JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Friday, June 20, 2014

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT (JILID 2)

BLOG BERKAITAN - tamansriraya.blogspot.com

Rasulullah SAW paling berkebajikan di bulan Ramadhan

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI | .

عن عبدالله بن عباس رضي الله عنهما قال : " كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن ، فلرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة " . رواه البخاري

Diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas radiyallahu 'anhuma berkata; "Adalah Rasulullah saw orang yang paling berkebajikan ( أجود ). Baginda bersifat paling berkebajikan ( أجود ) pada bulan Ramadhan ketika baginda saw bertemu Jibril. Baginda bertemu Jibril pada setiap malam Ramadhan lalu bertadarus menyemak bacaan al-Quran. Rasulullah benar-benar lebih berkebajikan ( أجود )
melakukan kebaikan berbanding angin yang diutuskan" (Hadis Sahih Bukhari)

Pengajaran Hadis

1. Sifat berkebajikan ( الجود ) menurut Syara' ialah memberi apa yang patut dan wajar kepada orang yang patut dan wajar. Ia lebih luas berbanding dermawan sedekah. Sedekah lebih terhad kepada harta namun berkebajikan merangkumi segala bentuk bantuan tenaga dan juga harta.

2. Tadaarus al-Quran atau menyemak bacaan al-Quran bermaksud seorang membaca manakala orang lain mendengar bacaan tersebut. Hikmahnya ialah memperbaharui semangat dan motivasi untuk menjadi orang yang lebih kaya jiwa dan cintakan Akhirat khususnya apabila memahami cerita dan pengajaran al-Quran. Kaya jiwa dan cinta Akhirat adalah peransang yang mendorong seseorang melakukan kebajikan.

3. Analogi dengan "angin yang diutuskan" adalah simbolik kepada:

a. Simbolik sifat berkebajikan yang berterusan tidak terputus-putus serta istiqamah kerana angin sifatnya ialah sentiasa datang dan bergerak menolak awan yang membawa hujan rahmat tanpa henti.

b. Simbolik Kebajikan yang merangkumi semua pihak kerana hujan yang berlaku disebabkan angin memberi manfaat kepada semua sama ada manusia atau binatang atau tumbuh-tumbuhan. Juga merangkumi mereka yang beriman dan kufur, mukmin mahupun fasik.

c. Simbolik kepada bersegera melakukan kebajikan sebagaimana angin begitu laju dan cepat meniupkan awan yang membawa hujan.

4. Moga Allah jadikan kita di kalangan orang-orang yang paling berkebajikan sepanjang Ramadhan.

5. Jika kebajikan tidak mampu dilunaskan dengan harta maka lunaskanlah dengan tenaga mahupun fikiran. Jika harta tak mampu disediakan maka jadilah wakil-wakil dan orang-orang tengah yang mengusahakan harta sumbangan daripada orang yang mampu dan salurkan ia ke jalan Allah.

Disediakan oleh:
YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 7 Ramadhan 1435


5hb Julai 2014



Sumber HD - 6-7-2014


Pondok militan: Dewan Ulama PAS sangkal Mashitah

SITI UMI KALSOM | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Datuk Dr Mashitah Ibrahim apabila mengaitkan institusi pondok dengan fahaman ekstremis dan gerakan militan.

Menurut Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Nik Zawawi Salleh, apabila menyebut pelajar pondok ini terlibat dengan militan dan ia melahirkan kumpulan-kumpulan militan, ia sekali gus memberi memberi gambaran buruk terhadap institusi pondok.

"Apa yang dituduh oleh Dr Mashitah ini adalah fitnah yang sangat besar, yang beliau sendiri tidak boleh mengemukakan bukti dengan cara yang lengkap.

"Kita rasakan ini adalah satu tuduhan yang sangat besar kepada masyarakat pondok dan pelajar-pelajar pondok," katanya kepada Harakahdaily.

Nik Zawawi berkata institusi pondok telah melahirkan ulama-ulama yang banyak menyumbang ilmu kepada negara apatah lagi ia merupakan satu-satunya institusi yang menjaga kepentingan agama Islam negara ini.

Ia termasuk bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri, ujarnya.

Beliau juga menolak dakwaan mengatakan institusi pondok mempunyai dana yang besar sehingga boleh berdiri sendiri bahkan menyalurkan dana kepada gerakan pemisah seperti di Thailand.

Hakikatnya, kata beliau institusi pondok mempunyai kewangan yang tidak mencukupi dan mustahil boleh menyalurkan kepada pihak lain.

"Ini benda yang sangat tidak logik dan tuduhan yang jahat, daripada seorang yang penuh muslihat. Beliau sekadar merapu sahaja.

"Beliau hendak mengadakan-adakan perkara yang tidak ada supaya menampakkan dirinya macam menyebelahi kerajaan. Padahal apa yang disebut ini langsung tidak ada asas kebenarannya," kata Nik Zawawi lagi.

Beliau berkata, sepatutnya Mashitah patut berfikir bagaimana kerajaan boleh menyumbang kepada institusi pondok yang dimiliki oleh rakyat, bukannya cuba mematikan institusi pondok pada hari ini dengan menarik balik bantuan berkapita seperti mana berlaku di Kelantan.

Terdahulu, Mashitah mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang bagi memantau dan menapis kewujudan sekolah pondok yang kononnya ada menyebarkan fahaman ekstremis.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan tidak perlu undang-undang baru kerana pihak berkuasa agama negeri mempunyai kuasa untuk memantau perkara itu mengikut peraturan yang sedia ada.

Bahkan tegas Jamil Khir, berdasarkan maklumat di peringkat kementerian tiada mana-mana sekolah pondok yang dikaitkan dengan gerakan ekstremis. - HARAKAHDAILY 4/7/2014

*Penulis ialah pelajar KUIZM yang menjalani latihan praktikal di Harakahdaily.

