JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Monday, June 30, 2014

KOMPONEN PR - PARTI KEADILAN RAKYAT



Kes Nurul Izzah saman Utusan diteruskan

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan untuk proses mediasi hari ini.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Aziz dan Utusan ketika ditemui pemberita memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju untuk perbicaraan, dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 21 dan 22 Ogos depan.

Proses mediasi itu dijalankan di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim yang turut dihadiri peguam Azhana Mohd Khairuddin yang mewakili Nurul Izzah.

Prosiding mediasi itu turut dihadiri Nurul Izzah dan Aziz.

Pada 23 Nov 2012, Nurul Izzah selaku plaintif memfailkan saman itu dengan mendakwa Aziz dan Utusan, sebagai defendan pertama dan kedua, memutarbelitkan kenyataannya dalam forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, mendakwa empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya itu diterbitkan akhbar Utusan Malaysia pada 5 dan 7 Nov, 2012.

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah itu, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau dan kos difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

Sumber HD - 3-7-2014

Khalid akur orang kanan kena tindakan disiplin parti

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akur terhadap tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenakan hukuman ke atas dua orang kanannya atas kesalahan melanggar disiplin ketika pemilihan parti.

Bagaimanapun, Abdul Khalid menasihatkan Setiausaha Politiknya, Mustapha Mohd Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Faekah Hussein supaya mengemukakan rayuan, lapor Selangor Kini.

“Tidak mengapa kalau itu keputusan biro disiplin, saya akur.

“Kita mesti menerima keputusan ini dan mereka berhak untuk membuat permohonan rayuan. Dalam parti, kita mempunyai proses rayuan terhadap keputusan yang dibuat,” katanya selepas mesyuarat Exco, semalam.

Lembaga Disiplin PKR memutuskan untuk menggantung keahlian Mustapha selama setahun serta merta.

Pengerusinya, Datuk Dr Tan Kee Kwong, berkata hal itu ekoran tindakan mengugut yang dilakukan Mustapha terhadap seorang calon untuk tidak meneruskan niat bertanding jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor.

Manakala, Faekah dikenakan surat tunjuk sebab kerana mengeluarkan kenyataan di media.

Sumber HD - 3-7-2014

NGO Eropah tidak bincang hukum peminta sedekah

NURUL IZZAH ANWAR | .

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa suatu undang-undang akan dilaksanakan bagi mengekang budaya meminta sedekah adalah suatu tindakan drastik wajar dikecam kerana isu gelandangan serta peminta sedekah ini berkait rapat dengan isu kemiskinan tegar; yang buat masa ini usaha kerajaan dalam menyelesaikannya amat mengecewakan.

Dalam kelima-lima dasar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dasar Wanita Negara 2009, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, Dasar Sosial Negara, Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara), tiada satu pun dasar yang diperuntukkan khas untuk masalah orang tidak berumah/gelandangan.

Di United Kingdom, Parlimen mereka telah meluluskan sebuah dana £400 juta (RM2.2 billion) untuk menubuhkan suatu projek pada tahun 2010 yang menghimpunkan 8 jabatan kerajaan diketuai oleh Jabatan Komuniti dan Kerajaan Tempatan (Department for Communities and Local Government) bagi menangani isu gelandangan.

Usaha Ini dibantu Perkhidmatan Khidmat Nasihat Gelandangan Kebangsaan (National Homelessness Advice Services) dengan kerjasama Shelters bagi memberikan khidmat konsultan, latihan kepada NGO-NGO yang ingin membasmi gelandangan, nasihat mengenai hutang gadaian (mortgage debt advice) dan juga penerbitan isu-isu mengenai masalah perumahan dan golongan orang tidak berumah, untuk membantu ke arah meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Kita juga mampu belajar dari usaha badan bukan kerajaan di Eropah seperti European Federation of National Organisations working with the Homeless (FEANTSA), yang mempunyai 130 organisasi yang bekerja di 30 negara di benua itu.

