JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Sunday, June 15, 2014

DR RIDUAN MOHAMAD NOR : AJK PAS PUSAT (JILID 2)


BLOG BERKAITAN - tamansriraya.blogspot.com

Dia murabbi, pemimpin dan teman

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .
PAGI yang indah ini, aku terasa longlai tak bermaya dengan berita yang menyentap tangkai hati, kepulangan ke alam abadi sosok pejuang kental dari negeri Tok Ku Paloh, Almarhum Ustaz Datuk Abu Bakar Chik. Terbayang lebih dua dekad menjadi anak didiknya semenjak zaman kampus, memasuki Dewan Pemuda, saya sempat dua kali menghadiri mesyuarat pemuda Pusat ketika beliau memimpin Dewan itu, seterusnya bersama almarhum dalam Pas Pusat. Berusrah bersama almarhum semenjak zaman 'anak muda kail sejengkal' saya sehingga melepaskan zaman pemuda yang serba indah. Terbayang renungan matanya yang tajam dan kesungguhan almarhum apabila berbicara, dakapan tubuhnya setiap kali bersua termasuk arahan demi arahan untuk memastikan jamaah ini tidak kontang daripada amal tarbawi.

Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70-an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.

Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988. Kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jemaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.

Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda Pas Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.

Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tidak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Saya teringat almarhum menemankan saya makan tengahari usai, program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah, membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekanda saya, ustaz ABC. Saya tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tidak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.

Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jemaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.

Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak -anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor.

Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang, menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.

Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya, Datuk Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tidak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90-an, menggelarkannya secara diam "al-Fatihah", kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Al-fatihah buat maestro perjuangan, kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.

Sumber HD - 23-6-2014

Pesalah trafik diburu, penjenayah bagaimana?

DR RIDUAN MOHD NOR | .

Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Terengganu dikatakan sedang memburu 5,916 pesalah trafik yang gagal menyelesaikan saman mereka di negeri itu.

Sebanyak 4,619 waran tangkap telah dikeluarkan terhadap pesalah trafik terbabit.

Sejak operasi itu (Ops Warta) dilaksanakan, seramai 60 individu dengan waran tangkap telah ditahan di 16 lokasi di negeri Terengganu.

Nampaknya PDRM Terengganu secara serius berusaha memburu pesalah trafik di negeri itu dan memastikan jejak mereka dikesan serta diambil tindakan sewajarnya.

Jika masalah pelanggaran trafik di Terengganu menjadi suatu isu yang serius, ditambah dengan kadar kemalangan yang begitu mendadak di negeri itu, maka tindakan keras wajar diambil bagi mencegah kesalahan trafik yang menjadi sebab berlakunya kemalangan.

Pesalah trafik yang sengaja melanggar trafik dan tidak mengendahkan saman yang dikemukakan terhadap mereka perlu diambil tindakan.

Mereka perlu mendapat pengajaran yang berharga agar tidak mengulangi kesalahan mereka, dan ia sekaligus menjadi pengajaran buat individu lainnya.

Namun demikian, memburu pesalah trafik melalui pelbagai operasi termasuk mengadakan sekatan jalan raya, menyediakan pasukan trafik di kebanyakan lokasi untuk mengesan pesalah, serta menahan kenderaan yang disyaki di mana-mana merupakan suatu perkara yang sukar untuk diterima.

Ia menimbulkan lebih banyak kekalutan, kegelisahan serta tidak tenteram dalam masyarakat.

Sekadar tidak membayar saman yang dikemukakan, tidak perlu memburu pesalah sehingga ‘ke lubang cacing’.

Sepatutnya ada sikap toleransi dengan melihat permasalahan mereka. Faktor kemampuan juga menjadi sebab saman tidak dibayar, bahkan ada pesalah trafik rela dipenjara kerana tidak mampu membayar saman mereka.

Rundingan dan perbincangan boleh dibuat, kerana matlamat utama bukanlah saman itu, sebaliknya pendidikan dan pengajaran terhadap kesalahan trafik yang dilakukan. Saman adalah sebahagian cara mendidik, menggerunkan juga membebankan.

Lebih dari itu, pesalah trafik bukanlah penjenayah yang berbahaya. Mereka adalah pesalah kategori biasa, dan saman adalah hukuman mereka. Penjara adalah maksimum jika gagal menjelaskan saman.

Sepatutnya PDRM mengambil langkah tegas memburu pesalah yang lebih serius dan membahayakan ketenteraman awam. Mereka terdiri daripada penjenayah, penyeleweng dan perasuah.

