JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 17, 2014

SIRI PEMBONGKARAN PROJEK KRONI


BLOG BERKAITAN - tamansriraya.blogspot.com

Muhyiddin tidak faham isu yang saya bawa - Rafizi

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli rasa agak terusik dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak faham mengenai konsep penswastaan atau private finance initiatives (PFI).

Ini kerana menurut Muhyiddin ia banyak mendatangkan kebaikan kepada UiTM.

Malah, Muhyiddin memaklumkan bahawa kabinet telah menugaskan Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk memberi penerangan mengenai konsep PFI itu.

“Saya rasa Tan Sri Muhyiddin dan keseluruhan kabinet tidak faham dengan kritikan dan isu yang saya bawa,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, beliau bukanlah menentang bulat-bulat kaedah PFI untuk membiayai projek kerajaan jika ia dibuat secara telus dan menguntungkan rakyat.

Rafizi berkata, beliau mempertikaikan perkara-perkara berikut:

1. Kenapa penswastaan ini dibuat tanpa tender terbuka dan secara rundingan terus sehingga kesemua keenam-enam kampus UiTM diswastakan kepada syarikat milik pimpinan Umno yang kemudiannya melantik subkontraktor untuk mengendalikan projek?

2. Kenapa sewa dan bayaran tahunan yang terpaksa ditanggung oleh UiTM ini sehingga 5 kali ganda lebih mahal dari kos membina sendiri UiTM ini?

3. Berapakah margin keuntungan yang diberikan kepada syarikat pemegang konsesi?

“Oleh yang demikian, untuk memastikan saya dan rakyat kebiasaan lain faham dan boleh menilai kewajaran Barisan Nasional menswastakan kampus UiTM melalui konsep PFI ini, saya menyeru supaya Muhyiddin Yassin mendedahkan perjanjian konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM ini kepada umum,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, apabila perjanjian konsesi itu dapat diteliti oleh umum, barulah beliau dan rakyat boleh memastikan bahawa tidak ada unsur keuntungan berlipat kali ganda yang diberikan kepada pemegang konsesi seperti mana yang berlaku dalam perjanjian-perjanjian konsesi yang lepas melibatkan penswastaan air dan lebuhraya.

Kata Rafizi, jika Muhyiddin tidak bersedia untuk mendedahkan perjanjian konsesi itu, sampai bila-bila beliau dan rakyat tidak akan faham kenapa Kerajaan Persekutuan mengikat perjanjian yang kosnya nanti akan membebankan UiTM, sedangkan ia lebih murah untuk membina sendiri kampus-kampus itu. - HARAKAHDAILY 27/6/2014

Sumber HD - 27-6-2014


Peralat Melayu & Bumiputera untuk kayakan kroni

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Siasatan yang dilakukan terhadap projek konsesi pembinaan kampus UiTM mendapati, wujud syarikat Bumiputera yang bukan sahaja mempunyai 'kepakaran' dalam rundingan konsesi dengan kerajaan malah menyerahkan pula projek yang diperolehi kepada syarikat bukan Bumiputera.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kaedah rundingan terus yang digunakan pentadbiran Najib dengan berselindung di sebalik “private finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan dan terdedah kepada amalan rasuah.

"Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat," ujarnya.

Beliau memberi contoh syarikat yang diberi konsesi membina kampus UiTM Kota Samarahan iaitu Rekajaya Projek Sdn Bhd yang turut dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) melalui satu konsortium.

Syarikat-syarikat yang dikuasai ahli perniagaan ini, tambahnya boleh diibaratkan sebagai "pakar perunding konsesi" yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun ujar beliau, sebaik berjaya mendapatkan konsesi-konsesi pembinaan, projek pembinaan diberikan pula kepada syarikat bukan Bumiputera sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

"Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur," dedah beliau.

Rafizi menambah, semakan mendapati kos pembinaan dua projek konsesi itu dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

"Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat," ujarnya.
Beliau berkata, alasan kononnya kontraktor Bumiputera berpeluang dianugerahkan projek melalui program konsesi juga diragui kerana jelas projek yang diperolehi diserahkan pula kepada syarikat bukan Bumiputera.
Rafizi turut mempertikaikan pembiayaan projek melalui Bank Pembangunan, sebuah bank milik penuh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, jika kampus-kampus tersebut dibina sendiri kerajaan dengan meminjam dari Bank Pembangunan, pasti kos yang ditanggung adalah jauh lebih murah.

"Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputera disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno.
"Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak," ujar beliau. - HARAKAHDAILY, 26/6/2014

Sumber HD - 26-6-2014



Timbalan Menteri pegang saham syarikat konsesi UiTM Tapah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Tajuddin Rahman (gambar) mempunyai pegangan minoriti di dalam konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Tapah, dedah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Fakta ini, jelas Rafizi mengulangi apa yang berlaku dalam konsesi-konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM apabila setiap syarikat konsesi didapati mempunyai kaitan dengan para pemimpin Umno atau ahli perniagaan yang rapat dengan Umno.


"Konsesi penswastaan UiTM cawangan Tapah dianugerahkan kepada UniTapah Sdn Bhd dengan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyewakan kembali kampus itu kepada UiTM.

"Salah seorang pengarah UniTapah Sdn Bhd ialah Sri Rahayu Tajuddin, iaitu anak kepada Dato’ Tajuddin Rahman.

"Sri Rahayu juga pernah menjadi Setiausaha Umno Bahagian Pasir Salak yang diketuai oleh Dato’ Tajuddin Rahman," dedah Rafizi.


Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mendedahkan hubungan seorang pengarah UniTapah Sdn Bhd, Vignesh Naidu a/l Kuppusamy Naidu dengan Dato’ Tajuddin Rahman melalui usahasama perniagaan.

Menurutnya, selain UniTapah Sdn Bhd, Tajuddin dan Vignesh mempunyai hubungan dalam sebuah syarikat pembinaan, Everfine Resources Sdn Bhd dengan Tajuddin sebagai pengerusi dan Vignesh sebagai pengarah.

Jelas beliau, kepentingan Tajuddin dalam syarikat konsesi pembinaan kampus UiTM Tapah dipegang melalui Detik Utuh Sdn Bhd yang mempunyai 9.8% kepentingan dalam UniTapah Sdn Bhd; manakala saham selebihnya dipegang syarikat pembinaan yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur, Crest Builder Holdings Berhad (melalui Crest Builder International Sdn Bhd).

Dato’ Tajuddin Rahman memiliki 450,000 saham di dalam Detik Utuh Sdn Bhd, menjadikan beliau pemegang saham terbesar.

Saham-saham selebihnya dimiliki oleh Vignesh Naidu (150,000 saham) dan Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd (400,000 saham).

Obata-Ambak Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dikawal oleh keluarga isteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Pengarah-pengarah di dalam Detik Utuh Sdn Bhd adalah individu-individu yang rapat dengan Dato’ Tajuddin Rahman iaitu anaknya sendiri (Sri Rahayu) dan kenalan perniagaan beliau iaitu Vignesh Naidu dan Haniff Mahmood," ujar Rafizi.

Rafizi menambah, walaupun pegangan Tajuddin dalam syarikat konsesi terbabit tidak sebesar pegangan ahli-ahli politik Umno yang lain dalam konsesi yang telah didedahkan sebelum ini, ia mengesahkan bahawa setiap konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM menguntungkan ahli politik Umno dengan bayaran sewa yang cukup membebankan rakyat. - HARAKAHDAILY, 24/6/2014

Sumber HD - 24-6-2014




Rafizi bakal dedah tiga lagi skandal pemimpin Umno

NAZAR HASHIM | .

TANJONG TOKONG: Selepas isu pemberian konsesi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada kroni Umno didedahkan, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) akan mendedahkan tiga lagi skandal membabitkan pemimpin parti itu.

“Selepas mendapat bukti dan isyarat, saya akan dedahkan tiga lagi skandal melibatkan korupsi pimpinan mereka dalam masa terdekat,” ujarnya pada majlis makan malam PKR di Straits Quay Convention Centre di sini, 21 Jun lalu.

Menurutnya, pendedahan mengenai projek penswastaan kampus UiTM adalah bukti ketara bagaimana pemimpin Umno mengkhianati orang Melayu dengan memberikan projek tersebut kepada suku sakat dan kroni mereka.

