JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

KES DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH


Ops Bubar: Hukuman penjara diketepikan

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .


IPOH: Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan 10 daripada 13 orang yang ditahan dalam demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009 lalu didapati bersalah.

Namun penghujahan oleh barisan peguam yang diketuai oleh Bendahari PAS Pusat, Asmuni Awi dalam mitigasi berjaya meyakinkan Hakim, Datuk Ahmad Nashfi untuk mengetepikan hukuman penjara yang disabitkan ke atas 10 yang lain namun hukuman denda sebanyak RM5,000 setiap orang dikekalkan.

Asmuni ketika dihubungi berkata, beliau berpuas hati dengan hakim yang mendengar dengan baik penghujahan oleh barisan peguam perayu.

Pada awalnya, beliau berkata, Hakim telah memutuskan 3 daripada 13 perayu didapati tidak bersalah apabila pihak pendakwa gagal membuktikan kes dan dibebaskan tanpa disabitkan sebarang hukuman.

Katanya, setelah proses mitigasi, Hakim berpendapat bahawa hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan kepada 10 yang lain itu sebagai keterlaluan.

Ujarnya, Hakim mengambil kira penghujahan oleh peguam berkenaan faktor peribadi masing-masing perayu.

"Ada daripada mereka mempunyai pelbagai penyakit dan anak mereka mempunyai penyakit yang perlu pengawasan rapi.

"Dari kalangan perayu juga ada yang muda dan jika disabitkan hukuman penjara sudah pasti akan menjejaskan masa depannya.

"Hakim juga mengambil kira jasa dan pengorbanan perayu yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan," ujarnya.

Namun begitu, Asmuni berkata, barisan peguam akan melihat kembali keputusan kepada dua perayu yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 kerana ia akan menyebabkan karier kepada seorang daripadanya terjejas oleh kerana denda tersebut lebih daripada gaji yang diperoleh.

"Ia juga akan berisiko menjejaskan elaun persaraan seorang perayu.

"Kita perlu lihat semula, jika menjejaskan mereka kita akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu," jelasnya lagi.

Hadir sama dalam memberikan solidariti ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan barisan pimpinan Pakatan Rakyat bersama puluhan penyokong.

Pada 13 September lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada mereka kerana terlibat dengan demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009.

Pada masa yang sama Pemuda PAS Perak, melalui ketua pemudanya, Dr Raja Ahmad Iskandar merakamkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi Taiping itu.

“Bagi kami, ini adalah perjuangan rakyat dan kagum dengan semua Orang Kena Zalim (OKZ) yang mengharungi perbicaraan selama ini.” Ujar Raja Iskandar

Raja Iskandar juga mengucapkan tahniah juga kepada Pasukan Peguam yang bekerja keras membantu OKZ dan semua Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang memberikan sokongan moral selama ini.

“Kepada Ahli Keluarga OKZ, kami amat hargai pengorbanan mereka selama ini menunggu dengan penuh sayu dan mengharapkan keajiban selama perbicaraan berlangsung. Kepada semua yang memberikan sokongan selama ini, kami mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.” Ujarnya lagi.

Beliau turut merayu kepada orang ramai agar menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan bebaban OKZ yang terpaksa membayar denda RM5,000. Peringkat Pemuda PAS di setiap kawasan parlimen boleh menyalurkan sumbangan tersebut kepada PR Perak bagi tujuan tersebut.

Sumber HD - 27-6-2014

Ibu remaja OKU terabai didakwa

BERNAMA | .

SEREMBAN: Ibu remaja orang kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai baru-baru ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengabaikan dan meninggalkan anak tanpa pengawasan.

Lolanopita Sadi, 40, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Flat Taman Semarak, Nilai, antara Januari lepas hingga 21 Jun lepas.

Bagi pertuduhan mengabaikan anaknya itu, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan meninggalkan anak tanpa pengawasan dibuat mengikut Seksyen 33(c) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan.

Muhammad Firdaus dijumpai dalam keadaan menyayat hati serta kurus sehingga menampakkan benjolan tulang oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam sebuah
bilik di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di Nilai, Sabtu lepas.

