JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

Konvoi Berkebajikan santuni fakir miskin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Batu mengambil inisiatif menyantuni golongan fakir dan miskin dengan mengadakan Program Konvoi Berkebajikan sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Dengan tema 'Pemuda Bersamamu', konvoi 15 buah motosikal serta tiga buah pacuan empat roda ini Sabtu lalu telah menyelusuri laluan di dalam kawasan parlimen Batu mencari golongan yang kurang berkemampuan bagi menghulurkan sumbangan.

Sepanjang konvoi ini, seramai 15 orang warga Parlimen Batu yang fakir dan miskin, serta orang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Padang Balang dan Kampung Batu Muda menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan dapur dan wang tunai.

Pasukan konvoi juga turut menziarahi mangsa yang rumah mereka di robohkan di Kampung Chubadak Tambahan.

Konvoi ini diketuai Nurul Islam Mohamed Yusoff selaku ketua Dewan Pemuda PAS Batu.

“Walaupun sumbangan yang kami sampaikan tidaklah seberapa, namun keberkatan menyumbang di bulan Ramadan ini mudah-mudahan dapat meringankan beban mereka untuk meneruskan hidup," katnya.

Mengulas isu perobohan perumahan penduduk di Kampung Chubadak Tambahan, beliau berkata Pemuda PAS akan bersama penduduk dan akan membela mereka melalui apa juga saluran termasuk perundangan.

Konvoi ini berakhir dengan program “Down to Earth” bersama Ahli Parlimen Batu Tian Chua di Bazar Ramadan Taman Dato' Senu. - HARAKAHDAILY 7/7/2014

Sumber HD - 7-7-2014

Sedekah: Tengku Adnan gagal cari punca mengemis

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Islam menganjurkan penganutnya bersedekah sehingga diganjarkan dengan pahala yang berganda.

“Amalan mulia ini, selain dapat meringankan bebanan kesusahan si penerima, ia juga sebagai proses menyucikan harta, tingkatkan perasaan pemurah dan kembangkan harta si pemberi,” kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang menyatakan akan mengenakan hukuman ke atas peminta dan pemberi sedekah semata-mata atas alasan perbuatan tersebut mencemarkan imej ibu negara dan bagi mengurangkan budaya mengemis.

Katanya, kenyataan itu adalah tidak bertepatan dengan anjuran Islam dan memperlihatkan kegagalan menteri mengenal pasti punca sebenar gejala itu apatah lagi untuk mengkehadapankan solusi bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut beliau, fenomena mengemis di ibu kota itu sebenarnya adalah manifestasi dari dua kegagalan Kementerian Wilayah Persekutuan iaitu mengatasi kemiskinan bandar dan menangani sindiket peminta sedekah di Bandaraya Kuala Lumpur.

Tambahnya, tindakan mengenakan hukuman ke atas pemberi dan peminta sedekah tidak akan secara tuntas dapat membersihkan imej Kuala Lumpur dari budaya mengemis.

Sepatutnya, kata beliau pihak Kementerian memberi fokus penuh kepada dua isu ini bagi memulihkan imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang makmur dan sejahtera dengan warganya yang memiliki taraf sosio-ekonomi yang seimbang sesuai dengan pembangunan fizikal dan perkhidmatan perbandaran yang disediakan di bandaraya itu.

Katanya lagi, pusat-pusat perlindungan gelandangan perlu diwujudkan di ibu kota bagi menempatkan para pengemis, mengelakkan pengemis daripada berkeliaran dan sekaligus menjaga kebajikan pengemis-pengemis ini termasuk dengan memberi pendidikan dan latihan kemahiran kepada mereka bagi membebaskan diri daripada belenggu kesusahan hidup.

DBKL dan MAIWP pula, ujarnya tanpa menunggu para gelandangan ini membuat permohonan, perlu bekerjasama bagi menjejak para gelandangan dan menghulurkan bantuan keperluan kepada mereka.

“Dengan demikian, barulah imej Kuala Lumpur dapat bebas dari budaya mengemis sekaligus meningkatkan taraf hidup warganya,” katanya. - HARAKAHDAILY 2/7/2014

Sumber HD - 2-7-2014

Pemuda PAS sokong Kesatuan Persatuan TNB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyatakan sokongan padu ke atas pendirian tegas Kesatuan Persatuan Tenaga Nasional Berhad yang membantah tawaran usahasama secara runding terus (direct nego) membabitkan syarikat IPP, YTL untuk projek penjanaan tenaga “Track 4 A” di Pasir Gudang, Johor.

