JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

SETIAP YANG HIDUP AKAN MERASAI MATI


Belasungkawa: Hati Ustaz Latif kekal bersama PAS

MAT ZAIN MAT ISA | .

“ORANG boleh buang (keahlian) ana daripada PAS, tapi orang takkan boleh buang PAS daripada dalam hati ana,” demikian penegasan bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Almarhum Ustaz Abdul Latif Muhammad.

Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan kecintaan dan iltizam beliau yang sangat tinggi terhadap parti ini. Pertautan hatinya dengan PAS tersangat erat. Bahkan sewaktu berada di puncak kepimpinan parti, nama beliau seakan sinonim dengan PAS Besut.

Kini, Ustaz Abdul Latif sudah tidak lagi bersama kita. Awal pagi Rabu, 25 Jun 2014, beliau dijemput pulang oleh Allah Taala setelah sekian lama menderita akibat serangan angin ahmar.

Abdul Latif Muhammad dilahirkan pada 1940 dalam sebuah keluarga pesawah di Kampung Pulau Berangan, Besut. Ayahnya, Haji Muhammad bin Husin menghantarnya mengaji di Pondok Alor Keladi, Besut.

Berbekalkan ilmu ditimba di situ, beliau turun ke tengah masyarakat menyampaikan pengajaran Islam. Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 menjadi titik tolak penting karier politik Ustaz Abdul Latif. Beliau dipilih menjadi calon PAS bagi kerusi Dun Setiu, tetapi tidak menang.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, di Nilam Puri.

Ustaz Abdul Latif selepas itu mula diberikan amanah kepimpinan dalam parti. Jawatan pertama beliau ialah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut (975-77).

Dalam tempoh itu, beliau dikatakan sempat melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Uloom, Deoband, India sebelum memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Syariah wal Qanun.

Pada PRU 1978, beliau dipertaruhkan PAS menentang calon BN di kerusi Dun Ulu Besut, tetapi kalah.

Lebih kurang pada masa sama berlaku ledakan kebangkitan Islam serata dunia. Negara kita turut dilanda gelombang kesedaran akidah itu. Umat Islam dilontarkan dengan persoalan batas-batas iman dan kufur, yang akhirnya mencetuskan polemik isu kafir-mengkafir.

Tokoh utama di tengah-tengah polemik ini di Terengganu ialah Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Rusila), Tuan Guru Awang Nasruddin Abu Bakar (Batu Enam), Ustaz Stimat @ Muhammad Jusoh (Kerandang) dan Ustaz Abdul Latif Muhammad (Jertih). Ketegasan mereka menjulang isu akidah ini nyata menggerunkan BN.

Ustaz Abdul Latif seterusnya diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, selama dua penggal (1979-83).

Pada PRU 1982, Ustaz bertanding di Dun Bukit Kenak. Biar pun tewas, semangat juangnya semakin mencanak. Susun atur strategi dan gerak kerja parti semakin diperhebatkannya. Hal itu dikatakan amat membimbangkan BN dan dianggap punca utama Ustaz Abdul Latif terpaksa “direhatkan”. Pada 1983, beliau ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dibuang daerah ke Sitiawan, Perak.

Mungkin BN menjangka beliau akan kendur selepas dibebaskan. Namun perkara sebaliknya yang berlaku. Sambutan masyarakat terhadap Ustaz Abdul Latif semakin hebat. Justeru, pada PRU 1986, parti menggandakan amanah kepada beliau untuk bertanding di dua kerusi – Parlimen Besut dan Dun Kuala Besut.

Sejarah selepas PRU 1982 berulang lagi. Meskipun tewas, kesungguhannya mempertingkatkan gerak kerja parti amat mencabar BN. Maka, menerusi Operasi Lalang 1987, Ustaz Abdul Latif ditahan di bawah ISA pula.

Namun, semakin ditekan dan dizalimi, semakin dia mendapat simpati dan sanjungan masyarakat. Ustaz bagaikan telah “menakluk” jiwa para pejuang di Besut ketika itu. Maka sejurus dibebaskan dari cengkaman akta zalim itu, Ustaz diangkat menerajui PAS Kawasan Besut. Beliau menjadi Yang Dipertua selama sedekad (1988-98). Di masa sama beliau turut aktif sebagai AJK Dewan Ulama PAS Pusat.

Pengorbanan beliau sedikit “terbayar” pada PRU 1990. Ustaz berjaya menewaskan BN di DunJertih, sekaligus menamatkan kemarau empat penggal tanpa kerusi di Besut. Kerusi itu bagaimana pun gagal dipertahankan pada PRU 1995.

