JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Sunday, June 29, 2014

NEGERI PAKATAN RAKYAT - PULAU PINANG (JILID 2)

ZPP sumbang RM150 ribu untuk saudara baru

MOHD SABRI SAID | .


PULAU PINANG: Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukan RM150 ribu untuk sumbangan kepada saudara baru seluruh Pulau Pinang kata, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Saleh Man.

"ZPP telah memperuntukan RM150 ribu kepada saudara baru seluruh Pulau Pinang iaitu setiap mereka diberikan RM1000 seorang sebagai sagu hati dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat ini,” terangnya sewaktu majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Saguhati Aidil Fitri Saudara Kita di Hotel Sunway, Seberang Jaya.

Justeru, beliau juga menyarankan supaya mereka yang baru memeluk Islam jangan malu untuk bertanya kepada rakan-rakan yang telah lama memeluk Islam mengenai perkara yang mereka belum ketahui.

Majlis anjuran Ukhwah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dihadiri oleh Pengarahnya, Haji Rozali Husain dan Timbalan MAINPP, Datuk Abdul Halim Husain.

Majlis berbuka puasa katanya, menjadi salah satu tempat untuk berkumpul dan berkongsi pengalaman bersama saudara baru.

"Apabila memeluk Islam, ada antara saudara baru yang menghadapi masalah dengan keluarga. Oleh sebab itu kami mengambil peranan untuk membantu dan memberi tunjuk ajar,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Permatang Pauh.

Beliau juga berpesan pada saudara lama agar jangan membiarkan saudara mereka tercari-cari lokasi yang boleh membantu mereka mendapatkan kekuatan akidah.

Orang Melayu pula ditegurnya tentang sikap mereka yang memandang rendah kepada saudara baru sedangkan ada antara mereka lebih bijak dan cepat mempelajari Islam termasuk menghafal ayat-ayat al-Quran.

Sehubungan dengan itu Datuk Saleh menggesa supaya kerjasama sesama Islam dan masyarakat bukan Islam terus dikuatkan agar mereka melihat Islam sebagai agama yang membawa perdamaian. - HARAKAHDAILY 7/7/2014

Sumber HD - 7-7-2014

18 ladang babi dikompaun ingkar pengurusan biokimia

BERNAMA | .
BUTTERWORTH: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengenakan kompaun kepada pengusaha 18 ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor kerana melanggar amalan pengurusan sisa kumbahan yang ditetapkan.

Setiausahanya, Rozali Mahamud berkata pemeriksaan MPSP mendapati 18 daripada 78 ladang babi di kawasan itu tidak mencapai tahap permintaan oksigen biokimia (BOD) ketika melepaskan air kumbahan ke sungai.

"Sebanyak 18 ladang babi yang kami periksa pada Selasa telah melebihi ukuran BOD yang ditetapkan iaitu sebanyak 50.

"MPSP telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 kepada setiap pengusaha berkenaan dan jika mereka mengulangi kesalahan itu, permohonan pembaharuan lesen untuk beroperasi pada masa depan tidak akan diluluskan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata air kumbahan yang dilepaskan dan tidak mematuhi BOD boleh menyebabkan pelbagai jangkitan penyakit, termasuk virus JE.

"Pemeriksaan di ladang mendapati ia dalam keadaan bersih tetapi air sisa yang dilepaskan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan, dan perkara ini harus diatasi segera," katanya.

Rozali juga berkata pematuhan terhadap BOD oleh pemilik ladang babi amat penting kerana di Kampung Selamat, terdapat lebih 90,000 ekor babi yang sedang diternak.

"MPSP mendapati kegagalan mematuhi BOD oleh pengusaha ladang merupakan masalah berulang kerana mereka menggunakan sistem pengurusan sisa kumbahan kaedah lama," katanya. - Bernama

Sumber HD - 4-7-2014

Kerajaan P.Pinang beri peruntukan Ehya Ramadan

MOHD SABRI SAID | .

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM222,000 untuk program Ehya Ramadan bagi masjid dan surau utama di negeri ini, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dalam perutusan khas sempena kedatangan Ramadan, beliau berharap peruntukan itu dapat merapatkan tali silaturrahim dan umat Islam tabah menghadapi ujian hidup, jasmani dan rohani.

"Saya kagum dengan kecekalan umat Islam menghadapi bulan Ramadan, maka sebab itu kerajaan negeri memperuntukkan RM222,000 untuk menyemarakkan program Ehya Ramadan tahun ini kepada seluruh masjid dan surau utama di Pulau Pinang.

"Tujuannya tiada lain semata-mata untuk merapatkan tali silaturrahim sesama kita rakyat Malaysia," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap Kompleks Mahkamah Syariah Tinggi Pulau Pinang dapat dibuka dengan rasmi pada bulan Ramadan ini.

