JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Saturday, June 21, 2014

MINDA LUTFI (JILID 2)

Mengapa Prof Redzuan perlu dipecat?

AHMAD LUTFI OTHMAN | .
APABILA berita tersebar pada 30 Jun lalu tentang pemecatan (saya kira istilah ini lebih tepat berbanding perletakan jawatan) Prof Dr Mohd Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel), ia bukan lagi khabar mengejutkan.

Desas-desus Dr Redzuan tidak digemari Kementerian Pendidikan (dahulunya Kementerian Pengajian Tinggi) -- berpunca daripada rumusan kajian yang dianggap tidak memihak elit pemerintah menjelang pilihan raya umum paling kritikal -- juga bukan lagi perkara baru.

Beliau bernasib baik kerana berketuakan naib canselor, ketika itu Prof Tan Sri Dr Ghauth Jasmon, yang cukup memahami dan menyokongnya; lagipun penubuhan UMcedel diluluskan oleh Senat Universiti, petanda tidak mudah untuk dibubarkan meskipun ada pihak atasan tidak menyenanginya.

Sejurus selepas keputusan PRU13, pernah beliau dipanggil menghadap Lembaga Pengarah Universiti Malaya, yang dipengerusikan Tan Sri Arshad Ayub, 85 tahun (Dr Redzuan ditolak kononnya disebabkan faktor usia dan akan bersara tahun depan,)

Sebelum sempat menjelaskan kedudukan UMcedel, profesor sejarah yang pernah mendapat anugerah pensyarah cemerlang selama 11 tahun berturut-turut dan dekan terbaik pada 2012, bagaikan diherdik. (Apa pun Dr Redzuan dapat menghuraikan kekeliruan kepada anggota lembaga pengarah dan khabarnya Arshad turut berpuas hati serta menjemputnya makan tengahari bersama mereka!)

Puncanya, kajian UMcedel menjelang PRU13 tidak menyenangkan Putrajaya, dan mungkin juga berkaitan populariti BN dan Pakatan Rakyat, termasuk Najib Razak dan Anwar Ibrahim. Sepatutnya pemimpin tertinggi BN mengambil iktibar dan pengajaran daripada kajian berdasarkan metodologi saintifik itu, serta berusaha melakukan penambahbaikan.

Sebelum itu, pada 19 Februari 2013, forum politik anjuran UMcedel, terpaksa dibatalkan susulan arahan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pengajian Tinggi. Ahli penal yang diundang nampak seimbang; Husam Musa (PAS), Nurul Izzah Anwar (KeADILan), P Kamalanathan (MIC) dan Saifuddin Abdullah (Umno).

Bagaimanapun, komposisi penalis itu termasuk Saifuddin sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi masih tidak dapat menghalang sikap bebal dan angkuh PMO dan KPT.

Mengenali Dr Redzuan sejak 25 tahun lalu saya kira sosoknya sejak awal merupakan seorang ahli akademik sejati, biarpun beliau juga aktivis gerakan Islam, melalui pembabitan aktifnya dalam ABIM.

(Ketika itu saya baru bertugas di Harakah dan dilantik Setiausaha Lajnah Penerangan dan Dakwah Pemuda PAS Pusat, dan sedang mencari bahan-bahan berkaitan bekas Timbalan Presiden PAS, Zulkifli Muhammad. Kebetulan Dr Redzuan pernah membuat kajian akademik mengenai tokoh hebat PAS itu).

Rekodnya dalam ABIM cuba dimanipulasi pihak yang tidak menyenangi beliau, terutama untuk mengaitkan beliau dengan Anwar, bekas Presiden ABIM. Tujuannya jelas, iaitu mempertikai tahap profesionalisme Dr Redzuan, sekali meragui kajian-kajian politik UMcedel.

Sedangkan, saya yakin beliau lebih rapat dengan pemimpin-pemimpin Umno yang dikira segenerasi dengannya, misalnya Menteri Besar Perak, Dr Zamry Abd Kadir. Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan turut menafikan dakwaan Dr Redzuan bersikap berat sebelah hanya kerana dilihat rapat dengan pembangkang.

"Kenapa tidak melihat Prof Redzuan ini rapat dengan Dato' Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan dan merupakan rakan baik kepada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Dato' Shahlan Ismail," kata Amidi.

Saya perhatikan, Dr Redzuan sedaya mungkin mengelak daripada terjebak dalam kontroversi atau polemik yang tidak perlu bagi seorang ahli akademik. Kajian anak didiknya di UMcedel bukan saja dicemuh BN tetapi juga pernah diremehkan pimpinan Pakatan Rakyat sendiri.

Namun beliau cukup terbuka berdepan situasi itu serta bersedia mempertahankan kajian Umcedel. Dan ketika berbicara dengannya, Dr Redzuan agak kerap melontarkan teguran atau pandangan kritisnya terhadap pembangkang,

Mudah untuk diwawancara, terutama mengenai bidang pengkhususan beliau berkaitan perkembangan politik Timur Tengah, paling akhir tentang situasi kemenangan dan kejatuhan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Apa yang menarik, Dr Redzuan begitu teliti dengan ketepatan fakta dan bersedia untuk mengedit dengan cermat kandungan interbiunya. Jika tidak mempunyai informasi lengkap tentang isu yang dilontarkan, beliau menyarankan agar ditanyakan kepada pihak lain.

Ya, pemecatannya daripada UMcedel (dia sepatutnya berkhidmat sehingga hujung tahun ini berdasarkan surat perlantikannya pada 28 Disember 2013 bagi tempoh 2 Januari 2014 hingga 31 Disember 2014) adalah satu tragedi hitam dalam dunia akademik yang semakin dinodai kebebasannya.

