JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 24, 2014

NGO PRO ISLAM - MAPIM / TERAS / ABIM / IKRAM / WADAH (JILID 2)

BLOG BERKAITAN - tamansriraya.blogspot.com

Bersedekah pun boleh kena saman?

HARAKAHDAILY | .
PERNYATAAN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman saman mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, Teras.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan bahawa saman kepada pemberi tidak perlu kerana masih banyak mekanisma lain yang boleh digunakan. Menurut beliau, Akta Orang Papa 1997 (Akta 183) boleh digunapakai untuk menyelesaikan masalah ini. Namun, kelemahan dalam pelaksanaannya menyebabkan ramainya peminta sedekah.

Yang berikut kenyataan penuh Teras.

TERAS Pengupayaan Melayu (Teras) memberi perhatian kepada kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketatkan .

Kami menyambut pihak berkuasa yang berusaha untuk mengatasi isu mengemis dan gelandangan di Ibu kota. Namun dengan cara menyaman pemberi sedekah adalah menyalahi semangat membantu yang digalakkan oleh Islam.

Adalah tidak sesuai orang yang mahu membantu disaman, padahal bukan suatu kesalahan untuk bersimpati dengan pengemis yang benar-benar susah.

Kami terima hakikat bahawa mengemis tidak harus dibiarkan kerana sepatutnya budaya yang tidak sihat ini tidak boleh dibenarkan berleluasa dalam masyarakat. Sepatutnya punca budaya ini berleluasa di negara ini harus diteliti dan penyelesaian yang lebih berkesan perlu dirangka.

Adalah pelik untuk memperundangkan orang yang mahu menghulur bantuan tiba-tiba dihulur surat saman. Ini bukan suatu peraturan yang bijak. Mengendalikan isu pengemis memang sukar. Lantaran telah menjadi ciri dalam mana-mana kota atau bandar akan ada pengemis terutama ditempat pengunjung yang ramai dikota.

Membenterasnya harus menumpu kepada punca dan masyarakat tahu bagaimana melaporkan kepada pihak yang berkuasa untuk bertindak agar pengemis tidak berleluasa di kawasan yang didapati ramai pengemis .

Pihak berkuasa perlu menimbangkan kaedah yang lain untuk membenteras gejala mengemis. Punca mengemis bukan disebabkan kerana ramai dalam kalangan masyarakat yang suka memberi tetapi ialah kerana wujudnya keadaan yang tidak dikawal sehingga pengemis berleluasa.

Tidak dinafikan adanya gelaja mengemis dalam kalangan rakyat tempatan dan asing yang semakin meningkat dewasa ini .

Setahu kami pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah ada melaksanakan operasi menyelamat pengemis dari semasa ke semasa berdasarkan Akta Orang Papa 1977 (Akta 183). Operasi ini diadakan secara kerjasama padu di antara agensi penguatkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri/Daerah.

Institusi yang sedia ada seperti pihak kebajikan masyarakat dan zakat juga seharusnya digembleng bersama untuk mengatasi gejala mengemis dalam masyarakat.

Sepatutnya Menteri Wilayah menggunakan pendekatan bekerjasama dengan agensi yang berkenaan untuk mengatasi isu mengemis di kota raya.

Kami melihat mekanisme yang sedia ada perlu digunapakai dan tidak perlu mewujudkan peraturan baru untuk menyaman orang yang memberi sedekah kepada pengemis.

Melalui operasi menyelamat yang dijalankan, pengemis dan kutu rayau akan ditahan sementara selama sebulan mengikut seksyen 3(2), Akta Orang Papa 1977 bagi menjalankan siasatan serta menyediakan laporan sosial.

Sekiranya terbukti seseorang itu adalah pengemis atau kutu rayau, maka majistret boleh mengeluarkan perintah masuk ke pusat pemulihan selama tiga tahun untuk pemulihan di Desa Bina Diri, Jerantut, Pahang (lelaki) atau Desa Bina Diri Mersing, Johor (lelaki dan wanita) mengikut seksyen 3(4) Akta Orang Papa 1977.

Manakala bagi pengemis warga asing, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Soalnya sejauhmana pihak berkuasa tersebut melaksanakan penguatkuasaan. Ini yang perlu diberi tumpuan dan dikemaskan. – HARAKAHDAILY 3/7/2014

Sumber HD - 3-7-2014

Tersingkir pensyarah angkara jaga hati 'tuan politik'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) menyesali campurtangan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam isu kepimpinan UMcedel yang membawa kepada ‘tersingkirnya’ Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dari jawatannya sebagai pengarah.

