JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

PEMIKIRAN WARTAWAN VETERAN : SUBKY LATIF

Embi Selangor mungkin giliran PAS

SUBKY LATIF | .
HANYA Tan Sri Khalid Ibrahim yang konsisten mengatakan dia akan menjadi Menteri Besar Selangor hingga penggal yang ada berakhir. Rata-rata yang mendakwa juru cakap PKR berpendapat dia mesti digantikan.

Hingga pimpinan de facto PKR sendiri tidak menutup isu ketua kerajaan Selangor itu dicakapkan oleh penyokongnya dalam publik.

Jika PKR sendiri membuka luas pintu kebebasan bersuara dalam parti atas isu itu, maka payahlah bagi regunya dalam Pakatan Rakyat untuk tidak tumpang mengatakan kewajaran dia digantikan.

Hanya Sultan berkedudukan kekal hingga mangkat. Jawatan politik tiada yang disandang hingga mati.

Demokrasi menentukan yang terbaik jawatan itu adalah sementara dan tidak terlalu lama dan tidak juga terlalu singkat.

Tetapi dengan isu itu tiada kesudahan, tentulah ada jejasnya bagi Pakatan untuk menguatkan kedudukannya di Selangor, mempertahankan kerajaan dan membuat anjakan mengambil Putrajaya dalam PRU akan datang.

Hakim kita semua adalah pengundi. Saya khuatir pengundi akan muak.

Saya tidak bercadang untuk menutup isu itu dan tidak pula ada keupayaan menghalang kebebasan berdemokrasi. Tetapi pentadbiran tidak terganggu dan peluang Pakatan menerajui perubahan tidak terhalang.

Kiranya Embi itu perlu ditukar, mungkin jalan keluar yang terbaik ia digilirkan sesama parti kerabat berasaskan siapa lebih mengikut keputusan PRU yang lalu. PAS tidak merebut kedudukan itu sekali pun dapat kedudukan sama banyak dengan DAP dan lebih dua kerusi dari PKR.

Ia mahu meneruskan kestabilan politik, mengukuhkan pentadbiran Selangor sebagai kerajaan negeri contoh dan supaya rakyat dapat perkhidmatan terbaik.

Tetapi jangan parti politik kerabat Pakatan mengira pimpinan kerajaan negeri milik tetap satu-satu parti.

Tiga-tiga komponen di Selangor itu adalah sama besar. Maka tidak boleh dinafikan yang lain tidak boleh diberi peluang untuk mengetuai kerajaan. Cara pintar terbaik ialah menggilirkan peluang itu mengikut formula yang bijaksana yang Anwar dan Kit Siang amat arif mengenainya.

PKR agak keliru dengan isu Embinya sekarang. Demi monopoli kekuasan tidak dimiliki parti tertentu, mungkin Allah berbolokkan masalah dalaman PKR dengan kedudukan Embinya bagi memberi peluang kepada parti lain mengambil gilirannya. Tuhan mungkin hendak mengilhamkan dua parti lagi punya hak yang sama, supaya tidak ada fikiran parti tertentu mengira ia adalah milik tetapnya.

Jangan ada sesama sendiri merasa ia lebih besar dari yang lain. Jangan ada yang mengira bahawa ia adalah Umno bagi Pakatannya.

Maka wajar PAS menawarkan kesediaannya sebagai jalan keluar kepada kecamukan kecil PKR dan dengan itu ia dapat memberi peluang kepada PKR menenangkan masalahnya. Jangan kata PAS mahu mengambil kesempatan. Ia sudah memberikan sumbangan sokongan positif kepada Pakatan ketika PKR kurang kerusi daripadanya. Ia mungkin pula kali ini dapat menyuburkan ketenangan kepada semua sambil membuktikan bahawa Pakatan adalah adil dan menghormati hak semua memimpin negeri.

Kita jangan nafikan hak DAP. Tetapi kita yakin DAP memahami keadaan yang ada dan pintar berpolitik serta berhikmat, menangani isu di Selangor ini mengikut kebijaksanaan Lim Eng Guan seperti yang ditunjukkan di Perak tahun 2008.

Ia beroleh kerusi lebih banyak daripada PAS. Kerana memahami realiti politik memberi laluan kepada PAS. Formula itu tentu ada dalam ingatannya di Selangor yang PAS adalah sama tinggi dan sama rendah dibandingkan dengan Perak dulu.

Jika giliran itu diberi kepada PAS, siapa calon Embinya? Dr. Rani Adun Meru yang berjaya sebagai Pesuruhjaya PAS menjadikan Adun PAS kurang dari 10 tahun 2008 kepada 15 tahun 2013. Dia tidak minta jawatan, tetapi terus setia pada Pakatan sekalipun dia pernah jadi orang besar PAS Selangor.

Sumber HD - 7-7-2014

Menziarah Tok Guru di internet

SUBKY LATIF | .
MEMANG terkilan tidak dapat menziarahi tok-tok guru terutama dua tok guru yang terpenting dalam PAS yang uzur sekarang iaitu Mursyidul Am Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Presiden Datuk Haji Abdul Hadi Awang.

Saya tidak dapat hadir sendiri untuk bersalam dengan mereka, hanya saya dapat menziarahinya melalui laman sosial di internet.

Ketika Ustaz Hadi terlantar di hospital Istanbul saya dapati melalui internet kawan-kawan terdekat menziarahinya di wad di Istanbul. Terlalu jauh bagi saya untuk terbang ke sana bagi menziarahinya sendiri. Tidak cukup kemudahan saya untuk ke sana.

Dari jauh saya doakan agar pemimpin itu segera sembuh dan pulang menyambung tugasnya seperti biasa.

