JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Wednesday, June 25, 2014

YB MOHAMED HANIPA MAIDIN : PENGERUSI LAJNAH UNDANG-UNDANG PAS PUSAT (JILID 2)


Sedekah bukan jenayah, kata Hanipa

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin meminta agar Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor mempelajari undang-undang terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai undang-undang.

Beliau merujuk kepada kenyataan Tengku Adnan yang bertegas ingin melaksanakan bayaran denda serta merta RM150 kepada pemberi sedekah dalam usaha membasmi gelandangan di Kuala Lumpur.

Jelas Hanipa, seseorang itu tidak dianggap bersalah kecuali ia dibuktikan bersalah dan pelaksanaan denda serta-merta itu jelas bertentangan dengan prinsip undang-undang yang sedia ada.

"Kita tidak boleh terus menjatuhkan hukuman kepada pemberi sedekah ia amat bertentang dengan prinsip undang-undang sekarang.

"Seperti kita kena saman laju, ada bukti kesalahan itu tetapi mahkamah akan memutuskan kita bersalah atau tidak.

"Begitu juga dengan apa yang Tengku Adnan ini lakukan, kita beri sedekah bukan satu kesalahan jenayah dan tidak bertentangan dengan agama jadi tiada sebab untuk kita didenda serta merta," jelasnya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kerajaan perlu meneliti semula dasar yang sedia ada kenapa angka pengemis ini terus meningkat setiap hari.

"Kita tidak boleh salahkan pengemis kenapa mereka mengemis, kerajaan perlu meneliti semula dasar mereka terutama dalam soal kebajikan rakyat miskin.

"Apa yang saya lihat selagi rakyat tertekan dengan keadaan ekonomi sekarang selagi itulah isu pengemis ini tidak akan dapat diselesaikan. Kerajaan jangan salahkan pengemis tetapi salahkan diri sendiri.

"Kerajaan perlu mencari alternatif untuk memastikan taraf hidup rakyat berada pada satu tahap yang lebih baik sehinggakan kadar kemiskinan ini dapat dihapuskan," kata beliau.

Beliau yakin cadangan Tengku Adnan itu bukan satu penyelesaian tetapi menimbulkan kesulitan pada masa akan datang. - HARAKAHDAILY 4/7/2014

Sumber HD - 4-7-2014

Adakah Herald diberikan keadilan?

MOHAMED HANIPA MAIDIN | .

SECARA peribadi saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Herald berkenaan isu nama Allah. Sebagai peguam, saya merasa pelik dengan keputusan tersebut. Sebagai Muslim, saya pula yakin akhbar Herald telah dinafikan keadilan dalam kes tersebut.

Sebelum saya ulas lanjut elok kita lihat kronologi kes tersebut. Menteri Dalam Negeri telah disaman oleh akhbar Herald kerana meletakkan syarat kelulusan permit akhbar Herald hanya jika nama Allah tidak digunakan oleh akhbar tersebut di dalam penerbitannya. Pihak Herald yang tidak puas hati dengan keputusan tersebut telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan tersebut. Hakim Lau Bee Lan telah membenarkan permohonan semakan kehakiman Herald atas alasan keputusan Menteri tersebut bercanggah dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak Menteri tidak berpuashati dengan keputusan itu dan merayu ke Mahkamah Rayuan. Di Mahkamah Rayuan tiga orang hakim sebulat suara membenarkan rayuan tersebut sekaligus keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dibatalkan. Antara alasan Mahkamah Rayuan ialah Allah adalah khusus untuk orang Islam maka keputusan Herald, akhbar Kristian, menggunakan nama Allah adalah tidak betul. Maka Menteri mempunyai kuasa untuk mengenakan syarat supaya Herald tidak menggunakan nama Allah di dalam penerbitannya.

Pihak Herald telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan selaku Mahkamah yang paling tinggi dalam piramid Mahkamah di Malaysia. Dari segi prosedur dan undang undang rayuan dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan bukan suatu yang automatik. Maksudnya jika mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, pihak tersebut perlu mendapatkan kebenaran untuk merayu (leave to appeal) daripada Mahkamah Persekutuan. Pada kebiasaannya, kebenaran untuk merayu akan diberikan jika sesuatu kes itu melibatkan kes kepentingan awam dan juga isu undang-undang atau perlembagaan yang penting untuk diputuskan.

