JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Saturday, June 7, 2014

NEGARA JIRAN - THAILAND

Ramadan di selatan Thai kali ini tenang

M ZIN | .


SUNGAI GOLOK: Suasana Ramadan di pekan-pekan di selatan Thailand tahun ini nampak lebih meriah berbanding tahun lepas, biar pun ketegangan masih lagi berlaku.

Penduduk Muslim tidak lagi takut untuk keluar membeli keperluan berbuka puasa, sedangkan tahun lepas bazar-bazar Ramadan nampak lengang.

Malah ketika tinjuan di Pekan Weng, Narathiwat semalam anggota tentera mengagihkan buah kurma kepada orang ramai yang melalui di sekatan jalan raya.

Sekatan jalan raya di kebanyakan jalan utama masih lagi diadakan pasukan tentera dan polis.

Seorang penduduk tempatan Malek Abdullah berasal daripada Weng berkata, pada Ramadan lepas suasana bazar Ramadan agak lengang kerana tidak ramai penduduk sanggup keluar membeli belah.

“Tahun ini selepas berlaku perubahan kerajaan di Bangkok di mana tentera merampas kuasa, kecelaruan politik semakin reda.

“Malah tentera turut mengagihkan buah kurma kepada penduduk yang melalui sekatan jalan raya ke Pekan Weng,” katanya ketika ditemui.

Pekan Weng terletak bersempadan dengan jajahan Jeli. Sebuah jambatan dibina kerajaan Malaysia dan Thailand menjadi penghubung Pekan Weng dan Bukit Bunga, Jeli.

Suasana kemeriahan Ramadan juga dapat dilihat di beberapa lagi pekan di kawasan selatan Thailand termasuk Bandar Sungai Golok.

Pada Ramadan 2004 krisis di selatan Thailand tercetus apabila ramai penduduk Muslim mati selepas pasukan keselamatan menggunakan kekerasan bagi menyuraikan tunjuk perasaan penduduk di hadapan balai polis Takbai.

Tragedi 25 Oktober 2004 itu media tempatan melaporkan seramai 85 penduduk terkorban.

Bantahan kira-kira 1,500 penduduk Muslim diadakan bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan pihak berkuasa Thailand.

Sumber HD - 7-7-2014

Thailand teruskan rundingan dengan puak pemisah

BERNAMA | .
BANGKOK: Tentera junta Thailand mengumumkan pihaknya akan meneruskan rundingan damai dengan puak pemisah di bahagian selatan negara ini.

Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Kebangsaan (NCPO) akan memastikan rundingan damai antara kerajaan Thailand dan puak pemisah Islam di bahagian selatan yang diketuai Barisan Revolusi Nasional (BRN) akan diteruskan, kata Setiausaha Agung NCPO Udomdej Sitabutr.

Pemudah cara rundingan masih Malaysia, katanya kepada media sebelum menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional (NSC) di Parlimen hari ini.

Ini adalah mesyuarat pertama NSC sejak tentera melakukan rampasan kuasa pada 22 Mei.

Udomdej berkata pihak berkuasa diarah oleh Ketua NCPO merangkap Panglima Tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha memantau dan menangani situasi di kawasan konflik.

Ini termasuk dalam bulan Ramadan yang bermula pada Ahad.

Katanya, pegawai akan memberi penerangan kepada penduduk di kawasan selatan Thailand bahawa sesetengah pihak menggunakan bulan Ramadan yang mulia kepada orang Islam untuk melakukan perkara salah. - Bernama

Sumber HD - 1-7-2014

Dua polis maut insiden tembakan di Narathiwat

BERNAMA | .



NARATHIWAT: Harapan untuk menyambut hari pertama Ramadan dalam keadaan damai tidak kesampaian di selatan Thailand apabila awal-awal lagi sudah dicemari dengan tindakan keganasan.

Pada tengah malam semalam berlaku kejadian pertempuran antara enam anggota polis daerah Takbai dan 10 lelaki bersenjata selama setengah jam di Jalan Taba, Mukim Jekhe, Wilayah Narathiwat.