Dengan harapan itu saya dengan izin Allah, moga-moga dapat menziarahinya.

Apabila beliau pulang ke tanah air, orang lain juga mendahului menziarahinya. Saya hanya dapat mengikuti beritanya diziarahi mereka melalui internet.

Saya jauh juga dengannya. Ketika beliau pulang saya tiada dalam negeri. Saya sudah berada di England, di Birmingham menyambut cucu baru yang kedua ibu bapanya tiada pengalaman mengurus anak.

Ketika menunggu kelahiran itulah saya membuka internet melihat orang-orang utama negara mengunjunginya di IJN. Saya tatap gambar wajahnya. Dapatlah dirasakan saya berada di wad di Istanbul dulunya dan IJN selepas itu. Tetapi mana sama dengan melihatnya sendiri.

Saya tidak dapat tangguh pemergian keluar itu kerana tiket sudah ditempah lima bulan dulu. Ketika saya berangkat itu, beliau pun belum berangkat pulang. Berselisih di udara pun tidak. Sesudah seminggu saya di perantauan baru saya lihat beliau diziarahi para sahabat.

Dua hari sebelum berangkat tersebar berita Tok Guru Nik Aziz tenat. Saya diberitahu, orang sudah baca Yasin. Orang-orang Kuala lumpur sudah berangkat, tidak sempat menunggu siang, takut tidak dapat berjumpanya lagi.

Saya tidak boleh ke mana-mana lagi sebab waktu berangkat sudah terlalu dekat. Yang saya dapat buat ialah menunggu berita selanjutnya.

Kurang daripada 24 jam berada di Birmingham saya menerima SMS, Ustaz Abu Baka Chik maut kemalangan jalan raya, menyusul tragedi Karpal Singh lebih dua bulan lalu.

Atas semua perkembangan itu saya beri reaksi Inna lillahi wainna ilaihrajiun.

Akhir-akhir ini ramai orang yang dekat di hati termasuk pemimpin penting PAS uzur di wad dan ada yang mendahului kita. Ada yang saya sempat ziarahi ada yang tidak. Selalunya Ustazah Nuridah Salleh, AJK PAS Pusat yang memaklumkan tentang keuzuran dan kematian rakan-rakan. Apabila dia hendak menziarahi sesiapa, jika dia teringat, dia bawa saya sama.

Yang terbaharu dia membawa saya menziarahi Datuk Ismail Kamus yang hospital itu akhir-akhir ini jadi rumahnya yang kedua. Semasa saya di wadnya, dia antara ingat dan tidak orang menziarahinya. Dia tidak kenal saya jika saya tidak beritahu siapa saya. Setelah mengangguk ingatkan saya, dia lena semula. Saya pun minta maaf atas segalanya seperti biasa adab orang menziarahi orang uzur, takut itulah pertemuan terakhir.

Apabila saya menziarahi sesiapa di hospital atau di rumah masing-masing ingat saya dulu ialah kematian.

Bukan memikirkan kematian itu orang diziarahi mesti mati, tetapi dengan mengingat kematian itu saya dapat mengingatkan tentang kematian saya. Jika saya tidak ziarahi orang sakit, saya tidak ingatkan tentang kematian saya.

Seminggu selepas menziarahi Datuk Ismail Kamus, saya jumpa dia di acara solat jenazah di sebuah masjid.

Dia ucap terima kasih kerana menziarahinya. Belumlah tentu orang diziarahi itu mati dulu dari kita.

Banyak yang uzur terutama yang jauh tidak sempat saya ziarahi. Banyak kelemahan saya yang saya tidak sempat ziarahi. Kalau pun saya tidak keuzuran, saya tidak boleh pergi sendiri. Mesti ada yang bawa. Anak-anak semua bekerja, perlukan notis awal untuk tinggalkan pejabat. Tiga kali saya beri notis pada anak-anak untuk menziarahi Ustaz Azizan.

Orang PAS ramai, tetapi saya pesan supaya utamakan kerja parti dulu, jika lapang barulah bawa saya ke hospital. Kita kena tahu, semua orang PAS sentiasa sibuk dengan tugas parti masing-masing. Utamakan tugas itu daripada menzirahi saya atau membawa saya menziarahi orang lain.

Apapun saya harap akan dapat ziarah dua tok guru utama itu bukan melalui internet, tapi dapat bersalam dan bertutur dengan mereka. Almarhum Azizi Haji Abdullah (gambar) pernah tulis biar dia mati dulu dari saya. Saya pun kata, biar saya mati dulu daripada dua tok guru itu. - HARAKAHDAILY 3/7/2014

Sumber HD - 3-7-2014

Siapa suruh Melayu bersetinggan di KL?

SUBKY LATIF | .

YANG terakhir Kampung Chubadak sebagai perkampungan kediaman Melayu cuba dirampas daripada penghuninya untuk disedekahkan kepada taikun YTL yang sudah kaya raya itu.

Antara isunya pemastautin itu adalah setinggan, bukan waris penduduk asal dan kawasan itu telah dikeluarkan daripada tanah rizab Melayu lama sebelum Jepun datang.

Siapa mendiami tanah di situ? Tidak kiralah mereka setinggan atau orang membeli tapak kediaman daripada setinggan atau saki baki waris penduduk di situ sejak Kuala Lumpur itu ada sebelum kedatangan Yap Ah Loy.

Jika mereka itu setinggan baik lama atau baru, siapakah yang menyeru supaya orang Melayu selepas merdeka berhijrah ke Kuala Lumpur tidak kira ada pekerjaan atau tidak, tidak kira ada kediaman atau tidak?

