JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Monday, June 23, 2014

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI (JILID 2) - TKPPM


RM30 juta bunga api setahun, cukup untuk gelandangan

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .


Tanggungjawab bagi orang yang berkemampuan terhadap orang yang meminta adalah menunaikan hajatnya. Soal dia menipu atau didalangi sindiket ialah satu lain yang perlu diteliti dan dikaji secara menyeluruh.

Adapun sekiranya secara zahir sesorang itu berhajat kepada bantuan dan pertolongan kita, maka berkewajipan pula ke atas kita untuk membantu mereka. Allah pasti akan mengganjarkan dengan pahala yang banyak kepada si pemberi dan tidak akan melepaskan hukuman kepada si penerima sekiranya mereka menipu.

Dianggarkan terdapat 2,000 gelandangan disekitar Kuala Lumpur. Ada di antara mereka memang mengemis sepenuh masa dan ada di antara mereka yang bekerja dan hanya berada di gelandangan pada waktu bekerja. Apakah angka 2,000 ini untuk dijaga oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah, DBKL, Majlis Agama Wilayah, Pusat Zakat Wilayah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sesuatu yang besar bebannya?

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) silap apabila mengemukakan arahan untuk mengenakan tindakan ke atas pemberi sedekah. Silap dari sudut ajaran agama yang menjadi “rahmat untuk sekalian alam” dan silap juga dari sudut semangat moral yang menekankan prinsip saling bantu-membantu dan bersikap simpati serta empati terhadap kesusahan orang lain.

Sepatutnya ialah, Ku Nan arahkan supaya agensi-agensi kerajaan berkaitan membantu dan menyelesaikan keperluan mereka. Apakah bantuan sara hidup, bantuan makanan, bantuan pakaian dan bantuan tempat tinggal sesuatu yang besar dan di luar kemampuan Kerajaan yang terkenal dengan belanja mewah dan membazir?

Andai kerajaan masih belum mendapat idea penyelesaian kepada masalah gelandangan ini, saya ingin mencadangkan kerajaan membatalkan peruntukan kewangan ke atas perbelanjaan yang membazir seperti perbelanjaan untuk menanggung kos bunga api sempena sambutan tahun baru dan sambutan kemerdekaan setiap tahun.

Setiap tahun DBKL membelanjakan sebanyak RM30 juta untuk setiap tembakan bunga api ketika Sambutan Kemerdekaan dan Tahun Baru. Sekiranya dimanfaatkan untuk membantu para gelandangan, ia dapat digunakan untuk mengalihkan 2,000 gelandangan ini ke pusat perlindungan tanggungan di bawah DBKL yang selesa. Ia juga boleh digunakan untuk membina lebih 300 buah rumah kos rendah dengan harga RM40,000 sebuah beserta dengan bantuan keperluan asas untuk suatu tempoh yang cukup untuk mereka memulakan kehidupan baru.

Malangnya, Ku Nan lebih sayangkan imej Kuala Lumpur dan hanya memandang para gelandangan ini sebagai sampah yang perlu dibersihkan. Letupan bunga api yang membakar wang rakyat diadakan saban tahun dan langsung tidak memberi faedah kepada rakyat memerlukan.

Islam mengajar kita bahawa orang yang susah perlu dibela dan dibantu. Inilah tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh Kerajaan. Bukannya menjalankan polisi sekadar ingin mencari sumber baru bagi menambah dana Kerajaan walaupun dengan cara “rompak” wang rakyat. Saya juga ingin berpesan, sekiranya kerajaan tidak mampu melaksanakan tanggung jawab mereka, jangan disekat NGO yang memainkan peranan membantu golongan gelandangan ini.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia

Sumber HD - 7-7-2014

Kabinet Najib bertambah, gaji dari poket rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengumuman perlantikan tiga menteri dan tiga timbalan menteri baru daripada MCA dan Gerakan semalam oleh Perdana Menteri menjadikan Kabinet Malaysia kini diperbesar menjadi 62 orang anggota dengan 35 menteri dan 27 timbalan menteri.