Antara yang dibincangkan secara ekstensif adalah masalah perkhidmatan, perlindungan kesihatan dan sosial, hak ke atas rumah dan perancangan bandar, pengangguran, dan sokongan sosial yang didukung penuh institusi EU, Council of Europe and United Nations.

Dalam kesemua yang dibincangkan ini, tiada satu pun yang menyebut tentang polisi untuk menghukum peminta sedekah apatah lagi ingin menyaman pemberi sedekah kepada gelandangan ini.

Mereka malah bertungkus lumus bersama NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah ini dengan kajian yang rapi, akademik dan mendapat sokongan sepenuhnya dari kerajaan.

Kerajaan juga perlu mengambil iktibar daripada kajian-kajian daripada pakar-pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa yang banyak menyatakan bahawa keadaan ekonomi masyarakat tempatan akan bertambah sempit sekiranya polisi-polisi kerajaan yang diterapkan tidak dibetulkan.

Kajian Prof Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM yang telah saya sebutkan sebelum ini menunjukkan; menerusi potongan subsidi kerajaan secara berperingkat, rakyat, terutamanya isirumah Melayu dan Bumiputra yang miskin adalah golongan yang paling terkesan kelak, sama ada di bandar atau di luar bandar; kadar kemiskinan ini dijangkakan akan kembali seperti pada tahun 1970 dalam tempoh terdekat atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi-polisi kerajaan. Bank of America Merrill Lynch juga meramalkan, Malaysia akan menjadi muda dan miskin menjelang tahun 2030.

Saya menggesa Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Mansor agar menarik balik cadangan beliau, seraya menggesa kerajaan untuk menjalan usaha yang lebih giat untuk membasmi kemiskinan seterusnya gelandangan ini dari puncanya.

Punca masalah gelandangan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu, bukannya menghilangkan simptomnya sahaja!

Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR.

Sumber HD - 3-7-2014

UM tidak jawab isu pokok, kata Saifuddin

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Bekas Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) Datuk Saifuddin Abdullah membidas pihak UM yang tidak menjawab isu pokok iaitu campur tangan politik dalam isu perletakan jawatan Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau tidak menolak adanya campur tangan politik dalam arahan supaya Profesor Redzuan meletak jawatan sebagai Pengarah UMcedel.

Bahkan katanya, kenyataan UM tentang jawatan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) yang melibatkan Prof Redzuan membawa beberapa konotasi iaitu, Prof Redzuan antara yang dicalonkan oleh pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) sekaligus membuktikan beliau mendapat pengiktirafan akademik.

"Beliau tidak dilantik semula kerana akan bersara tahun depan, bermakna tidak timbul soal kualiti," katanya di laman Facebooknya hari ini.

Katanya, Profesor Dr Md Sidin Ahmad yang dilantik sebagai dekan baru untuk meneruskan kecemerlangan penyelidikan di bawah FSSS, bermakna Prof Redzuan menjalankan tugas dengan baik termasuk sebagai Pengarah UMcedel.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan UM yang menafikan dakwaan kontrak Prof Redzuan tidak disambung kerana campur tangan politik.

"Tetapi kenyataan ini tidak jawab isu pokok iaitu campur tangan politik dalam arahan beliau letak jawatan sebagai Pengarah UMcedel," katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan UM berkata, kontrak Profesor Redzuan Othman tidak dilanjutkan berikutan keputusan pemilihan yang dibuat secara telus.

"Bertentangan dengan laporan media, keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Mohammad Redzuan itu adalah berdasarkan proses pemilihan yang demokratik dan telus.

"Pemilihan tersebut telah dijalankan selaras dengan Perlembagaan UM 2010," lapor kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, Perlembagaan menyatakan bahawa Naib Canselor hendaklah melantik seorang Dekan atau Pengarah daripada tiga calon yang disenarai pendek yang menerima markah tertinggi.