Tun Razaklah selepas berkuasa sejak kejadian 13 Mei 1969 menyeru orang Melayu jangan tinggal tanpa kerja tetap di kampung. Hijrahlah ke Kuala Lumpur mengisi tanah kosong, mecari apa juga rezeki yang halal di bandar raya itu.

Sebelumnya telah ada penduduk tanah haram di Lembah Kelang ini. Masa itu belum diketahui orang gelaran setinggan itu. Telah ada di sana sini orang mendirikan rumah di kawasan kosong dan di celah-celah rumah yang sedia ada.

Status mereka adalah penduduk tanah haram. Keberadaan mereka haram atau orang haram.

Tetapi setelah diseru oleh Tun Razak (Gambar kiri), datanglah ke Kuala Lumpur untuk bersetinggan, jadilah penduduk sah Kuala Lumpur yang halal berstatus setinggan. Bukan saja tanah kosong kerajaan mereka teroka, tanak milik orang Melayu yang terbiar juga diceroboh setinggan.

Pernah bangkit isu kebanjiran setinggan di Kuala Lumpur, lalu apa kata Datuk Bandar masa itu, Almarhum Tan Sri Yaakub Latif, ‘Setinggan-setinggan itulah yang menyeri dan mengindahkan kehidupan masyarakat Kuala Lumpur.’

Apa ertinya semua perkembangan itu?

Betul atau tidak betul seruan Tun Razak itu, dia adalah pencetus Dasar Ekonomi Baru yang menstruktur semula supaya kawasan bandar tidak dikenali sebagai kawasan satu kaum tertentu saja.

Dia mahu sekurang-kurang 30 peratus daripada ekuiti negara milik Bumiputera. Sama ada di belakang seruan Tun Razak itu terselit fikiran cauvanis perkauman atau tidak, tetapi dia adalah untuk memecahkan atmosfera yang menjadikan Kuala Lumpur bandar perkauman.

Sebelum KL dibanjiri setinggan tidak ada kawasan Parliman yang di dalam tembok Wilayah Persekutuan sekarang berwakilrakyatkan orang Melayu. Jika PRU 1959 memberi peluang kepada Ahmad Boestamam jadi anggota Parimen Melayu tunggal di Kuala Lumpur, masa itu sebahagian kawasan pilihan raya itu berada di luar Wilayah Persekutuan. Hanya Adun Kampung Baru diwakili orang Melayu.

Pemimpin Melayu sekarang patut sedar kebanjiran setinggan Melayu itu adalah untuk menjamin dalam waktu yang terdekat Kampung Baru kekal berwakil rakyat Melayu di samping menambah kawasan pengundi Melayu.

Banyak tempat di Kuala lumpur jadi kawasan setinggan Melayu. Tetapi Tun Razak pendek umur. Habis kawasan setinggan itu diroboh. Kawasan yang dinamakan Bumi Hijau di kawasan Parlimen Wangsa Maju sekarang, dulunya dihuni setinggan Melayu tetapi kini sebahagiannya jadi kampus Kolej Tunku Abdul Rahman.

Yang terakhir hendak dirobohkan ialah Kampung Chubadak. Apabila ia diserahkan kepada YTL, Chubadak yang membangun nanti akan mengurangkan lagi peratus pengundi Melayu kawasan Parlimen Batu. Penghapusan setinggan di KL, termasuk Chubadak adalah mahu mengembalikan Kuala Lumpur dari segi politiknya ke zaman ia kurang peratus pengundi Melayu. Tun Razak hendak meramaikan orang Melayu di Bandar, anaknya hendak mengurangkan peratus orang Melayu di Bandar. - HARAKAHDAILY 2/7/2014

Sumber HD - 2-7-2014



Rakyat berhak bimbang air dicatu lagi

SUBKY LATIF | .
PENDUDUK Selangor berhak untuk bersatu bimbang kemungkinan bekalan air akan dicatu lagi terutama berdepan dengan iklim El-Nino – panas dan kering – sekarang. Mereka pernah mengalami pengalaman peritnya gangguan bekalan air yang tidak menentu beberapa bulan awal tahun ini.

Ia adalah bala dan ujian Allah terhadap penduduk Lembah Kelang - Wilayah Persekutuan dan Selangor - yang dikira wilayah dan negeri yang termaju di negara ini, moga-moga masing- masing kembali mentaati Allah. Dialah Tuhan Yang Wajib disembah dan daripada-Nyalah sekalian minta pertolongan.

Kerajaan Selangor daripada Pakatan Rakyat yang diberi amanah khalifah yang ada kuasa tentang air di wilayah itu sudah ada pengalaman terhadap bala dan ujian itu, dipercayai ada pengetahuan dan pengalaman menghadapi ujian itu, sepatutnya sudah bersedia menghadapinya kiranya dalam waktu terdekat ini ujian itu berlaku lagi.

Bencana awal tahun ini berlaku dalam suasana kerajaan itu tiada pengalaman. Lalu ia bertungkus-lumus mencari jalan keluar daripada masalah itu dan akhirnya ada pengalaman mengatasinya. Dengan pengalaman itu ia dipercayai bersedia menanganinya jika ia berulang dengan izin Allah.

Ia ada pengalaman dan tentulah ia tidak terperangkap seperti dulu lagi. Suasana Mesir pada zaman Nabi Yusuf a.s. yang ada wahyu akan suasana subur dan suasana kemarau panjang di rantau itu, akan terperangkap dengan ancaman kebuluran kiranya Mesir ditadbir oleh orang yang tiada pengetahuan akan apa yang bakal berlaku.