Berikutan itu juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini bertambah kepada 10 orang berbanding hanya 8 orang sebelum daripada ini dan secara purata tidak pernah mencecah angka 8 pada zaman Tun Abdullah Badawi dan Tun Mahathir Mohamed.

"Implikasi langsung pertambahan ini ialah bertambahnya belanja mengurus negara sebanyak RM166,563 sebulan dan jumlah keseluruhan bagi menggaji anggota kabinet mencecah hampir RM10 juta sebulan," ujar Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan

Katanya, duit bagi menggaji kesemua anggota kabinet ini pasti sekali dari poket rakyat.

Baginya, keanggotaan JPM dengan 10 menteri dan seorang timbalan menteri membuktikan ketidakupayaan Najib untuk berperanan secara efektif sebagai PM dan tidak fokus menjalankan tugasnya.

Lebih mengecewakan, ujarnya perlantikan dua menteri di JPM dibuat terlebih dahulu tanpa ada portfolio khusus yang ditentukan.

Menurutnya, jawapan "akan diumumkan kemudian" oleh PM semalam memperlihatkan bahawa perlantikan yang baru dibuat itu bukan atas faktor keperluan dan kelayakan, hanya sebagai menunaikan janji politik.

Sepatutnya, kata beliau susun atur semula kabinet ketika ini perlu dibuat secara menyeluruh mengambil kira saiz kabinet yang sepadan dengan perbelanjaan negara dan keperluan semasa serta prestasi Menteri dan Timbalan Menteri sedia ada termasuk PM dan TPM sendiri.

"Jika tidak, perubahan kabinet itu tidak akan memberi apa-apa kesan positif terhadap urus tadbir negara dan semakin menambah beban masalah dan kewangan kepada negara dan rakyat," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 26/6/2014

Sumber HD - 26-6-2014

Abu Bakar Chik a tireless warrior

Harakahdaily | .

When news first broke of the passing of a legendary figure in PAS, Ustaz Abu Bakar Chik early June 23, I thought it must have been a mistake.

Alas, upon checking with multiple sources, the news is correct. The PAS central committee member had met with an accident at 4.30 on the East Coast Expressway.

He passed away while being brought to the hospital.

His assistant, Hasmizi Hasan, who was injured, were currently being treated at the Hulu Terengganu Hospital.

They were both believed to be returning home to Kuala Terengganu after visiting PAS president, Dato Seri Abdul Hadi Awang earlier in the day.

PAS Youth deputy chief, Muhammad Khalil Abdul Hadi in a Facebook posting June 23 said that Abu Bakar Chik was someone who did not know the meaning of tired when doing Islam's work.

"Anyone close to him would attest to this fact. He would always be inspired when talking issues affecting the ummah," he said.

Khalil also added that any discussion held with Abu Bakar Chik would not end unless it came with a solution or follow up action.

"His commitment is of the utmost, he would be willing to deliberate on the Islamic movement issues at any time, be it even way past midnight," he added.

Al-Fatihah.

Sumber HD - 24-6-2014


Permintaan terakhir Ustaz Abu Bakar Chik

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

TEPAT jam 8 pagi semalam (Ahad, 22 Jun 2014) saya menerima panggilan telefon daripada arwah Ustaz Abu Bakar Chik.

Dalam keadaan terdesak, beliau minta saya menguruskan pertemuannya dengan ayahanda saya di Shah Alam, "Khalil, ana nak ziarah ayah sekejap, boleh anta tolong uruskan?" Suaranya masih tergiang-giang di telinga saya sehingga ke saat ini.

Alhamdulillah, beliau sempat berjumpa dengan Tuan Guru Presiden.

Jam 5 pagi tadi, setelah bangkit dari tidur saya terus buka telefon bimbit saya dan mesej pertama yang saya baca ialah "Ustaz Abu Bakar Chik telah meninggal dunia kerana kemalangan dekat LPT Bukit Besi."

Saya terkedu kerana hanya baru beberapa jam lepas bersama-sama dengannya di dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi anjuran DPPN Selangor di Shah Alam.