Beliau yang sepatutnya memegang jawatan hingga Disember 2014, telah ‘disingkirkan’ pada bulan April yang lalu, iaitu lapan bulan lebih awal melalui percaturan yang membawa kepada pelantikan pengarah yang baru.

"Seperti yang diketahui umum, peranan Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman amat instrumental dalam mengangkat UMcedel sebagai sebuah pusat kajian demokrasi dan pilihan raya yang berwibawa," ujar Setiausaha Agungnya, Abdul Halim Ismail dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya sekaligus mengangkat nama Universiti Malaya ke tahap yang membanggakan sebagai sebuah universiti yang mendukung kebebasan akademik.

Katanya lagi, kajian-kajian yang dibuat secara profesional berjaya meningkat dan mempertajamkan pemikiran masyarakat bahkan membantu para pembuat dasar dan juga ahli-ahli politik dalam memahami realiti sebenar di lapangan.

Seperti selalunya, ujar beliau sebahagian dari hasil kajian, terutama apabila melibatkan amalan demokrasi dan pilihan raya, akan menemukan hal-hal yang berlawanan dengan persepsi yang sedia ada, sebahagiannya adalah hard truths yang menyakitkan.

Tambah beliau, tetapi itu semua harus diterima oleh semua pihak, termasuk pemerintah, dengan hati terbuka, rasional dan objektif demi merealisasi sebuah masyarakat sivil yang berasaskan prinsip demokrasi.

Baginya, amat mendukacitakan apabila ada pihak yang tidak berpandangan jauh, yang barangkali didorong oleh kepentingan peribadi serta keinginan bagi menyenangkan hati pihak-pihak tertentu, terutama ‘tuan-tuan politik’ mereka, lalu membuat rencana yang membawa kepada ‘tersingkirnya’ Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman dari jawatannya.

"Kes beliau tidak banyak berbeza dari kes-kes ‘penganiayaan’ sebelum ini yang juga berakhir dengan ‘penyingkiran’ beberapa orang ahli akademik yang berani speak their minds bila sahaja pandangan mereka berbeza dengan pandangan pemerintah," katanya lagi.

Justeru, kata beliau Wadah berpandangan Kementerian Pendidikan seharusnya membuat keputusan dan bertindak lebih profesional, objektif dan adil, sekiranya benar-benar ingin menjadikan universiti sebagai pusat kecermerlangan bertaraf dunia.

Beliau menegaskan, universiti mesti menjadi medan yang meraikan percambahan idea dan pemikiran sekalipun berbeza dengan idea dan pandangan the establishment.

Dari kepelbagaian ini, ujar beliau idea dan pemikiran yang baik dapat disaring dan diangkat untuk diaplikasi bagi kesejahteraan umat.

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memikir semula, back to the drawing board, dan membuat soul-searching bagi menentukan apakah langkah-langkah yang diambil membantu membina masa depan bangsa atau hanya memundurkannya. - HARAKAHDAILY 2/7/2014

Sumber HD - 2-7-2014


Kepala lembu: Respons menteri tidak cerminkan ajaran Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) amat kesal dengan respons yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri berkaitan insiden kepala lembu yang ditinggalkan di luar rumah seorang ahli politik beragama Hindu di Pulau Pinang.


Presiden Abim, Amidi Abd Manan berkata, perbuatan itu dengan jelas adalah satu penghinaan terhadap penganut agama Hindu.

"Respons yang diberikan oleh beliau tidak mencerminkan ajaran Islam," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Islam mengajar umatnya agar menghormati agama lain dan menegah sebarang perilaku yang bermotifkan penghinaan.

"Tegahan ini jelas disebut dalam Surah al-An'am ayat 108 yang menegaskan bahawa penghinaan terhadap sembahan agama lain akan menyebabkan penganut agama lain menghina agama Islam," ujarnya lagi.

Beliau menambah, respons yang sedemikian memberikan imej yang negatif selaku pemimpin 'negara Islam' yang tidak mempraktikkan ajaran al-Quran.

Sepatutnya, kata beliau kenyataan berkaitan status Malaysia sebagai negara Islam mestilah disertai dengan perkataan, sikap dan tindakan yang benar-benar menepati ajaran Islam terutamanya perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara pelbagai agama. - HARAKAHDAILY 30/6/2014

Sumber HD - 30-6-2014




Mapim, Teras sifatkan Ustaz Bakar sukar dicari ganti

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Gerakan Islam dan umat Islam kehilangan seorang tokoh dakwah dan pejuang Islam yang sukar dicari ganti dengan pemergian Almarhum Datuk Ustaz Abu Bakar Chik pagi semalam, kata Presiden Majlis Perunding Islam (Mapim) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sehubungan itu, beliau mewakili seluruh warga Mapim dan Teras menyampaikan takziah kepada ahli keluarga Almarhum berdoa agar roh beliau tergolong dalam kalangan syuhada, salehin dan siddiqin.