Justeru Nabi Yusuf ada kenabian tentang kemarau yang akan berlaku, maka setelah diberi amanah pengatur pentadbiran, baginda dapat membuat persiapan. Dengan izin Allah atas tadbirannya, rakyat Mesir dan wilayah sekitarnya tidak terperangkap dengan ujian dan bencana itu.

Kerajaan Selangor ada pengalaman tentang gangguan bekalan air itu dulu. Sebelum ia dapat menangani ujian itu ia terpaksa mencatu air bagi mengurangkan beban yang dihadapi. Jika tiada catuan, keadaan akan bertambah parah. Apapun semua telah menerima kesan perit gara-gara ujian itu.

Bagi menghadapi kebimbangan pengguna akan ancaman catuan akan berulang lagi, kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa tidak akan ada catuan lagi selepas ini kerana kerajaan sudah ada pengalaman dan sudah ada persiapan.

Apapun sebagai orang yang beriman akan untung baik dan buruk itu adalah dari Allah, kerajaan Selangor tidak boleh mendahului ketentuan Allah memberi jaminan kepada pengguna air di Lembah Kelang tidak akan dilanda catuan lagi justeru kerajaan sudah bersedia dengan pelan pencegahannya.

Adalah benar kerajaan telah sedia dengan langkah keselamatan, tetapi kerja makhluk itu adalah dengan izin Allah. Bukan kerajaan Selangor dan jenteranya yang memberi semua kemudahan itu kepada rakyat, Allahlah yang punya anugerah. Kerajaan Selangor hanya melakunkannya saja, tetapi Allahlah yang mentakdirkannya.

Maka dengan semua persiapan yang kerajaan Selangor sediakan itu boleh mengelakkan catuan berulang dengan izin Allah. Maka jawapan kerajaan kepada kebimbangan pengguna itu hendaklah berlapik, iaitu kerajaan telah melakukan apa yang terbaik bagi mengelakkan tiada lagi catuan dengan kehendak Allah.

Kerajaan Pakatan Rakyat telah sediakan apa yang patut, tetapi makhluk tidak memberi bekas. Tanpa izin Allah apa jua persiapan kerajaan tidak akan menjadi. Dengan izin Allah, insya-Allah, catuan tidak berulang sebagai yang Menteri Besarnya sebut. Yan Maha Menjamin itu ialah Allah, bukan yang lain daripada-Nya.

Sumber HD - 26-6-2014

Rakanku Bakar Chik mendahuluiku

SUBKY LATIF | .

KURANG dari 24 jam saya berada di Birmingham, England saya menerima SMS, Ustaz Abu Bakar Chik maut dalam kemalangan jalan raya. Inna lilla waina ilaihi rajiun.

Dia adalah guru kepada Datuk Sabarey Cheek. Itulah murid yang paling disayangi dan diharapkannya untuk menyambung perjuangan dalam gerakan Islam bermula daripada ABIM dan seterusnya dengan PAS. Biasalah murid tidak bersama guru.

Almarhumlah orang PAS yang pertama mencari saya di Terengganu apabila saya ke negeri itu pertama kali sebagai ahli PAS. Ustaz Hadi Awang memaklumkan kepada saya, Ustaz Bakar Chik akan menemui saya di tempat persinggahan saya di Kuala Terengganu.

Dia pun datang. Rumahnya dan sekolah yang dipimpinnya tidak jauh dari tempat saya bermalam di Jalan Sultan Omar. Itulah perkenalan pertama saya dengannya. Dia bawa saya bertemu dengan orang-orang PAS yang menyusun program saya beberapa hari di negeri itu.

Ceramah pertama saya di Jeram bersama Ustaz Hadi dan Harun Taib. Beberapa tahun kemdian, dalam PRU 1982, Ustaz Bakar jadi calon PAS DUN Jeram dan menang.

Kali pertama kami bertemu, dia belum menjadi orang penting PAS Terengganu. Dia baru mengambil alih jawatan ketua ABIM negeri daripada Ustaz Hadi. Masa itu dia mengepalai sekolah swasta Islam, Berakan, institut pendidikan yang serangkai dengan Yayasan Anda milik ABIM di Kuala Lumpur.

Sekolah Berakan adalah sinonim dengannya. Sekolah Berakan adalah Bakar Chik dan Bakar Chik adalah Berakan. Sekolah Berakan adalah dunia pertamanya. Lepas itu barulah dia PAS. Setelah dia lahir sebagai seorang dari lima orang kuat PAS Terengganu selepas Ustaz Hadi, Mustafa Ali, Harun Taib dan peguam Wan Abdul Mutalib, maka PAS pula jadi dunia utamanya sambil Berakan tetap dikendongnya.

Ujian besarnya ialah menghidup dan mempertahankan Institut Berakan. Dia bersilat menangkis usaha kerajaan negeri mengambil tapak asal Berakan di Jalan Sultan Omar. Tiada terdaya kerajaan mengusirnya siang hari. Yang kerajaan dapat buat ialah mengirim jentolak merobohkan bangunan tua sekolah itu hingga musnah segala peralatan dan bertaburan puluhan naskah al-Quran di sekitar kawasan.

Atas roboh sekolah itulah dia bangunkan komplek pengajian Islam yang lebih sempurna di Tok Jiring, jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu. Ia adalah antara pusat pengajian yang penting di negara ini sekarang.

Dua kali dia ditahan ISA. Kali ketiga dia sempat lari ke Amerika semasa Operasi Lalang. Justeru tinggal lama di Amerka dengan visa pelancong untuk menyambung pelajaran, usahanya gagal, apabila pulang dilarang masuk semula ke Amerika.

