JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

TINTA ABDUL SHUKUR HARUN

Setelah 27 tahun, Harakah dibenci tetapi dirindui

ABD SHUKUR HARUN | .
AKHBAR Harakah kini sudah berumur 27 tahun. Ia diterbitkan pada 27 Mac 1987. Sudah melangkaui alam remaja. Selama itu ia telah berkhidmat memberikan maklumat dari pebagai sudut kepada pembacanya.

Darinya kita mengetahui pergolakan poitik dalam dan luar negeri. Demikian juga bidang-bidang yang lain, terutama perkembangan Islam dalam dan luar negeri.

Dengan membacanya juga kita mengetahui dasar parti, pemikiran pemimpin, kegiatan PAS di sana sini dan pendapat umum. Hampir semuanya tersaji di dalam PAS. Maka itu, sewajarnyalah ahli PAS membaca Harakah.

Perlu diingat bahawa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah menjadikan Harakah bacaan pentingnya setiap keluaran. Dari itu perlulah ahli PAS mencontohinya.

Harakah jadi perhatian oleh kawan dan lawan untuk mengetahui pandangan PAS dan perkembangan politik tanah air dari perspektif PAS. Harakah juga berisi rencana dan tazkirah dari ulama dan para pemimpin PAS kerana ia adalah mutiara yang berharga.

Harakah memang sangat luar biasa. Walaupun pemimpin dan pendukung parti lawan ‘membenci’ Harakah atas sebab yang diketahui, tetapi dalam masa yang sama mereka mencari-cari Harakah untuk mengetahui isi dan maklumat darinya.

Maka jadilah Harakah akhbar yang dibenci, tetapi dirindui, mengingatkan saya akan sebuah lagu nyanyian Broery Marantika,‘Benci Tapi Rindu’.

Mereka benci dengan Harakah kerana mengkritik parti yang memerintah, tetapi dalam masa yang sama mereka juga mencari-cari Harakah, ingin tahu akan isi kritikan Harakah.

Dengan itu walaupun ada orang suka dan ada pula orang yang bencikan Harakah, namun kehadirannya tidak kurang pentingnya kerana telahmemberi makna tertentu dalam sejarah negara, bahkan ia memberi sumbangan penting kepada kehidupan demokrasi di Malaysia.

Bahkan Harakah itu sendiri sebagai sebuah entiti adalah sebahagian sejarah dalam dunia pesuratkhabaran di negara ini.

Akhbar PAS ini bukan saja berisikan laporan dan ulasan politik dalam dan luar negara, tetapi berisikan tazkirah dari Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang dan para ulama yang memberikan pandangan dalam Harakah. Iaitu pandangan yang berasaskan ilmu.

Juga rencana politik, ekonomi, perundangan dan pendidikan serta kemasyarakatan. Pemimpin PAS yang sering muncul memberikan pandangan mereka di dalam Harakah antaranya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefli Ahmad, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr. Mariah Mahmud dan ramai lagi.

Mereka mempunyai peminat yang ramai, bahkan sangat dihormati di kalangan dunia intelektual tanah air .Mereka mengupas pelbagai persoalan dengan hujah ilmu, bukan emosi dan bukan berdasarkan prejudis politik tetapi berbicara dengan fakta.

Umpamanya mereka mengupas isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), isu Hudud, isu kalimah Allah dan isu-isu agama yang lain. Di samping itu juga isu toleransi kaum dan agama, isu rasuah dan pembaziran dan pelbagai isu yang lain.

Mereka mengupas dengan hujah rasional dan fakta, berdasarkan hujah Al-Quran, Hadis, Sunnah dan Ijmak Ulama dan pandangan kontemporeri yang tidak bertentangan dengan syarak.

Semuanya inilah yang tersaji di dalam Harakah. Justeru selain dari rencana bermutu, Harakah juga memuatkan berita dan gambar pebagai kegiatan ahli PAS seluruh tanah air.

Selama 27 tahun Harakah mendambakan dirinya kepada parti dan ahli parti, tentu saja kedudukannya dalam perkembangan gerakan Islam di Malaysia sangat penting. Orang mengenal PAS akan juga mengenal Harakah, demikian juga orang mengenal Harakah akan mengenal PAS. Ia adalah sinonim.

Dalam mengharungi usia 27 tahun itu, Harakah telah berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya dari pihak pemerintah sendiri. Pelbagai sekatan, ancaman ditarik balik permit, rampasan jualan Harakah, ugutan demi ugutan dan pelbagai lagi.

Namun, dengan penuh tabah dan bertawakal kepada Allah, maka petugas Harakah - dari Ketua Editornya, hingga staf editorialnya, pengurusan dan pengedarnya tetus mampu mengatasi cabaran ini. Hingga kini Harakah terus beredar.

Walaupun memang ada pelbagai kritikan kepada Harakah, malah dari pendukung PAS sendiri, tetapi ini tidak mengurangkan pentingnya ahli PAS membeli dan membacanya kerana dengan membeli dan membaca Harakah, anda menyumbang kepada ekonomi parti.