Dengan statistik jenayah yang begitu membimbangkan negara ini, Terengganu boleh menjadi contoh memburu penjenayah sehingga ‘ke lubang cacing’.

Kerana kesalahan merekalah, rakyat menjadi gusar, keselamatan awam terutama kanak-kanak dan wanita terancam, kes rogol dan bunuh meningkat, amalan rasuah meningkat, bangunan menjadi ‘runtuh’, sikap berpilih kasih, penyelewengan demi penyelewengan yang memusnahkan institusi negeri dan negara.

Jika demikian, berbaloi tugas PDRM dengan memburu penjenayah berbahaya seperti ini melalui pelbagai tindakan keras dan tegas dalam pelbagai operasi yang dijalankan.

*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Sumber HD - 21-6-2014


Harapkan pagar, pagar makan padi

DR RIDUAN MOHD NOR | .

KES seorang gadis berusia 14 tahun dirogol oleh enam anggota tentera di pantai Pontian Besar pada 13 Jun 2014 yang lalu amat menggemparkan. Tiga daripada anggota tentera terbabit didapati positif dadah. Isu ini mengulangi kes jenayah dan perlakuan kejam iaitu rogol beramai-ramai ke atas wanita, dan kali ini anggota tentera yang didapati melakukannya. Masyarakat seakan-akan tidak peduli bahawa mangsa serangan seksual adalah wanita, seorang gadis yang tidak berdaya manakala pelakunya adalah beberapa orang yang ganas dan buas.

Isunya adalah bagaimana kes rogol gadis oleh sekumpulan lelaki secara beramai-ramai menjadi begitu viral dalam masyarakat. Lebih dari itu, bagaimana kes jenayah dapat dibendung dalam negara ini, jika yang melakukannya adalah pelindung atau pengaman keselamatan negara? Kes ini pastinya amat memalukan institusi keselamatan negara kerana pelaku jenayah adalah anggota tentera.

Mereka secara beramai-ramai menangkap seorang gadis bawah umur yang tidak berdaya dan merogol gadis tersebut, bahkan mereka juga didapati positif dadah. Apakah golongan seperti ini layak menjadi pasukan pengaman dan menjaga keselamatan negara? Sepatutnya mereka yang menjadi pelindung orang awam, mewujudkan keamanan dan ketenteraman masyarakat, bukannya menambah kebimbangan rakyat dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan insan lain.

Jenayah di negara ini tidak mungkin surut atau susut andai pihak keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera dan lain-lain tidak menunjukkan teladan yang baik. Kebimbangan rakyat kini bukan lagi penjenayah yang berlegar dari kalangan orang awam di merata tempat, tetapi juga terhadap anggota keselamatan negara.

Tidak ada jaminan tiada siapa terlepas dari menjadi mangsa keganasan atau jenayah di mana sahaja oleh sesiapa sahaja, termasuk pasukan keselamatan. Jika begitu, kepada siapa pula masyarakat boleh berlindung?

Jika kerajaan mengambil perhatian isu jenayah seksual ke atas wanita terutama kes rogol beramai-ramai, maka kes yang berlaku ke atas gadis berusia 14 tahun di Pontian Besar perlu diberi perhatian khusus.

Anggota tentera terbabit, selain digantung atau dipecat mereka juga perlu diambil tindakan keras, kerana menjatuhkan reputasi dan imej pasukan keselamatan negara. Bahkan, modul dan peraturan khusus perlu dibuat dengan memberi amaran keras kepada mana-mana anggota keselamatan – daripada polis, tentera, Pasukan Gerakan Am, dan lain-lain unit agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

Harapan rakyat agar kes seumpama ini adalah yang terakhir berlaku dan Kementerian Dalam Negeri juga Kementerian Pertahanan perlu mengambil pengajaran supaya anggota pasukan keselamatan bertindak jujur, berakhlak baik, tangkas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Tidak ada maaf kepada mana-mana anggota keselamatan yang masih bertugas atau dalam perkhidmatan jika ditangkap atau terlibat dengan jenayah. - HARAKAHDAILY 18/6/2014

Sumber HD - 18-6-2014




Piala Dunia 2014: Jangan sampai lupa sengsara umat

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

DEMAM dan kegilaan itu muncul kembali, membadai dan menghembus pawana paling ganas terhadap dunia, sehingga perompak dan polis boleh berdamai seketika. Begitulah ia muncul setiap empat tahun sekali menggema sorakan dan euforia kegirangan di seluruh belahan dunia. Bolasepak bukan lagi milik mutlak kaum adam, namun telah menjadi kegilaan kaum hawa juga termasuk kelompok transeksual di semua peringkat. Saat saya tiba di lapangan terbang Abu Dhabi pagi tadi, untuk menyambung pemusafiran ke Tanah suci, rupanya penumpang ke Rio De Jenero begitu ramai, dengan aksesori yang melambangkan mereka adalah pentaksub nombor wahid piala sukan paling berprestij dalam tempoh dua abad ini.