“Jika kerajaan tidak ditukar dalam pilihan raya yang akan datang, banyak lagi pengagihan kekayaan negara secara tidak telus akan dibolot oleh kroni-kroni mereka secara melampau,” ujarnya.

“Umno seolah-olah mempertahankan bangsa Melayu, sebaliknya Umnolah yang memperbodohkan orang Melayu di kampung dan pedalaman,” katanya.

Justeru Rafizi berkata, PKR akan mengatur program turun padang ke seluruh negara bagi mendedahkan pembohongan Umno, terutama kepada penduduk luar bandar berkaitan isu berkenaan.

Rafizi sebelum ini mendedahkan kerajaan memberikan konsesi selama 23 tahun kepada syarikat kroni untuk membina enam kampus cawangan UiTM seluruh negara.

Bagaimanapun, UiTM perlu membayar semula sewa kepada syarikat berkenaan antara RM56 juta sehingga RM69 juta setahun.

Jumlah keseluruhan bayaran tersebut adalah sebanyak RM8.6 bilion iaitu lima kali lebih tinggi berbanding kos membina sendiri kampus-kampus ini iaitu RM1.8 bilion.

Antara individu yang mendapat konsesi berkenaan ialah adik kepada bekas Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi pembinaan kampus UiTM cawangan Seremban III dan Ketua pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Rozali Ismail yang diberi konsesi UiTM Puncak Alam.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden, Azmin Ali, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, barisan exco kerajaan negeri serta pimpinan PAS dan DAP Pulau Pinang. - KeadilanDaily

Sumber HD - 23-6-2014





Siapa benarkan Vincent Tan bina kasino kedua negara?

HARAKAHDAILY | .

PUCHONG: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal kelulusan yang diberi pihak berkuasa kepada jutawan Vincent Tan (gambar) untuk membangunkan pusat kasino kedua terbesar di Malaysia.

“Sekarang ni saya nak tahu siapa yang taja? Siapa yang taja selain Vincent Tan dan mengapa cadangan ini dengan yakin diketengahkan? Siapa yang bagi laluan.

“Kerana kita bantah, cukup dengan keadaan sekarang ni,” katanya ringkas dalam sidang media yang dipetik Keadilan Daily.

Vincent Tan sebelum ini dilapor membuat pelaburan RM3 bilion untuk membina sebuah kasino di Berjaya Hill, Pahang dan kononnya akan membangunkan kawasan itu sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia serta terbesar di Malaysia.

Jika dibina, ia adalah pusat kasino kedua terbesar di Malaysia selepas Genting Highland.
Dalam satu laporan yang dipetik dari The Business Times, pihak berkuasa juga meluluskan pelan pembangunan kasino terbabit, bahkan Vincent sudah merancang memohon lesen operasi bagi pusat kasino di sebuah resort yang dimiliki syarikatnya, Berjaya Corporation.

Namun, kelulusan itu bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bharom yang menyifatkan Malaysia adalah negara Islam dan bukannya negara sekular ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew di Parlimen, baru-baru ini.

Saya tak pakai sangat kenyataan Datuk Seri Jamil ni sebab itu kenyataan politik. Kata negara Islam, tapi kelulusan diberi dengan yakin dalam perkara itu walaupun kita tak tahu siapa yang meluluskannya.

“Jadi ini masalah, sebab cadangan kasino baru ini sebenarnya turut ditolak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,” katanya. – HARAKAHDAILY, 22/6/2014

Sumber HD - 22-6-2014





UiTM: Bukan pasal model tapi soal kroni

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penjelasan UiTM berhubung projek penswastaan pembinaan beberapa kampus universiti itu tidak langsung menjawab persoalan kronisme yang wujud tetapi lebih berkisar kepada model pembiayaan yang bukannya menjadi pokok persoalan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (gambar) berkata, pihak pengurusan UiTM tidak sedikit pun menyangkal pendedahan beliau mengenai kroni-kroni Umno yang berada di belakang syarikat-syarikat konsesi tersebut malah gagal menyangkal kos sewa tahunan yang terpaksa ditanggung bagi setiap kampus seperti didedahkan beliau.