Saya sempat bersamanya dalam Dewan Pemuda PAS pusat. Kami jadi orang PAS pertama melawat Republik Islam Iran. Dia agak kritikal dengan fahaman Syiah. Bahkan semasa jadi tetamu kerajaan di Iran, dia mentakwil bebarapa ajaran Syiah kepada tuan rumah.

Seorang pemimpin PAS yang otaknya 24 jam berfikir dan bercakap tentang PAS. PAS patut buat itu dan ini. Apabila berdepan dengan sesuatu dia terus bercakap apa PAS patut buat?

Banyak projek dan rancangannya untuk PAS. Semasa jadi Ketua Dewan Pemuda, dia mencetuskan Unit Amal yang jadi petugas penting PAS dan dia mengambil pentadbiran PASTI sebagai tanggungjawab Dewan Pemuda.

Tanggungjawab besarnya sebelum menemui kemalanngan jalan raya ialah pemimpin Lajnah Pendidikan. Dia dalam rangka memperkasakan PAS sebagai institusi pendidikan yang penting. Malang, dia terpaksa pergi dengan meninggalkan banyak kerja besar yang belum selesai. Dia adalah pemimpin, pekerja dan pemikir. Payah diganti. - HARAKAHDAILY 25/6/2014

Sumber HD - 25-6-2014







Pilihan wakaf tanah lebar jalan

SUBKY LATIF | .
DATUK Bandar Kuala Lumpur mengambil pendekatan Islam bagi memajukan lima buah kampung tradisional Melayu yang terbiar di Sentul-Setapak iaitu Sungai Mulia, Kampung Marali, Kampung Puah, Kampung Padang Balang dan satu lagi jika tidak silap Banda Dalam.

Mulanya ada cadangan semua kampung itu ditransformasi sebagai satu kawasan pembangunan moden setara dengan pembangunan pesat Kuala Lumpur. Penduduk suka dengan idea pembangunan tetapi tidak bersedia tanahnya disentuh barang seinci jua.

Sikap penduduk itu dihormati. Kawasan itu tidak diusik. Justeru semua mahu DBKL memberi kemudahan sewajarnya demi kebajikan penduduk, maka DBKL sedia memenuhinya dengan melebarkan antara jalan yang ada dari 20 kaki kepada 30 kaki supaya kenderaan boleh berselisih.

Jalan yang ada sekarang amat sempit. Motokar tidak boleh berselisih. Satu motokar mesti berhenti dulu bagi memberi laluan pada yang datang dari arah bertentangan.

Jajaran jalan itu merentas ke lima-lima kampung. Apabila jalan itu ada boleh ditingkat kemudahan dan kebajikannya. Tetapi tuan tanah mesti bersedia memberi tanah yang menyebabkan banyak rumah terlibat.

Datuk Bandar memberi tiga pilihan bagi memboleh tanah diambil demi projek itu. Pertama, gunakan akta pengambilan tanah yang tiada boleh diingkari. Kedua, tuan tanah yang terlibat mewakafkan 10 kaki lagi tanah yang dikehendaki yang ada pahalanya di dunia dan di akhirat. Ketiga, pajakkan tanah itu dari semasa ke semasa.

Saya tertarik kepada pendekatan kedua kerana ia melibatkan konsep ibadat. Apabila benarkan tanah jadi laluan awam, sama ada wakaf atau tidak, ia berpahala selagi laluan itu digunakan. Apa lagi kalau diniatkan wakaf yang jadi sebahagian daripada ibadat.

Datuk Bandar sebelumnya menggunakan pendekatan Islam. Diadakan perjumpaan dengan penduduk bagi berbincang di masjid. DBKL mengeluarkan belanja makan malam untuk hadirian. Sekaliannya solat fardu dulu sebelum berdialog. Beliau pula mengimami solat Isyak.

Maka masjid sudah bukan sekadar tempat ibadat khusus, tetapi digunakan seperti Nabi SAW guna bagi keperluan hidup manusia.

Ia satu pendekatan mengajak orang ke masjid. Dan apabila dipekenalkannya pula konsep mewakafkan jalan demi kepentingan umum, maka ia tawaran yang mendekatkan umat kepada Allah dan Islam sebaga addin.

Kalau saya tuan tanah, saya pilih kaedah kedua ini. Apabila ada seruan dan tawaran beribadat, maka orang beriman perlu menimbang bagi melaksanakannya. Pertama terima dulu, bukan tolak dulu. Kemudian baru tengok ia peralat Islam atau tidak. Jika tawaran ibadat diragui, dibimbangi nanti pintu hati tertutup untuk amal kebajikan.

Tuan tanah diberi peluang berwakaf. Pahala wakaf disimpan untuk akhirat nanti. Tetapi pahala ada pula di dunia. Orang yang berwakaf itu akan diberi pampasan dan diganti pula dengan kediaman baru dalam kawasan lima buah kampung itu.

Tuan tanah terpaksa berkorban, adalah kepayahannya. Tetapi mana kehidupan yang tidak berdepan dengan masalah dan kepayahan. Macam mana hendak pahala tanpa buat apa-apa dan macam hendak dapat syurga tanpa sebarang pengorbanan?

Tuan tanah yang tidak terlibat dalam jajaran jalan itu tidak dapat tawaran wakaf itu. Tiada peluang menyertai ibadat dan apa lagilah pahala.

Adakah saya bertuah tanah saya tidak tidak terlibat? Tidakkah saya terlepas peluang ibadat dan mendapat pahala?

Jika konsep wakaf itu diluaskan bagi membangunkan semua kampung itu, pada saya ia dapat memartabatkan kampung dan semua orang. Saya menyokong pendekatan Datuk Bandar itu. Peluang yang Allah beri jika ditolak nanti Allah beri kepada orang lain.

