JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

DBS TG NIK ABDUL AZIZ NIK MAT : AL MURSYIDUL AM PAS


Ramadhan bulan meraih cinta Allah

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT | .

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan nyawa oleh Allah SWT untuk terus menghirup udara di bumi Allah SWT di bulan Ramadhan pada tahun ini. Rahmat dan belas kasihan Allah SWT kepada kita sebenarnya terlalu besar untuk kita balas dan hari ini pula kita masih dipinjamkan dengan nikmat kehidupan yang bila-bila masa sahaja akan berakhir.

Sekali lagi kita berada di dalam bulan Ramadhan yang merupakan pesta ibadah kepada orang-orang Islam. Sering saya sebut dan ulangi, Ramadhan ini janganlah disebut sebagai bulan puasa, ini kerana bukan puasa sahaja ibadat yang diperintahkan di dalam bulan ini. Menyebut Ramadhan sebagai bulan puasa sahaja menjadikan masyarakat silap faham sehingga mereka gagal meraih faedah maksimum daripada anugerah Ramadhan yang disediakan oleh Allah SWT ini.

Masyarakat umat Islam perlu disedarkan sentiasa bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan puasa, tetapi ia juga bulan qiyam, bulan infaq, bulan Al-Quran, bulan kasih sayang dan bulan penuh dengan kebaikan. Pahala yang disediakan oleh Allah SWT Yang Maha Pengasih di bulan ini untuk ibadat-ibadat yang dinyatakan tadi berlipat kali ganda melebihi pahala yang disediakan di bulan-bulan yang lain.

Ramadhan juga ialah bulan terbaik untuk mencapai cinta Allah SWT. Benar, ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadahan tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana takut kita kepada Allah SWT. Di dalam masa yang sama, kita berharap untuk meraih cinta dan ingatan daripada Allah SWT. Namun, adakah di dalam masa yang sama Allah SWT juga menyintai dan mengingati kita? Tidakkah bimbang kita jika hanya kita sahaja yang mengingati Allah SWT namun dalam masa yang sama Allah SWT tidak mengingati kita? Jika berlaku demikian, sebenarnya kita tidak mengingati Allah SWT, hanyalah kita yang menyangka bahawa kita sudah menjadi hamba yang soleh namun hakikatnya tidak soleh pada pandangan Allah SWT.

Raihlah dan carilah cinta Allah SWT di bulan Ramadhan. Jangan hanya kita bertepuk sebelah tangan sedangkan kasih dan sayang Allah SWT gagal untuk kita capai. Manusia yang dicintai oleh Allah SWT insya-Allah akan selamat di dalam meniti ujian di dalam hidup sebagai bekal untuknya menghadapi hari yang dinamakan kematian.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru agar sekalian kita umat Islam memperkukuhkan semangat persaudaraan sesama kita di benua mana sekalipun kita berada. Ukhuwwah Islamiah di antara kita tetap utuh sekalipun berjauhan dipisahkan oleh kedalaman lautan dan ketinggin gunung-ganang. Khas untuk saudara-saudara kita di Mesir yang sedang menghadapi ujian cengkaman diktator yang meruntuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, berdoalah kita sepanjang Ramadhan ini agar Allah SWT menzahirkan kebenaran di atas kebatilan. Tiada tabir kebatilan yang boleh kekal lama melindungi cahaya kebenaran. Lambat-laun ia akan tersingkap jua.

Akhir kata, janganlah dibiarkan Ramadhan berlalu tanpa amal berharga dari kita. Semoga ia menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita dan dengannya kita akan berpuas hati jika ia ditakdirkan menjadi yang terakhir di dalam hidup kita ini.

Sekian, salam Ramadhan.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Bertarikh: 1 Ramadhan 1435H bersamaan 29 Jun 2014M

Sumber HD - 30-6-2014

Ustaz Abu Bakar bapa pendidikan PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarham Ustaz Datuk Abu Bakar Chik sebagai Bapa Pendidikan PAS yang begitu banyak menyumbang jasa kepada parti itu khususnya dalam bidang pendidikan.

"Saya sifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada PAS. Bahkan tidak keterlaluan untuk digelar sebagai Bapa Pendidikan PAS,"tulis Nik Aziz di laman facebooknya.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mengganjari segala kebaikan yang telah dilakukan oleh Allahyarham dengan sebaik-baik ganjaran.

"Dan diampunkan segala dosa-dosa beliau serta digolongkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh," ujarnya.

Ustaz Abu Bakar Chik, 64, yang juga AJK PAS Pusat terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi tadi.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu sementara pembantunya cedera.

Allahyarham adalah Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat semenjak tahun 2008 hinggalah kini.

Beliau mula terlibat dalam kegiatan pendidikan sejak tahun 1979 dengan mengasaskan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Taski Abim, dan pada tahun 1983 beliau mengasaskan Maahad Darul Quran di Terengganu.

Beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi PASTI Malaysia selama setahun bermula 1989.

Beliau juga adalah Timbalan YDP Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan (Yakep) sehingga kini serta Pengerusi Majlis Kebajikan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Makpen). - HARAKAHDAILY 23/6/2014

Sumber HD - 23--6-2014

Alhamdulillah kesihatan saya makin baik - TG Nik Aziz

SALMAH MAT HUSAIN | Foto: RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: “Sakitpun boleh baca lagi akhbar Harakah,” ujar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil tersenyum sebaik sahaja melihat kami menghampiri katilnya petang ini.

Ketika diminta mengulas berhubung kesihatannya, Mursyidul Am PAS itu berkata, beliau berasa sihat namun mudah letih.

