JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Thursday, June 26, 2014

YB DATO' MAHFUZ OMAR : KETUA PENERANGAN PAS MALAYSIA (JILID 3)

BLOG BERKAITAN - tamansriraya.blogspot.com

Fatwa murtad: Jamil Khir jangan kelirukan rakyat

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat terutama umat Islam berhubung tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu memutuskan kenyataan aktivis politik dan sosial, Dr Kassim Ahmad sebagai pemikiran yang kufur dan murtad.

Jamil Khir sebelum itu berkata, fatwa tersebut merupakan pandangan negeri berkenaan dan tidak berkuat kuasa di negeri lain.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata walaupun terdapat peruntukan yang diberi kuasa kepada sesebuah negeri dalam melaksanakan keputusan, namun fatwa murtad merupakan satu perkara yang berat dan perlu pertimbangan semua pihak.

"Kita akui ada peruntukan yang diberikan kepada sesebuah negeri, namun dalam fatwa ini ia amat berat dan sepatutnya Jamil Khir tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang Islam.

"Jamil Khir sepatutnya mengulas untuk merujuk perkara itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu, fatwa Terengganu bahawa kenyataan sebagai pemikiran yang kufur dan murtad tetapi negeri lain tidak," jelasnya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta agar Jamil Khir mengkaji semula fatwa yang telah dikeluarkan Terengganu itu bagi mengelakkan kekeliruan.

"Ini menjadi persoalan kepada agama Islam itu sendiri adakah terdapat perbezaan dan kenapa fatwa perlu dikeluarkan secara berbeza terutama soal murtad.

"Ia perlu diperincikan dan diselaraskan di semua negeri," ujarnya.

Kelmarin, media melaporkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada mesyuarat khas kali pertama 9 Mac lalu sebulat suara memutuskan bahawa kenyataan Kassim pada satu seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad. - HARAKAHDAILY 3/7/2014

Sumber HD - 3-7-2014


Mendap: Adakah Kuala Lumpur selamat?

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar kerajaan membuat kajian secara menyeluruh struktur tanah di pusat bandar terutamanya di kawasan-kawasan terdapat projek mega bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Beliau merujuk kepada dua mendapan tanah yang berlaku berhampiran lampu isyarat Jalan Imbi-Jalan Pudu jam 9.30 pagi semalam akibat pembinaan terowong.

"Kita ingin tahu adakah Kuala Lumpur ini selamat kita duduki, tengok semalam tiba-tiba berlakunya mendapan di tengah-tengah pusat bandar.

"Kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membuat kajian menyeluruh kepada struktur tanah di kawasan-kawasan yang dikenal pasti bagi memastikan ia selamat," ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, susulan dari kejadian tersebut, kerajaan perlu membuat pemantauan atau menghentikan terlebih dahulu projek-projek mega di pusat bandar raya jika mendapati terdapat unsur-unsur yang boleh mengakibat berlakunya mendapan.

"Kerajaan perlu membuat pemantauan secara berterusan terutamanya kepada projek-projek mega, jika ada unsur-unsur yang boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan seperti mendapan ia perlu dihentikan dengan segera.

"Saya pasti warga kota tidak sendiri merasakan mereka tidak selamat jika melihat situasi sekarang dan kita tidak mahu ia berulang, kerajaan perlu tegas dalam memastikan keselamatan mereka," sambung beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Walaupun Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan kejadian tersebut tiada kaitan dengan Projek MRT, beliau turut menggesa agar syarikat itu memastikan struktur tanah membabitkan kawasan batu kapur telah dibaik pulih serta pemantauan dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mohd Najib Mohd berkata, Jalan Imbi akan ditutup selama dua minggu bagi kerja-kerja pembaikan dan pembersihan jalan yang terjejas, mulai hari ini. - HARAKAHDAILY 3/7/2014

Sumber HD - 3-7-2014


PAS desak kembalikan jawatan Prof Redzuan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

"Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS memandang serius tindakan universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) yang mengarahkan ahli akademik terkemuka, Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman supaya meletakkan jawatan sebagai Pengarah University of Malaya Centre for Democracy and Elections (UMcedel) serta tidak menyambung perkhidmatan Prof Redzuan sebagai Dekan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Apa yang mengejutkan, kedua-dua tindakan ini dikatakan diambil hasil dari desakan politik pihak tertentu di Kementerian Pendidikan yang tidak senang dengan kajian-kajian berkaitan politik negara yang dijalankan oleh UMcedel di bawah kepimpinan Prof Redzuan.