Saya kira Datuk Bandar yang bercakap di depan saya malam itu, bukanlah atas kebijaksanaannya, tetapi Allah menggerakkannya menimbulkan idea dan peluang itu.

Sumber HD - 19-6-2014 

Konsep tahajud, tengok bola piala dunia

SUBKY LATIF | .

SAYA tidak pasti ketika tulisan ini tersiar pesta bola piala dunia di Brazil sudah berakhir atau masih ada lagi.

Tetapi yang nyata kaki bola sanggup bangun dua pertiga malam untuk menonton pesta bola piala dunia hingga ada yang tertinggal solat subuh.

Mungkin orang berjaga malam kerana menonton itu bukan engkar solat subuh, tetapi kerana lama berjaga hingga mengantuk menjelang fajar, mereka pun tertidur dan tidak terjaga waktu subuh, azan yang bingit pun tak terdengar.

Justeru bola, maka ada yang terabai fardu subuhnya. Menonton bola di TV itu kalau pun tidak berpahala mungkin diharapkan tidak berdosa. Tetapi kalau ia menyebabkan terabai fardu subuh, bukan saja berdosa tinggal subuh dalam waktunya, menonton bola itu jadi berdosa kerananya terabai sulat fardu.

Yang dapat dibuat supaya tidak tertinggal peluang menonton bola dan tidak pula tertinggal solat subuh ialah bangun lewat malam untuk beribadat sambil dapat pula menonton pertandingan bola secara lintas langsung dari stadium di Brazil.

Jika sebelum ini tidak pernah berjaga malam untuk kiamulail dan solat tahajud, maka apa salahnya jadikan kesempatan menonton bola dini hari itu sebagai permulaan untuk mengubah cara hidup daripada tidak pernah kiamulail kepada kiamulail secara istiqamah.

Sekalian yang gila bola sebaik selesai solat fardu isyak terus tidur. Atau kalau melewat solat isyak, tidur saja selepas maghrib.

Maka selepas dua pertiga malam bangunlah bagi memulakan solat tahajud atau yang belum solat isyak, solat isyak dulu dan kemudian solat tahajud dua rakaat, atau empat rakaat atau lapan rakaat.

Lepas itu ambillah peluang menonton bola sehingga masuk waktu subuh. Tinggalkan TV itu sekejap untuk menunaikan solat. Mungkin siaran langsung sudah berakhir semasa subuh. Jika belum berakhir fikirkanlah mahu menonton lagi atau menyambung tidur sebelum pergi kerja.

Tetapi ingat, walaupun mulanya untuk menonton bola, jadikan menonton bola sebagai sambilan. Pasang niat, keutamaannya bukan untuk menonton bola tetapi adalah untuk mengubah hidup bagi memulakan kebiasaan malam bagi beribadat malam.

Mengutamakan ibadat seperti tahajud dan lain-lain dan meringankan menonton bola. Moga-moga Allah beri hidayat. Bermula dengan hendak menonton bola tetapi lekat jadi orang sentiasa bangun malam bagi menghidupkan malamnya.

Jika dipasang niat bangun untuk menonton bola, menjadikan bola itu keutamaan dan solat subuh diringankan atau sambilan saja, dibimbangi solat itu terlalu nipis pahalanya sama seperti nipisnya kulit bawang yang mudah koyak rabak.

Saya tidak mahu kata tidak berpahala, tetapi takut pahala kulit bawang saja.

Selepas tamat piala dunia jangan tidak bangun malam lagi. Bagi yang mula mendapat hidayat, sekalipun pesta piala dunia sudah tamat, dia tetap terus bangun lewat malam menunaikan tahajud dan mengisinya hingga masuk fajar. Tidak henti-henti hingga mati.

Mungkin akan tiba masanya, sama ada pesta bola atau tidak, orang yang dapat hidayat istiqamah dengan ibadat larut malam. Apabila kemudiannya adalah pula pesta bola lewat malam juga, moga-moga dia merasa rugi mengurangkan waktu berdoa malam bagi menonton bola.

Tidak menonon awal pun tidak mengapa asal dia dapat menghidupkan masa malamnya dengan mendekatkan diri kepada Yang Maha Mencipta.

Sumber HD - 18-6-2014




Ekor cicak dalam makanan

SUBKY LATIF | .
SAYA tertarik dengan satu berita, seorang pelajar keturunan India di Pontian terjumpa ekor cicak dalam lontong yang sedang dimakannya.

Sudah separuh lontong itu dimakannya.

Ia satu kejadian yang berlaku di mana-mana kerana cicak ada di mana-mana dan atas kejadian tertentu menimpa cicak ekornya terpotong. Saya selalu terjumpa ekor cicak yang terputus dari badannya yang brgerak-gerak dan macam melompat-lampat. Saya tolak kemungkinan ekor cicak boleh termasuk dalam makanan yang sedang dimasak atau dalam makanan yang masak tanpa kita ketahui.

Apapun aspek kebersihan boleh menyebabkan kejadian yang dirancang ini, tetapi betapa bersih pun premis kita, jarang bangunan tidak bercicak dan kejadian macam itu boleh terjadi. Masing-masing wajar bersyukur kerana tidak menghadapi kejadian seperti yang dialami oleh pelajar India tadi. Saya bersimpati dengannya dan belas dengan kejadian itu.

Yang terjadi kepada pelajar di Pontian itu mengingatkan saya pada kejadian yang dikatakan berlaku lebih 40 tahun tentang ekor cicak dalam makanan juga.

Kejadian itu diceritakan oleh seorang kawan tentang seorang kawan lain yang terkenal licik, nakal dan berupaya melakukan hal-hal yang lucu.