Menurut pihak polis, kejadian tersebut menyebabkan dua anggota polis terkorban dan dua laras rifel dan dua pucuk pistol mangsa dilarikan.

Dua orang awam turut tercedera alam kejadian tersebut.

Ketua polis daerah Takbai Pol.Col. Pakdee Prichachon berkata ketika diserang
hendap, keenam-enam anggota polis sedang meronda dengan tiga buah motosikal.

Beliau berkata kumpulan itu, dipercayai puak pemisah, dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu satu kumpulan menyerang polis, kumpulan kedua melakukan kawalan dan kumpulan ketiga menabur paku dan bahan-bahan lain untuk menyekat bantuan pihak keselamatan Thai.

Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai anggota gerakan pemisah yang aktif di kawasan Pulau Satol Takbai.

Lebih 100 orang anggota keselamatan melakukan kepungan memburu suspek dengan mengguna anjing pengesan.

Sementara itu, pada jam 7.25 pagi tadi, dua bom diletupkan di dua tempat, iaitu kawasan kilang kayu getah dan sebatang tiang elektrik tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Menurut saksi, pada jam 2 pagi, terdapat empat hingga enam orang lelaki menaiki tiga motosikal meletakkan bom di kawasan tersebut.

Umat Islam di Thailand menyambut Ramadan dan berpuasa mulai semalam. - Bernama

Sumber HD - 30-6-2014



Thailand nafi buru pekerja Kemboja

MINGGU SIMON LHASA | .



BANGKOK: Tatkala pekerja Kemboja berpusu-pusu pulang ke tanah air mereka, kerajaan Thailand menafikan telah mengeluarkan perintah bagi gerakan memburu pekerja asing di negara ini

Sek Wannamethee, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand, menafikan laporan berita tidak berasas berdasarkan khabar angin itu bahawa Tentera Thailand melancarkan gerakan memburu pekerja Kemboja tanpa mengira status mereka dan mengusir mereka pulang ke tanah air.

Menurut laporan, gerakan itu dilancarkan susulan perintah dikeluarkan baru-baru ini oleh Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara (NCPO).

Khabar angin itu menyebabkan ribuan pekerja Kemboja meninggalkan Thailand dan wujud dakwaan bahawa mereka dizalimi dengan kononnya ada antara mereka dicederakan atau dibunuh oleh pihak berkuasa Thailand.

Dalam kenyataan dikeluarkan kementerian itu, Sek memberi jaminan bahawa selepas disahkan dengan pihak berkuasa Thailand relevan termasuk pihak berkuasa di wilayah Sa Kaeo dan Trat (bersempadan dengan Kemboja), NCPO tidak mengeluarkan perintah yang menyasarkan pekerja Kemboja.

Khabar angin itu yang disebarkan oleh sumber tidak diketahui telah mencetuskan panik dalam kalangan pekerja Kemboja dan juga majikan Thailand, menurut kenyataan itu.

Susulan itu, sejumlah pekerja tanpa izin Kemboja melapor diri kepada pihak berkuasa Thailand dan secara sukarela dihantar pulang ke Kemboja, menurutnya.

Menurutnya bagi melancarkan proses penghantaran pulang sejumlah besar pekerja tanpa izin Kemboja secara sukarela, Pejabat Imigresen Sa Kaeo dengan kerjasama unit-unit tentera setempat telah menyediakan kemudahan pengangkutan untuk mereka.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Thailand mengakui kepentingan pekerja dari negara-negara jiran kerana mereka bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi Thailand, tetapi juga atas faktor hubungan akrab dan dari segi sejarah antara kerajaan dan penduduk Thailand dengan negara berkenaan. - Bernama

Sumber HD - 16-6-2014




30 kereta curi dari Malaysia ditahan kastam Thailand

BERNAMA | .
BANGKOK: Jabatan Kastam Thailand merampas 30 buah kereta bernilai 21.6 juta Baht (RM1 = 100 Baht) dengan 13 daripadanya disahkan dicuri di Malaysia, yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan dokumen palsu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam Thai Rakob Srisupaat, kenderaan terbabit yang dibawa dari Singapura dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga.