Prof Redzuan merupakan salah seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek. Calon lain yang tersenarai termasuk Profesor Dr Md Sidin Ahmad dan Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Profesor Redzuan yang mengetuai UMcedel sering mengadakan kajian politiknya termasuklah beberapa siri pilihan raya umum dan kecil, namun hasil kajian yang dijalankan dilihat sering memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 1/7/2014

Sumber HD - 1-7-2014

Bersih 2.0 gesa lantik semula Prof Redzuan

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 mengecam sekeras-kerasnya tindakan campur tangan Kementerian Pendidikan dalam urusan Universiti Malaya yang telah menyebabkan perletakan jawatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel), Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman.

"Adalah amat mengecewakan apabila Kementerian Pendidikan menyerang Dr Redzuan dan hasil kajian akademik tinjauan dan persepsi pilihan raya oleh beliau yang didakwa memburukkan imej Barisan Nasional," ujar Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan campur tangan oleh Kementerian Pendidikan tersebut boleh disifatkan sebagai percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dan sebuah lagi pencabulan ke atas kebebasan akademik.

Katanya, kebebasan bersuara dan kebebasan akademik adalah asas kepada pembentukan prinsip akademik.

"Seseorang pensyarah atau pengajar seharusnya mempunyai ruang yang bebas untuk mengajar dan membincangkan idea dan fakta (termasuklah yang tidak menyebelahi pemerintah), manakala cendekiawan seharusnya mempunyai hak untuk berfikir, berbicara, dan melontarkan persoalan," ujarnya.

Hak yang dinyatakan ini, tambah kenyataan itu seharusnya boleh diamalkan tanpa sebarang ancaman mahupun tekanan kehilangan kerja, penarikan dana, hukuman, atau sebagainya.

Tambahnya, tindakan kementerian tersebut turut membenamkan lagi perdebatan dan wacana sihat berkaitan dengan plihan raya bersih dan adil.

Menurutnya lagi, segenap masyarakat dalam negara ini telah mendapat manfaat hasil daripada sumbangan kajian akademik seperti yang dikeluarkan oleh Dr Redzuan dan badan-badan lain seumpamanya.

Bersih 2.0 turut merakamkan ucapan tahniah kepada tindakan berprinsip Datuk Saifuddin Abdullah yang meletakkan jawatan beliau sebagai Felo Penyelidik di universiti yang sama dan keberanian Kesatuan UM dan kakitangan akademiknya (PKAUM) yang bersuara menentang tindakan kementerian.

Katanya lagi, keberanian dan prinsip yang ditonjolkan ini menjadi contoh yang sangat membanggakan.

"Bersih 2.0 dengan ini menggesa agar Prof Dr Redzuan Othman dilantik semula ke jawatan beliau dengan segera.

"Kami turut menggesa agar Kementerian Pendidikan tidak lagi campur tangan dan membenarkan Universiti Malaya menguruskan sendiri hal-ehwal yang berkaitan pusat kajian mereka termasuklah pelantikan dan penjawatan staf akademik," ujarnya. - HARAKAHDAILY 1/7/2014

Sumber HD - 1-7-2014

Singkir Prof Redzuan petaka kepada kebebasan akademik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) melahirkan kekesalan berhubung dengan penyingkiran Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan sebagai Pengarah UMcedel dan tidak disambung sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

"Penyingkiran ini adalah atas arahan Kementerian Pendidikan," ujar Naib Presiden 1, Naqiuddin Nazrin dalam satu kenyataan.

Katanya, MKM percaya penyingkiran ini berlaku kerana banyak hasil kajian UMcedel yang diketuai oleh Prof Dr Mohamad Redzuan tidak menguntungkan kerajaan.

Ini, tambahnya merupakan satu malapetaka kepada kebebasan akademik.

Bulan lalu, mahasiswa UMSKAL menjadi mangsa kini ahli akademik turut mengalami nasib yang sama.