Rakan yang berkenaan biasanya lakukan apa saja yang kita tidak perkenan, apabila dilakukannya kita payah marah kepadanya.

Dia asalnya seorang pendatang.

Ketika dia mula tiba ke Kuala Lumpur, dia dikatakan pernah kelaparan. Tiada cara baginya untuk mendapatkan makanan bagi mengalas perutnya.

Tetapi dia seorang yang akalnya sentiasa berputar. Jalan terakhirnya bagi mengatasi kelaparan itu dia pergi ke restoren mamak dalam keadaan tiada berduit. Yang ada dia membawa satu barang dalam lipatan kertas di saku bajunya.

Dia memesan makanan yang dikehendakinya. Makanlah dengan penuh selera. Sebelum makan itu habis, dia dikatakan membuka lipatan kertas tadi yang berisi ekor cicak. Tentunya sudah tidak bergerak lagi.

Dibubuhnya ekor cicak itu dalam sisa makanannya. Dia pun buat-buat terkejut dan bising melolong sambil marah kepada pekerja restoren mamak itu. Dia menunjukkan ekor cicak dalam baki makanannya.

Dia mengaku kembang tekak, loya dan serta merta menekan perut, sakit konon.

Mamak-mamak memujuknya supaya jangan bising kerana tidak mahu pelanggan yang lain terganggu. Melihat pekerja-pekerja itu seperti ketakutan, lagi dia menunjukkan kemarahannya.

Dia mengugut untuk mengadukan ke pihak atas kerana ramai pelanggan di restoran itu hendak dijadikannya saksi.

Pekedai itu pun membuat tawaran supaya dia tidak perlu membayar makanannya itu. Dia boleh makan percuma kali itu.

Dia menolak tawaran supaya tidak membayar. Dia berkeras hendak mengadukan kepada pihak berwajib kerana dia diberi makan makanan tidak bersih dan mungkin akan mengganggu kesihatannya.

Melihat pihak restoren kian keliru dengan keadaan itu, dia tambah menunjukkan berangnya.

Entah macam mana, tuan restoren menawarkan pula untuk memberi sedikit wang supaya ia tidak berpanjangan dan dapat diselesaikan segera.

Dia pun tertarik dengan jumlah yang hendak diberi dan bersetuju.

Bermodalkan ekor cicak dia bukan sekadar dapat melepaskan kelaparannya, dapat makan percuma dan lebih dari itu dia balik ke rumah dengan membawa duit pula.

Saya percaya cerita itu kerana dia boleh buat apa saja untuk hidup.

Sumber HD - 17-6-2014

DNA babi, dua-dua betul

SUBKY LATIF | .

TERDAPAT perbezaan pendapat tentang DNA babi, halal atau tetap haram, antara ulama terbilang dunia Sheikh Yusuf Qardawi dan majoriti ulama Malaysia.

Segala-galanya berpunca daripada dua jenis coklat Cadbury yang dikatakan terpalit DNA babi. Lalu coklat itu ditarik dari pasaran bagi laluan Jakim menguji sahih atau tidaknya ia berzat babi. Agensi Jakim mengambil sampel dari kilang bagi menguji kaji dan mendapati tiada yang meragukan. Ia halal.

Berikut kejadian di Malaysia itu Mekah dan lain-lain komuniti Islam mengadakan uji kaji juga.

Al-Qardawi pun pengeluarkan pandangan bersandarkan ilmu Islam betapa sesuatu yang haram seperti babi itu apabila melalui transformasi lalu hilang keasliannya, maka tidak lagi sama kedudukan hukumnya.

Mengikut hukum fiqh, hal yang seperti itu dipanggil istihalah. Ia tidak haram lagi.

Ramailah ahli agama kita menolak pandangan al-Qardawi itu. Dan ada juga cendekiawan yang maju seperti Dr. Maza, bekas Mufti Perlis menerima pandangan al-Qardawi itu.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Tan Sri Shukur memberi pandangan tengah, mengakui sandaran al-Qardawi. Ada betul dan kebenarannya.

Beliau berpandangan kaedah istihalah itu tidak dapat dipakai di Malaysia setidak-tidaknya buat masa ini kerana Malaysia masih banyak pilihan. Kita tidak darurat sehingga kita tiada pilihan lain.

Eropah dan Amerika boleh kaedah itu dipakai kerana bahan halal payah didapati, maka barang yang sudah melalui transformasi yang telah berubah keasliannya, gugur haramnya.

Tan Sri Shukur tidak menolak kaedah itu boleh diterima pakai di negeri-negeri seperti itu.

Tetapi keadaan di Malaysia berbeza. Bahan halal memenuhi pasaran dan kita banyak pilihan, maka kaedah itu tidak terpakai di sini. Pakailah apa yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa.

Perkembangan tentang babi ini telah menambah fahaman kita tentang hukum-hukum dalam Islam khususnya yang terpalit dengan babi.

Dr. Shukur telah memberi hujah yang kuat mengapa Malaysia tidak memerlukan kaedah istihalah. Dan dalam hal berita tentang pandangan Dr. Qardawi itu adalah umum. Ia tidak memuatkan hujah bila dan di mana kaedah itu boleh dipakai.

Apa pun dipercayai Dr. Qardawi boleh menerima penjelasan Dr. Shukur. Kita bersyukur kita mendapat pencerahan daripada kedua-dua tokoh agama itu.

Bagaimana pun coklat itu sudah boleh dimakan sama ada kita mengikut fatwa Dr. Qardawi atau keputusan yang ditemui Jakim bahawa ia bersih daripada sebarang palitan babi, tetapi penggemar coklat itu di Malaysia tidak terpengaruh sangat dengan kedua-dua keputusan. Yang mempengaruhi mereka ialah tekak mereka.