Malah, proses pemilihan secara demokratik Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial yang disandangnya selama lima tahun juga menimbulkan banyak tanda tanya. Saya kira sebagai ahli akademik terbilang, Dr Redzuan bukannya memburu jawatan pentadbiran itu, tetapi jika pemilihannya sudah dibuat berdasarkan suara ramai, mengapa tidak boleh dihormati?

Daripada empat calon, beliau terbukti mendapat undi paling tinggi, malah diminta bersama dua yang lain untuk mengemukakan pelan atau cadangan jika terpilih dekan. Jika faktor umur dan persaraannya menjadi penentu, mengapa sejak awal pencalonannya tidak pula ditolak?

"Saya yakin beliau mendapat lebih 100 undi daripada kira-kira 140 kakitangan akademik yang ada," kata sumber Universiti Malaya kepada Malaysian Insider di samping mempertikaikan mengapa jumlah undi tidak pernah diisytiharkan.

Dan, bagi saya, pihak naib canselor mahupun kementerian boleh saja membuat keputusan sendiri untuk memilih siapa yang digemari bagi mengisi jawatan dekan, sepertimana dahulu, tetapi seeloknya batalkan saja proses pemilihan secara demokratik itu.

Dalam laporan portal berita itu, 5 Julai lalu, Dr Redzuan memecahkan kebisuan dengan menegaskan beliau tidak meletakkan jawatan sebagai Pengarah UMcedel tetapi dipecat.

Sebelumnya, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut mendedahkan bahawa dalam pengetahuannya berlaku campurtangan kementerian berhujung kedudukan Redzuan dalam UMcedel.

"Saya tahu perkara ini sejak awal. Saya tahu Prof Redzuan dipanggil pengurusan universiti dan beliau dimaklumkan Kementerian Pendidikan tidak begitu gembira dengan beliau dan diminta meletakkan jawatan," katanya.

Saifuddin berkata, beliau kemudian mendapatkan pengesahan daripada Naib Canselor UM mengenai hal itu.

"Sepanjang pengetahuan saya, Naib Canselor dihubungi seseorang daripada kementerian dan mesejnya adalah Redzuan tidak perlu terus memegang jawatan pengarah UMcedel," katanya.

Putrajaya mahu menyampaikan mesej jelas: Tiada tolak ansur atau sifar toleransi terhadap penjawat awam -- apatah lagi yang mempunyai integriti dan pengaruh besar seperti Dr Redzuan -- yang bersedia untuk berkata tidak kepada penguasa, jika itu yang dirumuskan kajian akademik dan penelitian ilmu.

Jika Universiti Malaya yang masih dianggap mempunyai sisa-sisa kecemerlangan berbanding kampus lain, turut tercemar teruk dengan kes pemecatan Dr Redzuan daripada UMcedel, maka apa lagi makna kebebasan akademik di negara ini?

Mampukah warga kampus terutama para pensyarah, meluahkan kejengkelan mereka? (Mahasiswa, melalui Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya sudah "menunjukkan perasaan" mereka dalam demonstrasi dan perarakan, bermula pintu masuk kampus sehingga bangunan Canseleri, selepas solat Jumaat, 4 Julai lalu).

Apakah semuanya -- termasuk kajian politik di universiti -- mahu ditundukkan di bawah kehendak pemerintah yang jelas semakin tidak popular itu? Pembaharuan yang cuba dibawa Saifuddin Abdullah, semasa di KPT, seolah-olah tidak memberi apa-apa impak positif.

Akta Universiti mungkin boleh dipinda tetapi mentaliti kelas ketiga elit penguasa dan sikap mengampu pegawai kanan kementerian-IPTA hanya akan terus memastikan bukan saja ranking universiti menjunam, malah martabat ilmuannya semakin merosot.

Rakan saya, Dr Mohamad Agus Yusof menulis dalam akaun FB: "... saya fikir betul juga dakwaan tentang kebebasan akademik kita disekat. Apatah lagi, saya juga tahu ramai pemimpin kerajaan yang dahagakan hanya pujian dan benci pada teguran dan kritikan, biarpun teguran itu hanya sekadar pandangan yang berbeza."

Sumber HD - 5-7-2014

'Ya, gaji menteri kita bukan besar sangat'

AHMAD LUTFI OTHMAN | .

Walaupun ada kiraan kasar bahawa kerajaan terpaksa tanggung kos RM10 juta setahun untuk Kabinet selepas anggotanya ditambah kepada 35 orang (timbalan menteri, 27), bagi saya, itu bukanlah isu besar. Ada persoalan lain yang lebih mendesak, yang perlu didebatkan secara terperinci, jika kita bicara soal menguruskan dana negara.

Secara relatifnya gaji menteri di Malaysia, termasuk perdana menteri bukanlah besar sangat. Rasanya jika dirujuk rakan-rakan sejawat negara jiran pun -- apatah lagi Singapura yang menawarkan gaji hampir setara dengan kemudahan pihak swasta -- kita tidaklah setinggi mana. Mungkin lebih kecil berbanding menteri besar dan anggota kabinetnya di Selangor, 'kan? Malah, elaun ahli-ahli Parlimen dan Adun jauh daripada mencukupi.

Tetapi, isu yang tidak perlu dipolemikkan lagi adalah saiz Kabinet kita. Ia memang terlalu besar, XXXXL, satu pembaziran paling ketara, tepat seperti perumpamaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, "begitu membusung". Katanya, tidak munasabah jika dibandingkan negara berpenduduk lebih besar tetapi mempunyai 23 menteri, seperti United Kingdom (63 juta rakyat), Amerika Syarikat (313 juta), dan India (1.1 bilion).

"Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri akan sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional MCA kepada MCA, bagaimanapun ini tidak berlaku, malah berbanding mengurangkan anggota Kabinet Umno, Najib memilih untuk menambah menjadi 35 orang," ujar Ketua Menteri Pulau itu.

Di Malaysia, jawatan menteri dikejar bukan kerana gaji dan elaun rasmi. Keghairahan memburunya berpunca daripada gamitan pengaruh dan kuasa, yang disusuli peluang meraih pendapatan lumayan. Bukankah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian Hashim pernah membidas Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AS sendiri mungkin cemburu dengan kuasa tidak terbatas Perdana Menteri Malaysia?

"Sebab itu, berbeda dengan negara-negara tertentu lain, menterinya mudah meletakkan jawatan jika berlaku sebarang krisis atau masalah di bawah potfolio masing-masing," kata seorang pensyarah sains politik ketika kami berbual mengenai integriti anggota Kabinet.

"Puncanya, bukan saja soal integriti, tetapi jawatan Kabinet di negara mereka tidak menawarkan begitu banyak kemudahan seperti di Malaysia. Mungkin gaji tinggi, tetapi kuasa terbatas dan sentiasa dipantau. Sukar untuk manipulasi," tekannya lagi.

Kolumnis Lim Hong Siang, ketika saya bertanyakan hal gaji Kabinet yang membusung, membalas: "Ada orang kata, gaji menteri-menteri bukan 0.004 peratus daripada bajet negara, tetapi gaji rasmi itu adalah 0.000 peratus daripada pendapatan sebenar mereka."

Dalam pertemuan dengan Dato' Seri Dr Rais Yatim, ketika itu Timbalan Presiden Semangat 46, sekitar tahun 1997, saya sebagai pengarang majalah Tamadun, tertarik dengan ungkapannya: "Satu lorekan mata pena (tandatangan) PM, menteri mahu pun menteri besar, boleh menjadikan seseorang itu sebagai jutawan dalam sekelip mata."

Dan beliau menekankan agar sistem kuasa kita -- yang memberikan banyak kelebihan kepada pihak eksekutif, termasuk untuk campur tangan dalam kehakiman, apatah lagi dalam dunia dagang -- mesti dirombak. Dalam masa sama, institusi penting, yang bertindak sebagai semak dan imbang, misalnya Parlimen dan media, harus diperkukuhkan. Malangnya hingga kini, malah selepas Rais sekali lagi bersara dari menteri, monopoli elit pemerintah itu berterusan.

Kepada pemimpin Umno, apalah ada pada elaun sekitar RM20-30 ribu itu. "Untuk mengikat kesetiaan ahli-ahli Umno dalam sebuah bahagian saja, wang RM30,000 terlalu kecil," dedah seorang calon Naib Ketua Pemuda Bahagian di Kedah yang mahu bertanding jawatan itu, hampir 20 tahun lalu.

"Dengan gaji menteri sekarang, bagaimana mungkin mereka boleh beli kereta mewah anak bernilai jutaan ringgit, miliki rumah puluhan juta, menaja pengikut tegar melancong ke luar negara, membeli sokongan, juga mengugut, dengan politik wang?" tanya seorang rakan, ahli perniagaan yang pernah rapat dengan seorang Exco Kanan (Umno) Kerajaan Negeri.

Dan dia pernah menaja penginapan dan makan-minum hampir RM800,000 untuk para perwakilan semasa pertandingan ketua bahagian Umno. Ya, itu hanya peringkat ketua bahagian, dan kita boleh bayangkan berapa pula yang nilainya untuk membeli undi dalam pemilihan, naib presiden misalnya.

Kuasa menganugerahkan projek-projek besar, khususnya tanpa tender terbuka, atau melalui penyamaran tender terpilih, memastikan hubungan intim antara elit penguasa dengan kalangan korporat terus menyuburkan politik wang, yang menghanguskan kantung negara.

Apabila PM (juga Menteri Kewangan) ataupun TPM. mahukan kroninya -- walaupun dengan kos tidak munasabah dan tiada pengalaman meyakinkan -- mendapat habuan menerusi projek mega, siapa dapat menghalang? Wibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan juga badan kehakiman, serta tidak terkecuali kebebasan Audit Negara, terus dipersoalkan, walaupun dikatakan sudah melalui proses transformasi.

Semakin ramai menteri dilantik (sebelum PRU13 ada 29, selepasnya 32 dan kini 35), maka tambah banyak lagi hulubalang serta jeneralnya yang "tumpang sekaki". Berduyun-duyun mahu turut mengikuti rombongan "lawatan kerja", terutama untuk makan angin percuma. Dan setiap penglima atau leftenan itu mempunyai anak buah tersendiri, juga perlu "disantuni".

Dari sisi lain, pembesaran -- bukannya rombakan -- Kabinet Najib Razak menunjukkan Presiden Umno itu langsung tidak bersedia untuk melakukan perubahan bagi manfaat rakyat. Beliau lebih memikirkan kepentingan politik dan popularitinya, terutama untuk terus memantapkan sokongan dalam Umno.

Menteri yang buruk prestasinya, dan sering memperbodohkan rakyat, terus dikekalkan. Sebelum PRU13, JPM mempunyai lima menteri (tidak termasuk Najib dan Muhyiddin Yassin), lapan selepas pilihan raya dan sekarang 10. Apakah bebanan kerja lima menteri awalnya itu terlalu berat hingga erpaksa diagihkan kepada lima yang dilantik kemudiannya? Aduhai.

"Cuba kita bayangkan, andai kata ada parti pembangkang bersedia sertai BN, sudah pasti anggota Kabinet kita senang-senang bertambah jadi 40 orang, 'kan?" usik seorang pembaca Harakah. "Dan potfolio baru itu mudah dicipta, atau lantik saja sebagai Menteri di JPM."