Kontena yang membawa kenderaan terbabit disenaraikan sebagai mengangkut perabot atau kereta baharu, katanya dalam taklimat media di sini pada Ahad yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain.

Menurut seorang pegawai kastam, Thailand akan menyerahkan 25 kereta curi kepada pihak berkuasa Malaysia pada hujung bulan ini.

Terdapat ratusan kenderaan curi dari Malaysia di negara ini tetapi bukan mudah untuk diserah semula kerana perlu mematuhi prosedur undang-undang, kata seorang lagi pegawai kastam.

Katanya antara yang menyukarkan proses itu ialah mendapatkan dokumen pengesahan daripada syarikat insurans.

Beliau berkata ada kereta yang tersadai di sini selama bertahun-tahun kerana menjadi bahan bukti kes jenayah.

Ada juga kereta tidak dikembalikan kerana proses itu menelan kos yang tinggi, katanya.

Sementara itu, Nazirah menghargai kerjasama rapat antara pihak berkuasa Thailand dan Malaysia dalam menangani jenayah rentas sempadan.

Banyak kereta curi berjaya diserahkan semula oleh pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia, katanya. - Bernama

Sumber HD - 10-6-2014

Thailand tarik balik perintah berkurung di kawasan pelancongan

BERNAMA | .
BANGKOK: Junta tentera Thailand menarik balik perintah berkurung di lebih banyak kawasan pelancongan dalam usaha menghidupkan semula industri pelancongan.

Junta juga menurunkan logo majlis tentera daripada skrin televisyen untuk menunjukkan bahawa keamanan dan kestabilan telah kembali ke negara itu.

Perintah berkurung ditarik balik di Hat Yai (Songkhla), Koh Chang (pulau di wilayah Trat, bahagian timur Thailand) dan Koh Phangan (pulau di wilayah Suratthani, bahagian selatan Thailand), menurut pengumuman Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara (NCPO) lewat malam tadi.

Setakat ini, majlis tentera menarik balik perintah berkurung di sekurang-kurangnya 10 destinasi popular pelancong antarabangsa, seperti pantai indah di wilayah selatan iaitu Phuket, Krabi, Phung Nga, dan pulau Samui di Suratthani, serta daerah Cha-am di wilayah Petchaburi, daerah Hua Hin di wilayah Prachuab-Kirikhan (kedua-dua wilayah di selatan Thailand) dan Pattaya di wilayah Chonburi di bahagian timur.

Bagaimanapun, perintah berkurung kekal di Chiangmai, kubu kuat bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan lokasi bantahan antirampasan kuasa oleh penyokong Thaksin.

Mengenai penarikan logo NCPO daripada skrin televisyen, seorang pegawai berkata ini kerana keadaan keseluruhan sekarang lebih baik.

"Langkah itu juga bagi memastikan rakyat berasa lebih selesa," kata timbalan jurucakap Pattamaphorn Rattanadilok Na Phuket pada sidang media di sini hari ini. - Bernama

Sumber HD - 10-6-2014

Ramadan di selatan Thai sunyi tanpa radio komuniti

BERNAMA | .
BANGKOK: Bagi penduduk di selatan Thailand, terutama umat Islam, Ramadan kali ini mungkin sunyi tanpa bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan program keagamaan lain yang lazimnya berkumandang melalui corong radio.


Ini kerana sejak rampasan kuasa pada 22 Mei lalu, radio-radio komuniti di wilayah selatan telah diarah menghentikan siaran dan sekalipun rayuan telah dibuat agar mereka dibenar kembali bersiaran sebelum Ramadan, sehingga kini masih belum ada jawapan.

Setakat ini pihak tentera di selatan tidak boleh beri jawapan kerana arahan menghentikan siaran radio bukan hanya di selatan tetapi di seluruh negara, kata Pengarah Media Selatan Wan Ahmad Wan Kacik kepada Bernama.

Jurucakap junta di sini, Pattamaphorn Rattanadilok Na Phuket berkata keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Kebangsaan.