"Kami sangat terasa kehilangan beliau lantaran beliau bukan sekadar seorang aktivis Islam malah beliau adalah pemimpin umat.

"Ribuan kader muda yang lahir dari sentuhan asuhan beliau. Beliau telah menunjukkan erti kemurnian pejuangan Islam yang tulen melalui pengalaman pahit manis melalui pelbagai tahap perjuangan," ujar Cikgu Azmi dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, sepanjang berinteraksi dengan Almarhum Ustaz Abu Bakar, wataknya sebagai seorang pejuang senior Islam dalam pelbagai situasi sangat terrserlah.

Ustaz Abu Bakar, tambah beliau tidak putus-putus berkongsi pemikiran dan idea meneroka pendekatan Islam dalam pelbagai medan dan bidang dakwah.

"Wawasannya melihat pergolakan Islam di seluruh dunia sangat dinamik dan jelas pembacaannya," jelas Cikgu Azmi.

Beliau menambah, gerakan Islam, medan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) tanah air kini kehilangan seorang tokoh yang telah menjadi aset umat.

Cikgu Azmi menyifatkan inisiatif Almarhum untuk melahirkan pelbagai lembaga dan wadah Islam khususnya dalam bidang pendidikan sebagai tidak ada tolok bandingnya.

"Kecerdasan beliau menumpu persoalan pendidkan Islam untuk umat sangat cemerlang. Umat kehilangan aktivis pendidikan Islam yang sangat besar.

"Keghairahannya terhadap pelbagai aspek pembangunan pendidikan Islam menjadi pencetus dan inspirasi mengusahakan pembaikan dan pengukuhan martabat pendidikan umat," tegasnya lagi. - HARAKAHDAILY, 24/6/2014

Sumber HD - 24-6-2014




Raja-Raja Melayu perlu campur tangan kes bapa muallaf

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memohon Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan dalam kes Ridzuan Abdullah, seorang mualaf yang diarah Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan anaknya Ummu Habibah yang dibesarkannya dengan pendidikan Islam kepada bekas isteri beragama Hindu , Indra Ghandi.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan yang bercanggah antara Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh dan Mahkamah Tinggi Ipoh kini telah menyebabkan kedudukan pengIslaman dan hak menjaga tiga anak yang telah diIslamkan Ridzuan kini dalam keadaan tidak menentu.

“Salah seorang anak yang dijaga sendiri oleh Ridzuan iaitu Ummu Habibah sudah boleh mengamalkan solat dan membaca Al Quran .

“Ridzuan masih tidak mahu menyerah Ummu Habibah kerana patuh kepada keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh.

“Ridzuan telah mendapat keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menetapkan beliau berhak menjaga anak yang telah diIslamkan itu,” jelas Azmi.

Mapim kesal kerana kedudukan anak-anak Ridzuan yang telah diIslamkan kini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Menurut Azmi, hak hadhanah (penjagaan) dan pengIslaman anak-anak tersebut sepatutnya diputuskan oleh Hakim yang mempunyai latarbelakang pengetahuan Islam .

Tambah beliau, adalah tidak mungkin seorang Hakim bukan Islam dapat memahami perundangan Islam untuk menentukan kedudukan kes tersebut di Mahkamah Tinggi.

Mapim ujarnya menggesa masyarakat dan institusi keadilan negara agar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh yang memutuskan Ridzuan sebagai penjaga anaknya.

“Kami berpendirian status keIslaman kanak-kanak itu perlu dihormati dan dipertahankan setelah beliau diperbesarkan dalam suasana Islam oleh bapanya sejak umurnya 11 bulan sehingga kini sudah mencecah umur 6 tahun.

“Keadaan yang sedia ada iaitu Ummi Habibah sudah mengamalkan budaya hidup Islam bersama bapanya sangat perlu dihormati dan tidak perlu diganggu gugat,” kata Cikgu Azmi.

Beliau menambah, oleh kerana wujud percanggahan keputusan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, jalan keluar terbaik adalah menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagai penjaga agama Islam di negara ini.

Bidangckuasa Mahkamah Syariah juga, jelas beliau tidak boleh digugat oleh Mahkamah Sivil seperti termaktub dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berpendirian menjaga maruah dan status agama Islam dinegara ini agar ia berada pada kedudukannya yang tertinggi, mengikut tafsiran Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah penting agar keharmonian di negara ini terjamin,” ujarnya. - HARAKAHDAILY, 8/6/2014

Sumber HD - 8-6-2014

No comments:

Post a Comment