Dengan mengambil tindakan sebegini ke atas Prof Redzuan, jelas menunjukkan bahawa janji perlaksanaan transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri untuk memberi ruang kebebasan bersuara yang lebih luas kepada rakyat, adalah suatu pembohongan semata-mata.

Bukan setakat kerajaan yang ada hari ini tidak boleh berkompromi dengan sebarang kritikan dari parti pembangkang, tetapi sudah sampai ke tahap tidak boleh berlapang dada di atas hasil kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik non-partisan. Dalam dunia akademik, apa jua dapatan di dalam sesuatu kajian itu adalah terbuka untuk dicabar dan dinilai semula.

Jika tidak berpuas hati dengan dapatan yang diperolehi oleh Profesor Redzuan dan UMcedel, kerajaan Umno dan BN boleh sahaja mengemukakan sebarang hasil kajian balas untuk seterusnya dinilai secara akademik. Tetapi bukan dengan mengambil tindakan ‘menghukum’ Prof Redzuan kerana tidak selesa dengan kajian beliau.

Saya ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri dan timbalannya yang juga merupakan Menteri Pendidikan harus bertanggungjawab dan membuat penjelasan umum berhubung dengan arahan kepada UM yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan agar Prof Redzuan diketepikan sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Campur tangan politik sempit kepartian di dalam hal ehwal akademik dan pengurusan universiti adalah perbuatan yang amat jijik kerana ianya bukan sahaja menzalimi individu terbabit, bahkan ianya juga mencemar reputasi insititusi pendidikan terulung di negara ini dan seterusnya memburukkan lagi pandangan dunia terhadap intitusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dalam keadaan kedudukan ranking UM dan universiti-universiti di negara ini semakin merudum jika hendak dibandingkan dengan negara-negara serantau yang lain, tidak dapat dibayangkan apakah yang menguasai cara berfikir dan bekerja para penggubal dasar, pegawai-pegawai kementerian, pentadbir-pentadbir universiti di negara ini selain dari hanya semata-mata untuk membodek dan menyatakan hanya perkara-perkara yang sedap didengar kepada para menteri dan ahli politik pemerintah.

Kongkongan kuku besi ke atas sistem pendidikan di Malaysia menjadikan negara kita semakin tertinggal di belakang. Lihat sahaja di dalam laporan yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education Asia University Rankings 2014 yang dikeluarkan beberapa minggu lalu menyaksikan tidak ada satu pun universiti awam di Malaysia yang menduduki kedudukan 100 universiti terbaik di Malaysia.

Selepas kajian ranking ini dikeluarkan, kita tidak mendengar sebarang ulasan samada dari Perdana Menteri atau timbalannya tentang apakah langkah-langkah segera yang bakal diambil kerajaan untuk memperbaiki kualiti universiti awam di negara kita. Rupa-rupanya ‘langkah’ pertama yang diambil kerajaan ialah dengan tidak menyambung perkhidmatan seorang tokoh akademik yang berwibawa!

Bagi pihak PAS, saya mendesak agar Prof Redzuan dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera.

Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja.

Politik sempit dan sikap balas dendam yang diamalkan hingga memangsakan tokoh-tokoh dan institusi-institusi yang memberi sumbangan kepada negara, harus dihentikan demi masa depan negara yang lebih gemilang. - HARAKAHDAILY 1/7/2014

Sumber HD - 1-7-2014



Bufet Ramadan: Jakim perlu siar senarai halal

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa agar menyiar nama hotel atau penyedia bufet Ramadan yang telah memperolehi sijil halal bagi mengelakkan berlakunya penipuan terhadap umat Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Umar ketika menghubungi Harakahdaily berkata, penyenaraian itu penting bagi memberi kemudahan kepada umat Islam untuk menentukan tahap kebersihan makanan yang mereka sediakan.