“Pendirian pihak kesatuan TNB ini adalah selari dengan pendirian DPPWP dalam Memorandum Bantahan Kenaikan Elektrik pada tahun 2014 yang telah diserahkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air awal Januari lalu,” ujar Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyatakan sokongan padu ke atas pendirian tegas Kesatuan Persatuan Tenaga Nasional Berhad yang membantah tawaran usahasama secara runding terus (direct nego) membabitkan syarikat IPP, YTL untuk projek penjanaan tenaga “Track 4 A” di Pasir Gudang, Johor.

Pendirian pihak kesatuan TNB ini adalah selari dengan pendirian DPPWP dalam Memorandum Bantahan Kenaikan Elektrik pada tahun 2014 yang telah diserahkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air awal Januari lalu.

Antara desakan yang dibuat ialah “agar pihak Kerajaan Malaysia mengkaji semula pengstrukturan industri tenaga domestik di negara ini. Kerajaan mestilah menyemak semula langkah penswastaan yang telah dilaksanakan terhadap TNB sehinggalah kepada pendedahan intipati Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bersama IPPs.”

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 juga ada terkandung teguran berkenaan Operasi Penjana Tenaga Bebas khususnya YTL Power Generation Sdn Bhd iaitu kaedah bayaran dalam syarat perjanjian tersebut secara take or pay di mana TNB perlu membuat bayaran kepada penjana tenaga sama ada TNB tidak menggunakan atau menjual elektrik.

Pihak kerajaan seolah-olah tidak pernah serik untuk membuat perjanjian berat sebelah yang menguntungkan kroni seperti YTL ini. Dahulunya, Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi pertama pada 1993 dengan Syarikat YTL telah menyebabkan TNB terpaksa menanggung beban kewangan dengan membayar harga belian tenaga yang lebih tinggi dari apa yang mampu TNB janakan pada masa itu dan difahamkan kini TNB telah membayar lebih RM20 Bilion kepada Syarikat YTL.

Bagaikan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kesekian kalinya, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah menganugerahkan secara rundingan terus pula Projek Penjanaan Tenaga Track 4A kepada gabungan konsortium Syarikat YTL, SIPP dan TNB.

Tindakan ini jelas bertentangan dengan segala azam dan ikrar kerajaan bagi melaksanakan pembidaan secara kompetitif bagi loji janakuasa baharu sepertimana terkandung dalam laporan 'Pandangan Masa Depan Industri Bekalan Elektrik Semenanjung Malaysia 2013' yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Tenaga tahun lalu, yang telah menggariskan bahawa bidaan kompetitif adalah satu daripada inisiatif pembaharuan utama bagi Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI).

Bahkan dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2013 dan Rancangan Malaysia ke-10 juga menyebut bahawa kerajaan tidak lagu bercadang untuk menggunakan rundingan terus sebagai cara penambahan kapasiti penjanaan baru.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mendakwa bahawa Kerajaan telah menimbangkan semua pilihan dan pendekatan terbaik dalam memutuskan untuk memberikan projek tersebut kepada SIPP Energy Sdn Bhd, dengan pe­nyertaan YTL Power International Bhd dan Tenaga Nasional Bhd. Beliau juga memberikan alasan bahawa wujud keperluan menyegerakan pembinaan loji jana kuasa kitaran gas bersepadu menggunakan teknologi terbukti yang dijadualkan beroperasi pada 2020, kepada tarikh lebih awal pada 2018.

Namun, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah pun menjawab alasan ini iaitu sebenarnya kerajaan masih mempunyai masa mencukupi untuk melaksanakaan proses bidaan secara kompetitif bagi projek pembinaan Track 4A jika Notis Untuk Meneruskan (NTP) dikeluarkan pada Jun 2015 kerana Projek Track 4A itu mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan selepas NTP dikeluarkan dan ini menetapi sasaran tarikh baru iaitu 2018. Jadi, dakwaan masalah 'kekurangan masa untuk melaksanakan bidaan kompetitif' adalah tidak berbangkit sama sekali.

Di samping itu, suara bantahan daripada Kesatuan Pekerja TNB ini amat wajar didengari oleh pihak kerajaan kerana hakikatnya TNB adalah 'syarikat rakyat' dan tidak boleh berhenti memberi perkhidmatan kepada rakyat seperti hospital.

Seandainya IPP terus dibiarkan memonopoli dan seterusnya mengambil alih bekalan elektrik negara, maka rakyat akan dibebankan dengan kenaikan tarif elektrik dan tidak mustahil juga penjana tenaga bebas ini berpakat melakukan sabotaj suatu hari nanti.

Justeru, pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak pihak kerajaan agar menarik kembali keputusan penganugerahan projek Track 4A yang bernilai RM4 Bilion ini kepada YTL dan membuat pembidaan secara kompetitif sepertimana yang dijanjikan oleh pihak kerajaaan selama ini. Biarlah pihak yang benar-benar layak dipilih atas faktor kemampuan mencapai syarat serta menjamin hak rakyat bukannya membuat penganugerahan atas faktor ingin mengambil hati setelah pihak tersebut tidak dipilih untuk Projek 3A yang bernilai RM 11 Bilion.

