JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Friday, June 20, 2014

FENOMENA DI PERAK (JILID 2)

BLOG BERKAITAN - tamansriraya.blogspot.com

Lebih 5 tahun, mana 2,000 ekar untuk sekolah tamil

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: "Kenapa MIC dan kerajaan Negeri Perak sudah senyap semula mengenai isu 2,000 ekar tanah yang diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil," tanya Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar.

Justeru, beliau merasakan pihak MIC adalah terlalu lembab dalam menangani isu itu.

Menurutnya, selepas kerajaan negeri 'diambil' BN pada tahun 2009, MIC begitu gopoh sekali telah membuat pengumuman bahawa kerajaan Perak telah memberikan 2,000 ekar tanah untuk pembangunan dan kemajuan sekolah-sekolah Tamil.

Tujuan mereka, katanya adalah untuk memperkecilkan Pakatan Rakyat sementara MIC pula mahu menjadi hero di kaca mata rakyat terutamanya kaum India.

Tetapi kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu, terbukti suara-suara lantang mengkritik Pakatan Rakyat pada hari ini semuanya adalah tin kosong sahaja.

"Sekarang kita sudahpun masuk ke pertengahan tahun 2014. Sehingga hari ini MIC dan kerajaan Barisan Nasional Perak masih tidak dapat menyelesaikan masalah 2,000 ekar tanah yang disediakan untuk sekolah-sekolah Tamil," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau amat risau dan bimbang bahawa masyarakat India akan kehilangan 2,000 ekar tanah yang dijanjikan itu.

Beliau tidak percaya MIC akan menyelesaikan masalah itu secara jujur yang sengaja dilambat-lambatkan oleh pihak-pihak yang tertentu.

"Saya tidak mahu melihat satu lagi skandal tanah yang melibatkan MIC dan Barisan Nasional di bumi Perak," katanya.

Justeru, beliau mendesak supaya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir agar tidak lagi senyap berhubung dengan masalah 2,000 ekar tanah itu.

Menurutnya, masyarakat India tidak nampak apa-apa perkembangan dalam isu yang dibangkitkan.

Katanya, lima setengah tahun telah berlalu tetapi isu itu tidak dapat diselesaikan lagi.

"Jika saya tidak membangkitkan isu ini sekali lagi, perkara ini tidak akan dipedulikan. Masing-masing akan tidur nyenyak tanpa menghiraukan isu tanah ini dan keadaan sekolah-sekolah Tamil yang uzur," ujarnya. - HARAKAHDAILY 2/7/2014

Sumber HD - 2-7-2014

Pasang kain rentang, iklan azab tinggal puasa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menggesa kerajaan negeri agar lebih serius dalam menangani gejala ponteng puasa dalam kalangan umat Islam pada bulan Ramadhan ini bagi menjaga kesucian agama Islam.

Mengikut tinjauan, Pemuda PAS Perak mendapati masih banyak kedai-kedai yang beroperasi di waktu siang dan tiada pemantauan serius hingga menyebabkan proses jual beli barang makanan kepada orang Islam yang ponteng puasa berleluasa.

Ketua Penerangannya, Mohd Syamsul Alaudin berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) perlu mengenal pasti kawasan tumpuan kaki ponteng puasa ini dan memberikan amaran keras kepada mereka agar tidak bersubahat dengan kaki ponteng puasa serta mengenakan tindakan tegas bagi peniaga yang ingkar.

"Pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan rondaan bermula pagi hingga menjelas berbuka bagi menangani gejala ponteng puasa ini.

"Kaki ponteng puasa ini bukan sahaja tertumpu di premis makanan sahaja malah di kafe siber, pusat snuker, pusat karaoke dan seumpamanya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Pemuda PAS Perak sangat risau dengan gejala ini yang bukan sahaja dari kalangan orang muda malah ianya turut melibatkan golongan tua dari umur 40 hingga 60 tahun dan suasana ini sangat mendukacitakan.