Rasa macam tak percaya, dalam keadaan sedih dan hiba saya menahan emosi mengenangkan saat-saat terakhir bersama-sama dengan sang murabbi ini.

"Lama ke Ustaz jumpa dengan ayah?" saya bertanya. "Alhamdulillah, ana puas hati, banyak topik yang kami berkongsi khususnya berkait dengan perkembangan Gerakan Islam peringkat antarabangsa," jawabnya.

Saya mengenali arwah sejak kecil lagi kerana persahabatannya dengan ayah sangat akrab. Memori yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau menjadi tetamu di rumah kami selama sebulan ketika Operasi Lalang dilaksanakan sekitar tahun 1985.

Hubungan kami sangat rapat kerana saya sentiasa menjadi temannya mendengar radio perkembangan semasa Operasi Lalang pada ketika itu. Saya boleh bayangkan perasaannya berjauhan dengan keluarga khususnya anak-anak kerana menjadi buruan pihak berkuasa.

Bagi saya jasa almarhum sangat besar khususnya ketika memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat. Jika sekiranya jasa Datuk Mustafa Ali di dalam pemuda memartabatkan institusi Kepimpinan Ulama di dalam PAS, tidak keterlaluan jika disebut di sini jasa Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik pula ialah memperteguhkan institusi itu di dalam PAS.

Jasanya di dalam memartabatkan institusi pendidikan di dalam PAS sangat besar. PASTI, Institut Berakan dan Maahad Tahfiz wa Tarbiyah adalah antara institusi pendidikan yang mendapat sentuhannya yang melahirkan kader-kader yang bergerak di dalam PAS di semua peringkat di seluruh pelusuk negara.

Beliau bukan sahaja seorang yang komited di dalam memartabatkan pendidikan di dalam PAS, dalam masa yang sama beliau juga adalah seorang yang tidak pernah jemu di dalam menuntut ilmu.

Saya sentiasa perhatikan jika sekiranya beliau berjumpa dengan Tuan Guru Presiden tanggannya tidak akan berhenti mencatat setiap apa yang dibincangkan. Ketika usianya yang sudah lanjut beliau masih sempat mengambil cuti dalam satu tempoh yang lama untuk mendalami Bahasa Arab di Sudan.

Jabatan Amal yang menjadi kebanggaan PAS pada hari ini ditubuhkan pada zaman beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS. Satu institusi yang sangat berjasa dan memberikan kesan yang sangat besar kepada PAS khususnya di persada dakwah secara langsung di dalam negara.

Almarhum tidak pernah mengenal penat dan lelah di dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Bagi sesiapa yang rapat dengan beliau pasti akan mengakuinya. Beliau seorang yang sentiasa bersemangat jika membincangkan soal ummah.

Jika berbincang dengannya beliau tidak akan mengakhirinya melainkan dengan tindakan yang akan dilakukan. Komitmennya begitu tinggi, kalau nak ajak berbincang berkait dengan jemaah bila-bila masa beliau akan menyahutnya walaupun sudah larut malam.

Walaupun beliau sudah lama meninggalkan Dewan Pemuda PAS tetapi semangat juangnya sentiasa segar. Pantang dijemput untuk menghadiri program-program Dewan Pemuda PAS beliau tidak akan menghampakannya. Alhamdulillah, Allah mengakhirkan riwayat hidupnya selepas memberikan pengisiannya di dalam program pemuda. Hampir satu jam setengah beliau memberikan taujihaat kepada anak muda dengan penuh semangat.

Selepas program dengan arwah malam tadi saya sempat berbual dengan Ustaz Syarhan, Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor dan menyarankan kepadanya supaya menjemput lagi Ustaz Abu Bakar Chik untuk program anak muda selepas ini. Namun, apakan daya ternyata Allah lebih sayang kepadanya.

Firman Allah di dalam Surah al-Fajr :

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !

Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia

Dan masuklah ke dalam SyurgaKu"

Al-Fatihah.

Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua DPPM

Sumber HD - 23-6-2014

No comments:

Post a Comment