"Saya mengalu-alukan jawapan rasmi dari pengurusan UiTM mengenai projek-projek penswastaan UiTM kampus-kampus cawangan Pasir Gudang, Jasin, Seremban III, Puncak Alam, Tapah dan Kota Samarahan.

"Kenyataan media UiTM semalam merupakan jawapan rasmi yang pertama setelah seminggu saya mendedahkan bagaimana kroni Umno yang akhirnya mengaut keuntungan dari dasar penswastaan kampus-kampus baru UiTM yang sedang dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Rafizi, penjelasan UiTM itu telah membantu mengesahkan bahawa kesemua fakta yang dikemukakan selama ini mengenai kroni di belakang setiap syarikat konsesi dan pertambahan kos lima kali ganda yang akan membebankan UiTM itu adalah benar dan tepat.

Pengurusan UiTM, ujar beliau hanya mampu menjawab bahawa pendekatan menswastakan kampus-kampus cawangan UiTM kepada syarikat-syarikat konsesi ini menguntungkan UiTM kerana wang didahulukan oleh syarikat konsesi melalui kaedah “private finance initiatives” (PFI).

Beliau turut mempersoalkan kaedah PFI yang diguna pakai UiTM bagi membina kampus-kampus baru memandangkan konsesi dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus.

"Saya tidak pernah mempersoalkan kaedah PFI sekiranya ia dibuat secara telus dan terbuka. Negara-negara lain turut mengamalkan kaedah PFI dalam beberapa projek tetapi tender dibuka kepada semua. Akhirnya, syarikat yang menawarkan harga dan nilai terbaik kepada kerajaan yang akan terpilih," ujarnya.

Menurut beliau, apabila konsesi penswastaan dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus, ia menimbulkan banyak masalah.

"Pertamanya, syarikat-syarikat kroni ini tidak ada pengalaman dalam menguruskan projek sebesar itu kerana kebanyakan mereka hanyalah pemimpin Umno yang tidak mempunyai perniagaan besar sebelum itu dan syarikat mereka hanya ditubuhkan semata-mata untuk mendapatkan konsesi.

"Akhirnya, pelaksanaan projek mengalami banyak masalah termasuklah kemudahan yang tidak mengikut spesifikasi, khidmat penyenggaraan yang tidak baik kelak dan lain-lain," ujarnya.

Rafizi menambah, apabila konsesi penswastaan dirunding terus dengan syarikat-syarikat kroni, terma perjanjian konsesi adalah berat sebelah dan hanya menguntungkan pemegang konsesi.

Dalam kes konsesi penswastaan UiTM, jelas beliau kos keseluruhan menanggung bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi sebanyak RM8.6 bilion adalah lima kali lebih tinggi berbanding kos membina sendiri kampus-kampus ini iaitu RM1.8 bilion.

Menurutnya, rakyat Malaysia telah lama terbeban dengan bayaran tahunan kepada pemegang konsesi akibat dari perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh BN dan syarikat kroni.

"Beban itu sekarang dirasakan terus oleh rakyat, misalnya kadar elektrik yang lebih tinggi akibat perjanjian konsesi penjanaan bebas (IPP) yang membebankan Tenaga Nasional Berhad dan kadar tol yang terus menguntungkan syarikat tol sedangkan rakyat bergelumang dengan kenaikan harga barang," ujarnya.

Malah tambah beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa mewarisi perjanjian konsesi dengan syarikat kroni di dua institusi pendidikan tinggi iaitu Unisel dan KUIS.

Kedudukan kewangan Unisel dan KUIS, tambah beliau terjejas kerana bayaran sewa yang hanya menguntungkan syarikat kroni milik wakil rakyat Umno dan pelajar pula terbeban dengan kenaikan sewa kampus mengikut perjanjian konsesi.

"Sebab itu, saya tekad untuk terus menentang penswastaan kampus-kampus cawangan UiTM ini kepada syarikat konsesi.

"Bagi tahun 2014 sahaja, bayaran sewa (yang hanya merupakan sebahagian saja sewa tahunan) kepada syarikat konsesi telah mencecah 14% dari peruntukan keseluruhan UiTM.