Semasa saya mengendalikan kes pelajar sekolah yang dibuang sekolah kerana memakai serban, kami menang di Mahkamah Tinggi kemudian kalah di Mahkamah Rayuan dan mendapat kebenaran rayuan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan kerana isu tersebut melibatkan isu perlembagaan iaitu tentang isu makna kebebasan beragama di dalam Artikel 11 Perlembagaan.

Isu Herald bagi saya, isu yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran untuk merayu kerana rakyat dan dunia undang-undang di Malaysia memerlukan satu petunjuk yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan berkenaan erti kebebasan beragama di bawah Artikel 11 khususnya Artikel 11 (4) Perlembagan Persekutuan.

Fakta bahawa tujuh orang hakim Mahkamah Persekutuan ditugaskan mendengar permohonan Herald bagi mendapatkan kebenaran rayuan menunjukkan bahawa ia suatu kes yang amat penting kerana setakat pengetahuan dan pengalaman saya, mungkin ini kali pertama tujuh orang hakim diarah mendengar permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu dan berakhir dengan kebenaran tidak diberikan. Amat-amat pelik.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan enggan mendengar rayuan Herald maka rakyat di negara ini, setakat ini, dipaksa menerima satu keputusan yang pelik yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Bagaimana tidak pelik jika diputuskan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja di negara ini. Jika di negara Arab, orang Kristian boleh guna nama Allah. Bagaimanakah kita boleh pertahankan keputusan pelik Mahkamah Rayuan dan bagaimanakah Mahkamah Persekutuan enggan menjalankan peranannya sebagai penafsir muktamad Perlembagaan Persekutuan meneliti semula keputusan pelik tersebut.

Kalimah Allah dilarang untuk digunakan oleh Herald atas alasan orang Kristian mempunyai pemahaman yang lain dari orang Islam tentang kalimah tersebut. Hujah ini amat lucu kerana jika orang Kristian mempunyai pemahaman yang sama dengan orang Islam tentang kalimah Allah, ada bezakah kita orang Islam dengan Kristian?

Kedua, adakah kalimah Allah sahaja yang kita orang Islam berbeza dengan orang Kristian? Bagaimana pula dengan kalimah Isa dan Maryam? Bukankah pemahaman kita berbeza dengan mereka berkenaan kalimah Isa. Jika Kristian anggap Isa sebagai anak Allah bagaimanakah kita boleh benarkan Herald atau mana-mana Bible menggunakan kalimah Isa tanpa sebarang sekatan?

Di sinilah letaknya kebebasan agama yang Islam ajar kepada kita semua iaitu selagi mana seseorang di luar lingkungan atau orbit Islam maka mereka berhak berpegang kepada mana mana fahaman sesesat mana pun fahaman tersebut. Selagi mana kristian atau mana-mana agama atau fahaman mengguna apa-apa kalimah termasuk kalimah Allah dalam kalangan mereka sahaja, Islam menghormati hak tersebut kerana ia termasuk dalam hak kebebasan mengamalkan agama mereka. Islam bukan deen ijbari (agama berdasarkan paksaan) kerana ia adalah agama yang mempunyai keterangan yang jelas antara kebenaran dan kesesatan.

Ruh kebebasan yang Islam anjur itu juga ditiup masuk dalam Perlembagaan Persekutuan dengan wujudnya Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Artikel 11 adalah menepati semangat kebebasan agama yang Islam anjur. Bagi memastikan hak itu tidak disalah guna oleh mana-mana orang, maka Perlembagaan Persekutuan juga mewujudkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 11 (4) ini melarang orang bukan Islam seperti orang Kristian untuk mengedar Herald kepada orang Islam sama ada, kalimah Allah ada di dalam Herald atau tidak ada. Apa lagi yang orang Islam hendak setelah adanya Artikel 11 (4) yang sengaja diwujudkan bagi menjaga kepentingan Islam dan pengikutnya.