Dalam hubungan ini, dengan membaca Harakah, tentu sekali kita dapat sumber maklumat terkini dan sahih dari lidah rasmi parti sendiri. Tidak bergantung kepada sumber luar parti yang belum tentu kesahihannya.

Adalah berbeza antara orang yang membaca dengan yang tidak membaca dan tentulah berbeza juga antara mereka yang berimu dengan yang tidak berilmu.
________________________
Abd Shukur Harun ialah seorang wartawan veteran dan bekas Pengarang Harakah.

Sumber HD - 6-7-2014

Golongan rasis tidak wakili rakyat Malaysia

ABD SHUKUR HARUN | .
SUNGGUH sedih dan amat mengecewakan bahawa pada bulan Ramadhan yang mulia ini berlaku pelbagai peristiwa yang mencemarkan nama baik Islam, sebagai agama rahmah untuk memberi rahmat ke seluruh alam.

Golongan yang mengaku diri bertindak konon untuk mempertahankan kesucian agama Islam, tetapi dengan kejahilan dan kesombongan, mereka tidak sedar telah melakukan mudharat kepada nama baik Islam, meruntuhkan keharmonian kaum, malah merosakkan tiang seri kemanusiaan.

Peristiwa meletakkan kepala lembu di luar rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP di Pulau Pinang adalah satu bentuk provokasi yang dilarang sama sekali oleh Islam dan patut dihentikan segera.

Ini pandangan Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas mufti Perlis ketika mengulas peristiwa itu. Saya kira, Muslim sejati yang tidak jahil agama turut marah dan membantah perlakuan biadap seumpama ini.

Sudah tentu pihak yang melakukan perbuatan keji ini dan golongan yang menyokong perbuatan tersebut, walau apapun alasannya dan walaupun jumlahnya kecil, tidak mewakili rakyat Maysia. Golongan ini telah mencemarkan nama baik Islam dan merosakkan keharmonian kaum dan mendatangkan kebencian serta keresahan.

Saya percaya para agamawan Islam, bersama seluruh rakyat Maaysia yang waras, tidak akan bersetuju akan perbuatan jahat seperti ini.

Adapun peristiwa membaling kepala lembu ini, seingat saya, pernah berlaku di sebuah kuil di Selangor suatu ketika dulu. Malah ada beberapa peristiwa lagi yang mencemarkan nama baik Islam, walaupun mereka yang melakukannya konon atas nama hendak mempertahankan Islam.

Peristiwa serbuan ke majis perkahwinan pengantin Hindu dan sebelum ini serbuan ke gereja Kristian, rampasan kitab Injil, mengadakan seminar anti Kristian serta pelbagai peristiwa hitam seumpamanya sangat bertentangan dengan kaedah Islam meladeni kalangan bukan Islam.

Dalam hal ini, pandangan tokoh pemikir agama, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai isu seumpama ini sewajarnya disokong oleh pebagai pihak, khususnya para agamawan yang siang dan malam menyampaikan dakwah Islam di sini. Hal ini kerana merekalah yang arif dengan pendekatan Islam dalam hubungan dengan kalangan bukan Islam seperti yang dirakam di dalam al-Quran, hadis dan Sunnah serta contoh yang diberi oleh para sahabat.

Dr Asri berkata, semua pemimpin di Malaysia tanpa mengira agama patut menggesa supaya menghentikan perbuatan sedemikian dan mendidik masyarakat untuk tidak menerima perbuatan sedemikian.

"Kita perlu menghentikannya. Jangan bermain dengan api. Perbuatan ini salah. Tidak kira sama ada dari pihak mana yang melakukannya,” katanya.

Menurut Dr. Asri, al-Quran jelas menyatakan dalam surah al-Anam ayat 108 yang bermaksud negeri orang Islam mesti tidak menggangu penganut agama lain untuk menunaikan amalan agama mereka.

Seorang ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara Dr. Mujahid Yusuf Rawa (gambar), yang juga AJK PAS Pusat adalah tokoh yang tidak henti-hentinya berusaha menyuburkan toleransi kaum dan agama di Malaysia. Sebahagian besar kegiatannya itu dirakamkannya daam bukunya 'Aren't we all Malaysian? dan ‘Engaging Christianity: A Travelogue of Peace'.

Dalam masa yang sama beliau banyak menulis dalam portal berita membincangkan pelbagai isu mengenai toleransi agama dan kaum di negara ini.

Beliau berkeyakinan bahawa negara ini tidak memerlukan kelompok ekstrem menjadi jurubicara rakyat dalam menentukan masa depan negara. Ertinya di sini, masih tetap ramai pihak yang menentang perlakuan pelampau kaum dan agama yang bertindak merosakkan nama baik Isam sebagai rahmat seluruh alam.

Dr. Mujahid dan rakannya dalam PAS – Dr. Dzulkeflym Ahmad, Khaid Samad, Hanipa Maidin, Dr. Maria Mahmud dan ramai lagi – sentiasa menyuarakan penentangan terhadap perkauman dan pemahaman agama yang sempit.

Suara mereka di dalam Dewan Rakyat dan di luar Dewan, tulisan mereka di pebagai media dan buku menyerahkan hujah yang konkrit berdasarkan al-Quran Hadis dan Sunnah serta suasana kontemporari masyartakat majmuk di Malaysia.

