JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 24, 2014

NGO PENDIDIK - CIKGU MALA



PT3: Jangan seperti tikus baiki labu

NORMALA SUDIRMAN | .



Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengatur taklimat segera kepada semua guru yang terlibat dengan pelaksanaan Pentaksiran Pelajar Tingkatan 3 (PT3) yang bakal bermula Julai ini.

Ini sudah bulan Jun sedangkan peperiksaan akan bermula seawal Julai. Guru-guru pula masih keliru bentuk pelaksanaan yang akan dilakukan kerana taklimat belum lagi menyeluruh kepada semua pelaksana dasar di peringkat sekolah.

KPM didesak agar memberi taklimat kepada seberapa segera tentang semua proses pelaksanaan instrumen PT 3 dan Lembaga Peperiksaan perlu memastikan ianya sampai kepada pelaksana dasar kerana masa sudah suntuk dan keresahan semua pihak semakin tidak dapat dibendung lagi.

Setiap hari kami menerima aduan bukan sahaja daripada warga pendidik tetapi dari ibu bapa dan pelbagai NGO yang prihatin terhadap masa depan anak bangsa.

Selain daripada itu, apa yang paling penting sekali semua pengetua dan ketua jabatan harus benar-benar memahami apa itu PT3 supaya mereka bukan hanya tahu member arahan semata-mata sebaliknya dibimbangi mereka yang merupakan peneraju utama pentadbiran sekolah rupa-rupanya tidak faham mengenainya.

Ramai ibu bapa pula bimbang sejauhmana ketelusan pelaksanaan yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa ini setelah ditangguhkan sehingga April kerana apakah mungkin wujudnya ‘double standard’ dalam membuat klasifikasi gred pencapaian kerana guru di sekolah masing-masing yang akan memberi penilaian bukan pemeriksa dari sekolah lain sebagaimana PMR sebelum ini.

Persoalannya, ruang untuk membuat ‘diskriminasi’ kepada pelajar atau wujud ‘sentimen pilih kasih’ mungkin berlaku. Juga semua guru perlu memiliki integriti yang tinggi dan jujur dalam memastikan setiap markah dang gred yang diberi adalah berdasarkan jawapan pelajar semata-mata bukan sebab hanya mahu meluluskan pelajar atau menaikkan peratus serta prestasi sekolah untuk menggambarkan kepada masyarakat bahawa PBS ini berjaya dan instrument PT3 dilaksanakan tidak ada sebarang masalah.

Ini adalah kerana pihak sekolah dibimbangi akan memilih jalan selamat dengan ‘meluluskan pelajar‘agar tidak dikunjungi atau dipantau oleh pihak Nazir Persekutuan, Pejabat Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah di tempat masing-masing. Akhirnya yang akan menjadi mangsa, adalah pelajar tingkatan 3 yang menjadi mangsa eksperimen dasar PBS yang tidak konsisten dan bercelaru sejak awal pelaksanaannya.

Guru-guru pula menjadi terbeban kerana untuk memahami pelaksanaan PT3 dalam masa yang cukup singkat, dalam masa yang sama perlu melakukan kerja-kerja perkeranian yang tidak berkesudahan sungguhpun tidak perlu bangun malam untuk ‘key in’ data sehingga 2 atau 3 pagi akibat akses dan capaian internet yang cukup rendah sebelum ini. Semua ini akan mengganggu tugas dan fokus guru dalam mencurahkan ilmu kepada pemimpin masa hadapan.

Ada ibu bapa yang bertanya, jika mereka penyokong Pakatan Rakyat apa jaminan anak mereka tidak akan menjadi mangsa ‘dendam politik’ guru-guru yang berjawatan Umno di sekolah sedangkan sejak 57 tahun lalu, guru- guru yang cemerlang di sekolah pun berisiko tinggi di mana sesiapa yang dianggap pro Pakatan Rakyat pun ditukar ke sana sini dan ‘ditendang‘ macam bola. Inikan pula kami sebagai ibu bapa pelajar yang tidak dianggap menyumbang atau berjasa apa-apa dalam dunia pendidikan Malaysia.

NGO Pendidik menerima banyak aduan dan rungutan dari pelbagai negeri tentang keresahan warga pendidik dan ibu bapa yang melahirkan kebimbangan tentang pelaksanaan PT3 yang dianggap hasil dasar pendidikan yang tidak konsisten dan bercelaru sejak PBS mula dilaksanakan. Justeru itulah ianya mendapat bantahan pelbagai NGO Pendidikan dan banyak pihak bukan sahaja guru dan ibu bapa.

Pada 1 hingga 18 Julai ini, peperiksaan kali pertama akan melibatkan instrumen bagi Subjek Sejarah dan Geografi. Manakala ujian kemahiran mendengar dan bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula antara 6 hingga 29 Ogos 2014. Jadi, ini bukanlah perkara yang harus dipandang ringan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sebab itulah sejak awal pelaksanaan PBS, NGO Pendidik telah menghantar memorandum ke Parlimen untuk mohon dikaji semula. Diikuti dengan bantahan secara serius mendesak agar dimansuhkan sementara kajian rintis dilaksanakan dengan baik sebelum diteruskan. Desakan terus dilakukan ke Suhakam,Kementerian Pendidikan di Putrajaya dan Parlimen Malaysia pada tahun ini agar isu ini diambil perhatian.

Jangan seperti tikus membaiki labu. Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Kesilapan kita dalam mencatur masa depan pendidikan anak bangsa akan menyebabkan pewaris kepimpinan yang merupakan modal insan negara menjadi mangsa.

Penulis ialah Presiden NGO Pendidik.

Sumber HD - 24-6-2014

No comments:

Post a Comment