Apabila Herald yang diedarkan hanya kepada orang Kristian sahaja yang sepatutnya tidak menjadi masalah dengan Perlembagaan, tiba-tiba diganggu gugat oleh Mahkamah Rayuan yang menyempitkan hak orang bukan Islam, maka di manakah keadilan yang kita berbangga Islam dan Perlembagaan Persekutuan dikatakan menjaganya. Di mana pula Mahkamah Persekutuan sebagai benteng terakhir penjaga dan pengawal Perlembagaan.'

'Allamah Ibnu Al Qayyim telah sekian lama memberikan satu taujihat atau panduan yang amat berguna kepada kita apabila beliau menyatakan antara lain "Islam itu semuanya adil, semunya rahmat dan kasih sayang dan semunya hikmah maka apa sahaja yang keluar dari keadilan, keluar dari rahmat dan kasih sayang dan keluar dari hikmah ia bukan Islam..."

Adakah Herald telah diberikan keadilan di dalam kes kalimah Allah ini? Maaf saya ragu keadilan telah ditegakkan di dalam kes ini. - HARAKAHDAILY 2/7/2014

Sumber HD - 2-7-2014


Cara pelik membela Islam?

MOHAMED HANIPA MAIDIN | .

SEORANG ulama faqih dan sufi yang terkenal di Morocco iaitu almarhum Sidi Ahmad Zarruq (1442- 1493) telah dihukum oleh pemerintah kerana mempertahankan hak-hak orang Yahudi. Ulama besar ini yang juga digelar muhtasib al-ulama'wa al-auliya' terkenal dengan kitabnya yang masyhur iaitu Qawa'id al-tasawwuf.

Beliau juga telah memberi komentari ke atas kitab al Hikam. Beliau akhirnya meninggal dunia di Misrata, Libya. Mungkin pelik kita mendengar ulama besar Islam dihukum kerana mempertahankan hak orang orang Yahudi yang dizalimi oleh pemerintah yang beragama Islam.

Ia pelik jika kita belajar Islam dari Umno dan Perkasa. Tetapi jika kita pelajari Islam dari sumbernya yang bersih dan suci insya-Allah tidak ada peliknya. Muqaddimah itu sengaja saya lontarkan di sini supaya kita tidak terikut dengan gelagat dan cara Perkasa ingin membela Islam.

Yang terbaharu pemimpin Perkasa Ruslan Kassim mahukan Sultan memenggal kepala mereka yang dikatakan menghina Islam. Jika beginilah imej dan mesej Islam yang dibawa oleh para pendakwah dan pedagang Islam yang datang ke bumi Nusantara ini adakah Parameswara tertarik kepada Islam?

Wahai Ruslan bacalah al-Quran nescaya kamu akan lihat banyak lagi penghinaan yang dilemparkan kepada Islam dan para anbiya' dan adakah Islam menyelesaikan penghinaan itu dengan bertindak secara hina iaitu memenggal kepala manusia? Segalanya bermula daripada isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 2 Januari 2014 yang meramPAS 300 buah naskah al-Kitab berbahasa Melayu dan Bup Kudus (bible berbahasa Iban) yang mengandungi nama Allah dari stor Persatuan Bible Malaysia.

Alasan ramPASan itu adalah penggunaan kalimah Allah dalam bible tersebut adalah melanggar seksyen 9 (1) (a) Enakmen Agama Bukan Islam (Pengawalan penyebaran ke atas orang-orang Islam) 1988 . Antara lain menurut seksyen 9 (1) (a) Enakmen tersebut, seseorang itu dikatakan melakukan kesalahan sekiranya ia menerbitkan kata-kata di dalam Bahagian 1 Jadual di Enakmen tersebut bagi tujuan "menyatakan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, aktiviti, cara atau apa yang berkaitan dengan agama bukan Islam".

Perkataan Allah termasuk dalam Bahagian 1 Jadual di Enakmen tersebut. Berdasarkan Enakmen tersebut mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh dibicarakan di Mahkamah Sesyen iaitu pendakwaan akan dilakukan oleh Pendakwa Raya iaitu Peguam Negara. Pihak Peguam Negara telah memutuskan tiada kesalahan dilakukan di bawah Enakmen tersebut dan tiada pendakwaan akan dilakukan ke atas mana-mana orang.