Malangnya, pihak yang mendukung fahaman perkauman dan pelampau agama ini tidak pernahpun menjawab, apalagi secara ilmu, terhadap hujah para tokoh pemimpin PAS ini, menyerlahkan bahawa golongan perkauman dan pelampau agama ini hanya bermodalkan emosi dan kebencian, bukan ilmu.

Pelampau kaum dan agama ini sudah tentu dari golongan terpencil, tidak mewakili sesiapapun, tidak berilmu, penuh emosi, angkuh dan merasakan diri merekalah, kononnya, yang berada di depan dalam mempertahankan Islam. Pada hal merekalah sebenarnya yang merosakkan nama Islam kerana perbuatan mereka yang melampau batas.

Golongan ini mungkin tidak tahu akan adanya ayat al-Quran yang melarang umat Islam mencerca agama orang lain, kerana “kelak nanti mereka (yang bukan Islam) akan mencerca agama kamu.”

Sungguh malang, bulan Ramadan yang mulia ini diganggu dengan perlakuan pelampau agama dan perkauman, yang bertentangan sama sekali dengan semangat dan roh Ramadan, malah bertentangan dengan petunjuk al-Quran dan Sunnah Rasul.

Mengapakah golongan perkauman dan pelampau agama ini semakin berani menunjukkan aksi mereka di tengah masyarakat majmuk Malaysia. Siapakah di belakang golongam ini menyebabkan mereka merasakan seolah-olah mempunyai kekuatan yang tidak boleh dicabar atau diganggu gugat oleh sesiapa? Hal ini menyebabkan suara mereka semakin garang dan dan tidak peduli siapapun.

Sesungguhnya golongan rasis dan pelampau agama ini – siapapun di belakang mereka – tetaplah mereka merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum serta mencemarkan nama baik Islam.

Golongan ini adalah ‘sampah’ negara dan masyarakat. Islam menolak golongan ini, sama sekali tidak berguna kepada sesiapapun.

Oleh itu, masyarakat bertamadun perlu berpadu menolak mereka.

Sumber HD - 1-7-2014

Muhasabah untuk Pakatan daripada Dr. Dzul

ABD SHUKUR HARUN | .

SANGAT menarik ucapan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kelana Jaya, Selangor Ahad lalu, yang saya kira membuka minda kita dalam banyak perkara.

Ucapannya itu bersifat muhasabah, memeriksa kekuatan dan kelemahan bukan saja PAS, tetapi juga semua komponan dalam Pakatan Rakyat. Dengan pandangan yang terus terang ini, pada pendapat saya Dr. Dzul telah menyerlahkan kejujuran dan keterbukaannya untuk menjadi renungan dalam usaha memperbaiki kedudukan PAS dan rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Dalam ucapannya itu beliau berkata, seteru PAS dan Pakatan sangat tahu bahawa hanya isu Hudud mampu 'memporak-perandakan' Pakatan.

PAS jauh lebih superior dan unggul dalam penggarapan semua isu pertentangan agama seumpama ‘Isu Kalimah Allah’ dan ‘Penghayatan Tasaamuh Beragama’ dalam isu kitab Injil, serangan Rumah Ibadat dan lain-lain, sebab PAS tahu benar-benar tuntutan ‘Wasatiyyah, sementara Najib Tun Razak dan UBN hanya pandai mewiridkan kalimat itu macam semua Mufti, Perkasa, Jati dan ISMA yakni NGO yang pro-UBN.

Kata Dr. Dzul, mereka memang menampilkan Islam yang ganas dan agresif dengan penganut agama yang lain dan sangat berlawan dengan sifat Islam yang Rahmah dan Adil kepada semua.

“Maka PAS wajar tahu bahawa parti Islam ini tidak perlu membuktikan bahawa PASlah yang telah secara konsisten dan komited sejak berzaman memperjuangkan Islam. Mutakhir ini lebih mantap dan 'releven' dalam pengolahan polisi dan dasar-dasar sesuai dengan tuntutan Perlembagaan PAS dalam Fasal 5 (i) dan (ii) yang menekankan persoalan nilai dan hukum-hakam bagi membina sebuah masyarakat dan pemerintahan dalam negara ini untuk mendapatkan keredhaan Allah.

“Nilai-nilai itu adalah seluruh ahklak dan moral yang dianjurkan Islam dari segi penghayatan individu dan masyarakat. Hukum-hukum itu pula adalah yang menyangkut mengenai hal urusan Fiqh Ibadat, Munakahat (Nikah-Kahwin), Mu'amalat (Urusan Komersial-Perniagaan-Harta) dan Ahwal-Syakshiah (Undang-undang Keluarga). Terkini yang dibacarakan PAS adalah untuk melaksanakan satu lagi juzuk Syariat Allah yang telah PAS Undang-undangkan (Taqninkan atau Enakmenkan) menjadi Undang-Undang Jenayah Syar'iyyah II (Kelantan -1993),” katanya.

Bagi beliau, PAS sangat memahami bahawa dalam berusaha untuk melaksanakan tuntutan agama ini yang menjadi sebahagian dari tuntutan Syariat Allah, PAS berdepan dengan masalah bukan saja dengan seteru dan lawannya Umno-BN, tetapi juga dengan kawan-kawannya dalam Pakatan Rakyat.