Media perdana di ruang apa pun, mengiklankan dengan penuh mengebu acara yang bukan sekadar untuk mengeluarkan peluh, tetapi persaingan gengsi, maruah diri, percaturan benua, tarikan pelancongan, bahkan industri judi sukan bola sepak. Kegilaan ini digebukan lagi dengan kehadiran media baru, ruang siber yang melakar tarikan pesona yang penuh pelangi kepada Piala Dunia.

Semenjak setahun yang lalu, penceritaan tentang bola sepak dan Brazil menjadi fokus lensa dan juga bilik berita, merebak juga kepada berita jenayah perdagangan dengan operasi pihak keselamatan menyerbu premis menjual jersi-jersi tiruan pasukan ternama dunia yang bakal beraksi. Ini semua menambahkan lagi perisa kepada kehebatan Piala Dunia yang sudah tersohor sehingga mendinginkan suhu politik dunia. Di negara-negara miskin seperti Brazil sendiri, bola sepak bukan sekadar permainan sukan yang mengangkat martabat negara, tetapi juga jarum bius untuk rakyat melupakan seketika kelaparan dan kemiskinan.

Bolasepak Piala Dunia adalah juga ruang kapitalis menumpuk kekayaan dengan pelbagai cara, penjualan cenderamata, pemasaran industri pelancongan yang agresif, juga akan berlaku pembidaan pemain-pemain usai perlawanan untuk kelab-kelab ternama pula. Pelbagai produk makanan, minuman, fesyen, alatan sukan, ubatan, cuba untuk mengafilisasikan jenama mereka dengan sukan paling berprestij ini. Parti-parti politik berlumba untuk memanfaatkan budaya popular ini kerana demam empat tahun sekali ini begitu dekat dengan hati massa.

Impaknya dalam negara kita bukan kepalang, ramai penjawat awam dan swasta mengambil cuti sakit, kedai yang menayangkan skrin besar bertukar menjad mini stadium, masjid surau yang sedia suram berpotensi makin lengang, ceramah politik hilang pesona, program yang tak diatur cermat dengan jadual perlawanan maka berpotensi gagal mencapai sasaran. Anak-anak kecil pula tiba-tiba begitu teruja disengat matahari kerana berdelusi sebagai pemain papan carta utama.

Apa pun buat peminat sukan ini, terutama umat Islam moga Piala Dunia yang bergengsi ini tidak melalaikan kita daripada ibadah. Dunia Islam masih lagi dilakar dengan tangisan duka ummah, darah yang berkubang di Syria yang telah mengorbankan lebih 200,000 nyawa, jutaan rakyat Syria yang bergelandangan di sempadan negara. Palestin belum berhenti menangis pilu, 66 tahun Nakbah yang menghilang mereka daripada peta dunia. Kerajaan campuran yang dibentuk antara Fatah dan Hamas belum lagi terbayang cahaya dihujung terowong, warga Palestin masih dijeruk kejerihan.

Bosnia Herzegovina yang dilanda banjir paling buruk dalam sejarahnya, juga dengan sejuta nyawa yang terkorban 20 tahun lampau, masih tersisa kesengsaraan. Myanmar sesiapa pun tak endah, dengan puluhan ribu muslim disembelih kejam, tanpa kewarganegaraan yang sah, sangat ironis dengan jeritan kegembiraan gol menerjah gawang. Berjejeran pula darah muslim Afrika Tengah minta didengari, kita memekakkan telinga, sambil mengunyah kacang, mencicip kopi panas, menyorak sorai perlawanan. Diam tak berkutik untuk derita ummah!

Teman semua, langit tak selalu cerah, gerah boleh menerjah kita di mana-mana pun, maka berpada-padalah dalam hidup ini. Ramadan yang berkah akan kunjung tiba, bulan maghfirah sejuta warna, bulan para pendosa berpeluang membasuh noda semalam. Jangan pula Ramadan karim tahun ini hilang erti kerana keobsesan kita pada sebuah piala. Jom terus berdoa dan membantu ummah, hitungan dan unjuran kita pada Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol, England, wajar juga kita tak lupakan Gaza, Syria, Mesir, Myanmar, Afrika Tengah dan peta luka umat Islam yang lain.

Sumber HD - 15-6-2014

No comments:

Post a Comment