Tahun 1998 merupakan “Tahun Dukacita” buat PAS Besut, terutama Ustaz Abdul Latif. Di atas beberapa faktor munasabah, PAS Pusat mengambil keputusan menggantung pentadbiran PAS Besut. Para penyokong kuat Ustaz tidak dapat menerima tindakan itu. Mereka melakukan beberapa tindakan yang tambah mengeruh dan menegangkan suasana.

Akhirnya, PAS Pusat tiada pilihan melainkan memecat Ustaz Abdul Latif dan beberapa bekas pemimpin PAS Besut lain. Bermula saat itulah, kariernya di dalam parti terus malap. Beliau malah dilihat muncul di pentas BN beberapa kali.

Namun, bak kata orang-orang tua, “biduk lalu, kiambang bertaut”, begitulah juga perihal Ustaz dan PAS. Hanya sejurus selepas PRU 2004, dan setelah melihat kejatuhan kerajaan PAS Terengganu, mula kedengaran kekesalan dari kalangan penyokong kuat Ustaz.

Alhamdulillah, menjelang PRU 2008, Ustaz Abdul Latif mengisytiharkan dirinya sudah bersedia kembali ke pangkuan PAS. Bagi membuktikan kesungguhan itu, beliau malah menjemput kepimpinan tertinggi parti membuat program besar di pekarangan rumahnya.

Semangat dan kesetiaan itu dipercayai beliau pegang hingga ke akhir hayatnya. Sekalung doa keampunan dan kerahmatan Allah buat penakluk jiwa pejuang ini. - HARAKAHDAILY, 7/7/2014

Sumber HD - 7-7-2014

Takziah buat keluarga Allahyarham Sharifah Aini

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sharifah Aini, 61, yang kembali ke rahmatullah sekitar jam 1.26 pagi tadi di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

“Biduanita Negara ini sangat dikenali dalam dunia seni dan pencapaian yang hebat di sepanjang kariernya,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Katanya, negara kehilangan seorang tokoh tanah air khususnya melalui lagu-lagu popularnya dan juga lakonan.

“Moga roh allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 5/7/2014

Sumber HD - 5-7-2014

Biduanita Sharifah Aini meninggal dunia

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meninggal dunia awal pagi tadi di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru.

Biduanita yang berusia 61 tahun itu dimasukkan ke unit rawatan rapi pada Selasa lalu akibat kesukaran bernafas awal pagi Isnin.

Allahyarhan yang lebih dikenali sebagai Kak Pah telah dikesan menghidap fibrosis paru-paru sejak dua tahun lalu.

Jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zohor.

Pada tahun 2006, atas sumbangan beliau kepada industri hiburan tanah air, allahyarham telah dikurniakan gelaran sebagai Biduanita Negara.

Sharifah Aini merupakan anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953. - HARAKAHDAILY 5/7/2014

Sumber HD - 5-7-2014

Yang Dipertua PAS Bera kembali ke rahmatullah

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

BERA: Setelah kira-kira 80 hari terlantar dan bergelut dengan penderitaan akibat pecah saluran darah dalam otak, akhirnya jam 3 pagi tadi Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Bera, Ustaz Sulaiman Muhamad, 52, meninggal dunia di wad neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut waris, doktor mengesahkan allahyarham menghadapi masalah jantung dan komplikasi buah pinggang.

Beliau meninggalkan balu Suhaila Abd Mutalib dan lima orang cahaya mata berusia antara enam hingga 17 tahun.

Sulaiman menjawat YDP Kawasan bermula 2005 hingga sekarang dan sebelum itu Naib Ketua Pemuda PAS Temerloh.

Allahyarham yang juga AJK Badan Perhubungan PAS negeri, merupakan pendakwah sepenuh masa dan juga pentadbir pondok pengajian Padang Luas, dekat sini.

“PAS kehilangan seorang pemimpin berdisiplin dan pejuang Islam yang tidak pernah mengenal erti penat sejak zaman mudanya,” kata Timbalan YDP PAS Bera Musaniff yang juga Bendahari PAS Pahang.

Jenazah allahyarham disemadikan di tanah perkuburan Bukit Keledang, iaitu di kampung asalnya setelah disolatkan di Masjid Padang Luas dan Bukit Keledang oleh pemimpin PAS Pahang, sahabat serta anak-anak murid beliau. - HARAKAHDAILY 26/6/2014

Sumber HD - 26-6-2014





Ucapan takziah pemimpin Pakatan Rakyat

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Ketika jenazah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik disemadikan, ucapan takziah bertali arus diterima daripada pelbagai pihak.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan menyampaikan salam takziah kepada isteri Allahyarham, Toh Puan Zaitun Salleh di atas pemergian Ustaz Abu Bakar yang terbabit dalam kemalangan Subuh tadi.