"Prof Redzuan hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai penyelidik dalam melakukan kajian akademik," ujarnya lagi.

Beliau berkata, pihak kerajaan seharusnya bersikap terbuka dengan hasil kajian yang dilakukan biarpun tidak menguntungkan kerajaan sekalipun.

Katanya, penyingkiran itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan ingin mengekang ahli akademik daripada melakukan kajian secara bebas dan berilmiah.

Justeru, tegasnya MKM ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa menyekat ahli akademik menjalankan kajian secara bebas akan menjatuhkan lagi prestasi pengajian tinggi negara.

Oleh itu, ujar beliau MKM mendesak agar ditubuhkan satu select committee untuk mengkaji usaha reformasi kebebasan akademik serta prestasi pengajian tinggi negara. - HARAKAHDAILY 1/7/2014

Sumber HD - 1-7-2014

57 tahun merdeka, akademik belum bebas

SYUKRI RAZAB | .
Prof Redzuan Othman bukan individu pertama yang menjadi mangsa kedangkalan pihak pembuat polisi dalam memahami kebebasan akademik. Prof Dr Abdul Aziz Bari juga mengalami nasib yang sama apabila beliau terpaksa berundur daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2010 hanya kerana pandangan akademik beliau yang disifatkan sering tidak digemari pihak tertentu.

Tidak perlu dipersoalkan apa yang telah dikatakan atau ditulis oleh Prof Datuk Dr Redzuan Othman, Prof Dr Aziz Bari mahupun Prof Datuk Dr Zainal Keling. Selagi mana pandangan mereka berbasiskan akademik, maka pandangan tersebut perlu dihormati dan jika ingin dipertikaikan, mestilah melalui proses perdebatan secara ilmiah.

Faktor 1: Kegagalan mengawal nafsu politik

Bagi saya ada empat faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku. Yang Pertama ialah kegagalan pihak tertentu mengawal nafsu politik sehingga sanggup mencabul kesucian dunia akademik. Pada 30 Jun lepas, Datuk Saifuddin Abdullah, Mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi mendedahkan melalui laman Facebook beliau terdapat arahan pihak tertentu daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mendesak Prof Datuk Dr Redzuan Othman berundur diri daripada Umcedel.

Informasi ini memberikan justifikasi yang jelas iaitu kajian Prof Datuk Dr Redzuan tidak disukai pihak tertentu, maka Prof Redzuan perlu berundur.

Agak bingung bila memikirkan bagaimana masih ada pemimpin dalam kerajaan yang bermentaliti seperti ini. Di ambang kemerdekaan ke 57 negara, mentaliti kebudak-budakan masih tersimpan dalam benak sesetengah pemimpin kerajaan. Sekali imbas, perangai pemimpin ini tak ubah seperti Junta Tentera Thailand dan Mesir, membuang individu yang tidak mereka gemari secara sesuka hati. Walaupun individu tersebut dipilih secara demokrasi.

Faktor 2: Kegagalan memahami instrumen hak asasi

Faktor kedua ialah kegagalan pemimpin kerajaan dalam memahami instrumen hak asasi seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Malaysia juga merupakan salah sebuah Negara yang telah menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa 1948 (UDHR) yang mana telah memperuntukkan hak kebebasan bersuara dalam prinsip ke-19.

Namun sejauh mana pemimpin kerajaan memahami konsep fundamental rights ini masih boleh dipersoalkan ekoran tindakan yang dibuat ke atas Prof Datuk Dr Redzuan. Malaysia melalui wakilnya Datuk Mazlan Muhammad, semasa Persidangan Berkala Universal PBB (UPR) pada Disember 2013, cuba mempamerkan seolah-olah Malaysia telah melaksanakan hak pendidikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dihadapan wakil negara-negara lain. Ini merupakan pembohongan kerana hak pendidikan rakyat tidak akan sempurna selagi kebebasan akademik tidak ditunaikan.