Pertama was-was daripada berita awal ia dikatakan terpalit babi. Amat sukar was-was itu hendak dihapuskan. Kedua, apabila mereka cuba memakannya, mereka teringat berita awal mengenainya, maka tekak mereka kembang, tak terdaya menelannya dan kalau pun dipaksa menelan juga, tidak mustahil akan muntah.

Nasihat saya ialah mulai sekarang tukar saja jenama coklat itu. Gunakan resepi yang sama. Pastikan kilang itu kalis unsur babi.

Dan kedua, Jakim sendiri wajar mengadakan makmal sendiri dan pakarnya sendiri, menyelidik setiap produk yang memohon logo halal. Jakim tidak lagi sekadar mengeluarkan logo halal dan setiap yang halal itu datang dari penemuan makmalnya sendiri. Setiap syarikat mesti menyerahkan sempel produknya dua kali setahun.

Pembaharuan permit mesti berdasarkan penemuan uji kaji yang baru.

Sumber HD - 13-6-2014




Masa depan Dyana dan bondanya

SUBKY LATIF | .

SELEPAS Dyana Sofya tewas nipis dalam PRK Teluk Intan, orang mula bertanya akan masa depan politiknya dan juga masa depan politik ibunya.

Ada yang meramalkan Dyana akan meninggalkan DAP seperti yang diagak oleh seorang raja yang pernah diberi kedudukan tinggi dalam pimpinan DAP dan sepenggal senator. Dia sangka Dyana juga sepertinya tidak berpolitik lagi.

Dyana sendiri tegas betapa dia tidak putus asa atas kekalahan kecilnya dan akan kekal dalam DAP, mungkin sehingga PRU 14 akan kekal sebagai Setiausaha Politik Lim Kit Siang.

Sebagai orang PAS saya suka setiap anak muda Islam berpolitik dalam PAS termasuk Dyana. Tetapi setelah dia sudah dikenali sebagai seorang pemudi DAP, saya setuju dengan pendiriannya iaitu kekal dalam DAP sehingga PRU 14 dan lebih berperanan dalam parti itu sebagai sekutu penting Pakatan Rakyat.

Timbalah sebanyak-banyak pengalaman dan ilmu dalam DAP dan saya fikir kiranya dia kekal di situ, dia akan timbul selepas PRU akan datang, tidak mustahil dari Teluk Intan juga.

Sebagai orang Islam dia patut mengukuhkan akidahnya. Itulah masa depannya di dunia dan di akhirat. Gunakan keberanian dan kekuatan peribadi bagi mencapai tahap tinggi akidah. Caranya rapat terus dengan PAS dan ikuti program PAS sebagaimana ADUN DAP Sekincan mengikuti dan bergaul dengan PAS. Dyana mesti mencapai tahap intelektual seperti Liew Chin Tong, MP DAP Keluang yang tahu mendalam tentang pemikiran politik Islam yang dianuti PAS.

Dia boleh menjadi orang yang berakidah dalam DAP sambil dapat nanti memberikan pandangan yang tepat tentang Islam kepada rakan-rakan dalam DAP termasuk akan keindahan hudud. Dia boleh diam tentang sikap DAP terhadap hudud dan DAP tentu tidak akan memaksa ahli Islamnya tidak beriman dengan hudud jika ia mahu lebih ramai orang Islam bersama DAP.

Dyana boleh jadi seperti isteri Firaun yang tidak beriman kepada Firaun tetapi beriman dengan Allah. Bezanya dia jangan memusuhi DAP dari dalam. Jika dia boleh menjadi orang DAP yang rapat dengan pemikiran politik PAS, maka dia boleh menjadi jambatan bagi mendekatkan hubungan antara PAS dan DAP.

Hubungan masa depan DAP dengan PAS masa depan adalah lebih penting. Dyana boleh menjadi elemen berguna bagi mengukuhkan hubungan itu.

Ibu Dyana telah muncul sebagai nama orang politik yang lebih penting dari penampilannya dalam Umno selama ini. Dia terkenal dalam politik kerana anaknya jadi DAP. Latar belakangnya dalam Umno ada penting sebagai orang politik yang ada imej baru.

Dia menyokong anaknya dan belum bercadang keluar Umno. Tetapi dia tidak akan tahan lama dalam Umno apabila rakan-rakan dan pemimpin Umno mencerca anaknya berterusan. Mungkin mereka tidak pecat dia dari Umno tetapi dengan mereka menghina anaknya tidak henti-henti, maka Umno bukan lagi menyenangkan fikirannya dan keluarganya.

Setakat ini dia sudah keluar Perkasa. Dan eloklah keluar Umno bagi bertoleran dengan anaknya Dyana. Parti yang elok disertai oleh ibunya jika keluar dari Umno bukan masuk DAP dan bukan juga PKR, tetapi menyertai PAS.

PAS ada sikap memberi dan menerima dengan Dyana. PAS tidak kutuk Dyana jadi DAP dan menghormati pilihannya. Sekalipun Dyana dalam PRK lalu tidak bersama isu hudud, tetapi PAS adalah bersama Dyana.

Jika ibu Dyana masuk PAS dan Dyana mempunyai hubungan yang rapat dengan PAS, ibunya pula menjadi orang PAS yang ada hubungan rapat dengan DAP, maka kedua anak beranak itu boleh menjadi orang yang amat berharga kepada PAS dan DAP. Tempat baru bagi ibu itu adalah bersama PAS dan dia boleh berpolitik sama naik dengan anaknya.

Sumber HD - 10-6-2014

No comments:

Post a Comment