Dakwaan bahawa Hudud tidak 'constitutional', kata Dr. Dzul, sudah cukup menyiksakan umat Islam, tidak termasuk pula segala kelemahan negara umat Islam yang melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam ini.

Katanya, betul kalau dilihat dari segi aspek korupsi atau ketirisan dan integriti, namun dari segi statistik, keberkesanan dari segi pencegahan jenayah seperti curi dan rompakan contohnya wajar membawa wacana dan diskusi untuk memaparkan keberkesanan atau efikasi undang-undang Jenayah Islam.

Dr. Dzul menyebutkan, bagi perbandingkan rompakan contohnya yakni sumber statistik adalah dari Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation). Bagi setiap 100,000 penduduk, perhatikan kekerapan rompakan berlaku di negara yang dianggap 'failed states' seperti Pakistan atau Arab Saudi berbanding negara maju.

Di Arab Saudi 2.9 kes setiap 100,000, Pakistan 1.0 kes pada setiap 100,000. Bandingkan USA 146.4 kes setiap 100,000, Sweden 94.2kes setiap 100,000 dan Denmark 48.8 setiap 100,000.

Namun PAS, kata beliau, perlu tahu banyak lagi aspek-aspek yang perlu diyakinkan kepada semua pihak termasuk aspek 'prosedural laws' atau 'undang-undang tata cara' serta betapa perlaksanaaan jenayah membantu memurnikan dan membersihkan rakyat dan tidak memangsakan golongan miskin dan melepaskan yang kaya dan penguasa.

“Meskipun isu ini menjadi cabaran paling besar buat PAS dalam mempastikan keutuhan dan survival Pakatan sebagai wadah koalisi atau Muafakat Politik, saya masih optimis bahawa kebijkasanaan pimpinan tertinggi parti akan mampu mengatasi dan mengemudi laluan getir ini. Semua pihak perlu sedar bahawa Pakatan Rakyat adalah satu-satunya wadah yang berupaya menumbangkan dan menamatkan kezaliman dan kegelojohan pentadbiran buruk UBN.

“Pada waktu yang sama seandainya PAS berjaya mengurus isu ini dengan baik dan bijak, maka PAS akan keluar daripada kemelut ini dengan satu pengalaman atau Tajribah Perjuangan ‘Political Islam’ yang sangat unik dan segar serta pastinya ia berkait rapat dengan tokoh kepemimpinan tertinggi PAS, kedua-dua Mursiyidul Amnya dan Presidennya yang menguasai realiti masyarakat majmuk dan politik pluralisme di negara ini yang sarat dengan tuntutan yang kerapnya bertentangan atau mutually exclusive,” kata Dr Dzul.

Cabaran ini, menurutnya, pastinya tidak mudah iaitu PAS dan Pakatan mesti berani menggarap isu ini dengan penyelesaian yang lebih berjangka panjang dan bukan dengan cara 'melepaskankan' tengkuk masing-masing atau menjaga 'tapak sokongan masing-masing'. Walau apa punyelesaiannya, kata beliau, Pakatan dan PAS mesti mendepaninya secara bersama.

Beliau menyatakan rasa sukar untuknya mmemperincikan hal ini di sini, meskipun sangat diharapkan bahawa Pakatan akan mampu mengatasinya dan terus membuat penerangan yang lebih bersepadu dan konsisten.

“Kalau PAS dan Pakatan benar-benar punya kewibawaan kepemimpinan dan polisi yang lebih konsisiten dan berkesan, serta berani membuat penerangan ke seluruh negara bersama-sama dan bergandingan, maka layaklah pusingan akan datang adalah giliran Pakatan Rakyat untuk mentadbir pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

Sebaliknya kalau dua kali kali lima saja dengan UBN dari segi hendak menjaga kerusi dan kepentingan kepartian sempit masing-masing, kata Dr. Dzul, maka sekali lagi penentu kemenangan akan bergantung kepada ‘Politik BRIM dan Politik Kuasa Melayu’ kerana kononya PAS dan Melayu PKR tidak mampu mempertahankan kepentingan orang Melayu kerana Hudud pun PAS tidak boleh perjuangkan.

Akhirnya beliau mengingatkan bahawa, adalah kesilapan berterusan PAS, DAP dan PKR andainya doktrin ini terus dibiarkan kukuh, iaitu biar Umno terus memerintah walaupun mereka rasuah, membazir dan membolot kekayaan negara, sebab yang pentingnya, konon, kuasa politik masih di tangan orang Melayu. - HARAKAHDAILY 25/6/2014

Sumber HD - 25-6-2014


Baghdad terancam, militan terus mara

ABD SHUKUR HARUN | .

KEDUDUKAN Baghdad, Ibu Kota Iraq, sedang terancam apabila bandar Baquba, 40 batu utara Baghdad telah jatuh ke tangan kumpulan militan - yang menggelar diri mereka Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria atau ISIS - dalam pertempuran yang menewaskan tentera Iraq.

Kumpulan ISIS ini adalah pro-Sunni yang disokong oleh negara Arab Sunni dan Wahabi.