Dengan ketiadaan pendakwaan itu maka di sisi undang undang dan juga logik, pihak JAIS sewajarnya memulangkan kembali 300 bible yang diramPAS itu. Malangnya JAIS tidak mahu memulangkan kembali. Meskipun PAS tidak terlibat dengan tindakan JAIS tersebut, pelbagai kritikan di laman sosial menghentam PAS sehingga ada yang menyatakan jika PAS memerintah Malaysia inilah yang PAS akan lakukan (macam JAIS lakukan).

Kami empat orang Ahli Parlimen PAS dari Selangor mengambil keputusan membuat sidang akhbar bagi membetulkan fakta dan memberikan pandangan kami. Tujuan utama kami membersihkan nama PAS. Antaranya kami nyatakan PAS tidak terbabit dalam insiden ini dan tidak adil menyalahkan PAS.

Keduanya tindakan JAIS yang tidak mahu memulangkan semula rampasan dalam keadaan Peguam Negara menyatakan tiada kesalahan yang dilakukan adalah tidak wajar di sisi undang undang dan Islam itu sendiri.

Ketiganya mungkin sudah sampai masanya kuasa eksekutif JAIS atau MAIS dikaji semula dan kami menyerahkan kebijaksanaan Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan perkara tersebut. Saya juga menambah bahawa dalam kes sensitif seperti ini sepatutnya JAIS memilih kaedah rundingan dan dialog daripada menceroboh dan merampas bible di premis orang.

Berita tentang kenyataan akhbar kami berempat itu lebih ditonjolkan tentang isu melenyapkan kuasa eksekutif JAIS dan MAIS, maka Utusan dan Perkasa memulakan serangan ke atas kami berempat dari situ. Pada masa artikel ini ditulis sudah ada seruan untuk memenggal kepala mereka yang menghina Islam dan nama-nama kami disebut oleh seruan tersebut.

Secara jujur saya tidak berasa apa-apa dengan amaran atau kecaman itu kerana saya percaya kami tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya tetap berpegang pada pendirian bahawa JAIS mesti memulangkan rampasan bible itu, meskipun datangnya 100 ancaman memenggal kepala dari Perkasa. Dari segi perundangan saya sependapat dengan Peguam Negara iaitu tiada kesalahan dilakukan oleh Persatuan Bible Malaysia di bawah seksyen 9 (1) (a) Enakmen tersebut atau mana mana seksyen lain di Enakmen tersebut. Malahan saya berani menyatakan seksyen 9 (1) (a) Enakmen itu adalah ultra vires atau bercanggah dengan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Harus diingat, Enakmen tersebut adalah digubal menurut Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri boleh menggubal undang undang bagi mengawal penyebaran dokrin atau agama bukan Islam ke atas orang orang Islam.

Perkataan yang penting di sini adalah penyebaran kepada orang Islam. Hanya penyebaran yang tidak dibenarkan dan itu pun jika ia disebarkan kepada orang Islam. Persoalannya bagaimanakah penerbitan nama Allah dalam bible yang hanya akan digunakan ke atas orang orang Kristian sahaja adalah dikira satu penyebaran agama atau doktrin bukan Islam kepada orang Islam.

Hanya kerana kewujudan kalimah Allah di dalam bible al-Kitab atau Bup Kudus ia bukan satu kesalahan di bawah Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan maka apabila seksyen 9 (1) (a) menjadikan ia suatu kesalahan adalah jelas bercanggah dengan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Ia hanya satu kesalahan jika bible yang berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah itu terbukti tersebar dalam kalangan orang Islam. Malahan jika bible berbahasa Melayu itu disebarkan kepada orang orang Islam ia tetap salah meskipun nama Allah tidak digunakan di dalam bible Melayu itu. Jadi isunya di sini adalah isu penyebaran bukan isu nama Allah. Seksyen 9 (1) (a) Enakmen yang menjadikan penggunaan kalimah Islam seperti Allah oleh bukan Islam adalah satu kesalahan adalah bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia melampaui kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan. Tindakan JAIS merampas di bawah seksyen 9 (1) (a) Enakmen yang ultra vires Perlembagaan juga secara automatik tidak sah dan melanggar Perlembagaan. Dalam keadaan ini mengaku kesilapan adalah tindakan mulia yang kita tunggu daripada JAIS. - HARAKAHDAILY 25/6/2014

Sumber HD - 25-6-2014

No comments:

Post a Comment