"Kami juga melihat, pelbagai usaha lain yang boleh dilakukan dan kami mencadangkan agar kerajaan menaikkan kain rentang dan papan-papan iklan tentang manfaat berpuasa dan azab kepada yang meninggalkannya agar masyarakat lebih peduli tentang perkara ini," ujarnya.

Beliau berkata, ia mungkin usaha kecil selain pencegahan namun sangat perlu dilakukan bagi menyedarkan masyarakat umat Islam yang masih 'berdegil' untuk terus meninggalkan puasa. - HARAKAHDAILY 2/7/2014

Sumber HD - 2-7-2014


Tangki bahan kimia bocor, R&R Tapah ditutup

BERNAMA | .

IPOH: Sebuah lori tangki yang membawa bahan kimia 'cuprum chloride solution' mengalami kebocoran di kawasan berhampiran susur keluar ke arah selatan dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah di Km332, Lebuhraya Utara-Selatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahaya Madis berkata kebocoran dikesan berlaku pada satu daripada dua tangki lori berkenaan.

"Tangki yang bocor adalah yang berkapasiti lapan tan dan cecair telah mengalir ke dalam longkang berhampiran. Pasukan bomba dan PLUS telah membuat sekatan di dalam longkang itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata injap pada tangki berkenaan telah ditutup namun kebocoran masih berlaku.

Kejadian dilaporkan ke Balai Bomba dan Penyelamat Tapah pada pukul 12.58 tengah hari dan kini pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Pasir Puteh di sini berada di tempat kejadian untuk menjalankan kerja-kerja penyelamatan dan pembersihan, katanya.

Jurucakap Plusline ketika dihubungi Bernama berkata kawasan R&R itu telah ditutup kepada kenderaan.

"Jangka masa penutupan itu bergantung kepada kerja-kerja dan operasi kawalan serta pembersihan pihak bomba," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini lalu lintas di laluan utama lebuh raya bergerak lancar.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Tapah Insp Khairul Nizam Ismail berkata lori tangki tersebut disedari mengalami kebocoran apabila kenderaan itu mula memasuki lebuh raya selepas mengisi minyak di kawasan R&R Tapah.

"Kebocoran dikesan sebelum kenderaan itu memasuki lebuh raya. Sebelum itu lori tangki tersebut berhenti untuk mengisi minyak di stesen minyak berhampiran R&R Tapah," katanya.

Sumber HD - 28-6-2014



Menanti 'durian runtuh' di Teluk Intan

RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS | .

Bahang selepas berakhir Pilihan Raya Kecil P076 Parlimen Kawasan Teluk Intan masih dirasai berikutan kematian penyandangnya mendiang Seah Leong Peng yang meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 1 Mei 2014 yang lalu.

7 Mei 2014, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan pada 31 Mei 2014 untuk hari mengundi manakala hari penamaan calon pada 19 Mei 2014 dan 27 Mei 2014 untuk hari pengundian awal kepada pemilih yang layak.

Pertembungan di Teluk Intan antara Parti DAP dan Parti Gerakan dimana DAP meletak Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah, Lim Kit Siang dan manakala Barisan Nasional (BN) meletak Presiden Parti Gerakan.

Pada 17 Mei 2014, kedua-dua pihak telah membuat pengumuman calon-calon mereka dimana Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon DAP dan Datuk Mah Siew Keong sebagai calon BN walaupun terdapat empat borang telah diambil.

Penduduk Teluk Intan tentu ingat tentang projek mega lebuhraya bernilai RM5 Bilion antara Taiping dengan Banting yang turut melalui jajaran ke Teluk Intan yang telah dibentangkan di dalam Belanjawan 2012 yang telah dilancarkan.

Pelancaran dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai Jentera BN bagi memastikan kemenangan Datuk Mah untuk cubaan kali kedua telah beberapa kali bersama rakyat di Teluk Intan.

Sebelum ini, Presiden Parti PPP Datuk Seri Dr M. Kayveas yang telah bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri di Teluk Intan Kawasan Pasir Berdamar telah tewas pada Pilihan Raya Umum ke – 13, 5 Mei 2013 yang lalu.