"KEADILAN juga mengucapkan takziah kepada PAS yang kehilangan seorang lagi pemimpin Pusatnya, yang juga pemimpin PAS di Terengganu, selepas pemergian Almarhum Dato’ Harun Taib.

"Saya bersama Saudara Anwar Ibrahim, secara peribadi mengenali Almarhum Ustaz Abu Bakar di sekitar 1970-an, kerana beliau antara penggerak awal Abim di Terengganu yang banyak bergandingan dengan Saudara Anwar.

"Moga rohnya ditempatkan di kalangan syuhada dan salihin. Al-Fatihah," kenyataan media itu dipetik.

Naib Presiden PKR, Tian Chua turut mengucap takziah di atas pemergian Allahyarham.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai ahli strategi pilihan raya yang hebat dan pemimpin yang punyai inspirasi.

"Berita pemergian Ustaz Abu Bakar Chik sungguh menyedihkan. Takziah kepada ahli keluarga dan PAS atas kehilangan seorang tokoh yang handal," ujarnya di laman twitter.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengucapkan takziah kepada PAS dan anggota keluarga Allahyarham Ustaz Abu Bakar.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad pula mendoakan semoga Allah SWT merahmati dan memberkati Almarhum Ustaz Abu Bakar, dan menggolongkannya dari kalangan syuhada dan salihin. - HARAKAHDAILY, 23/6/2014

Sumber HD - 23-6-2014

Jenazah Ustaz Abu Bakar dikebumi selepas Asar

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: Solat jenazah Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik dijadual diadakan di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring selepas Asar hari ini.

Ketika ini jenazah telah dibawa pulang ke kediaman beliau bersebelahan MTT untuk diziarahi oleh ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut beliau, Allahyarham Ustaz Abu Bakar adalah tokoh PAS dan pemimpin masyarakat yang terlalu banyak jasanya kepada parti di peringkat negeri maupun peringkat pusat yang telah bergelumang seluruh hidupnya demi agama Islam dan perjuangannya sehingga penghujung hayat beliau.

"Tarikh kembalinya beliau kerahmatullah sama dengan tarikh pemergiaan bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor, 12 tahun yang lalu.

"Semoga keluarga beliau tabah dalam mghadapi ujian berat ini dan semoga roh beliau di tempatkan bersama roh para mujahid dan para syuhada insyaAllah," kata beliau.

Datuk Abu Bakar Chik meninggal dunia awal pagi ini selepas kereta yang dinaiki bersama pembantunya Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil.

Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu manakala Hasmizi yang memandu kereta Toyata jenis Camry tersebut cedera.

Menurut maklumat, kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.

Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar. - HARAKAHDAILY 23/6/2014


Sumber HD - 23-6-2014







PAS rakam takziah, kehilangan besar buat gerakan Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan ahli keluarga Almarhum Ustaz Datuk Abu Bakar Chik yang telah pulang ke rahmatullah pada pagi ini.

"Sesungguhnya pemergian beliau adalah amat mengejutkan, merupakan suatu kehilangan besar bukan sahaja kepada parti tetapi kepada dunia gerakan Islam seluruhnya.

"Semoga jasa dan ilmu yang disampaikannya kepada kita menjadi amalan soleh yang berterusan di sisi Allah SWT," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berdoa semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan para pejuang Islam dan solihin.
Ustaz Abu Bakar yang juga AJK PAS Pusat meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuh raya Pantai Timur pagi tadi, - HARAKAHDAILY 23/6/2014

Sumber HD - 23-6-2014

Menteri Besar Kelantan ucap takziah

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengucapkan takziah di atas pemergian Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik yang meninggal dunia awal pagi ini.

Beliau menyifatkan pemergian allahyarham seorang pejuang yang setia dalam jemaah juga sukar dicari ganti.

"Kita juga telah kehilangan seorang pimpinan ulama yang banyak berjasa kepada ummah," ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ustaz Ahmad akan ke Terangganu untuk turut serta menunaikan solat jenazah allahyarham.

Sehubungan itu, beliau menasihati seluruh anggota jemaah Islam khususnya rakyst Terengganu sabar menerima berita sedih itu.

"Moga Allah menerima segala amal baik allahyarham selqma ini untuk jemaah Islam," ujarnya. - HARAKAHDAILY 23/6/2014

Sumber HD - 23-6-2014

Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia

KHAIRUL AZLAM MOHMAD | .

KUALA TERENGGANU: AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di Lebuh raya Pantai Timur, pagi ini.

Buat masa ini, jenazah beliau masih berada di Hospital Hulu Terengganu.

(lanjut menyusul)

Sumber HD - 23-6-2014







Adun Bukit Assek Wong Ho Leng meninggal dunia

HARAKAHDAILY | .
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek daripada DAP, Wong Ho Leng, 54, meninggal dunia kira-kira jam 10.50 malam tadi di Sibu.