"Walaupun sudah terlalu ramai menteri, Najib masih tidak bersedia lepas Perbendaharaan atau lantik Menteri Kewangan sepenuh masa bagi tangani cabaran sengit ekonomi sekarang. Dia tak mahu lepaskan post paling berkuasa untuk terus mengawal parti," tambahnya.

Umumnya, saya kira rakyat dapat menerima wakil parti-parti komponen lain dalam Kabinet, termasuk MCA dan Gerakan. Mungkin ia elok juga jika dilihat daripada sudut keseimbangan kaum dan penyertaan lebih menyeluruh.

Soalnya, Najib patut memilih rombakan -- dan bukannya pembesaran -- Kabinet. Paling kurang tiga menteri Umno wajar digugurkan bagi memberi laluan kepada rakan-rakan MCA dan Gerakan. Dan bukannya susah pun, ramai "tunggul-tunggul mati" dalam Kabinet,'kan?

Sumber HD - 30-6-2014

Riuh-rendah kisah Firdaus akan segera berakhir...

AHMAD LUTFI OTHMAN | .

Seorang ibu tua, umur mendekati 70 tahun, kematian suami lebih dua dekad lalu, menghidap pelbagai penyakit kronik, mempunyai tiga anak cacat (OKU), dua daripadanya langsung tidak mampu menguruskan diri.

Kedua-duanya terganggu mental, seorang sejak dilahirkan dan seorang lagi selepas kemalangan jalan raya. Yang seorang ini boleh saja bertindak ganas secara tiba-tiba, termasuk terhadap emaknya sendiri.

Sepatutnya, ketika dihimpit keuzuran pada usia emas, ibu tua ini yang perlu dirawat dan disantuni, tidak seharusnya lagi menguruskan karenah anak-anak yang begitu memenatkan. Mahu sebentar keluar rumah pun harus pastikan dulu anak-anak cacat ini

Apakan daya, anak-anak yang lain juga dibebani masalah tersendiri. Alhamdulillah, ada juga anak yang sedia duduk sebumbung, menampung rumah sewa dan belanja seharian, ala kadar. Dan ibu tua cukup memahami perasaan si anak budiman ini, yang pastinya tidak mudah menjalani kehidupan seharian dalam situasi itu.

Dalam keadaan berjalan pun terketar-ketar, mata kabur teruk akibat pendarahan diabetik, dia harus terus -- dengan sabar, dedikasi dan penuh kasih sayang -- memelihara anak-anak OKU, jantung hatinya. Tidak pernah merungut, apatah lagi mengeluh atau membayangkan keresahannya memikul amanah Ilahi.

"Makcik beruntung sebenarnya, tiga anak makcik itu bakal ahli syurga tanpa hisab, mereka akan menunggu di pintu jannah nanti, insya-Allah, asalkan makcik tetap reda dengan ujian ini," kata-kata jirannya mengubat hati dan melapangkan dada.

Seorang daripada anaknya itu, melewati usia 40-an, sukar melangkah ekoran masalah tulang pinggul selepas jatuh dan hanya terbaring lemah. Penglihatannya juga samar-samar, mesti dituntun dan dipapah. Kadang-kadang kencing berak bersepah. Ya, perlukan pengawasan hampir 24 jam, 7 hari seminggu. Ia mengingatkan saya tentang kegigihan aktivis Ronasina (Mohd Affandi Ramli) dan isterinya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, yang berkorban segalanya untuk dua anak cerebral palsy.

Apa pun, ibu tua ini tetap mementingkan kebersihan. Tiada kompromi. Yang diutamakan, suci daripada najis. Mudahnya, boleh solat di mana saja dalam rumah sempitnya. Dengan keuzuran yang makin ketara, dia tetap tampak bersahaja melalui hidup seharian, biarpun berdepan penat lelah, sekurang-kurangnya untuk memastikan kediaman bebas daripada waswas kekotoran.

Namun, sebagai insan biasa, jiwanya sering berperang. Reda dengan ketetapan Tuhan tetapi keyakinannya sesekali turut goncang terutama apabila keseorangan menanggung keperitan. Anak yang cacat mental tapi masih tegap ke sana-sini, sentiasa menagih wang, terutama untuk bekalan rokok dan minuman di restoran mamak berdekatan.

Pernah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat. Tetapi, apabila sering berpindah-randah, bertukar alamat, namanya kemudian tercicir daripada senarai. Cuba memohon semula tetapi pelbagai soalan diasak; lebih pedih apabila terpaksa berdepan sindiran pedih.

Bagi ibu tua, kesusahan tidak bermakna mesti dizahirkan dengan keadaan selekeh dan kusut-masai, hanya dengan tujuan untuk menagih simpati. Penampilannya sentiasa kemas, berjubah dan berjilbab labuh. Dia pantang sama sekali sengaja menghina diri, demi mengharapkan bantuan.

"Makcik ni segak aja, pakaian pun kemas, tak nampak macam orang susah," pernah dia disindir seorang kerani ketika membawa borang bantuan. "Biar permohonan aku tak lulus, untuk merayu-rayu, apatah lagi mengemis, itu bukan tabiat aku," tegasnya.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Bertindan-tindih masalah silih berganti. Memang tepat perumpamaan Melayu itu. Bukan saja buat ibu tua ini, tetapi ramai lagi yang dirundung malang. Tiada bahu tempat menyandar ketika susah. Tiada telinga sudi mendengar luahan hati.

Tidak kurang yang mencebik bibir terutama melihat tingkah-laku anaknya yang kadang-kala nampak tidak sopan dan menjolok mata. Ya... orang yang terencat akal, mana tahu segan dan malu, 'kan? Lebih menyedihkan, tidak kurang yang mendakwa dia ditimpa azab atas kesalahan dan dosanya masa lalu.