Remaja malang itu ditemui Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman ketika operasi bersepadu di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.

Muhammad Firdaus kini ditempatkan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk rawatan pemulihan. - Bernama

Sumber HD - 27-6-2014


Mahkamah tangguh keputusan kes rayuan bunuh Altantuya

taufik | .
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam menangguhkan keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel lima anggota hakim menangguhkan keputusan kepada tarikh yang akan diumumkan kemudian sekepas pihak pendakwaan dan pembela mengakhiri hujah semalam.

Panel yang juga disidangi oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop, mendengar hujah dalam rayuan itu selama tiga hari mulai Isnin.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri, 37, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, atas pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi, hari berikut pada 2006.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos, tahun lepas membenarkan rayuan oleh kedua-dua anggota polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia itu dan menjatuhi hukuman mati ke atas kedua-dua mereka.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas (Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya. Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasannya.

Pada prosiding hari ini, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar berhujah bahawa anak guamnya telah dijadikan 'kambing hitam.'

Hakim Arifin kemudian berkata: "jika dia dijadikan kambing hitam, dia tentu dapat memberitahu mengapa dan oleh siapa. Semua orang akan berkata begitu. Kamu tidak boleh berkata bahawa kamu dijadikan kambing hitam tanpa sebab."

Kamarul Hisham berkata ada dua sebab seseorang dijadikan kambing hitam - yang pertama apabila seseorang menganiayai orang itu dan yang kedua bukti terhadap orang itu dipalsukan oleh polis.

"Anak guam saya menyatakan bahawa bukti dipalsukan terhadapnya dan menambah bahawa Sirul Azhar tidak tahu mengapa dia menjadi sasaran," kata beliau.
Kamarul Hisham berkata orang sebenar yang melakukan jenayah tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

Beliau berkata selepas polis mengesyaki Sirul Azhar berdasarkan beberapa bukti, mereka boleh memalsukan lebih banyak bukti.

Kamarul Hisham juga berkata Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul apabila memutuskan bahawa hakim Makamah Tinggi telah tersalah arah apabila tidak mempertimbangkan isu niat bersama untuk melakukan pembunuhan walaupun beliau mendapati kedua-dua mereka bersalah atas pertuduhan membunuh.

Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan Sirul Azhar keluar dari plaza tol menuju Kota Damansara tidak membuktikan penglibatannya kerana kerana dia biasanya melalui jalan itu untuk pulang ke rumahnya di Jalan Semarak.

Beliau juga berkata kehadiran Sirul Azhar bersama Azilah di kediaman Abdul Razak dan di Hotel Malaya, tempat penginapan Altantuya, ialah kerana menjalankan tugas sebagai anggota polis.
Dalam hujah balas, Timbalan Peguamcara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata ada keterangan mengikut keadaan yang menunjukkan penglibatan kedua-dua mereka dalam jenayah itu.

Beliau berkata alibi Azilah bahawa dia berada di Wangsa Maju ditolak berdasarkan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan melalui log panggilan yang menunjukkan dia berada di Bukit Aman dan kemudian ke kediaman Abdul Razak.

Tun Majid berkata siasatan polis juga menunjukkan bahawa Altantuya dibawa menaiki kereta Sirul Azhar dan menambah bahawa barang kemas wanita itu juga dijumpai dalam jaket hitam Sirul Azhar. - Bernama

Sumber HD - 26-6-2014

3 pelajar perempuan mengaku belasah junior

BERNAMA | .

SAMARAHAN: Tiga orang pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di sini yang didakwa membelasah seorang pelajar lain sekolah itu dan perbuatan mereka dirakam dalam video yang tersebar di Internet mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini semalam.

Ketiga-tiga mereka yang berumur 16 tahun itu mengakui di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ekoran pengakuan itu, Zulhairil memerintahkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 seorang dengan ibu bapa masing-masing sebagai penjamin sementara menunggu laporan akhlak mereka kepada mahkamah 11 Julai depan.