Bekas Pengerusi DAP Sarawak itu mengalami barah otak sejak tahun lepas pernah menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada awal tahun ini sebelum dimasukkan ke Pusat Pakar Perubatan Rajang di Sibu.

Pada Pilihan raya Negeri Sarawak yang berlangsung 16 April 2011, Wong memenangi kerusi Dun Bukit Assek dengan majoriti 8,827 undi apabila memperolehi 13,527 undi menewaskan Chieng Huong Toon (BN-SUPP) yang mendapat 4,700 undi dan calon Bebas, Hii Tiong Huat yang mengutip 180 undi.

Berdasarkan Dun Sarawak, kematian Adun selepas 20 Jun tidak perlu diadakan pilihan raya kecil kerana melebihi tempoh separuh penggal.

Mendiang yang memenangi kerusi Parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 2010 tidak bertanding PRU13 lalu atas faktor kesihatan. - HARAKAHDAILY 21/6/2014

Sumber HD - 22-6-2014

Jenazah Ummi Nadiah Filzah dibawa pulang ke rumah

BERNAMA | .

SEPANG: Jenazah pelajar Malaysia di Mesir, Ummi Nadiah Filzah Daud, 21, yang maut dalam kemalangan jalan raya dua minggu lepas di Mesir, tiba di Kompleks Kargo Terminal Tambang Murah ( LCCT) di sini hari ini.

Penerbangan yang membawa jenazah Allahyarham bersama ibu dan bapanya, tiba kira-kira 6 petang.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Borg el Arab lewat malam tadi.

Turut kelihatan di pintu masuk terminal di sini bagi menuntut jenazah Allahyarham, adalah abangnya dan saudara mara terdekat.

Turut berada di sini beberapa pegawai dari Kementerian Pendidikan.

Setelah urusan dokumentasi selesai, van yang membawa jenazah dilihat keluar dari terminal pukul 7.30 malam.

Seorang bapa saudara Allahyarham yang enggan namanya disiarkan berkata Allahyarham yang merupakan anak ketiga dari empat beradik, adalah seorang anak yang baik, peramah dan bijak.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tasik Putri, Rawang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di kawasan itu.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku bila van yang membawa Ummi Nadiah Filzah dan rakan-rakannya yang semuanya pelajar Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah melanggar bahagian belakang sebuah lori lalu terbabas.

Pelajar-pelajar itu tercampak keluar van. Lima pelajar lain cedera dan pemandu terselamat.

Pelajar-pelajar itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Borg el Arab untuk pulang bercuti semester di Malaysia. - Bernama

Sumber HD - 18-6-2014









Pelakon Nabil meninggal dunia



Takziah diucapkan kepada keluarga pelakon Nabil Abdul yang telah menghembuskan nafas terakhirnya akibat kanser lymphoma kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Memetik kenyataan rakan artis, Jihan Raja Lawak yang sama-sama menjayakan telefilem terbaru berjudul 'Jihan Nak Buat Rumah Terbuka', Allahyarham telah menghidap penyakit ini sejak berusia 21 tahun lagi namun sembuh selepas melakukan rawatan kemoterapi.

Namun, pada usia 29 tahun, penyakit itu kembali semula dan keadaannya bertambah serius sejak sebulan lepas sebelum dimasukkan ke Hospital Ampang, empat hari lalu.

Allahyarham dikenali menerusi iklan Kit Kat bersama M.Nasir yang ditayangkan beberapa tahun lalu.

Difahamkan, jenazah telah dikebumikan di kampung halamannya di Kulim, Kedah. Media Hiburan Online mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.


Sumber HD - 18-6-2014

Imam Besar Masjid Shah Alam kembali ke rahmatullah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin kembali ke rahmatullah di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi jantung pada jam 9.07 malam tadi.

Jenazah Almarhum disempurnakan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 8.00 pagi tadi sebelum dibawa ke kampung halamannya di Batang Kali untuk dikebumikan.

Almarhum dilahirkan pada 26 Disember 1974 di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Mendapat pendidikan tinggi di Markas Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Masjid Negeri (Martah), beliau juga pemegang Diploma Tahfiz Al-Quran wal Qiraat (Darul Quran Malaysia).

Menerima Ijazah Tahassus Qiraat daripada Universiti Al-Azhar Mesir, Almarhum sedang menyempurnakan Ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Selain bertugas sebagai imam besar, Almarhum juga ialah pensyarah jemputan di darul Quran, Kuala Kubu Bharu dan UiTM.

Pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu. - HARAKAHDAILY, 10/6/2014

Sumber HD -  10-6-2014

No comments:

Post a Comment