“Perkara ini berlaku mungkin saya tersalah makan, atau mungkin sebab saya menggunakan nada suara agak tinggi terutama sewaktu kuliah.

“Tetapi bila berada di sini beberapa hari, alhamdulillah kesihatan saya semakin baik hari ke hari, mungkin juga sebab saya banyak berehat di sini,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM, pada Jumaat lalu selepas mengadu kesihatannya terganggu.

Beliau dijangka dibenrkan keluar wad dalam masa terdekat.

Dalam pertemuan dengan Harakahdaily hari ini, beliau bagaimanapun memohon umat Islam seluruhnya mendoakan kesihatannya.

“Semoga hayat yang masih berbaki dapat saya gunakan untuk Islam,” katanya.

Gambar lama

Sementara itu, isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, ketika ditemui melahirkan rasa dukacita terhadap pihak tertentu yang masih menyebarkan gambar lama Tuan Guru.

Menurut beliau, gambar Tuan Guru dalam keadaan kritikal itu adalah gambar 10 tahun lalu.

Gambar itu tersebar sejak beberapa hari lalu di media sosial termasuk di blog.

Dalam pada itu Tuan Sabariah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan yang telah menziarahi Tuan Guru.

“Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kesejahteraan Tuan Guru,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/6/2014

Sumber HD  - 19-6-2014

Pesanan yang baik buat penziarah TG Nik Abdul Aziz

NIK MOHAMAD ABDUH | .

DENGAN penuh budiman, saya memohon semua lapisan masyarakat yang datang menziarahi ayahanda tuan guru di rumah atau di mana-mana agar memenuhi permintaan ini:


1) Bersalaman tangan dengan tidak menggenggam keras atau mengocak-ngocak lagak orang muda.

Bersalaman tangan itu sunnah. Mudah dan mesra.

2) Tidak memeluk atau mencium walaupun dengan tidak keras.

Sunnah memeluk dan mencium adalah tidak terpakai apabila ia mendatangkan kesusahan dan mengganggu kesihatan.

3) Elakkan berasak-asak yang boleh mengganggu ruang dan tumpuan ayahanda.

Tertib dan berdisiplin itu adalah sunnah dan kecantikan dalam berurusan.

Utamakan kesihatan ayahanda agar beliau mampu terus berkhidmat untuk agama dan masyarakat.

Terima kasih kerana turut menyebarkan pesanan yang baik ini.

Sumber HD - 14-6-2014



Ramadhan nombor satu bola nombor dua - TG Nik Aziz

HARAKAHDAILY | .


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat tidak mahu membuat jangkaan awal pasukan mana yang menjadi pilihan beliau untuk menjulang Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil kali ini.

Tuan Guru yang ditemui Harakahdaily di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru dekat sini hari ini, berkata beliau bagaimanapun sangat berminat dengan sukan itu.

"Waktu sebelum perang Jepun, masa saya belajar di Jerteh, saya main bola sehingga cedera lutut sebelah kanan kena sepak oleh kawan saya.

"Sekarang ini pun, kalau cucu-cucu saya tengok bola dalam televisyen, saya tumpang tengok juga 10 ke 15 minit," katanya selepas menerima kunjungan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Institut Pemikiran Tok Guru di sini, hari ini.

Mengulas demam piala dunia yang kali ini turut berlangsung dalam bulan Ramadhan, bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, rakyat khususnya umat Islam perlu pandai membuat keutamaan.

Lebih-lebih lagi kebanyakan waktu perlawanan besar berlangsung awal pagi.

"Jangan sampai tubuh kita tak segar kerana bola. Ramadhan ini kita perlu bangun pagi sebelum subuh. Ajar diri, selain tengok bola, kita solat tahajud, witir dan baca al-Quran.

"Jangan jadi bola itu perkara utama. Yang jadi perkara utama adalah bangun sebelum subuh menghadapi Ramadhan dan berdoa mintak Allah selamatkan Islam," katanya lagi sambil menambah Rasulullah SAW sentiasa bangun sebelum Subuh walaupun bukan di bulan Ramadahan.

Sepak mula sebagai perlawanan pembukaan akan diadakan esok 13 Jun antara pasukan tuan rumah Brazil melawan Croatia pada jam 4 pagi waktu Malaysia. - HARAKAHDAILY 12/6/2014

Sumber HD - 12-6-2014

Ulama Thailand sifatkan TG Nik Aziz 'murabbi ummah'

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL | .


KOTA BHARU: Ulama Thailand menyarankan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) memainkan peranan sehingga ke negara luar memandangkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seorang Murabbi Ummah.

Anggota Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selatan Thailand, Abdul Rahman Abdul Samad berkata, ilmu agama dan pengalaman politik Islam dimiliki Mursyidul Am PAS itu sukar dicari ganti.

“Penduduk Islam di luar Kelantan termasuk di selatan Thailand sentiasa memerlukan seseorang tokoh yang mempunyai ilmu agama yang luas.

“Ceramah dan kuliah agama yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz perlu disebarkan lebih luas. Lagi pun Tok Guru begitu terkenal di Thailand sebagai murabbi ummah yang berpengaruh,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di JKR 10. Rombongan pemimpin Islam dari 15 wilayah di Thailand menyertai lawatan tersebut.

Ia diketuai Ketua Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand, Zakaria Kincarat.

Sebelum itu taklimat mengenai kerajaan Kelantan disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Muhammad Awang, Ketua Penolong Pengarah Program Korporat MPKB BRI, Azman Mat Daham dan Pengarah SPARK, Dr Nazmi Ghazali Azmi. - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Sumber HD - 10-6-2014

No comments:

Post a Comment