Mereka turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sehingga tarikh tersebut, hari sebutan semula kes itu.

Dalam kertas pendakwaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah yang sama kira-kira pukul 9.40 pagi 25 April lepas. - Bernama

Sumber HD - 24-6-2014



Kes bunuh: 'Tuhan Harun' & pengikut dibicara serentak

BERNAMA | .
KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan perbicaraan serentak kes bunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abd Malek membabitkan ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat (gambar) dan lima pengikutnya bermula Oktober.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman membuat keputusan itu selepas permohonan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khamizah Salleh.

Hakim Ab Karim menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 27 hingga 31 Okt.

Harun, 48, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 31; pemandu Harun, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38; dan tiga lagi pengikutnya, Jefferi Safar, 37, Sumustapha Suradi, 39; Shamsinar Abdul Halim, 37, dan seorang lagi yang masih bebas, dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka dengan niat membunuh Ahmad Raffli pada 10 Nov tahun lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa di Nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 tengah hari, 10 Nov 2013.

Sumustapha, Shamsinar dan seorang lagi yang masih bebas juga dituduh membunuh Ahmad Raffli pada tempat, tarikh dan masa yang sama.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan. - Bernama

Sumber HD - 23-6-2014

Larangan Herald guna kalimah Allah kekal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Katolik Malaysia mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap larangan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan mereka, Herald.

Dengan penolakan oleh mahkamah paling tinggi itu, maka larangan penggunaan kalimah tersebut dalam penerbitan Herald seperti diputuskan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah kekal dan muktamad.

Empat daripada tujuh panel hakim menolak permohonan gereja itu untuk merayu, dengan memetik Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang tepat untuk melarang penggunaan itu dalam terbitan mingguan Katolik berkenaan.

Ketua Hakim Arifin Zakaria yang mengetuai panel tujuh hakim itu berkata, Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar berkongsi pendapat yang sama. - HARAKAHDAILY 23/6/2013

Sumber HD - 23-6-2014







Papa Gomo mohon tangguh bayar kepada Anwar ditolak

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: "Saya cuba mohon dengan mahkamah untuk bayar RM100 sebulan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sekarang hanya bekerja sebagai nelayan," kata pengendali blog Papa Gomo selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM800,000.

Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papa Gomo) berkata demikian kepada pemberita di luar mahkamah dan turut memberitahu bahawa telah menjual saham miliknya di KL POS Media & Production Sdn Bhd.

Katanya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rosilah Yop bagaimanapun menasihatkan beliau supaya berbincang perkara itu dengan Anwar sendiri.

Hari ini Rosilah menolak permohonan Wan Muhammad Azri dengan kos RM5,000, di dalam kamar dengan dihadiri peguam Shahid Adli yang mewakili Anwar dan Wan Muhammad Azri, yang mewakili diri sendiri.

Shahid berkata Rosilah membuat keputusan itu atas alasan tiada sebab untuk membenarkan penangguhan.

Tambahnya, rayuan Wan Muhammad Azri terhadap keputusan Rosilah yang memerintahkan ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 telah ditetapkan pada 24 Jun untuk pengurusan kes di depan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan.

Pada 28 Feb, Rosilah memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata daripada keterangan yang dikemukakan, beliau mendapati Wan Muhammad Azri ialah blogger Papa Gomo dan telah menerbitkan kenyataan memfitnah dalam blognya.

Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhamamad Azri pada 21 Mac tahun lepas dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. - Bernama

Sumber HD - 20-6-2014

Azilah Hadri ditangkap khalwat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, Cif Inspektor Azilah Hadri, hari ini ditangkap khalwat bersama seorang anggota polis wanita.

Mereka dikatakan ditangkap oleh suami wanita terbabit yang juga seorang anggota polis pada kira-kira pukul 2 pagi di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan khalwat itu.

Katanya, Azilah, anggota Unit Tindakan Khas dan wanita tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor atas pertuduhan khalwat dan polis juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib terhadap mereka.

"Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Isnin ini, Azilah sepatutnya hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan pelepasannya bersama seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Koperal Sirul Azhar Umar, 43.

Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Oktober 2006. - Bernama

Sumber HD - 19-6-2014







"Umno celaka": Pendakwaan ditangguh

BERNAMA | .
GEORGE TOWN: Pendakwaan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer (bold) mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang sepatutnya dilakukan hari ini di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Rayer, berkata pihaknya menerima notis tentang penangguhan itu daripada Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Penasihat Undang-undang Pulau Pinang Datuk Razali Che Ani pagi ini.

"Kami tidak pasti apa yang berlaku dan perkara ini jarang berlaku, pihak kami akan mendapatkan penjelasan daripada Peguam Negera mengenainya," katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah di sini.

Semalam Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata Rayer, 43, yang juga seorang peguam, akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 berikutan terdapat 14 laporan polis berhubung kenyataan wakil
rakyat berkenaan.

Adun daripada DAP itu sebelum ini mencetuskan kemarahan anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan Melayu selepas mengeluarkan perkataan 'Umno celaka' pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, 20 Mei lepas.

Rayer bukan sahaja enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataan itu malah mengulanginya dalam ceramah terbuka DAP ketika berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.

Selain Gobind Singh, Ramkarpal Singh dan S.Raveentharan juga mewakili Rayer. - Bernama

Sumber HD - 19-6-2014

Mahkamah tolak saman bekas pemain bola sepak KL

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur Hafizi Roslee terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Saman pemula itu adalah berhubung penggantungan seumur hidup bekas pemain itu kerana didapati terbabit dalam skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan kedua-dua defendan untuk memutuskan isu undang-undang yang dikemukakan mengikut Aturan 33 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tanpa melalui perbicaraan penuh.

Keputusan itu dibuat dalam kamar dengan dihadiri peguam Kevin de Rozario, mewakili Hafizi dan peguam Richard Bong mewakili kedua-dua defendan.

Richard ketika ditemui pemberita berkata tuntutan Hafizi ditolak dan mahkamah memerintahkan kos RM6,000 dibayar kepada kedua-dua defendan.

Dalam keputusan itu, Rosilah berkata mahkamah mendapati Hafizi, selaku plaintif tidak menggunakan segala remedi yang diperuntukkan kepadanya di bawah Statut FAM atau Kod Tatatertib FAM (Edisi 2012) sebelum membawa pertikaian yang dihadapinya ke mahkamah.

Rosilah berkata mengikut Artikel 68 Statut FAM, plaintif tidak dihalang untuk membawa tindakan terhadap jawatankuasa FAM ke mahkamah, tetapi sebelum tindakan itu dibuat plaintif perlu merujuk pertikaian itu dengan Jawatankuasa Rayuan FAM atau pihak timbang tara atau forum domestik persatuan terlebih dahulu.

"Klausa sebegini adalah sah dan tidak bertentangan dengan undang-undang atau polisi awam dan adalah merupakan kelaziman bahawa mahkamah tidak akan campur tangan dalam urusan persatuan," katanya.

Pada 26 Feb lepas, Hafizi, 29, memfailkan saman pemula itu terhadap FAM dan KLFA, selaku defendan dengan memohon satu perintah supaya mahkamah membatalkan keputusan FAM yang menggantungnya seumur hidup daripada sebarang kegiatan bola sepak.

Hafizi turut memohon deklarasi bahawa segala tatacara dan prosiding tatatertib, hukuman dan rayuan dalam Kod Tatatertib FAM Edisi 2012 adalah tidak berperlembagaan, sebarangan dan bercanggah dengan peraturan keadilan asasi serta dasar awam.

Beliau juga memohon satu deklarasi bahawa perbicaraan yang dikendalikan FAM tanpa kehadirannya pada 20 Dis tahun lepas adalah batal dan tidak sah.

Pada 20 Dis tahun lepas, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup selain denda berjumlah RM20,000 kepada Hafizi dan empat pemain skuad Kuala Lumpur yang didapati bersalah dalam skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Mereka yang lain adalah Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie dan Jeremy Danker.

