JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Monday, June 23, 2014

PAS SELANGOR (JILID 2)

PAS bantah pusat judi lumba kuda Hulu S'gor

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS sebagai sebuah parti Islam sama sekali tidak akan bersetuju dengan pembinaan pusat judi lumba kuda yang dipohon untuk dibina di Hulu Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya telahpun menerima maklumbalas dari ahli-ahli dan masyarakat Islam yang menentang pembinaan itu.

"Wakil-wakil PAS di dalam kerajaan pula sentiasa konsisten dengan pendirian tidak bersetuju dengan projek yang boleh memudaratkan itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily

Beliau turut mengakui isu permohonan pembinaan pusat judi ini boleh memecahkan Pakatan Rakyat di Selangor jika diluluskan,

"Walau bagaimanapun saya yakin isu ini akan dapat diselesaikan dengan kerajaan negeri mengambil kira pandangan rakyat," tegasnya.

Beliau juga menggesa agar masyarakat Islam supaya bersabar kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin kepada hasrat rakyat.

Difahamkan pusat lumba kuda tersebut akan dibina di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Sebelum ini, PAS Hulu Selangor turut mengadakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail berhubung pembinaan pusat judi lumba kuda berkenaan. - HARAKAHDAILY 7/7/2014

Sumber HD - 7-7-2014

Pesanan akhir sang murabbi

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik selamat dikebumikan petang tadi selepas disolatkan ribuan hadirin di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring.

Tatkala jenazahnya disempurnakan, pesanan akhir Allahyarham ketika berucap di program "Santai Anak Muda Bersama Murabbi" di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam, malam semalam berlegar di laman sosial.

Dalam ucapannya itu, beliau mengingatkan bahawa anggota jemaah perlu berperanan mengatur strategi untuk kepentingan Islam dan bukannya untuk diri sendiri.

"Kita nak selesaikan kehidupan dengan syariat," ujarnya.

Jemaah, ujarnya bukan medan berehat tetapi medan berjuang, maka setiap isu masyarakat mesti ditafahhum dengan dasar Islam.

"Saf kita bukan sekadar ahli yang baik, tapi jundi (pejuang) yang berdisplin. Perlu ada kesegeraan dalam time management (pengurusan masa).

Menurut Ustaz Abu Bakar, ahli PAS memerlukan ilmu untuk memimpin dan mampu berijtihad dan inilah ciri yang perlu ada dalam "kepimpinan ulama".

Beliau turut berpesan supaya jangan ada walau sedikit pun bagi pejuang Islam memikirkan bahawa agama ini (Islam) menyusahkan.

Allahyarham turut menggaris tiga tunggak "perlembagaan Islam" iaitu masjid yang mesti dimakmurkan; persaudaraan diikat dengan kefahaman yang kukuh; dan Piagam Madinah sebagai sumber dan menjadi panduan.

Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia awal pagi ini selepas kereta yang dinaiki bersama pembantunya Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil.

Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu manakala Hasmizi yang memandu kereta Toyata jenis Camry tersebut cedera.

Menurut maklumat, kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.

Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Terengganu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dan para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di pelbagai peringkat. - HARAKAHDAILY 23/6/2014


Kepiluan jelas terbayang di wajah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika mengiringi jenazah Allahyarham Ustaz Abu Bakar Chik untuk dikebumikan. 

Sumber HD - 23-6-2014


Kami tetap bersama dengan perjuanganmu

SYARHAN HUMAIZI ABDUL HALIM | .

Firman Allah SWT:
مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَـٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِ‌ۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُ ۥ وَمِنۡہُم مَّن يَنتَظِرُ‌ۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلاً

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun”. (Surah At-Taubah: 23)

Ketika ini, saya bersama dengan sahabat-sahabat daripada Pemuda PAS Selangor dalam perjalanan untuk menziarahi jenazah Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Sebak, pilu dan sedih. Air mata masih lagi mengalir perlahan mengenangkan Sang Murabbi perjuangan, Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar Chik yang telah meninggalkan kita. Saya dan rakan-rakan begitu terkesan dengan berita pemergian Al-Marhum kerana kami baru sahaja bersama dengan beliau dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi (SERAMBI) anjuran Lajnah Tarbiyah Pemuda Pusat dengan kerjasama Pemuda PAS Selangor. Kurang 8 jam pertemuan ini kami mendapat berita yang amat menyedihkan ini. Semalam saya sempat berseloroh dengan Almarhum Ustaz yang kami akan bawa Ustaz naik motor jelajah seluruh Selangor dalam rangka mengisi program SERAMBI.

Masih terngiang-ngiang lagi pesanan, tazkirah dan gurau senda ketika kami bersama dengan beliau pada malam tadi. Ia seakan-akan amanat terakhir sebelum pejuang yang begitu dikagumi ini pergi meninggalkan kita. Masih terbayang dengan jelas raut wajah Almarhum yang begitu berseri dan indah ketika menyampaikan mutiara-mutiara taujihat dengan begitu semangat kepada kami yang masih mentah dalam perjuangan Islam ini.

Antara pesanan beliau dalam program SERAMBI semalam ialah bagaimana beliau amat menekankan agar proses pembinaan perlu berterusan kepada generasi anak-anak muda sehingga menjadi para "jundi" yang berjuang dalam perjuangan suci ini.

Almarhum Ustaz memulakan pengisian dengan membacakan ayat 30 surah Ar Rum yang membicarakan tentang fitrah Islam yang menepati dengan fitrah agama untuk manusia. Manusia hari ini sedikit demi sedikit lari dari fitrah yang disebabkan terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan melalui media massa, sosial, cetak dan siaran maya.

Almarhum lalu membacakan hadis Nabi SAW yang menyebut hakikat fitnah akhir zaman, maaruf menjadi munkar dan munkar menjadi maaruf.

Maka peranan anak muda ialah membanteras fitnah ini dengan menjelaskan apakah fitnah yang mengubah fitrah Din Islam dan tidak membantu membangunkan fitnah yang sedia ada.

Penutup taujihat diingatkan peserta SERAMBI untuk bersedia dengan Ramadhan yang akan datang. Almarhum juga menekankan agar para Pemuda menjadi orang yang berilmu kerana ilmu sebagai imam dan amal sebagai pengikut".

Demikian sedikit coretan taujihat yang disampaikan oleh Almarhum Ustaz.

Akhirnya, bagi kita yang mencintai perjuangan ini, Ustaz Abu Bakar Chik atau lebih dikenali sebagai Ustaz ABC bukanlah asing dalam memandu dan mendidik serta mengkader rijal-rijal dalam perjuangan ini agar sentiasa berada pada paksi perjuangan yang betul. Jasa dan pengorbanan beliau tentunya tidak akan dipersia-siakan oleh kami yang akan meneruskan perjuangan ini. Dan yang pastinya, ia cukup berharga buat beliau sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke sana. Semoga kita dapat bertemu di syurga nanti.

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Selangor.

Sumber HD - 23-6-2014

No comments:

Post a Comment