Sumber HD - 4-7-2014


KUIZM suburkan majlis ilmu sepanjang Ramadhan

MUHAMMAD ZAKI HASSAN | .

KUALA LUMPUR: Setiap tahun umat Islam menyambut Ramadan yang juga bulan untuk kita menguji ketahanan mental dan fizikal. Sambutan di tempat lain mungkin berbeza-beza.

Di Taman Melewar sambutan Ramadhan sangat meriah.

Selain meriah dengan bazar Ramadhan, solat terawih dan majlis ilmu juga dianjurkan di sini.

Orang ramai berpusu-pusu di bazar Ramadhan Taman Melewar untuk persiapan juadah berbuka puasa. Aktiviti Bazar Ramadhan yang diadakan ini telah menawarkan pelbagai juadah makanan dan minuman kepada para penduduk di sekitar sini.

Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar menganjurkan jamuan berbuka puasa di dataran kolej tersebut dari awal sehingga akhir Ramadhan.

Sebanyak 12 khemah didirikan untuk para jemaah berbuka puasa yang menempatkan bahagian untuk lelaki dan perempuan.

2 orang imam telah dilantik untuk bertugas mengimami solat terawih di KUIZM sepanjang bulan Ramadhan ini.

Imam hafiz ini adalah terdiri daripada mahasiswa kolej tersebut. Di sini para jemaah mendirikan 11 rakaat solat terawih beserta witir.

Majlis Tafaqquh Dan Tarbiyah (Maqtar) menganjurkan kuliah Ramadhan dengan tema 'Sebulan Bersama Hudud' di kolej tersebut yang memeriahkan lagi suasana melalui aktiviti menyuburkan budaya ilmu.

Kuliah diadakan selepas 4 rakaat solat terawih. Kuliyah Ramadhan ini juga boleh diikuti secara live di channel youtube TV Maqtar. Jadual kuliyah boleh didapati di laman rasmi facebook Dewan Ulamak PAS Pusat.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menyempurnakan pelancaran kempen Bulan Ramadhan, Bulan Tarbiah di KUIZM, Taman Melewar, malam semalam.

Pelancaran berlangsung sebelum forum bertajuk Janji-Janji Allah & Rasul Mengenai Kerahmatan Dalam Pelaksanaan Jenayah Syariah. - HARAKAHDAILY 30/6/2014

Penulis ialah pelajar KUIZM yang menjalani latihan amali di Harakahdaily.

Sumber HD - 30-6-2014



Setakat ini lebih selesa Malaysia ‘negara umat Islam’

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana ditegaskan oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan maknanya yang sebenar menurut sudut pandang Islam sebagai ad-Din dan cara hidup bernegara.

“Ia boleh berlaku menerusi dua cara iaitu pertama meminda peruntukan undang-undang yang lebih jelas bagi memperkasakan kuasa Islam dalam perlembagaan agar mendasari semua dasar urustadbir negara,” ujar Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri kepada Harakahdaily.

Kedua, katanya menerusi keputusan hakim-hakim berjiwa Islam di mahkamah yang memberi tafsiran yang betul terhadap peruntukan tersebut dalam kes-kes mahkamah seperti kes pemakaian serban di sekolah sebelum ini.

“Usaha ini sangat penting bagi Malaysia supaya isu status Malaysia sebagai negara sekuler atau negara Islam tidak menjadi perbahasan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, Negara Islam ialah negara yang meletakkan dasar-dasar bernegaranya sama ada ekonomi, sosial, politik, jenayah, hubungan antarabangsa dan lain-lain adalah dasar-dasar Islam yang merujuk kepada al-Quran dan Sunnah menerusi huraian para ilmuwan Islam yang muktabar.

Justeru, kata beliau realiti amalan bernegara Malaysia hari ini sejak merdeka 1957 belum sampai ke tahap pelaksanaan Islam yang menyeluruh.

Menurutnya, pemikiran urus tadbir dan perundangan penjajah masih menguasai minda politik dan pentadbiran meskipun pemerintah dan pentadbirnya adalah muslim.

Justeru itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus lebih selesa Malaysia setakat ini bertaraf ‘negara umat Islam’.

Beliau menjelaskan, negara umat Islam ialah negara yang diperintah oleh kuasa majoriti umat Islam tetapi kuasa Islam belum terpakai sepenuhnya.

“Pelaksanaan Islam secara menyeluruh menerusi dasar-dasar bernegara belum terlaksana sepenuhnya. Itulah ‘negara umat Islam,” kata beliau.

Malaysia juga, katanya tidak boleh ditafsirkan sebagai negara sekular sepenuhnya kerana adanya peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Begitu juga, kata beliau kedudukan Islam di peringkat negeri menerusi kuasa Mahkamah Syariah membuka jalan kepada pelaksanaan Islam.

Menurutnya lagi, prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam.

“Ia satu pengiktirafan terhadap kuasa Islam,” jelasnya.

Beliau menambah, Perkara 11 (4) menegaskan bahawa Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Justeru, kata beliau isunya ialah bukan status negara sama ada Islam atau sekular tetapi ialah usaha untuk memberi makna bagi Islam yang lengkap dan syumul bagi peruntukan perlembagaan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Ia menjadi kewajipan seluruh umat Islam sama ada yang telah berada di puncak kuasa atau sebagai rakyat yang mengundi memilih orang yang berkuasa untuk memberi makna yang signifikan untuk Islam di Malaysia,” katanya lagi. - HARAKAHDAILY 20/6/2014

Sumber HD - 20-6-2014

No comments:

Post a Comment