Tambah pilu, ada pihak mengambil kesempatan, menjadi mangsa penipuan berulang kali. Secara semulajadi, dalam posisi terdesak itu, mereka mudah meletakkan kepercayaan dan menggantung harapan walaupun menyedari peluang untuk menjadi mangsa muslihat licik begitu tinggu.

Anda tidak perlu menjelajah ke pelosok paling dalam untuk mencari mereka. Mungkin saja jiran, kenalan atau melalui khabar yang anda perolehi daripada media. Sudahlah fakir, menanggung anak cacat, ketua keluarga pula uzur, berulang-alik ke hospital.

Lebih perit, mereka seperti keseorangan menanggung beban. Ada di antara ibu terbabit ditinggalkan suami dan terpaksa mencari nafkah sendiri. Bukan tiada kemudahan disediakan pihak berkuasa -- meskipun diakui jauh daripada memadai -- tetapi sebahagiannya tiada akses, atau jahil mengenainya. Sukar keluar daripada "lingkaran setan".

Laporan Sinar Harian, 25 Jun lalu, mengingatkan saya dengan nasib ibu tua tadi. Hampir sama keadaan mereka. Ibu tunggal, Mariam Abdul Kadir, 67, cekal menguruskan tiga anak istimewanya (OKU lembam) sejak kematian suami, Kamaruddin Zainal Abidin, pada Mei 2010.

?Anak-anak ini permata hati makcik. Mereka saham akhirat saya ...," kata Mariam. Bagaimanapun cabaran dalamannya juga hebat. Mariam mengakui, jika duduk termenung, terngiang-ngiang bisikan iblis menggodanya supaya bertindak kejam ke atas anak-anaknya itu.

?Bisikan itu seolah-olah mengejek makcik kerana memiliki anak-anak OKU dan ada yang menyuruh makcik beri racun sahaja kepada anak-anak.

?Malah, bisikan itu terus menggoda makcik supaya tidak mengikut nasihat alim ulama atau ustaz-ustaz yang banyak memberikan nasihat kepada makcik untuk lebih sabar menjaga anak-anak OKU ini.

"Setiap kali bisikan itu datang, makcik akan ambil wuduk dan menunaikan solat memohon pertolongan Allah untuk mengurniakan kesihatan buat makcik bagi menguruskan anak-anak," kata Mariam, seperti dilaporkan Sinari Harian.

Justeru, apabila Selebriti Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot diberitakan menyelar kerajaan kerana gagal memberi bantuan secukupnya kepada keluarga anak OKU (cerebral palsy), Muhammad Firdaus Dullah, 15 tahun, yang ditemui kurus-kering dalam bilik terkurung penuh najis di flat Taman Semarak, Nilai, saya kira isu menggemparkan ini harus dilihat dalam perspektif lebih menyeluruh.

Memang mudah menyalahkan ibu Firdaus dan juga ayah tirinya, tetapi kes tersebut wajar membuka mata seluruh anggota masyarakat, terutama elit penguasa.

Wardina membandingkan layanan negara "kafir" terhadap keluarga OKU dengan Malaysia.

Beliau memberi contoh, Australia, di mana ibu bapa yang mempunyai anak OKU diberikan pelbagai peruntukan seperti elaun bulanan selain dapat menjalani sesi terapi dengan percuma.

Katanya, seperti dilaporkan Malaysian Insider, yang memetik laman Instagramnya, dengan segala kemudahan yang diberikan Australia kepada golongan demikian membuktikan betapa kerajaan negara itu memahami kesukaran dan kesulitan ibu bapa membesarkan anak OKU.

?Malah kawan saya mempunyai anak OKU, kedua-dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anaknya yang OKU. Anak OKU dihantar terapi secara percuma. Dihantar ke sekolah OKU berkualiti dengan percuma dan ibu bapa diberi cuti percuma setiap tahun."

Pihak kerajaan tentunya bingkas menafikan teguran Wardina. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rohani Abdul Karim berkata, kenyataan terbabit tidak berasas sama sekali kerana pihaknya sangat mementingkan kebajikan golongan berkenaan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan.

"Lihatlah selepas empat hari penemuan remaja itu, dia dibantu dan dibela kerana pihak kami sangat mementingkan kebajikan OKU,? katanya dalam sidang media selepas melawat Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, sambil menekan ibu Firdaus juga tidak pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Memang ada bantuan, termasuk kewangan secara bulanan, tetapi ia bukan saja jauh daripada mencukupi, malah agak sukar memperolehinya, sehinggakan menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat, dan turut membuatkan ada keluarga terbabit yang langsung tidak membawa anak mereka ke JKM.

Walaupun lebih ramai ibu bapa yang tidak mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak OKU, seperti ibu tua di atas dan Mariam Abd Kadir, tetapi bebanan mereka harus diringankan, terutama melalui dasar dan polisi kebajikan yang holistik.

Mungkin saja memerlukan menteri khusus -- bukan lagi Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat -- yang memberikan tumpuan kepada OKU. Lagi pun, bukankah Menteri di Jabatan Perdana Menteri begitu ramai sekarang?

Ya, hari ini kita riuh-rendah berbicara mengenai Firdaus, terutama apabila terbayang rakaman televisyen yang sebenarnya tidak beretika itu, tapi percayalah, tanpa menunggu lama, isu ini akan segera hilang apabila timbul isu-isu panas yang lain, yang menunggu masa untuk memalingkan perhatian masyarakat.

Maka, tinggallah keluarga terbabit meneruskan kehidupan sendiri .... Orang seperti ibu tua dan Mariam tadi, juga kanak-kanak yang senasib dengan Firdaus tidak lagi dipedulikan.