"Apabila siap sepenuhnya dan lebih banyak kampus diswastakan dengan cara ini, bayaran sewa kepada syarikat konsesi akan menjadi belanja paling besar yang ditanggung oleh UiTM setiap tahun – seperti mana bayaran kepada syarikat IPP menjadi tanggungan paling besar TNB setiap tahun," tegas beliau.

Beliau khuatir UiTM terpaksa mengikat perut dan memotong peruntukan untuk perkara-perkara lain yang lebih penting malah kebajikan pelajar akan terabai apabila sewa bilik di kampus akan naik kerana UiTM perlu membayar sewa.

"Peruntukan melanjutkan pelajaran kepada pensyarah-pensyarah terpaksa dikecilkan kerana peruntukan digunakan untuk membayar sewa. Program-program naik taraf kampus akan dihentikan kerana kampus bukan lagi milik UiTM tetapi milik syarikat konsesi.

"Dan pelbagai kesan lain yang hanya merugikan pelajar dan warga UiTM," ujarnya memberi amaran.

Sehubungan itu beliau menyeru semua warga UiTM untuk bersatu menentang penswastaan kampus cawangan UiTM demi kelangsungannya sebagai institusi pengajian tinggi utama rakyat terbanyak. - HARAKAHDAILY, 20/6/2014

Sumber HD - 20-6-2014








Penjelasan pembiayaan kaedah PFI kampus UiTM

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pembinaan kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) menggunakan kaedah PFI (Private Finance Initiative).

"Ini selari dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan enrolmen mahasiswa di UiTM," jelas Pejabat Penolong Naib Canselor Pembangunan, Pengurusan Fasiliti & ICT UiTM dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan memutuskan menggunakan kaedah PFI kerana:

Projek PFI dapat dilaksanakan dengan segera melalui pembiayaan pihak swasta setelah projek mendapat kelulusan kerajaan. Pembayaran kepada syarikat konsesi hanya bermula setelah projek siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan.

Projek PFI dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan tanpa pelanjutan masa. Sekiranya projek tidak disiapkan atau lewat disiapkan, syarikat konsesi tidak akan mendapat sebarang bayaran.

Tidak timbul isu menyelamatkan projek memandangkan risiko pembinaan merupakan tanggungjawab syarikat konsesi yang mana projek tersebut akan diserah kepada kerajaan apabila ia siap sepenuhnya.

Pembayaran balik kepada syarikat konsesi adalah termasuk bayaran untuk penyenggaraan dan penggantian komponen utama seperti sistem pendawaian dan lif.

Sehubungan itu, pihak UiTM tidak perlu mengeluarkan kos untuk menyenggara dan penggantian komponen utama dalam tempoh 20 tahun.

Dengan adanya penyenggaraan ini, UiTM akan menerima bangunan ini pada akhir tempoh konsesi dalam keadaan baik dan seperti baru.

Syarikat konsesi bagi projek UiTM ini dibenarkan untuk membuat refinancing dan keuntungan daripada pelaksanaan tersebut dikongsi sama rata dengan pihak kerajaan.

Justeru itu, kaedah PFI merupakan perolehan yang cepat di samping mempunyai value for money kerana proses penilaian yang ketat melalui bengkel pengurusan nilai (value management lab) serta berkongsi pengurusan risiko projek (cost optimization) dengan syarikat yang melaksanakan projek tersebut.- HARAKAHDAILY 19/6/2014

Sumbere HD - 16-6-2014








Adik Shahrizat dapat konsesi bina UiTM - Rafizi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat hanya bermodalkan RM2 diberikan pegangan saham sehingga 29 peratus di dalam satu konsesi pembinaan kampus Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) yang bernilai RM1.5 billion.

Tentu Selesa Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat dengan saham terbitan hanya RM2 dikuasai oleh dua tokoh yang rapat dengan Umno.

Menurut Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, semakan SSM menunjukkan bahawa pengarah-pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah Datuk Shahrir Abdul Jalil dan Datuk Aidit Ghazali.

Semakan lanjut menunjukkan Shahrir adalah adik kepada Ketua Wanita Umno Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai yang kemudian digantung selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno pada tahun 2005 kerana didapati bersalah dengan amalan politik wang.

