JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 17, 2014

JALINAN KASIH (KELAB VETERAN MUSLIMAT PAS) : USTAZAH JAMILAH IBRAHIM

Jalinan kasih erat hubungan veteran dan muslimat muda

SAIDAH HAIRAN | .



KUALA LUMPUR: Kelab Veteran Dewan Muslimat PAS Malaysia akan mengadakan program Jalinan Kasih Dewan Muslimat PAS Pusat bersama veteran Muslimat PAS dalam majlis "Kenangi Jasamu" bagi mengumpulkan semua bekas Ketua dan ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS negeri.

Ketua Kelab Veteran Dewan Muslimat PAS, Ustazah Jamilah Ibrahim berkata, majlis "Kenangi Jasamu" itu adalah satu kepedulian Dewan Muslimat PAS kepada jasa-jasa muslimat veteran yang banyak memberi sumbangan tenaga untuk memperkasakan parti.

Selain itu tambah beliau, ia juga merupakan satu usaha peringatan kepada tenaga muslimat muda supaya jangan mudah melupakan jasa-jasa muslimat veteran dalam mempelopori Dewan Muslimat PAS.

Katanya, usaha menegakkan syariat Islam menjadi kewajipan semua umat tanpa membezakan usia sama ada tua atau muda.

"Gabungan serta kerjasama antara golongan muda dengan veteran sebenarnya memudahkan lagi perjalanan menuju kemenangan," katanya.

Beliau yang memegang tampuk kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat selama sembilan penggal begitu kagum dengan kesungguhan muslimat veteran yang berada dalam Dewan Muslimat sejak mula memimpin sayap parti itu pada 1993.

Katanya, walaupun ada sebilangan golongan veteran yang mungkin sudah tidak mampu menyumbangkan tenaga, namun masih boleh memberi idea bagi menggerakkan parti.

"Kita tidak boleh tinggalkan mereka begitu sahaja, kita perlu dedahkan mereka dengan isu-isu semasa supaya mereka tidak ketinggalan dalam politik negara," tegasnya.

Menurut beliau, golongan veteran adalah tenaga penting yang menjadi pelopor serta penggerak untuk memajukan Dewan Muslimat PAS dari dulu hingga sekarang.

"Sedikit sebanyak sumbangan golongan veteran adalah untuk kemajuan Muslimat PAS hari ini dan kita tidak boleh biarkan begitu sahaja," katanya.

Program "Kenangi Jasamu" itu akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pada 22 Jun (Sabtu) bermula jam 11.00 pagi.

Pada program itu beberapa individu akan menerima anugerah berdasarkan sumbangan yang diberikan kepada parti khususnya Dewan Muslimat.

Seramai 50 aktivis veteran Muslimat PAS dijangka hadir pada majlis tersebut.

"Saya harap setiap negeri mengambil insiatif untuk menubuhkan unit veteran seperti mana yang diwujudkan di pusat bagi mengingati pengorbanan golongan veteran kepada Dewan Muslimat," katanya. - HARAKAHDAILY, 17/6/2014

Sumber HD - 17-6-2014

No comments:

Post a Comment