Kerajaan negeri, ujarnya telah memperuntukkan RM100 juta bagi membina kompleks di Bukit Gantung, Jalan Scotland di atas tanah seluas 3.49 ekar.

"Mahkamah setinggi tujuh tingkat itu turut dibiayai oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM36 juta," ujar beliau.

Berita lanjut dalam Harakah terbaru edisi Jumaat. Dapatkan naskah anda.

Sumber HD - 2-7-2014



BN jual tanah 35 kali lebih banyak, tapi hasil kecil

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang berjaya mendapat pulangan yang lebih besar daripada penjualan tanah negeri, walaupun jumlah keluasannya jauh lebih kecil berbanding kerajaan BN sebelum ini melalui sistem tender terbuka yang berdaya saing.

Malah, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng, hampir separuh daripada hasil tersebut pula disalurkan bagi membina 20,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat.

Tambahnya, kepada pihak yang mendakwa kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada penjualan tanah bagi mendapatkan hasil, ia tidak benar memandangkan kerajaan BN telah menjual tanah dengan keluasan 35 kali ganda namun mendapat pulangan lebih kecil.

“BN sebelum ini menjual sekurang-kurangnya 3,661 ekar tanah dan mendapat RM1.0586 bilion. Manakala kami menjual hanya 106.1 ekar dengan hasil RM1.1102 bilion,” ujarnya dalam satu kenyataan dipetik Roketkini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, perbezaan itu adalah kerana kerajaan Pakatan sentiasa mengamalkan sistem tender terbuka bagi mendapatkan hasil yang lebih banyak untuk dipulangkan kepada rakyat.

“Isu ini sering dimainkan BN melalui media kawalan mereka. Mujurlah rakyat Pulau Pinang tidak mudah ditipu. Malah Pakatan mendapat mandat terbesar dalam sejarah negeri pada Pilihanraya Umum lalu dengan 68% undi popular,” katanya lagi.

Dengan hasil yang diperolehi itu, katanya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan RM500 juta untuk Skim Perumahan Awam Mampu Milik bagi membina 20,000 unit rumah di lima daerah di Pulau Pinang.

“Jumlah ini adalah yang terbesar yang disalurkan kerajaan negeri di Malaysia, dan kami sanggup menambahkan lagi peruntukan jika perlu," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga menjadi perintis Skim Pemilikan Bersama untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang sukar mendapat pinjaman bank memiliki rumah, dengan memberikan pinjaman tanpa faedah sebanyak 30 peratus bagi membayar harga belian rumah tersebut.

Sumber HD - 30-6-2014

Pulau Pinang perlukan landasan kedua

BERNAMA | .

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini mengulangi bahawa Pulau Pinang memerlukan landasan kedua dan mempunyai cukup tanah untuk membina landasan tambahan.

Beliau berkata permintaan itu berdasarkan peningkatan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan pengangkutan kargo udara juga meningkat kerana pelaburan langsung asing (FDI).

"Bagi mereka yang tidak bersetuju Pulau Pinang memerlukan landasan kedua, anda tidak melihat kepentingan Pulau Pinang. Tolong lihat kepentingan Pulau Pinang, jangan sabotaj kepentingan Pulau Pinang dengan berkata kami tidak memerlukan landasan kedua.

"Pada masa sama kami yakin di Pulau Pinang landasan keduanya akan digunakan sepenuhnya, ia akan dioptimumkan tapi di Kedah kami tidak pasti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 12 Jun, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata Kedah bakal memiliki lapangan terbang antarabangsa baharu di atas tanah seluas 600 hektar yang akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri di utara tanah air.

Pada masa ini Kedah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Lim berkata Pulau Pinang tidak takut bersaing dengan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim dengan syarat menyediakan kemudahan sama iaitu memberi Pulau Pinang landasan tambahan, kemudahan dan penyelenggaraan kargo udara bersepadu, hab membaiki dan membaik pulih pesawat.

Terdahulu, Lim menyaksikan majlis menandatangani pajakan Wisma Yeap Chor EE antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Universiti Terbuka Wawasan (WOU) Sdn Bhd.

PDC diwakili Pengurus Besarnya Datuk Rosli Jaafar dan WOU diwakili Pengerusinya Datuk Seri Stephen Yeap Leong Huat.

Lim berkata kepentingan menandatangani perjanjian itu membuktikan kerajaan negeri komited mempromosikan sains dan teknologi, serta animasi kreatif, dengan menyediakan tempat yang diperlukan melalui pajakan bangunan warisan berusia 100 tahun itu, Wisma Yap Chor Ee.

"Ini akan menjadi hab bagi Pencetus Animasi Kreatif di George Town dan akan menempatkan Kafe Sains Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Penang Science Cluster (PSC). Projek ini akan siap pada suku pertama tahun depan," katanya. - Bernama

Sumber HD - 29-6-2014

No comments:

Post a Comment