Sekiranya Baghdad jatuh, kesannya ialah bahawa kedudukan Baghdad terancam. Keadaan ini menyebabkan ramai penduduk Baghdad dan sekitarnya lari dari kota itu. Demikian menurut agensi berita luar negera.

Tetapi masalahnya, sudah lima bandar di Iraq telah jatuh ke tangan militan ISIS itu dan militan ini merancang bukan saja untuk membebaskan Iraq daripada pemerintahan Syiah Perdana Menteri Nouri al-Maliki, tetapi juga merancang untuk membebaskan Syria daripada pemerintahan Syiah Alawi, Bashar al-Assad.

Penganalisis antarabangsa berpendapat, jika kumpulan Sunni ini semakin banyak menawan wilayah Iraq, maka impikasinya ialah akan mengundang krisis sejagat, yang akan melibatkan kuasa besar dan Iran.

Rabu lalu, Presiden Barack Obama telah berbincang dengan pemimpin Kongres Amerika untuk memutuskan sama ada Amerika akan campur tangan kansung di Iraq dan bagaimana caranya. Pentadbiran Amerika dikatakan berdepan dengan keputusan yang sukar. Bagaimanapun, Obama sudah menghantarkan ratusan tenteranya ke Iraq, tetapi belum memutuskan sama ada akan melakukan serangan udara ke atas wilayah yang telah ditawan oleh militan ISIS itu.

Sementara itu, ribuan penduduk – kebanyakannya Syiah – telah meninggalkan Baquba dan beberapa bandar yang telah ditawan oleh militan ISIS itu. Pelarian itu membawa apa saja yang sempat mereka bawa, termasuk daging dan makanan lain.

Sebelum ini militan Sunni ini telan menawan bandar Tal Afar, dua wilayah di daerah Diyala dan Mosul, bandar kedua terbesar selepas Baghdad.

Menurut laporan agensi berita luar negera, militan ISIS mendakwa telah membunuh sekurang-kurangnya 1,700 penduduk bermazhab Syiah sejak mereka melancarkan serangan untuk membebaskan Iraq daripada pemerintahan Syiah.

Kabinet Iraq kelmarin telah memberi bantuan USD850,000 kepada penduduk yang rumah mereka musnah di Nineveh, Salaheddin dan wilayah Diyala.

Sementara itu Iran, yang bersempadan dengan Iraq, kini sedang bersedia untuk campur tangan di Iraq. Baru-baru ini, agensi berita Iran, Irna melaporkan bahawa Presiden Hassan Rouhani memberitahu bahawa Iran akan melindungi beberapa tempat suci Syiah di Iraq daripada serangan ‘pembunuh dan teroris’.

Seorang pegawai tinggi Iraq di Baghdad memberitahu CNN minggu lalu bahawa Iran telah menghantar 500 Pengawal Revolusi untuk menentang militan ISIS. Tetapi Rouhani menafikan berita itu. Bagaimanapun, beliau berkata, Iran terbuka untuk membantu Iraq jika diminta. Iran mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Syiah Iraq.

Sementara itu, Amerika dan Iran telah mengadakan perbincangan serius di Vienna, Austria Isnin lalu mengenai ancaman militan ISIS.

Krisis yang berlaku di Iraq ini menimbulkan impikasi terburuk mengenai kestabilan di Semenanjung Arab itu. Pertentangan Sunni-Syiah di negara rantau Arab itu sudah lama membara, walaupun pemimpin negara Arab itu selama ini cuba tidak membesar-besarkannya.
Sementara itu, tentera Iraq yang sempat lari, menceritakan bahawa mereka sangat malu apabila ditewaskan oleh militan ISIS. Komander mereka tidak kelihatan di tempat pertempuran. Mereka meminta peluru untuk melawan, tetapi tiada jawapan, lalu mereka lari meninggalkan pusat-pusat kawalan dengan rasa amat malu.

Dalam hubungan ini dua komander tentera Iraq telah disoal-siasat kerana meninggalkan pusat kawalan. Dalam masa yang sama Perdana Menteri Nouri al-Maliki telah menuduh kaum Kurdis di utara Iraq mendorong kekalahan tentera Iraq supaya mereka dapat merebut wilayah utara itu serta senjata yang ditinggalkan oleh tentera Iraq. Tetapi tuduhan al-Maliki itu tidak dapat dibuktikan.

Selasa lalu, al-Maliki telah memecat tiga orang jeneral yang ditempatkan di Mosul dan memerintahkan supaya mereka dibicarakan di mahkamah tentera.

Beliau juga telah memecat seorang brigadier jeneral dan memerintahkan supaya jeneral itu dibicarakan di mahkamah tentera. Al-Maiki juga bercadang untuk memecat beberapa lagi pegawai kanan tenteranya atau dihadapkan ke mahkamah tentera.

Menurut sumber, militan ISIS ini mendapat bantuan kewangan dan senjata yang banyak dari negara Teluk yang kaya dan dijangkakan krisis ini akan berlarutan. - HARAKAHDAILY 19/6/2014

Sumber HD - 19-6-2014

Perang saudara tercetus semula di Iraq

ABD SHUKUR HARUN | .