Faktor 3: Dangkal mengenai kebebasan akademik

Faktor ketiga ialah kedangkalan pemimpin kerajaan mengenai konsep kebebasan akademik. Saya tidak pasti samada para pemimpin kerajaan di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengetahui prinsip-prinsip kebebasan akademik yang telah menjulang Universiti Oxford, Universiti Harvard dan universiti Stanford sebagai universiti terbaik dunia.

Saya juga tidak pasti sama ada pemimpin di KPM pernah meninjau Perlembagaan Universiti Illinois Urbana Champaign yang telah menjadikan Universiti tersebut antara 30 Universiti terbaik dunia. Mungkin pemimpin Kerajaan juga terlepas pandang untuk mengkaji Magna Carta Universitatum 1988 yang mengikat universiti-universiti eropah kepada asas kebebasan akademik.

Jika terlalu sukar untuk pemimpin kerajaan memahami konsep kebebasan akademik, maka saya syorkan mereka merujuk kembali Ulasan Umum Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Artikel 13 Perjanjian Antarabangsa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (CESCR) berkenaan kebebasan akademik yang disiarkan pada 8 disember 1999.

Berikut merupakan petikan ringkas mengenai ulasan berkenaan: “Ahli-ahli akademik, secara individu atau secara kolektif, adalah bebas untuk meneruskan, membangunkan dan menyampaikan pengetahuan dan idea, melalui penyelidikan, pengajaran, pengajian, perbincangan, dokumentasi, pengeluaran, penciptaan atau bertulis. Kebebasan akademik termasuk kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara bebas mengenai institusi atau sistem di mana mereka bekerja, untuk memenuhi fungsi mereka tanpa diskriminasi atau takut penindasan oleh Negara atau mana-mana pihak lain”.

Faktor 4: Menyuburkan culture of fear

Faktor keempat ialah tindakan sengaja untuk menyuburkan culture of fear. Negara-negara maju menjadikan kebebasan akademik sebagai instrumen penting dalam memastikan universiti menjadi gedung perdebatan ilmu sekaligus menjadi sumber rujukan Negara. Tetapi tidak di Malaysia, ahli akademik yang cemerlang seperti Prof Datuk Dr Redzuan Othman tidak dihargai, malah disingkirkan daripada jawatan yang disandang.

Saya percaya selain daripada ingin mendiamkan Prof Datuk Dr Redzuan Othman daripada terus melakukan kajian yang menyakitkan Kerajaan, tindakan ini juga dibuat untuk terus mengekalkan culture of fear dalam kalangan ahli akademik.

Ahli akademik yang pandai mengampu dijaga dan dianugerahkan dengan pelbagai anugerah. Tetapi ahli akademik yang vokal terhadap polisi dan tindakan kerajaan di bayangi ancaman sehingga menggugat periuk nasi mereka.

Apa akan jadi dengan nasib universiti dan negara?

Prof Datuk Dr Redzuan Othman disingkirkan daripada Umcedel, sebelum itu Prof Dr Aziz Bari mendahului apabila terpaksa berundur daripada UIAM, dan kini Datuk Saifuddin Abdullah juga meletakkan jawatannya sebagai felo penyelidik Universiti Malaya, maka apa lagi yang tinggal untuk Universiti kita?

Tokoh-tokoh yang banyak menyumbang kepada perdebatan ilmiah ini satu persatu tersingkir daripada posisi mereka akibat desakan pihak ketiga. Sukar untuk dipastikan samada pemimpin kerajaan ini sedar atau tidak. Tetapi sikap mereka yang terus menerus menekan ahli akademik seolah-olah memperjudikan masa depan pendidikan Negara seperti yang diaspirasikan melalui Falsafah Pendidikan Nasional.