"Kita mahu jaminan dari Jakim terhadap hotel-hotel atau restoran besar yang menawarkan bufet Ramadan dari segi status halalnya.

"Jakim perlu mengeluarkan senarai hotel-hotel yang telah diakui halal dan kita tidak mahu tertipu dengan sijil halal palsu yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha hotel atau restoran besar yang ingin mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan ini," jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta agar Jakim menyenaraikan kesemua hotel dan restoran yang memohon sijil halal yang telah ditolak permohonannya.

"Kita juga mahu tahu berapa banyakkah hotel atau restoran yang telah memohon sijil halal tetapi telah ditolak permohonannya, Jakim kena keluarkan senarainya.

"Apabila senarai itu dikeluarkan mudah untuk kita membuat rujukan dengan lebih tepat," sambung beliau lagi.

Mahfuz turut meminta agar kerajaan membuat pemantauan dan menghadkan iklan-iklan bufer ramadan yang keterlaluan harganya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran atas kesempatan yang diambil oleh pihak pengusaha hotel mahupun restoran. - HARAKAHDAILY 30/6/2014

Sumber HD - 30-6-2014





Amaran PAS pada MCA: Jangan bermain api

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mengecam keras kenyataan Pengerusi Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen yang meminta pihak polis agar membuat pemeriksaan ke atas semua ahli PAS berikutan terdapat bekas pemimpinnya menyertai pergerakan jihad di Syria.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad (gambar) memandang berat kenyataan Kim Seng itu kerana ia secara jelas berniat menakut-nakutkan rakyat terutamanya dari kalangan masyarakat Cina terhadap PAS.

"Saya bagi pihak Presiden PAS dan para pemimpin parti memberi amaran keras kepada MCA agar jangan sekali-kali bermain dengan api agama bagi menakutkan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina terhadap perjuangan PAS.

"PAS adalah sebuah parti politik yang sah dan telah terlibat secara aman di dalam proses demokrasi dan pilihan raya di negara ini sejak tahun 1955,” tegas beliau.

Kim Sen membuat gesaan itu ketika mengulas laporan media mengenai seorang bekas pemimpin Dewan Ulama PAS, Ustaz Lotfi Ariffin yang menyertai aktiviti jihad di Syria.

Pemimpin MCA itu juga turut menggesa pihak polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar memeriksa setiap ahli PAS untuk melihat sama ada pengaruh Ustaz Lotfi telah menyerap ke dalam parti dan perkembangan di Syria dan Iraq mempunyai kesan ke atas PAS.

Menurut Dr. Syed Azman, tindakan MCA menggesa anggota PAS disiasat adalah berniat jahat dan tidak bertanggungjawab serta boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

"Apakah niat sebenar MCA? Nak takut-takut masyarakat Cina terhadap PAS? Ini politik bermotif jahat bagi memburuk-burukkan PAS," tegas beliau lagi.

Dr Syed Azman turut "memulangkan paku buah keras" dengan menyoal sama ada semua anggota MCA perlu disiasat apabila ada di kalangan pemimpin mereka yang jelas terbukti terlibat dalam kongsi gelap dan judi haram.

"Ada pemimpin MCA yang terlibat dalam rasuah dan penipuan. Malah ada pemimpin MCA yag terlibat dalam skandal seks. Apakah perlu semua ahli MCA disiasat?" jelas beliau lagi.

Dr Syed Azman menambah, PAS sejak dari awal penubuhannya telah mengambil pendekatan politik secara aman di negara ini dan telah banyak membantu negara bagi menjamin keamanan dan keselamatan.

Malahan tambah beliau, tidak ada rekod yang membuktikan PAS terlibat dalam mana-mana kegiatan yang bertentangan dengan perlembagaan dan keselamatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan serta memecat mana-mana ahlinya yang terlibat di dalam apa jua bentuk aktiviti yang bertentangan dengan prinsip perjuangan yang didokongi PAS selama ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkali-kali menegaskan bahawa pendekatan politik yang diambil PAS di negara ini adalah secara aman dengan terus terlibat dalam proses pilihan raya dan demokrasi walaupun ianya tempang dan tidak adil.