Arahan menghentikan siaran oleh Majlis Kebangsaan Bagi Keamanan dan Ketenteraman itu membabitkan 14 stesen televisyen satelit dan 6,000 stesen radio komuniti berdaftar serta 2,000 yang tidak berdaftar, bertujuan menjaga keamanan.

Di Pattani, Yala dan Narathiwat, lebih 50 stesen radio komuniti terjejas termasuk Stesen Radio dan Televisen Bahasa Melayu yang baru dibuka selama setahun lebih oleh Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC).

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata radio komuniti memainkan peranan penting di wilayah selatan terutama Media Selatan yang merupakan stesen radio dan laman sesawang.

Rancangan Dunia Hari Ini adalah ruangan yang paling ramai peminat, katanya.

Program itu wujud selepas termeterainya Dialog Damai di Kuala Lumpur pada 28 Feb 2012 antara Thailand dan wakil Gerakan Pembebasan Patani-BRN (Barisan Revolusi Nasional) dengan Malaysia sebagai fasilitator.

Rancangan ini memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan hasrat mereka, kata beliau.

Antara yang pernah ditemu bual menerusi program itu ialah wakil BRN Hasan Taib, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara dan wakil tentera Jen. Paradorn Srichapan serta fasilitator dari kerajaan Malaysia iaitu Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim.

"Dunia Hari Ini mendapat sambutan dari segi saranan serta nasihat dan sebagainya daripada rakyat. Kalau dulu kita tidak pernah dengar rakyat Pattani memperkatakan tentang pendamaian, proses damai dan sebagainya," katanya.

Wan Ahmad juga berkata maklumat yang disampaikan dalam siaran dalam bahasa Melayu lebih dipercayai oleh masyarakat setempat.

Ini kelebihan radio komuniti kalau dibandingkan dengan radio kerajaan dan sebagainya, iaitu masyarakat umumnya di Pattani ini memberi kepercayaan kepada radio komuniti, kata Wan Ahmad.

Beliau berkata selain daripada maklumat pengetahuan berita dan sebagainya, tugas radio komuniti di selatan ialah siaran agama seperti azan, kuliah agama dan sebagainya.

Katanya radio kerajaan banyak menggunakan bahasa Thai, sedangkan ramai rakyat di selatan Thai kurang memahami bahasa itu..

"Saya rasa perkara ini akan membawa akibat yang buruk sekiranya Ramadan nanti kita tidak dapat menyiarkan radio kita. Masyarakat mungkin tertanya-tanya tentang kesungguhan kerajaan pusat terhadap masyarakat di sini dan sebagainya," kata Wan Ahmad. - Bernama

Sumber HD - 10-6-2014

Perintah berkurung 4 destinasi pelancongan ditarik balik

BERNAMA | .


BANGKOK: Junta tentera Thailand menarik balik perintah berkurung terhadap empat kawasan dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong.

Dalam pengumuman lewat petang Jumaat, Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Negara (NCPO) berkata penamatan perintah berkurung itu berkuat kuasa serta-merta di Krabi, Phung Nha, daerah Cha-am (wilayah Petchaburi) dan daerah Hua Hin (wilayah Prachuabkirikhan)

Semua kawasan ini terletak di selatan Thai dan merupakan kawasan pelancongan dengan pulau-pulau yang indah.

Minggu lepas, NCPO menarik balik perintah berkurung di Pattaya dan Koh Samui serta Phuket.
Pelancongan merupakan penyumbang utama ekonomi Thailand namun konflik politik disusuli rampasan kuasa oleh tentera menyebabkan penurunan ketara ketibaan pelancong dengan kebanyakan hotel serta resort sukar memenuhkan bilik penginapan masing-masing.

Jutaan rakyat yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sektor itu terjejas.
Tahun ini Thailand menyasarkan ketibaan 28 juta pelawat pada peringkat awal namun angka itu diturunkan kepada 26.3 juta oleh Lembaga Pelancongannya.

Dalam pada itu perintah berkurung masih dikuat kuasa di beberapa kawasan termasuk Bangkok, bermula tengah malam hingga 4 pagi. - Bernama

Sumber HD - 7-6-2014

3 comments: