JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Monday, June 9, 2014

AMEERAH


BLOG BERKAITAN - tamansriraya.blogspot.com


Ameerah Kedah gesa kerajaan bantu penoreh getah

Aina Nabilah Bukhori | .

AKHBAR Berita Harian bertarikh 1 Januari 2014 melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr Salmiah Ahmad bahawa produk getah akan terus menjadi penyumbang utama kepada industri dari segi pendapatan eksport yang dijangka mencecah RM 40.5 bilion pada tahun 2014.

Akhbar tersebut turut melaporkan bahawa industri getah negara dijangka kekal berdaya tahan tahun ini didorong pendapatan eksport yang lebih tinggi khususnya bagi produk getah serta permintaan lebih sarung tangan getah.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia itu memaklumkan bahawa bagi sektor barangan getah, kira-kira 25 peratus daripada jumlah eksport Malaysia memasuki pasaran Amerika Syarikat dan jumlah peratusan yang sama ke negara Kesatuan Eropah khususnya Jerman dan United Kingdom.

Dengan laporan positif seperti ini, adalah amat mengejutkan apabila harga getah didapati rendah dan semakin rendah dari masa ke masa. Difahamkan bahawa harga getah di pasaran pada bulan Januari 2014 ialah RM2.90/kg, pada bulan Februari merosot kepada RM2.50/kg manakala pada bulan Mac turun lagi kepada RM2.40/kg dan sehingga 20 April 2014 harga getah terus menjunam kepada hanya RM1.80/kg.

Sepatutnya harga getah semakin meningkat seiring peningkatan permintaan terhadap produk getah. Sungguh ironi apabila situasi sebaliknya pula berlaku.

Masalah penurunan harga getah ini merupakan musibah yang besar kepada golongan penoreh getah, dan sehingga kini kelihatan belum ada penyelesaian yang konkrit dan efektif bagi membantu mereka.

Ameerah Kedah memandang isu ini sebagai isu yang serius memandangkan golongan penoreh getah ini merupakan rakyat Malaysia yang menyumbang kepada hasil pendapatan negara.
Oleh itu, masalah yang menimpa mereka haruslah dianggap sebagai masalah negara dan dicari jalan penyelesaiannya dengan kadar segera.

Ameerah Kedah menggesa Kerajaan Malaysia agar tidak hanya mengambil berat tentang nasib golongan bawahan pada musim pilihan raya sahaja kerana penderitaan rakyat tidak seharusnya dimanipulasi untuk kepentingan politik.

Kerajaan yang bijak dan prihatin seharusnya mampu untuk menjelaskan punca kepada masalah ini serta mekanisme penyelesaian yang relevan. Malangnya rakyat gagal melihat komitmen kerajaan bagi menyelesaikan isu ini.

Seandainya Kerajaan Malaysia mampu memberikan komitmen yang tinggi bagi pelaksanaan GST pada tahun 2015 yang bakal memerah duit rakyat, seharusnya Kerajaan juga harus mampu memberi komitmen yang sama dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Adalah memalukan bagi sebuah Kerajaan yang hanya bersungguh-sungguh dalam memerah keringat rakyat, tetapi membisukan diri dalam soal membantu rakyat.

Justeru itu Ameerah Kedah mengingatkan Kerajaan Malaysia tentang amanah kepimpinan yang dipikul di mana amanah tersebut haruslah dijalankan sebaik-baiknya.

Tanggung jawab membela golongan yang susah dan lemah adalah termasuk dalam tuntutan amanah tersebut dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Oleh itu, Ameerah Kedah menggesa Kerajaan Malaysia bertindak segera melaksanakan amanah ini.

Aina Nabilah Bukhori
Pengerusi Ameerah Negeri Kedah

Sumber HD - 9-6-2014

No comments:

Post a Comment