RAMADAN Kareem, bulan mulia yang akan tiba tidak beberapa hari lagi akan disambut oleh umat Islam seluruh dunia, kerana ia dianggap hamparan rahmat daripada Ilahi yang tidak terkirakan nilainya.

Masjid dan surau sedang dipersiapkan untuk menerima kedatangan bulan yang penuh barakah. Umat Islam yang berkemampuan sedang bersiap-siap ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menyambut Ramadan di sana. Jumlahnya mencecah jutaan orang. Demikian gembira dan bersyukurnya umat untuk menyambut Ramadan Kareem.

Tetapi di Iraq, negara jiran Arab Saudi itu, berainan sama sekali keadaannya. Menjelang Ramadan ia disambut dengan pertumpahan darah iaitu rakyat Iraq terperangkap sekali lagi dalam perang saudara yang sengit. Hampir sama seperti yang berlaku ketika Amerika dan sekutunya menggempur Iraq, menggulingkan Saddam Husein pada tahun 2003.

Menurut Salam-Online, pertempuran itu ialah antara kelompok jihad dan pejuang kumpulan Muslim Sunni yang dipanggil ISIL melawan pasukan rejim Syiah Iraq yang dibantu oleh penyokong setianya. Kini pertempuran itu semakin meluas ke pelbagai wilayah di Iraq.

Perlu diingat bahawa 60 peratus rakyat Iraq bermazhab Syiah, bakinya bermazhab Sunni.

Amerika Sharikat telah mengumumkan rancangan untuk mengirim kapal perang induknnya untuk melakukan campur tangan tentera jika diperlukan. Sementara itu, pemerintah Syiah Iran pula mengumumkan kesiapannya untuk bekerjasama dengan Amerika dalam usaha campur tangan di sana, demikian menurut al-Jazeera.

Beberapa sumber memberitahu al-Jazeera bahawa para pejuang kumpulan Muslim Sunni yang dihubungkan dengan militan al-Qaida itu telah menguasai wilayah Uzhaim, 90 kilometer utara Baghdad. Para pejuang Muslim itu juga telah menguasai wilayah Sa’diyah dan Jalula’ yang terletak di bahagian timur, wilayah Diyala, setelah pasukan temtera Iraq mundur dari wilayah tersebut.

Pertempuran sengit kelmarin masih berterusan di wilayah Salahuddin dan Baghdad. Kerajaan rejim Syiah Nouri al-Maliki di Bahgdad menegaskan akan melancarkan serangan balas besar-besaran untuk merebut kembali beberapa wilayah yang telah dikuasai oleh para pejuang Sunni sejak beberapa hari lalu.

Pada hari Sabtu yang lalu, Menteri Pertahanan Amerika, Chuck Hagel telah memerintahkan sebuah kapal induk Amerika untuk bergerak dari utara Laut Arab menuju ke Teluk Persi, sebagai persiapan jika Washington memutuskan untuk campur tangan tentera di Iraq.

Berita terkini dari Washington, Presiden Barack Obama telah mengarahkan penghantaran ratusan tentera khasnya ke Iraq dan akan menyusul lebih banyak lagi penghantaran dalam masa terdekat.

Sementara itu Presiden Iran Hasan Rouhani menyatakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama dengan Amerika dalam usaha campur tangan bagi memerangi apa yang ia namakan ‘para teroris’ di Iraq.

“Kami sudah siap memberikan bantuan dalam kerangka peraturan antarabangsa. Tetapi saya rasa Iran tidak akan sampai melakukan campur tangan tentera kerana kami yakin tentera Iraq mampu untuk mengusir para ‘teroris’. Bagi pihak kami, kami akan melakukan segala tindakan yang diperlukan jika ada kelompok ‘teroris’ mana-manapun yang mendekati wilayah sempadan kami dan membuat ancaman serta bahaya bagi keamanan kami,” kata Rouhani.

Jatuhnya kota Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq ke tangan kumpulan jihad Muslim revolusinoner Iraq mengundang pertanyaan besar dalam kalangan banyak pihak. Khususnya setelah 50,000 pasukan tentera Iraq mundur dari kota Mosul tanpa memberikan perlawanan terhadap kelompok jihad Muslim itu. Banyak pihak membayangkan ada senario besar untuk mewajarkan campur tangan tentera Amerika dan Iran di Iraq.

Pendudukan yang dilakukan oleh kumpulan ISIL yang mengundang mobilisasi warga Iraq serta cara kelompok Kurdi yang mengambil kesempatan dengan keadaan yang wujud ini memberikan isyarat bahawa perang saudara akan berlaku kembali di Iraq, negara yang pernah dipimpin oleh Saddam Husein itu. Jika ini terus berlaku, Ramadan akan kembali bermandi darah di negara yang mempunyai tamadun ribuan tahun itu.

Kumpulan ISIL yang menduduki Mosul dan Tikrit dilaporkan sempat melakukan perbarisan dan tunjuk kekuatan dengan mempamerkan dua helikopter yang dirampasnya.

Mosul berpenduduk hampir dua juta orang sebelum peristiwa baru ini berlaku. Tetapi selepas serangan terbaru beraku, ratusan ribu warganya melarikan diri. Demikian dilaporkan oleh Reuters.