Memetik kenyataan Senior Research fellow, Center for Studies in Higher Education, University of California, John Aubrey Douglass yang disiarkan dalam laman University World News sebagai berkata, “Universiti merupakan tempat yang intelektual yang memimpin masyarakat dan melatih rakyat untuk berfikir dan berbahas demi masa depan Negara”.

Penulis ialah Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Tulisan di atas adalah pandangan peribadi beliau

Sumber HD - 1-7-2014

Isu Prof Redzuan: Lagi jenayah akademik negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Arahan supaya Prof. Datuk Redzuan Othman meletakkan jawatan sebagai pengarah di Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMcedel) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merupakan satu lagi jenayah akademik di negara ini.

"Ia memperlihatkan bahawa campur tangan politik masih berlaku di pusat pengajian tinggi tanah air sekalipun Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda," ujar Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Steven Chong dalam kenyataan media bersama.

Justeru, tegas mereka Pakatan Rakyat Johor mengecam tindakan itu dan mendesak agar keadilan sewajarnya yang bertunjangkan prinsip kebebasan akademik diberikan kepada Prof Datuk Redzuan Othman.

Ini, kata mereka bukan kali pertama kerajaan pimpinan Umno BN bertindak mencabul kebebasan akademik sebagai institusi yang seharusnya bebas dalam menjalankan kajian dan penyelidikan akademik demi kebaikan negara.

Tambah mereka, tindakan pemecatan pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) - Prof. Dr Abdul Aziz Bari pada tahun lalu juga turut mencemarkan imej universiti tempatan sebagai institusi ilmu yang seharusnya bebas dari pengaruh politik.

Menurut mereka, Pakatan Rakyat Johor berpendirian, untuk mewujudkan Malaysia yang lebih demokratik, proses pendemokrasian dalam sistem pendidikan merupakan salah satu elemen penyumbang yang terpenting.

Namun, kata mereka dengan tindakan pengarahan pemberhentian Prof. Datuk Redzuan Othman oleh KPM ini, Pakatan Rakyat Johor bimbang usaha kerajaan untuk menjadikan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu akan menemui kegagalan.

"Oleh itu, Pakatan Rakyat Johor mendesak agar menteri di Kementerian Pelajaran memberikan penjelasan serta komitmen yang serius dalam memastikan isu ini dapat ditangani seadilnya tanpa melibatkan pengaruh politik luar dalam memastikan prinsip kebebasan akademik terus dijulang dan kedudukan universiti di negara ini tidak tercalar di kacamata dunia," kata mereka lagi. - HARAKAHDAILY 1/7/2014

Sumber HD - 1-7-2014

Apa muslihat di sebalik pemecatan Prof Redzuan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tidak dapat dinafikan, bahkan sekarang ini pun, kesalahan lebih diletakkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, Umno dan kerajaan berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pendidikan berhubung isu pemecatan Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Bagi penulis Shahbudin Husin, apabila Umno dan kerajaan yang dikecam dan persalahkan, tentulah Najib yang disasarkan kerana beliau ketuanya sedangkan Muhyiddin mungkin sedang tersenyum saja.

Menurutnya, walaupun tindakan pemecatan Dr Mohamad Redzuan ini tidak boleh diterima dalam konteks kebebasan akademik dan merangsang pemikiran kritis, tetapi tidak mustahil ia juga dijadikan medan untuk diambil kesempatan bagi mencapai tujuan yang lain daripada yang sebenarnya.

"Sebelum Umno dan kerajaan memberi reaksinya, adalah perlu Muhyiddin terlebih dahulu memberikan jawapan terhadap pemecatan Dr Mohamad Redzuan ini untuk mengetahui kejujuran atau muslihat di sebaliknya," tulis beliau di dalam blognya semalam. - HARAKAHDAILY 1/7/2014

Baca lagi

Sumber HD - 1-7-2014

Isu Prof Redzuan: Majlis Profesor perlu bangkit

SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: Tiba masanya Majlis Profesor Negara (MPN) perlu bangkit menyatakan bantahan terhadap campur tangan penguasa politik dalam tadbir urus dan tata kelola universiti, kata Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).

