam masa tiga minit, tetapi di China saya tidak berpeluang menikmatinya.

"Ada seorang inspektor kesihatan yang akan memastikan telur yang saya makan itu direbus selama 10 minit, jadi saya benar-benar sihat." katanya dalam sesi perbualan selepas menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2014 di sini hari ini.

Sesi itu dikendalikan bekas Pengerusi Eksekutif Pricewaterhouse Coopers Malaysia Datuk Seri Johan Raslan.

Najib berkata layanan istimewa yang diberikan kepadanya di China membuktikan tragedi kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS) pada Mac tidak menjejaskan hubungan antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Perdana menteri melawat China dari 28 Mei hingga 2 Jun lepas bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Beijing.

Najib menekankan bahawa hubungan mesra dan rapat dengan para pemimpin antarabangsa secara formal dan tidak formal, akan mewujudkan peluang besar dalam banyak perkara.

Berkongsi cerita lawatan Presiden Amerika Barack Obama di Malaysia pada April lepas, Najib berkata beliau terpikat dengan kenderaan presiden yang dipanggil 'The Beast' itu dan berangan beliau ada sebuah.

"Saya berangan hendak dapatkan sebuah tapi saya tak fikir saya boleh dapat. Ia sebuah kenderaan yang amat selesa," katanya bergurau. - Bernama

Sumber HD -  9-6-2014

Najib dan isteri lawat Turkmenistan pula

Nur-ul Afida Kamaludin | .

ASHGABAT (Turkmenistan): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual tiba di sini Isnin bagi memulakan lawatan rasmi kedua ke Turkmenistan untuk memperkukuh hubungan dua hala selain memperluas hubungan dagang sedia ada antara kedua-dua negara.

Lawatan dua hari Najib, yang akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, ke negara ini adalah atas jemputan Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kali ini ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Lawatan rasmi pertama Najib ke negara Asia Tengah ini ialah pada 11 dan 12 Julai 2011.

Wisma Putra menyatakan Najib akan diberikan sambutan rasmi di Istana Presiden sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Berdimuhamedov pada Selasa.

Kemudian, kedua-dua pemimpin akan mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat dua hala, yang dijangka membincangkan pelbagai perkara berkaitan hubungan dua hala dan perdagangan.

Turkmenistan ialah rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar di rantau Asia Tengah.

Pada 2013, jumlah dagangan kedua-dua negara ialah sebanyak US$33.13 juta berbanding US$11.68 juta pada 2012 dan US$24.27 juta pada 2011.

Selepas itu, Najib yang juga Menteri Kewangan dan Berdimuhamedov akan menyaksikan majlis menandatangani lima dokumen iaitu Kenyataan Bersama antara Malaysia dan Turkmenistan; Perjanjian Kerjasama kebudayaan antara Malaysia dan Turkmenistan dan Minit yang Telah Dipersetujui berhubung Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan.

Mereka juga akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama pendidikan dan MoU berkaitan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan State Agency in Charge of Hydrocarbon.

Najib dan Rosmah kemudian akan menyertai kira-kira 100 warga Malaysia yang bekerja di negara ini dalam satu majlis makan tengah hari, yang dihoskan Duta Malaysia di Turkmenistan Norman Muhamad, di hotel penginapan mereka di sini.

Selepas itu, Perdana Menteri akan melawat Tugu Perlembagaan untuk meletakkan kalungan bunga sebelum menanam sepohon pokok rhu di taman tugu itu.

Kira-kira 25 pemimpin dunia telah menanam pohon itu di taman berkenaan sebagai simbol persahabatan dengan Turkmenistan semasa lawatan rasmi masing-masing.

Sempena lawatan rasmi itu, Najib dan Rosmah juga akan diraikan oleh Berdimuhamedov dalam majlis makan malam rasmi di Istana Presiden.

Mereka dijadual pulang ke tanah air pada Selasa malam. - Bernama

Sumber HD - 9-6-2014

No comments:

Post a Comment