Sementara itu, di bahagian selatan Iraq, kumpulan tersebut meluaskan wilayah serangan mereka ke kota-kota yang hanya jarak perjalanan sekitar satu jam dari ibu kota Baghdad.

Sejak minggu lalu, pejuang ISIL berpakaian hitam telah menduduki Mosul dan Tikrit, kota kelahiran Saddam Hussein dan kota lain serta kota-kota di utara Baghdad. Tentara telah menghilangkan diri sebelum serangan itu terjadi. Mereka meninggalkan markas dan senjata yang dulu diberi oleh Amerika kepada Iraq. Video online menunjukkan perhimpunan ratusan atau mungkin ribuan ramainya penduduk berhampiran Tikrit.

Sumber tentera dan polis menyatakan, militan Sunni sekarang ini mengendalikan sebahagian dari kota Udhaim, 90 kilometer ke utara Baghdad, setelah sebahagian besar pasukan tentera kerajaan Iraq meninggalkan kedudukan mereka.

ISIL dan sekutunya menguasai Falluja pada awal tahun ini. Kota itu terletak hanya 50 kilometer sebelah barat daripada pejabat Perdana Menteri Iraq Nouri al-Maliki.

Sementara itu berita terkini yang dilaporkan oleh AP menyebutkan bahawa kumpulan Sunni itu telah menawan sebuah lagi bandar di utara Iraq, Tal Afar, yang terletak sepanjang lebuh raya Iraq-Syria yang dulunya dikuasai oleh pemerintah Syiah di Bangdad.

Bandar Tal Afar mempunyai penduduk 200,000 telah ditawan oleh miitia ISIL pada waktu Subuh. Penduduk bandar itu adalah campuran Sunni-Syiah. Bandar tersebur ditawan seminggu selepas kumpulan Sunni menawan Mosul.

Setiausaha Negara Amerika John Kerry dengan hati-hati memberi isyarat bahawa negaranya terbuka untuk bekerjasama tentera dengan kerajaan Iraq untuk menentang kumpulan militan al-Qaeda yang kini sedang menjadi ancaman kepada Iraq bahkan kepada Amerika dan Eropah sendiri.

Hal ini kerana, ia menjadi ancaman kepada semua pihak, katanya kepadaYahoo News Global Anchor, Katie Couric.

Ditanya mengenai kerjasama tentera dengan Iran untuk memerangi kumpulan pro-Sunni itu, Kerrry berkata, “Biar kita lihat sama ada Iran mahu bekerjasama atau tidak sebelum dimulakan sesuatu.”

Bagaimanapun, pertempuran demi pertempuran yang berlaku di Iraq sekarang ini akan mencetuskan perang saudara sekali lagi di Iraq dan akan memakan korban lebih banyak lagi.

Perlu dinyatakan di sini, sekitar setengah juta orang telah terbunuh akibat pencerobohan pasukan Amerika dari 2003 hingga pertengahan 2011.

Sumber HD - 17-6-2014




Muktamar PAS di Johor suatu sejarah

ABD SHUKUR HARUN | .

PAS Negeri Johor diberi kepercayaan dan amanah untuk menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS ke-60 bulan September ini.

Ini satu peghormatan besar dan bersejarah kepada PAS Johor di bawah pimpinan Pesuruhjaya barunya, saudara Aminolhuda Hassan.

Khabarnya, PAS Johor sedang membuat persiapan serapi mungkin untuk menyambut saf pimpinan, tetamu, perwakilan dan pemerhati yang mungkin mencecah 5,000 orang.

Selama ini Johor dikenal sebagai kubu kuat Umno, justeru parti nasionalis Melayu itu lahir di Johor, sebuah negeri di selatan tanah air yang muka buminya lebih banyak kawasan pertanian dan dipenghuni oleh pelbagai suku kaum – Melayu, Jawa, Bugis, Banjar selain Cina dan India.

Dalam Pilihan Raya Umum tahun lalu, PAS memenangi empat buah kerusi Dun - DAP 13, PKR 1 dan PAS 4. Kerusi yang dimenangi PAS ialah Maharani (Muhd Taslim), Sungai Abong (Sheikh Ibrahim Saleh), Puteri Wangsa (Ustaz Abdullah Husein) dan Parit Yaani (Aminolhuda Hasan).

Tentu saja para muktamirin yang akan datang ke muktamar di Johor Bahru nanti akan menyaksikan manifestasi kebangkitan PAS di negeri paling selatan tanah air itu.

Saya sendiri sebagai anak kelahiran Johor merasa sangat terharu atas kemenangam PAS di negeri kubu kuat Umno sejak lebih setengah abad. Ini adalah kerja kuat pemimpin dan pendukung PAS Johor dengan segala usaha dan pengorbanan mereka hingga runtuhnya kubu kuat Umno itu di mana suatu masa dulu, pendukung Umno dengan angkuh berkata, “Jangan mimpilah PAS hendak bertapak di Johor, baliklah ke Kelantan, Terengganu.”

