JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Monday, June 16, 2014

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA TAHUN 2013 SIRI 2



Laporan Audit: Kerusi besi RM380 dibeli RM1,250

BASHIR ISHAK | .
KANGAR: Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri 2 bagi Aktiviti Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Perlis mendapati terdapat harga perolehan yang tidak munasabah pagi pembelian dua buah kerusi besi di pondok teksi di Pekan Simpang Empat .

Laporan Audit untuk Pengurusan Perolehan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mendapati agensi terbabit telah membina sebuah pondok teksi di Pekan Simpang Empat pada 12 April 2013 dengan kos sejumlah RM14,900 melibatkan kerja-kerja meroboh pondok dan tapak sedia ada, membina kerangka besi, kerja-kerja konkrit serta membekal dua buah kerusi besi.

Kos membekal dua buah kerusi besi tersebut berjumlah RM2,500 atau RM1,250 bagi sebuah kerusi.

Bagaimanapun semakan dan pemeriksaan Audit mendapati kos membekal kerusi besi ini adalah tidak munasabah dan pihak Audit telah membuat kajian pasaran harga di dua buah syarikat yang boleh membekalkan kerusi besi seumpamanya.

Berdasarkan sebut harga yang diperoleh daripada dua pembekal terbabit, harga pasaran termasuk kos penghantaran ke Pekan Simpang Empat bagi sebuah kerusi besi berkenaan hanya berjumlah RM380 berbanding RM1,250 bagi sebuah kerusi yang dibayar oleh MPK.
Berita lanjut di Harakah cetak Edisi Isnin, 23 Jun 2014. Dapatkan naskah anda.

Sumber HD - 22-6-2014 

Ketua Audit tegur pemantauan tanah rizab Melayu di Pahang

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Pemantauan terhadap pengurusan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri Pahang didapati kurang memuaskan kerana perbincangan khusus tentang TRM tidak dilaksanakan dalam mesyuarat di peringkat Pejabat Tanah Daerah (PTD).

Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 2 yang dibentang di Dewan Rakyat Isnin mendedahkan keadaan itu menyebabkan sehingga 31 Dis tahun lepas, terdapat 78.1 peratus perizaban belum diwartakan di empat daerah selain sejumlah 13 kes pembatalan.

Audit antara November 2013 hingga Februari 2014 di Jerantut, Maran, Kuantan dan Temerloh turut mendedahkan terdapat 65 kes penggantian TRM belum selesai.

Ia membabitkan 14 kes pembatalan TRM belum ganti dan 51 lagi dalam tindakan pengesanan fail sementara 14.7 peratus geran TRM masih belum disahkan sebagai TRM dan 90 peratus geran Orang Melayu belum disahkan Pegangan Melayu.

Selain itu, daftar dan rekod serta pemantauan TRM didapati tidak memuaskan.

Walaupun semua PTD dilawati menyediakan daftar bagi merekod TRM di daerah masing-masing yang mengandungi maklumat tanah diluluskan, pembatalan dan penggantian TRM namun daftar itu tidak diselenggara dan dikemas kini sehingga turut mengandungi maklumat pelbagai jenis tanah rizab lain.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara mencadangkan Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian (PTG) dan PTD mengambil langkah penambahbaikan dengan mewujudkan kaedah pelaksanaan serta mekanisme pemantauan.

Ini termasuk menyediakan daftar TRM yang lengkap agar kelewatan dalam pewartaan TRM, pewartaan pembatalan dan penggantian dapat diselesaikan dalam tempoh sewajarnya.

PTG selaku pihak yang memain peranan untuk mentadbir dan mengurus TRM di Pahang dan PTD yang bertanggungjawab di peringkat daerah, perlu menyediakan serta mengemas kini rekod TRM yang diwartakan selain membuat pengesahan ke atas geran pemilik bagi mengelak pindah milik kepada pihak lain.

Kedua jabatan ini juga perlu menambah baik prosedur kerja dan memberi latihan secukupnya bagi mempertingkat kecekapan pegawai.

Bagaimanapun, Jabatan Audit Negara mendapati pengurusan TRM dari segi jumlah keluasan tanah yang diganti adalah baik dengan jumlah keluasan diganti melebihi keluasan yang dibatalkan.

Ia berikutan peratus keluasan TRM daripada keluasan negeri Pahang selepas merdeka meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 12.1 peratus berbanding sebelum merdeka adalah 8.8 peratus.

Mengikut rekod Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (Jupem), sehingga akhir tahun lepas, keluasan tanah di Pahang ialah 3,597,376.97 hektar manakala keluasan TRM ialah 436,910.47 hektar .

Dalam tempoh sama, keluasan TRM yang dilupus di negeri ini ialah 42,548.32 hektar manakala yang diganti ialah 54,714.96 hektar, iaitu melebihi 12,166.64 hektar daripada keluasan yang dibatalkan. - BERNAMA

Sumber HD - 17-6-2014

230 syor Ketua Audit Negara baiki kelemahan pengurusan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 230 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang (gambar) berkata daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 31 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 144 syor kepada Kerajaan-kerajaan negeri.

"Kelemahan yang dilaporkan kebanyakannya bersabit dengan kecekapan dan akuran penjawat awam kepada peraturan kewangan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau berkata dalam Laporan Siri 2 itu, sebanyak 57 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, program peningkatan sosioekonomi, infrastruktur dan pengurusan syarikat," katanya.

Ambrin berkata Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu telah tercapai.

Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat tanpa berlakunya pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang telah dibuat.

Bagi pengauditan syarikat kerajaan pula, Jabatan Audit Negara membuat penilaian terhadap aspek analisis penyata kewangan, pengurusan aktiviti syarikat dan tadbir urus korporat.

Kandungan dan sinopsis laporan siri 2 itu boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 telah dibentangkan di Parlimen pada 7 April lepas. - Bernama

Sumber HD - 16-6-2014

No comments:

Post a Comment