Datuk Mah, secara ‘solo’ pada 26 Mei 2014 yang lalu telah membentangkan Manifestonya untuk ditawarkan kepada penduduk Teluk Intan tanpa kehadiran pimpinan utama peringkat Nasional mahunpun dari peringkat Negeri Perak.

Antara tawaran-tawarannya adalah berusaha menjadikan ikon Menara Jam Condong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, menjadikan hab pertanian moden, meningkatkan pelaburan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Selain itu untuk menjadikan Teluk Intan sebagai pusat makanan di Hilir Perak, membangunkan projek pembangunan bersepadu tepi sungai dan membina kompleks sukan bersepadu untuk golongan belia antara tawarannya itu.

Beliau juga akan memastikan lebih banyak padang futsal di Teluk Intan, selain akan menyelesaikan masalah setempat seperti perparitan dan lampu jalan di sekitar Teluk Intan sebelum beliau diumumkan menang sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula pada 22 Mei 2013 bersedia membantu untuk menambah baik kemudahan jalur lebar di Teluk Intan seperti yang dihasratkan golongan muda di kawasan itu.

Manakala Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menjanjikan lebih banyak pembangunan akan didatangkan ke Teluk Intan jika BN menang.

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri pada 24 Mei 2014 akan menaja uniform baru bagi 8,639 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang layak mengundi di Teluk Intan jika Datuk Mah menang.

Pada 29 Mei 2014 pula Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN mengumumkan untuk melantik Datuk Mah sebagai menteri jika Presiden Parti Gerakan itu menang.

Dan pada 30 Mei 2014 pula Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan akan menyelesaikan masalah tempat pembakaran mayat kaum India dan akan membantu sekolah Tamil jika BN menang di Teluk Intan.

Banyak janji dan akujanji kali ini BN tawarkan, tidak termasuk tawaran manifesto dan beberapa ‘projek mee segera’ yang dilimpahkan di Teluk Intan dan sudah tentu antaranya adalah jalan-jalan baru semasa tempoh berkempen.

Akhirnya, julung-julung kalinya hadirlah Datuk Seri Najib ke Teluk Intan dengan beberapa pengumuman baru yang amat mengejutkan seperti janji penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Teluk Intan.

Bagi tujuan itu, kampus tersebut akan menempatkan 1,000 orang guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal yang akan siap pada 14 Jun 2018 iaitu dalam tempoh empat tahun yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib.

Benar, Datuk Mah juga telah menjanjikan penubuhan universiti baru tetapi bukannya pula Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang kebiasaannya menjadi lubuk kroni-kroni tertentu terutamanya sudah berakhir perkara penting.

Satu lagi janji seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Tengku Adnan tentang pembangunan dan seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib iaitu pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) termasuk peruntukan RM5 Juta bagi projek pembangunan di situ.

Projek PR1MA di Teluk Intan ini akan melibatkan kerjasama antara Perbadanan PR1MA Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).

Bagi projek PR1MA sebagai permulaan sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina dengan kawasan seluas 202 hektar yang dijangka dijual pada harga tidak melebihi RM150,00 seunit dan siap dalam tempoh tiga tahun pada 14 Jun 2017.

Baru dua janji yang telah diumumkan dan banyak lagi janji yang menanti penduduk Teluk Intan dalam tempoh berakhir 5 Mei 2018 yang akan datang dengan Ahli Parlimen baru yang akan menjadi Menteri ini.

Marilah kita sama-sama menunggu Kementerian apakah yang akan diisi oleh Datuk Mah nanti dan marilah sama-sama kita menunggu janji turun padang untuk melihat masalah longkang sebelum tiga tahun yang akan datang.

Dengan perasaan seronok dan gembira penduduk Teluk Intan, kami juga menumpang bersama atas limpahan yang diterima seperti menunggu ‘durian runtuh’ akan projek-projek mega tersebut nanti.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar

Sumber HD - 20-6-2014

No comments:

Post a Comment