Lalu pendukung PAS bekerja kuat untuk menyahut cabaran Umno itu dan akirnya berjaya. Hal Ini menyebabkan kedudukan PAS Negeri Johor tidak lagi jauh dihujung dan terpinggir, tetapi sudah berada di tengah arus perdana jemaah PAS sendiri di mana ahlinya kini mencapai lebih 1.3 juta orang.

Antara Pesuruhjaya PAS Johor yang saya ingat ialah Haji Yusof Hakim, Haji Hasan Hussein, Ustaz Umar Jani, Dr Sanusi Daeng Mariok, Datuk Dr Mahfodz Muhamad dan kini Aninolhuda. Di bawah pimpinan mereka inilah PAS Johor terus berkembang dan kehadirannya bukan saja di negeri Johor, tetapi seluruh negara.

Dahulu apabila seseorang menyebut PAS, maka negeri yang selalu mengiringinya ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tetapi kini, keadaan sudah berubah sama sekali bahawa kehadiran PAS Johor sangat dirasakan.

Maka itu saya fikir, keputusan PAS Pusat mengadakan Muktamar PAS ke-60 di Johor ini sesuatu yang sangat wajar, iaitu sebagai pengiktirafan dan pencapaian PAS Johor.

Pada masa lalu, sejak puluhan tahun, orang Umno dengan segala keangkuhan kerana sejarahnya, percaya bahawa kubu Umno di sana tidak akan runtuh dan tetap terus teguh. Oleh itu, ramai orang melihat bahawa PAS tidak mungkin boleh hidup dan jauh sekali bertapak kukuh di negeri itu.

Tetapi keputusan pilihan raya 2008, menyebabkan persepsi lama itu mulai luntur, apabila dua kerusi Dun - Maharani dan Sungai Abong dimenangi oleh PAS. Dua Dun ini adalah kawasan campuran di mana jumlah pengundi Melayu lebih sedikit daripada pengundi Cina dan India.

Selanjutnya, keputusan PRU tahun lalu di mana PAS memenangi empat kerusi Dun, maka kehadiran PAS di Negeri Johor sudah sangat dirasakan.

“Kami besyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada pengundi Johor atas sokongan yang diberikan kepada PAS ini,” kata Aminolhuda.

Beliau dan pimpinan PAS Johor mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kepercayaan PAS Pusat kerana memilih PAS Johor sebagai tuan rumah muktamar kali ini.

Menurutnya, PAS Johor kini sedang membuat persiapan rapi untuk menjayakan muktamar tersebut yang akan diadakan di suatu kawasan di Skudai, kira-kira 8 kilometer dari pusat Bandaraya Johor Bahru.

Sementara itu, sangat wajar Muktamar Tahunan PAS kali ini menyuburkan kembali usaha menentang pemikiran perkauman yang melanda negara sekarang, justeru pemikiran tersebut semakin membara, lebih-lebih lagi ditiupkan oleh parti perkauman setiap kali pilihan raya.

Seingat saya, bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah memilih tema ‘Menggempur Pemikiran Assobiyah (perkauman) ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar PAS suatu masa dulu.

Rakyat prihatin, termasuk masyarakat sivil, sangat sedar dan bimbang akan bahaya perkauman yang diteriakkan secara nyaring sejak akhir-akhir ini oleh puak pelampau terutamanya untuk kepentingan politik mereka.

Maka itu gejala perkauman, walau datang daripada pihak manapun, sama ada daripada badan politik, NGO, penulis, pengamal media, orang perseorangan atau siapa saja mestilah ditolak secara total kerana ia sebuah kejahatan. Tidak ada orang yang waras fikirannya yang bersetuju dengan rasisme, walau atas apa alasanpun.

Dari itu PAS sewajarnya menyuburkan kembali penentangan terhadap gejala perkauman ini. Perlulah PAS mengingat kembali pesan-pesan Almarhum Ustaz Fadhil mengenai perjuangan menentang perkaumam dan terus bertindak kerana ia sebuah kejahatan.

Pelbagai perlakuan perkauman yang berlaku dalam setiap kali pilihan raya menjadi ancaman besar kepada demokrasi malah kepada kemanusiaan itu sendiri. Dari itu, ucapan pimpinan dan perwakilan sewajarnya memberikan fokus kepada usaha menentang pemikiran assobiyah ini.

PAS sendiri mempunyai pengalaman panjang bagaimana golongan perkauman melemparkan pelbagai fitnah terhadap PAS, terutama kerana duduk bersama dengan DAP sebagai rakan politik dalam Pakatan Rakyat.

Perihal fitnah ini sudah diketahui umum sejak lama dulu dan fitnah ini – PAS sebagai alat DAP – berkesan terutama di kalangan pengundi Melayu di luar bandar. Dalam masa yang sama DAP juga dihadapkan dengan fitnah yang sama di depan pengundi bukan Melayu dan fitnah perkauman ini berterusan.

Muktamar PAS kali ini tentunya akan membincangkan mengenai isu hudud, persempadanan semula pilihan raya dan lain-lain. Tetapi dalam masa yang sama penentangan terhadap gejala perkauman sewjarnya juga diberi tumpuan yang sama.

Sumber HD - 10-6-2014 

No comments:

Post a Comment