Dr. Syed Azman menggesa pemimpin MCA itu segera menarik balik kenyataan yang berniat jahat tersebut bagi memastikan keharmonian agama dan kaum di negara ini terus terjamin.

"PAS akan kekal berjuang secara aman di negara ini dan akan terus menyumbang secara positif bagi menjamin keamanan dan keharmonian kaum dapat terus dikekalkan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY, 30/6/2014

YB Dr SASAN - 
http://www.youtube.com/watch?v=lew3bM8ddDs

Sumber HD - 30-6-2014







MCA biadab kaitkan PAS dengan pengkhianat

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan biadab Pengerusi Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen yang mengaitkan PAS dengan pengkhianat.

Chai meminta pihak polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memeriksa setiap ahli PAS untuk melihat sama ada pengaruh jihad yang dilaungkan bekas pemimpin Dewan Ulamak PASyang telah dipecat, Ustaz Lotfi Ariffin telah menyerap kepada ahli PAS.

"Kenyataan biadab dari seorang pemimpin MCA, apa alasan untuk beliau menyuruh polis siasat seluruh ahli-ahli PAS, adakah kami semua pengganas.

"Kalau macam itu, penglibatan anggota polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam pengganas Sulu, maka keseluruhan anggota polis dan TLDM juga ingin disiasat," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang kesal dengan kenyataan MCA itu dan mengganggap ia sebagai tidak berasas serta mencari publisiti murahan.

"Kalau ini kenyataan dari pimpinan MCA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meneliti semula pelantikan mereka di dalam kabinet.

"Bila diberikan jawatan, MCA tidak mengenang budi bercakap hanya untuk mencari publisiti tanpa membuat kajian terlebih dahulu. Najib serta Umno perlu menelitinya kembali," sambung beliau lagi. - HARAKAHDAILY 29/6/2014

Sumber HD - 29-6-2014







Kerajaan perlu cekap, bukan tambah anggota kabinet

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini memerlukan kerajaan yang cekap dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan bukannya berbangga dengan jumlah anggota kabinet yang besar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelantikan beberapa anggota kabinet baru semalam amat mengecewakan dan dilihat satu pembaziran.

"Saya melihat pengumuman anggota kabinet yang dilakukan Najib semalam adalah perkara yang mengecewakan dan pembaziran untuk sebuah negara yang mempunyai rakyat seramai 30 juta penduduk.

"Rakyat hanya inginkan sebuah kerajaan yang berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan bukannya menambah anggota bagi memenuhi janji politik individu," katanya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada penambahan anggota kabinet yang diumumkan Najib itu.

Katanya lagi, transformasi yang dilaungkan Najib dalam urus tadbir kerajaan tidak mencerminkan kesungguhan beliau dalam memastikan penjimatan dan kecekapan bekerja.

"Bila tambah anggota kabinet, ini menyebabkan tugas anggota kabinet akan lebih ringan dan saya pasti akan ada satu anggota kabinet akan laksanakan satu tugas sahaja.

"Sebagai sebuah kerajaan kita memerlukan seseorang yang dilantik itu boleh menjalankan pelbagai tugas yang diberikan.

"Jelas transformasi Najib ini tidak mencerminkan kecekapan pentadbiran tetapi merupakan transformasi pembaziran dengan pertambahan kos yang melampau," ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Beliau berkata, walaupun Negara China mempunyai jumlah rakyat yang ramai namun anggota kabinet masih kecil berbanding kabinet Najib hari ini.

Menurutnya, pengumuman itu turut memalukan apabila negara luar melihat kegagalan Najib mentadbir dengan keadaan kabinet yang tidak seimbang mengikut jumlah rakyat berbanding dengan negara-negara luar.

Pengumuman semalam, anggota kabinet Najib menjadi 35 orang menteri penuh dan 27 timbalan menteri, 10 daripadanya berkhidmat dalam Jabatan Perdana Menteri.

Berdasarkan pakej saraan yang ditetapkan parlimen Malaysia, barisan baru kabinet itu akan menelan wang pembayar cukai kira-kira RM530,000 dalam bentuk gaji atau RM6.3 juta setahun. - HARAKAHDAILY 26/6/2014

Sumber HD - 265-6-2014

No comments:

Post a Comment