Sumber HD - 27-6-2014




Pemberani Jamhuri, Fadhil dan Aslam

AHMAD LUTFI OTHMAN | .

Khabar menyedihkan. Juga mengejutkan. Dua aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berdepan prosiding tatatertib buat kali kedua pada 27 Jun ini.

Angkara Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), yang terbukti terus menekan dan mengongkong meskipun digembar-gemburkan (termasuk dalam program transformasi politik Najib Razak) peraturan itu telah dipinda bagi memberi kebebasan buat mahasiswa. Karut!

Mereka baru saja dihukum pada 26 Mei lalu -- Muhammad Fadhil Abdul Ghani digantung pengajian dan Jamhuri Mohamed dibuang asrama -- atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran pihak universiti.

Kes terbaru ini, khusus buat Jamhuri, juga berkaitan, dengan isu terdahulu, iaitu bantahan pelajar terhadap premis perniagaan mereka yang dirampas pihak universiti. Saya sendiri tidak pasti mengapa kedai mahasiswa itu, yang dikendalikan oleh sekretariat masjid kampus, begitu "digeruni".

Punca Pengerusi Pro-Mahasiswa UMSKAL ini diseret sekali lagi adalah ekoran kenyataan medianya yang disiarkan Harakahdaily, yang didakwa telah memudaratkan nama baik Pengarah UMSKAL, Dr Ismail Ali.

Dalam tulisannya, Jamhuri menyifatkan peruntukan Seksyen 16 Auku memberikan kuasa mutlak kepada ketua pengarah bagi sesebuah universiti untuk membuat sebarang keputusan. (Ya, kata kuncinya "kuasa mutlak", mengikut tafsiran sendiri).

"Kuasa mutlak inilah yang sering disalahguna oleh pemimpin universiti seperti Pengarah UMSKAL untuk membuat keputusan kuku besi sekali gus mengetepikan kepentingan mahasiswa sebagai kumpulan akar umbi dalam universiti," kenyataan Jamhuri dipetik.

Lebih menggemparkan, pada Jumaat, 12 tengah malam, disedari bilik penginapan asrama Jamhuri telah dipecah masuk dan bangkai ayam diletak atas katil, serta mesej ugutan, "berambus bodoh", diconteng di dinding. Budaya politik rimba yang menular di luar kampus kini menjalar ke kampus Labuan.

Manakala Fadhil, rakan sekursus dengan Jamhuri, iaitu pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa, dituduh menganjurkan perhimpunan haram, iaitu mengadakan mesyuarat bagi memilih kepemimpinan untuk Pro-Mahasiswa di kawasan terbuka, iaitu kafeteria. (Pilihan raya untuk mengundi pemimpin pelajar dalam kelompok sendiri pun salah).

Bagi memastikan anda lebih jelas dengan tuduhan bebal (sebenarnya karut-marut) itu, saya perturunkan pertuduhan penuh Fadhil yang dikeluarkan Bahagian Perundangan dan Tatatertib, Jabatan Pendaftar UMS:

"Adalah kamu melalui surat bertarikh 24 April 2014 dengan tajuk "Surat Pemakluman Aktiviti Pilihan Raya Kecil Mahasiswa 2014" yang ditujukan kepada Pengarah UMSKAL Datelah dengan apa-apa cara terlibat dalam melakukan apa-apa perbuatan untuk mengadakan atau menganjurkan atau memanggil apa-apa perhimpunan yang lebih daripada lima orang dalam mana-mana bahagian kampus. Perbuatan kamu ini adalah tanpa kebenaran terdahulu Naib Canselor dan ini merupakan satu kesalahan tatatertib di bawah Kaedah 9(1) Kaedah-kaedah UMS (Tatatertib Pelajar-Pelajar 1999) Auku 1971 ...."

Meneliti Auku, Akta 174 (bagi UiTM) dan kaedah-kaedah tatatertib universiti, jelas tergambar begitu terkongkong sekali kehidupan warga kampus, anak-anak muda terpelajar. Seolah-olah segala-galanya dilarang, kecuali mendapat perkenan, restu dan kebenaran bertulis naib canselor atau yang setaraf dengannya.

Ya, berhimpun lebih daripada lima orang pun satu kesalahan besar di kampus; jangan main-main, jika didapati bersalah boleh dipecat daripada universiti atau digantung pengajian, selain boleh dibuang asrama dan didenda!

Mana relevannya dengan semangat dalam Akta Perhimpunan Aman dan pemansuhan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967? Suasana di kampus sekarang seperti situasi cemas semasa darurat, berdepan ancaman pengganas komunis bersenjata.

Kalaupun nampak mereka seolah-olah bebas beraktiviti, itu adalah ehsan naib canselor, dan bukannya hak mahasiswa!

Selain itu, merujuk kes prosiding tatatertib membabitkan lapan aktivis pelajar Universiti Malaya, pada 18 April dan 9 mei lalu, mereka tidak dibenarkan menyertai apa-apa kegiatan di luas kampus "yang mendatangkan kesan buruk kepada universiti atau yang memudaratkan kepentingan universiti".

Mahasiswa juga tidak dibenarkan untuk "membuat, mengibar atau memiliki apa-apa bendera, sepanduk, plakad, poster, lambang atau alat lain yang menimbulkan keadaan tidak berdisiplin, kekacauan, keingkaran ..."

Dan dalam kes aktivis mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Mohd Fathihie Daimin, kesalahannya adalah membuat kenyataan terbuka di laman sosial Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM.

Larangan lain, mereka tidak dibenarkan memiliki atau menggunakan apa-apa pembesar suara, pelaung suara atau penguat suara. Turut dianggap satu kesalahan adalah menerbitkan, membahagi-bahagikan atau mengedarkan apa-apa dokumen di dalam dan juga di luar kampus.

Itu pun anda belum mengetahui lagi bagaimana prosiding dijalankan, sehingga proses memutuskan hukuman dibuat.

Pernah sekumpulan pelajar yang dituduh, hanya diajak "sembang santai" oleh pihak universiti, tanpa mengemukakan fakta kes yang meyakinkan, dan kemudiannya selang beberapa hari, dimaklumkan mereka digantung pengajian kerana mengikuti perhimpunan haram dalam kampus.

Justeru, tidak hairan apabila dimaklumkan nasib menimpa Aslam Abd Jalil, pelajar Malaysia di Universiti Nasional Australia (ANU), pemegang biasiswa kerajaan persekutuan, yang menerima surat tunjuk sebab JPA, pada 18 Jun lalu.

Kesalahannya kerana mengambil bahagian dalam forum isu semasa Malaysia, "Race, Religion, Royalty with YB Tony Pua", yang diadakan di universiti berkenaan, 22 April 2014.

Aslam dikira telah melanggar perjanjian biasiswa, yang melarang mengambil bahagian atau menyertai aktiviti berunsur hasutan atau demonstrasi, yang pada pendapat kerajaan memudaratkan kepentingan Malaysia atau sesuatu institusi pendidikan.

Pelik sekali bagaimana program forum atau perdebatan terbuka seumpama itu boleh dikategorikan sebagai memudaratkan atau mengancam negara, apatah lagi "berunsur hasutan atau demonstasi". Tunjuk perasaan bagaimana pula, dan hasutan macamana tu?

Saya menyokong penuh penekanan Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Speaker Dun Selangor yang mula mendedahkan hal ini: "Kerajaan Australia, Australian Capital Territory dan Kedutaan Besar Australia di Malaysia serta pentadbiran ANU, perlu mengambil perhatian bahawa seorang pelajar dari salah satu universiti mereka sedang didakwa di bawah satu pendakwaan yang jelas merupakan pendakwaan politik."

Alahai, malang sekali menjadi mahasiswa Malaysia, sama ada yang menuntut di kampus dalam negara, mahupun jauh di seberang lautan! Anda tidak terlepas daripada kongkongan puak yang bebal dan memandang hina orang lain.

Sumber HD - 26-6-2014

'Percikan api di setiap kampus...'

AHMAD LUTFI OTHMAN | .


Setahun dua ini saya lebih kerap bertemu rakan-rakan pimpinan gerakan pelajar. Ia bukan lagi terhad kepada universiti sekitar Lembah Klang. Kampus-kampus baru yang berselerak di seluruh negara, termasuk di Sabah Sarawak, juga menggamit perhatian.

Perjumpaan juga tidak terbatas untuk membincangkan soal penyertaan dalam pilihan raya kampus setahun sekali, tetapi lebih merata dan menyeluruh. Apatah lagi kumpulan yang memenanginya agak seimbang, di antara Aspirasi dan Pro-Mahasiswa, petanda kecenderungan politik majoriti pelajar semakin terbuka.

"Sebenarnya banyak kampus dikuasai oleh kumpulan Pro-Mahasiswa atau lebih tepat, yang independen dan tidak dikongkong Umno-BN, tetapi mereka memilih untuk tidak bersuara lantang dan mengidentifikasikan diri dengan mana-mana kumpulan," kata sumber.

Walaupun lama ditubuhkan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) nampak agak terpencil di utara, tetapi sesekali turut mewarnai kemeriahan politik kampus. Begitu juga Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dan Pekan yang merakamkan keberanian aktivis mahasiswanya berdepan "kecurangan" pentadbiran tertingginya memanipulasikan proses pilihan raya kampus.

"Ada percikan api di sana!" saya menjawab soalan seorang teman apabila mendapat tahu saya turun ke Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Johor meninjau gelodak rasa masyarakat terpelajar yang terus dikongkong.

"Potensi anak muda sebagai agen perubahan tidak pernah padam, walaupun kadang-kadang nampak suram, sampai masanya ia menggelegak juga," saya cuba menekankan fungsi gerakan mahasiswa yang bertenaga untuk mempengaruhi lanskap sosio-politik tanahair, atau secara lebih khusus membela kepentingan rakyat tertindas.

Bayangkan, jumlah pelajar IPTA, IPTS, IPG (Institut Pendidikan Guru), politeknik dan kolej komuniti mencecah 1.3 juta orang. Mereka merupakan kelompok yang paling strategik dan kritikal untuk mana-mana gerakan perubahan. Tanpa mendampingi anak-anak muda ini usaha pembaharuan dan reformasi akan terbantut.

Terbaru, saya lebih tertarik mendengar kampus-kampus Universiti Teknologi Mara yang juga mula berkocak. Umno sering berbangga dengan UiTM, manakala pergerakan mahasiswanya teruk ditekan. Pengurusan kanannya seolah-olah mahu memastikan setiap siswazah "menurut kata" dan "tidak melawan".

UiTM mempunyai pelajar paling ramai dan kampus cawangannya ada pada setiap negeri, kecuali Wilayah Persekutuan. Saya tidak pasti berapa ramai jumlah keseluruhan mahasiswanya, tetapi merujuk kenyataan Perdana Menteri pada 14 September 2013, pengambilan pelajar UiTM sudah mencapai 180,000, dengan sasaran 250,000 menjelang tahun 2020.

"Sdr jangan abaikan potensi hebat UiTM. Jumlah pelajar dan cawangannya yang merata adalah kekuatan yang kini tersembunyi dan perlu digilap," pesan saya kepada sekumpulan pimpinan mahasiswa yang berkunjung ke pejabat Harakah, 10 Jun lalu, apabila menyedari salah seorang daripadanya daripada UiTM.