Pihak kami juga ingin menegaskan akan peri-pentingnya sebarang perjanjian yang hendak dibuat perlu jelas termanya dan mengambilkira kepentingan rakyat-jelata bukannya mengulangi kembali perjanjian berat sebelah yang menguntungkan pihak yang ingin mengaut keuntungan secara mudah sahaja. Dosa dan khianat yang dilakukan dalam perjanjian IPP generawi awal terdahulu masih segar dalam ingatan kita semua maka usahlah ditoreh kembali luka lama.

Belajarlah daripada kesilapan lama dan bertindaklah untuk mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan sepertimana yang telah dibuktikan dahulu oleh Tan Sri Ani Arope, bekas Pengerusi Eksekutif TNB yang sanggup melepaskan jawatan sebagai tanda protes terhadap perjanjian berat sebelah dengan IPP.

Pihak kami amat mengalukan sekiranya Ketua Eksekutif TNB sekarang, Datuk Seri Azman Mohd mempunyai iltizam dan keberanian yang sama dalam mempertahankan kepentingan dan hak rakyat. - HARAKAHDAILY 18/6/2014

Sumber HD - 18-6-2014


Pemuda PAS solat hajat, solidariti buat Mejar Zaidi

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melalui Jabatan Amal semalam menganjurkan Majlis Solidariti bersama Mejar Zaidi Ahmad, pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dihadap ke mahkamah tentera.

Pada majlis yang diadakan di Darul Amal, Taman Maluri, Kuala Lumpur itu, mereka turut mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin agar Mejar Zaidi terus diberikan kekuatan dan pertolongan oleh Allah dalam berhadapan dengan tuduhan yang dikenakan terhadap beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Khairil Nizam Khirudin dan Mejar Zaidi sendiri.

Khairil dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily berkata pihaknya bertekad untuk terus menyatakan solidariti dan penghargaan kepada Mejar Zaidi atas keberanian beliau bercakap benar dan tidak tunduk kepada pihak yang berbuat zalim.

"Mejar Zaidi yang menyatakan kebenaran dikenakan tindakan sedangkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menguruskan dakwat kekal yang tidak kekal itu masih tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Adakah ini dikatakan keadilan," soal Khairil.

Mejar Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Pada perbicaraan di Mahkamah TUDM Sungai Besi semalam, beliau telah dikenakan semula lima pertuduhan yang dipinda yang sebelum diketepikan. - HARAKAHDAILY 11/6/2014

Sumber HD - 11-6-2014

Tazkirah, qiam & solat Subuh sempena Piala Dunia 2014

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sempena demam Piala Dunia 2014 yang akan berlangsung beberapa hari lagi, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Santai Kaki Bola khusus untuk para peminat bola sepak dalam menyambut kehadiran kejuaraan dunia yang bertandang empat tahun sekali itu.

Program yang bakal diadakan pada 11 Jun itu berlangsung di Restoran Awwal Maju, Taman Sri Rampai, Setiawangsa mulai jam 9 malam.

Menurut Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir. Khairil Nizam Khirudin (gambar), pada majlis itu akan diadakan pertandingan permainan komputer 'FIFA'.

“Setiap peserta akan beradu kehandalan bermain bola sepak di alam maya. Pertandingan ini akan diadakan di restoran tersebut dan akan ditayangkan menggunakan layar lebar. Selain itu, turut diadakan adalah acara timbang bola sepak dan acara menjaringkan gol menggunakan kaki belakang,” katanya.

Program sambutan Piala Dunia 2014 itu, ujar beliau akan diteruskan dengan acara menonton perlawanan yang berlangsung setiap hari di Markaz Amal WP, No 21, Jalan Pria, Taman Maluri, dekat sini.

“Apa yang menarik dalam program menonton beramai-ramai ini ialah diadakan tazkirah ringkas, qiam dan solat subuh beramai-ramai.

“Ianya bertujuan untuk mendidik jiwa-jiwa muda ini untuk bangun malam bukan semata-mata kerana bola tetapi juga untuk beribadah kepada Yang Maha Esa. Itulah yang ingin diterapkan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ‘kaki bola’ di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur khususnya untuk beramai-ramai hadir di dua program di atas.

Khairil berharap program yang diadakan ini bukan sahaja mampu memberikan kepuasan buat peminat bola sepak bahkan berupaya mendekatkan anak-anak muda kepada Allah SWT.

“Ayuh kita hangatkan hati nurani kita bersama Allah SWT seiring hangatnya sambutan Piala Dunia 2014!” ujarnya bersemangat. – HARAKAHDAILY, 10/6/2014

Sumber HD - 10-6-2014

No comments:

Post a Comment