Katanya, Shahrir adalah pengarah kepada pemegang konsesi Inovatif Mewah Sdn Bhd yang mendapat konsesi penswastaan 23 tahun termasuk pembinaan, operasi dan penyelenggaran UiTM di Seremban III.

Tambah Rafizi, seorang lagi pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah Datuk Aidit merupakan Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati) sebuah NGO sayap kanan yang ditubuhkan oleh Datuk Hassan Ali selepas dipecat daripada PAS.

"Susun atur pemegang konsesi penswastaan UiTM ini menunjukkan bagaimana kroni kapitalisme digunakan di Malaysia untuk mengkayakan ahli-ahli politik yang rapat dengan Umno,"katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Jelas Rafizi model ini diguna pakai di dalam beberapa konsesi yang lain iaitu tokoh-tokoh Umno menjadi pemegang saham minoriti dan syarikat yang membina memegang saham selebihnya.

"Ia membayangkan seolah-olah syarikat yang dikawal oleh ahli politik mendapat pegangan kerana membuka ruang atau kabel politik untuk dianugerahkan satu konsesi lumayan sedangkan syarikat pembinaan menjalankan kerja-kerja pembinaan sebenar,"katanya.

Jawapan Perdana Menteri pada 10 April 2014 menunjukkan bahawa konsesi selama 23 tahun yang dianggarkan mencecah RM1.5 billion sepanjang tempoh konsesi ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat bernama Inovatif Mewah Sdn bhd.

Tiga syarikat mempunyai pegangan saham di dalam Inovatif Mewah iaitu Menang Development Sdn Bhd (51%), Menang Industri Sdn Bhd (20%) termasuk Tentu Selesa Sdn Bhd (29%). - HARAKAHDAILY 17/6/2014

YB RR - http://www.youtube.com/watch?v=XljqKJtFRWk

Sumber HD - 17-6-2014









Adun Umno dapat projek konsesi 23 tahun bina UiTM

SALMIYAH HARUN | .


Rafizi (kiri) pada sidang media di Parlimen pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno dianugerahkan projek konsesi bagi pembinaan Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) Pasir Gudang yang bernilai RM315 juta.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, perjanjian konsesi telah ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan Cosmic Dimension Sdn Bhd bagi membina universiti itu yang kemudian disewakan kembali kepada UiTM.

Katanya, semakan menunjukkan salah seorang pemilik saham utama Cosmic Demension Sdn Bhd ialah Adun Bertam, Shariful Azhar Othman.

"Beliau memegang sebanyak 1 juta saham Cosmic Dimension iaitu 20 peratus daripada jumlah keseluruhan saham (syarikat) pemegang konsesi tersebut.

"Bersama-sama seorang lagi pengarah dan pemegang saham utama iaitu Mohamed Rafik Mohd Idris (45% saham), Shariful mengawal secara majoriti Cosmic Dimension," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Tambahnya, kedua-dua rakan kongsi ini mempunyai perhubungan rapat melalui Yayasan Abadi yang ditubuhkan secara bersama.

"Shariful adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah sementara Rafik ialah Pengarah Urusan Yayasan Abadi," katanya.

Rafizi menegaskan, Perdana Menteri mengakui bahawa kos kampus UiTM tersebut adalah di antara RM280 juta hingga RM315 juta tetapi UiTM terikat dengan perjanjian konsesi selama 23 tahun dengan bayaran sewa RM56 juta hingga RM69 juta setahun.

Menurut Rafizi, semakan terkini pada 14 April 2014 dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedudukan aset syarikat tersebut hampir RM6 juta dan perolehan tahunan sebanyak RM150,000 sahaja.

"Saya bukan sahaja mempersoalkan kaedah penswastaan kampus cawangan UiTM yang diguna pakai oleh BN malah saya berpendapat latar belakang syarikat pemegang konsesi tidak menunjukkan kewangan yang kukuh dan pengalaman yang panjang dalam sektor pembinaan," katanya.

Perjanjian konsesi 23 tahun ini, jelas Rafizi akan membawa kesan kepada yuran dan perbelanjaan lain suatu hari nanti seperti mana perjanjian tol dan pengeluar tenaga bebas (IPP) telah mengekang kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan. - HARAKAHDAILY, 16/6/2014

Sumber HD - 16-6-2014

No comments:

Post a Comment