Selain itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskovsky dari Slovakia; Penolong Pengurus Rosli Omar dan Pegawai Pasukan Saari Jani yang didapati bersalah oleh jawatankuasa berkenaan, turut menerima hukuman sama. - Bernama

Sumber HD - 18-6-2014









Mayat Teoh dikebumi ikut cara Buddha

BERNAMA | .
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan wanita yang meninggal dunia dan didakwa mualaf Teoh Cheng Cheng atau nama Islamnya Nora Teoh Abdullah, 38, ialah seorang yang bukan beragama Islam.

Mahkamah turut membenarkan mayat Teoh diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha selepas wanita itu diisytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Zaim Md Yudin selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Dalam penghakimannya, Zaim berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan kepada beliau, terdapat keraguan dalam borang permohonan kemasukan Islam si mati yang mengandungi tiga tarikh berbeza selain proses permohonan si mati tidak mengikut prosedur operasi standard Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

"Terdapat keraguan dalam borang tersebut iaitu isu tarikh yang berbeza, ada tiga tarikh. Pertama, tarikh dalam buku daftar iaitu pada 10 Nov 1997, tarikh di muka surat pertama borang permohonan untuk masuk Islam pada 6 Dis 1997 dan tarikh akuan pihak si mati menandatangani borang itu pada 16 Dis 1997.

"Plaintif tidak dapat memberi alasan yang konkrit tentang perkara ini. Mahkamah juga mendapati tarikh 10 Nov 1997 adalah selepas 10 hari si mati melahirkan anak sulungnya, jadi agak pelik si mati yang baru bersalin, hadir ke JAIPP untuk mendaftar masuk Islam.

"Dokumen yang dikemukakan plaintif juga tidak mempunyai tandatangan pegawai bertanggungjawab pada borang tersebut. Jadi, timbul keraguan sama ada mungkin berlaku kesilapan manusia semasa proses permohonan si mati atau memang tidak pernah berlaku perkara itu pada tarikh-tarikh tersebut," katanya.

Zaim berkata keputusan itu juga berdasarkan keterangan yang dikemukakan teman rapat keluarga serta anak sulung si mati yang menyatakan Teoh tidak mengamalkan cara hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

Beliau berkata anak sulung si mati yang merupakan saksi keempat menyatakan kali terakhir mereka bersembahyang mengikut ajaran Buddha adalah pada bulan lepas sebelum kematian Teoh.

Katanya tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan si mati pernah hadir ke JAIPP untuk mendalami agama Islam setelah proses permohonan untuk memeluk agama Islam.

Empat orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan iaitu dua saksi bagi pihak MAIPP iaitu wakil pendaftar mualaf dan dua saksi bagi pihak keluarga si mati iaitu teman rapat keluarga serta anak sulung si mati yang berusia 17 tahun.

Pihak keluarga diwakili peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala MAIPP diwakili peguam Noor Asyimah Ramli.

Teoh yang didakwa memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarganya, meninggal dunia pada Sabtu lepas, di Pangsapuri Pelangi, Lintang Macallum dekat sini. - Bernama

Sumber HD - 12-6-2014

Ketua aktivis PPIM didakwa cederakan aktivis pengguna

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (gambar) dan seorang ahli persatuan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang aktivis pengguna, Mac lalu.


Nadzim, 54, dan Tengku Faezah Raja Fuad, 32, kedua-duanya Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azura Murah.


Kedua-dua mereka didakwa mencederakan Adam Mikail, 43, yang juga pemegang kerakyatan tetap di Perancis, di Tingkat 3, Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, di sini pada pukul 12 tengah hari, 28 Mac lalu.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah bahawa tidak perlu ada sebarang jaminan kerana kes ini membabitkan kes saman.


Bagaimanapun, beliau berkata pihak pendakwaan berharap kedua-dua mereka akan hadir pada setiap tarikh yang ditetapkan mahkamah.


Mahkamah kemudian melepaskan mereka yang diwakili peguam Hasnal Rezua Merican tanpa sebarang jaminan dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Sumber HD - 10-6-2014

No comments:

Post a Comment