"Di mana suara mereka bagi melindungi lembaga akademik bukan sahaja dalam sains politik bahkan ke semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan pendidikan. Para akademik perlu bebas untuk nyatakan kritikan," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut berhubung penyingkiran Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, Dzulkefly berkata, tindakan ini sekali gus akan melahirkan budaya takut di kalangan para akademik dan juga mahasiswa untuk menyatakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

Akhirnya, tambah beliau akan wujudnya pula politik membodek kerana takut untuk menyatakan kritikan kepada kerajaan sekali gus melahirkan para akademik bertaraf 'profesor kangkung'.

"Mereka tidak boleh berkreativiti dan berinovasi, akhirnya hasil kajian tidak ada kualiti. Prestasi universiti kita pula akan merundum, dan inilah realiti universiti kita," katanya yang juga bekas pensyarah.

Katanya, segala campur tangan politik di dalam bidang akademik akan merudumkan institusi pengajian awam negara.

Jika keadaan ini berterusan katanya, kegemilangan Universiti Malaya yang pernah menduduki tempat ke-100 di antara universiti di dunia akan tinggal kenangan sahaja.

"PM cakap transformasi ianya semua adalah retorik semata mata. Transformasi dalam pendidikan nyata dirosakkan sama sekali dengan insiden hari ini.

Justeru tegasnya, Menteri Pendidikan wajar bertanggungjawab terhadap pemecatan Prof Redzuan bagi menutup kononnya pemecatan itu bukan kerana campur tangan politik.

"Ini bukan soal parti, ini adalah kelangsungan dan kecemerlangan sebuah universiti," katanya yang turut memuji tindakan Datuk Saifuddin Abdullah yang turut meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) hari ini kerana protes.

Pentadbir Universiti Malaya telah 'menyingkirkan' Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Penyingkiran itu dibuat atas alasan beliau akan bersara tahun depan.

Profesor Redzuan yang mengetuai UMcedel sering mengadakan kajian politiknya termasuklah beberapa siri pilihan raya umum dan kecil, namun hasil kajian yang dijalankan dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 30/6/2014

Sumber HD - 30-6-2014

Prof Redzuan mangsa penguasa angkuh - Anwar

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Berita pemecatan serta merta Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan (gambar) sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) tidak mengejutkan tetapi tetap mengecewakan dan tidak wajar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata untuk mempertahankan kepentingan Umno.

"Dalam pentadbiran yang rakus ini, kebebasan mengkritik adalah hak mutlak kepada mereka sasarannya adalah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atau mereka yang kritikal terhadap Umno BN," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penghukuman yang cukup pantas ini akan menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap Umno apatah lagi yang memihak kepada pembangkang.

Beliau berkata, nasib yang sama juga telah menimpa pakar ekonomi terkenal Prof Jomo KS, profesor sains politik Prof Dr P. Ramasamy dan pakar perlembagaan dan undang-undang Dr Aziz Bari tidak lama dahulu.

"Dan hari ini kita lihat ia menimpa Prof Redzuan yang telah terbukti menunjukkan prestasi akademik dengan profesional dalam bidang penyelidikan yang menuntut objektiviti lengkap dan kebebasan," ujarnya lagi.

Ketua Umum PKR itu menambah, amat jelas bahawa keputusan untuk tidak menyambung tempoh Profesor Redzuan sebagai Pengarah UMCedel amat tidak wajar.

"Beliau sekali lagi menjadi mangsa penguasa angkuh yang enggan melihat sarjana bersikap bebas dan berani," katanya.

Sehubungan itu, beliau ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak dan tindakan terbaru itu bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi. - HARAKAHDAILY 30/6/2014

Sumber HD - 30-6-2014

Jangan jadikan profesor semuanya 'kangkung'

NURUL IZZAH ANWAR | .