Tentunya ramai masih ingat karenah dan kontroversi bekas Naib Canselor UiTM, Dr Ibrahim Abu Shah. Lagaknya umpama Ketua Umno Cawangan atau pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK).

Nada ucapan Ibrahim semasa mengetuai UiTM sarat dengan perkauman. Tidak pelik beliau dilantik Najib Razak sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, hujung November 2013.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, beberapa hari sebelum pilihan raya kecil Teluk Intan yang menyaksikan setiausaha politiknya, lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud bertanding, menyifatkan pelajar UiTM bukan lagi robot.

"Dyana Sofya adalah testimoni kegagalan Ibrahim Abu Shah selama sembilan tahun menjadi Naib Canselor UiTM untuk menjadikan pelajarnya sebagai robot Umno dan membunuh idealisme serta impian anak muda Malaysia," kata Ketua Parlimen DAP itu.

Terkini, kes Mohd Fathihie Daimin dari UiTM Kota Kinabalu, yang dikenakan prosiding tatatertib, hanya disebabkan kenyataannya dalam Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM, dan terlibat dalam perhimpunan tanpa kebenaran, menjolok mata sekali.

"Menarik sekali. Pertama, babitkan pelajar UiTM. Kedua, dari Sabah pula tu," respons segera seorang rakan, juga peminat politik kampus.

Sayang sekali, ketika rakan-rakannya, termasuk tiga pimpinan pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bertandang ke rumah saya, baru-baru ini, Fathihie terpaksa pulang awal ke KK dan kami tidak sempat berkenalan lebih lanjut.

UMSKAL -- nun jauh di Labuan -- yang begitu jarang diperkatakan, malah mungkin sebahagian mahasiswa sendiri tidak menyedari kewujudannya, sebenarnya menyimpan cerita penuh warna-warni.

Sejumlah 16 aktivis pelajarnya dibicarakan pada 26 Mei lalu, atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran. Tiga digantung pengajian satu semester, lapan diberi amaran dan dibuang dari kolej kediaman, manakala lima lagi masih dalam proses prosiding.

Sering menerima tetamu dari kalangan anak-anak muda yang kental semangat dan padu tekadnya itu juga, sekurang-kurangnya buat saya, satu rahmat tersembunyi. Ya, ia bagai terapi merawat keuzuran yang bertindan-tindih. Sekurang-kurangnya nyalaan obor jiwa muda dikembalikan walaupun jasad agak longlai!

Sedar tak sedar, saya sering dipanggil "Pak Lutfi" oleh pimpinan mahasiswa yang bertamu -- sambil isteri tidak jemu-jemu menyediakan juadah nasi Arab versi Melayu -- mengingatkan bahawa hampir 30 tahun zaman kampus telah ditinggalkan. Tempoh yang cukup lama, tetapi masih terasa segar, membekas dan nostalgik.

Sehinggalah apabila sempat berbicara dengan Pengerusi Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/ Akta 174, Khairol Najib Hashim, di kediaman saya, di Bukit Ampang dan terusnya di pejabat, di Jalan Pahang Barat, saya terasa GMMA/174 tidak boleh dipandang ringan.

Benar, setiap generasi mahasiswa mempunyai gerakan tersendiri untuk membatalkan akta drakonian itu dan sehingga kini mereka belum berjaya. Namun, saya dapat merasai, keazaman lebih 20 aktivis pelajar bersama Khairol Najib, yang bersembang santai di Harakah hampir dua jam petang Selasa itu, cukup tinggi.

"Anda semua harus buktikan, gerakan mansuh Auku kali ini pasti membekas, dan bukannya hanya mengulangi lagu lama atau sekadar rutin buat setiap generasi kepimpinan mahasiswa," saya seolah-olah mencabar.

Mereka menyedari ia tidak mudah dan sejarah perlu diukir. "Jika ISA boleh dimansuhkan selepas puluhan tahun ditentang, masakan Auku juga tidak boleh dikuburkan?" kata seorang daripadanya.

"Tapi ISA hanya mansuh selepas demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur?" jolok seorang yang hadir.

"Auku juga mungkin begitu ... kita tidak tolak pilihan himpunan raksasa," terdengar respons segera, disambut gelak ketawa, bukan petunjuk meremehkannya, tapi tanda kerelaan untuk turun ke padang.

Usaha membebaskan kongkongan yang berpanjangan sejak 1971, dan diperketatkan pada 1975 itu, memerlukan lonjakan dan momentum baru, sehingga Auku dimansuhkan sepenuhnya.

Bukan lagi dikaburi pindaan kosmetik, misalnya pada 2012 yang membenarkan mahasiswa berpolitik, sedangkan kebebasan berorganisasi dan bersuara dalam konteks lebih luas tetap terpasung kukuh.

Apa pun, jasa dan komitmen luhur bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah akan tetap terakam dalam sejarah. Dia memang seorang tokoh pembaharu dalam dunia pendidikan. Sayang, khidmatnya tidak lama.

Situasi sebenar di menara gading masih cukup menyedihkan. Anak-anak muda berpotensi, seperti ungkapan Dr Siddiq Fadil, telah dicederakan atau dicacatkan secara sengaja oleh ibu bapa mereka sendiri. Sadis sekali.

Agenda mansuhkan Auku tidak harus dibebankan hanya kepada mahasiswa ataupun warga kampus yang lain, misalnya tenaga akademik ataupun para pensyarah. Ia tanggungjawab bersama, melibatkan setiap individu-kumpulan prihatin yang peduli dan resah dengan kebobrokan melampau ini, ya ... termasuk Harakah, 'kan?

Sumber HD - 21-6-2014

No comments:

Post a Comment