JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Monday, June 9, 2014

NGO - BADAN BERTINDAK PEMANDU TEKSI BERMETER


Sikap membisu SPAD terhadap sistem kupon teksi mengecewakan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sikap berdiam diri Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terhadap notis guaman bagi menuntut penjelasan berhubung penggunaan sistem kupon dalam industri teksi negara amat dikesali.

Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter, Amran Jan (gambar) berkata, beliau atas kapasiti pemandu teksi bermeter telah menghantar notis guaman bertarikh 6 Mei 2014 kepada Pengerusi SPAD, Tan Sri Abdul Hamid Albar.

Salinan notis guaman itu juga telah diberikan kepada Perdana Menteri, Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam.

Namun beliau kesal kerana setelah sebulan, tiada sebarang reaksi diterima daripada pihak-pihak terbabit.

Menurut Amran, sistem kupon yang dilaksanakan pengusaha teksi adalah membebankan serta mengelirukan penumpang tempatan dan juga asing seterusnya memberikan imej buruk terhadap mutu perkhidmatan teksi negara.

"Saya juga beranggapan bahawa sistem kupon ini tidak selari atau bercanggah dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan perkhidmatan teksi mengunakan kadar tambang meter.

"Saya yang telah menjadi pemandu teksi selama 10 tahun, merasa amat kecewa kerana setelah sebulan lebih berlalu namun Pengerusi SPAD kekal mengambil pendekatan berdiam diri serta gagal memberi sebarang maklum balas terhadap tuntutan ini," ujarnya.

Menurut Azlan, isu sistem kupon ini hangat diperdebatkan bermula tahun 2010, namun tiada mana-mana pihak khususnya SPAD, menyatakan dengan jelas peraturan atau akta yang membenarkan pengunaannya.

Menurut beliau, jika adapun penjelasan daripada SPAD, ianya lebih bersifat dolak-dalik serta bias kepada kepentingan pihak tertentu.

"Saya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh pihak SPAD sehingga dilihat begitu sukar untuk memberikan jawapannya?

"Adakah SPAD tidak diperuntukkan bidang kuasa untuk mencampuri urusan perniagaan ‘Sistem Kupon’ yang diketahui umum operatornya adalah pihak pengusaha teksi?" soal beliau.

Amran menambah, perkhidmatan teksi negara dari dahulu sehingga kini didominasi syarikat penguasaha teksi yang melaksanakan sistem kupon berbanding sistem meter.

"Siapakah sebenarnya yang berkuasa di dalam industri teksi negara, SPAD atau persatuan pengusaha teksi," soal beliau.

Menurutnya, jika SPAD tidak berupaya berfungsi sebagai badan yang mengawal selia serta menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam negara khususnya teksi, adalah wajar untuk agensi itu dibubarkan.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Amran berkata perkhidmatan teksi negara wajar diseragamkan dengan penggunaan sistem bermeter berbanding sistem kupon yang mengelirukan.

Menurutnya, apabila sistem kupon dan sistem bermeter dilaksanakan serentak, ia menimbulkan rasa tidak puas hati penumpang ekoran haga tambang yang dikenakan berbeza.

"Pemandu teksi juga mengambil kesempatan mengambil kupon di waktu yang menguntungkan sahaja dan mengelak waktu puncak tatkala berlaku kesesakan jalan raya.

"Itu sebab apabila tiba waktu puncak, jarang kelihatan teksi menggunakan sistem kupon beroperasi," katanya.

Pengguna teksi juga, tambah beliau tertanya-tanya mengapa perlu membeli kupon sedangkan teksi yang mereka naiki mempunyai meter.

"Para pelancong asing juga lebih berminat kepada teksi bermeter berbanding kupon," katanya.

Kekeliruan yang berlaku ekoran penggunaan sistem kupon, ujarnya mengakibatkan kepercayaan umum terhadap perkhidmatan teksi terjejas. - HARAKAHDAILY, 9/6/2014

Sumber HD - 9-6-2014

No comments:

Post a Comment