Sedang Datuk Seri Najib Razak memuji tiga profesor terbaik yang disenaraikan dalam World`s Most In Infuential Scientific Mind menerusi laporan Reuters 26 Jun lalu, kita kecewa dengan berita terbaru mengenai arahan perletakan jawatan Prof Datuk Dr Redzuan Othman sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya (UMCEDEL).

Tindakan ini merupakan satu tindakan kontradiksi apabila tokoh terbaik yang juga cemerlang dalam reputasinya dihukum hanya kerana bercakap benar dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi dan pilihan raya melalui mekanisme soal selidik yang dianggap bertentangan dengan kepentingan Barisan Nasional.

Prof Datuk Dr Redzuan Othman pernah dinobatkan sebagai Dekan Terbaik pada tahun 2012, dan telah pun berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM selama 5 tahun dan juga mempelopori UMCEDEL.

Perdana Menteri Najib Razak pernah memuji UMCEDEL pada Januari 2012 menerusi Utusan Malaysia atas hasil kajiannya yang menunjukkan bahawa BN akan terus berkuasa.

Reputasi UMCEDEL sebagai pemerhati politik tanah air tidak dapat disangkal lagi apabila terus-terusan membuat kajian yang tepat dari pendapat rakyat tentang perjalanan politik dalam pelbagai isu termasuklah penemuannya tentang keputusan pilihan raya umum ke-13 yang bertepatan dengan keputusan sebenar.

Arahan perletakan jawatan ini juga satu pencabulan ke atas kebebasan akademik apabila laporan dari institusi yang menjalankan kajian tentang demokrasi dan pilihan raya yang neutral dan tidak berpihak ini pun diganggu dan ditekan oleh kebimbangan parti pemerintah yang tidak selesa dengan laporan yang tidak menyebelahi mereka.

Mekanisme soal selidik yang dijalankan UMCEDEL dan diketuai oleh Prof Redzuan, adalah contoh terbaik pengamalan demokrasi apabila ia menyampaikan secara jelas tuntutan dan aspirasi rakyat.

Dalam pada sistem pendidikan kita ketinggalan jauh kebelakang menerusi laporan PISA 2012,yang menunjukkan prestasi Vietnam di tangga ke-17 mengatasi Malaysia di tangga ke-52; dan hakikat bahawa tiada satupun universiti Malaysia tersenarai di dalam Times Higher Education World Reputation Ranking 2014 yang keempat,menerusi Malaysian Insider, 6 MAC lalu, parti pemerintah masih lagi bersikap tidak matang dan begitu leka mencabuli kebebasan akademik dan besikap acuh tak acuh dalam benar-benar memastikan reformasi pendidikan negara bergerak ke arah yang lebih terbuka dan progresif.

Saya juga ingin mengambil kesempatan memuji tindakan Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, yang meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan UM atas simbol solidariti menolak ketidakadilan ini dan mengangkat prinsip kebebasan akademik.

Justeru, saya menyeru rakyat semua perlu menyatakan solidariti dan bantahan terbuka terhadap pencabulan ini dan menggesa kerajaan menjunjung kembali demokrasi yang sebenar menerusi tuntutan agar sebuah jawatankuasa parlimen yang dwipartisan ditubuhkan bagi membincangkan isu pendidikan dengan holistik serta objektif, termasuklah soal perlantikan para akademik dan naib canselor di universiti-universiti.

Kementerian Pendidikan juga perlu menarik kembali arahan yang tidak bertanggungjawab ini dan mengembalikan semula jawatan Prof Datuk Dr Redzuan Othman, serta Datuk Saifuddin Abdullah demi kebebasan para akademik serta pengembalian amalan demokrasi yang sebenar dalam negara kita.

Jangan jadikan profesor-profesor di Malaysia semuanya 'kangkung' semata-mata!

Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR.

Sumber HD - 30-6-2014

No comments:

Post a Comment