JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Wednesday, June 18, 2014

YB DATO' DR MUJAHID YUSOF (JILID 2) : AJK PAS PUSAT / PENGERUSI LAJNAH PERPADUAN NASIONAL


Mewujudkan kedamaian adalah kewajiban syariat

DR MUJAHID YUSOF | .

SALAH satu rang undang-undang (RUU) yang datang sekali dengan Akta Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi (AKNR) ialah RUU Jenayah Kebencian Agama dan Kaum. Ia adalah satu draf yang dirangka oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN).

Berlatarbelakangkan perlunya negara Malaysia melangkah lebih ke hadapan dalam memahami logik ketegangan agama dan kaum yang tidak kelihatan sembuh, kami merasakan satu perundangan yang terkini menjadi keperluan.

Hingga kini hanya Akta Hasutan 1948 menjadi petunjuk perundangan kepada letusan kebencian kaum manakala Akta Jenayah secara tidak langsung merujuk kepada memelihara keselamatan awam untuk menggarap ketegangan agama, itupun dipertikaikan kerana seolah berlaku pertindihan kuasa persekutuan dan negeri.

Menjadikan kebencian agama dan kaum sebagai satu jenayah khusus secara bersendiri mengundang pelbagai persoalan.

Artikel ini adalah sambungan kepada tulisan saya sebelum ini dengan meletakkan RUU ini atas neraca syariat Islam untuk cuba menjawab apakah niat RUU ini menuruti kehendak Islam dan apakah peruntukannya berupaya membela apa yang Islam perjuangkan selama ini.

Fokus perbahasan ialah tentang sifat manusiawi (insaniah) Islam dan bagaimana RUU ini adalah untuk memelihara hal yang demikian.


Islam Memelihara Manusiawi

Islam adalah agama yang bukan sahaja mempromosikan keharmonian dalam masyarakat tetapi lebih daripada itu, Islam meletakkan tanggungjawab mewujudkan kedamaian sebagai kewajiban syariat.

Islam melihat permasalahan ini dari akar umbi masalah dan cuba menggarapnya dari asas maksud kemanusiaan itu sendiri.

Dengan kata lain apa sahaja maksud bagi mencapai tertegaknya kehidupan bermanusiawi, Islam akan mendokongnya dan mempertahankannya.

Syariat Islam mestilah tertegak atas pemeliharaan nilai manusiawi jikalau tidak ia tidak boleh diasosiasikan dengan nama syariat.

Sebaliknya juga adalah betul, jika sesuatu itu ditegakkan atas mempertahankan manusiawi walaupun tidak atas nama Islam, ia harus disokong.

Sesiapa yang benar-benar memahami maksud syariat Islam, mereka akan mendapati bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah pejuang kemanusiaan dalam segala maksudnya.

Ayat 107 Al-Anbiya menjelaskan tujuan kedatangan Muhammad adalah untuk memastikan KERAHMATAN tercapai:

“Tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad, melainkan hanya untuk membawa RAHMAT ke seluruh alam ini.”

Apa erti kerahamatan jika manusiawi tidak dimartabatkan?

Apa erti alam jikalau manusia sebagai penghuni utamanya tidak diperjuangkan maruahnya?

Demikianlah mudah bagi seseorang memahami risalah kemanusiaan yang dibawa oleh Islam.


Manusia dan Maruah

Manusia dan maruah tidak dapat dipisahkan, menjadi manusia wajib memiliki maruah, seoalah-olah tiada maruah bukan manusia namanya.

Syariat Islam menitikberatkan persoalan maruah dan melindunginya dengan ketetapan yang dibuat oleh Pencipta dan bukan manusia.

Manusia hanya perlu memeliharanya dan mengelak daripada maruah ini dari dikesampingkan dalam hidupnya.

Deklarasi kemanusiaan dalam Islam didapati dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan keturunan anak-anak Adam (manusia) dan Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, dan Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami melebihkan mereka (manusia) dari segala ciptaan Kami yang lain dengan beberapa kelebihan: (Al Isra’:70)

Allah SWT memuliakan manusia supaya manusia tidak menghina sesama mereka dan sebab itu apabila maruah manusia dirobek ia seolah-olah merobek kewujudan manusia itu sendiri.

Oleh kerana itu setiap undang-undang yang menjaminkan maruah manusia terpelihara perlu disokong oleh mana-mana muslim bagi menunjukkan komitmennya kepada Deklarasi Ilahi di atas.


Maruah dan Kehormatan Manusia

Asas maruah manusia terletak kepada keturunannya, kaumnya dan agamanya dan kadang-kadang semua ini dirangkulkan dalam erti ‘kehormatan insan’.

Salah satu yang boleh meledakkan bom jangka hubungan sesama manusia ialah ungkapan dan cakapannya yang berbaur kebencian dan penghinaan sesama manusia.

Amat mudah mengenali nada bahasa yang mengajak kepada kebencian dan permusuhan, di bawah ini terdapat tiga aspek yang boleh meletuskan kebencian agama dan kaum di mana Islam menutup ruang secara prefentif dari terbukanya segala neraka kebencian.


1. Keturunan

Salah satu maruah yang memberikan kemuliaan pada manusia adalah keturunannya atau nasabnya.

Keturunan memberikan seseorang rasa kemilikan dan kepunyaan pada kelompok yang lebih besar di mana ia merupakan tempat seseorang itu mendapat perlindungan daripada dihina oleh manusia lain.

Kisah Abu Dzar Al Ghifari pernah melafazkan sesuatu yang menghina keturunan sahabatnya Bilal Ibnu Al Rabah dengan katanya “Wahai anak keturunan kulit hitam!”

Sejurus diadukan kepada Nabi, Baginda bersabda dengan nada yang keras kepada Abu Dzar:

“Adakah engkau telah menghina ibunya (yang berketurunan kulit hitam), engkau adalah seseorang yang dalam dirinya masih ada unsur Jahiliyah.” (Riwayat Bukhari)

Mencaci keturunan adalah amalan Jahiliyah kerana orang Jahiliyah berasa keturunannya lebih baik dari keturunan orang lain.

Perbuatan keji ini hanya akan menyebarkan kebencian sesama manusia dan dalam proses itu seseorang dengan mudah menyerang keturunan orang lain daripada lisannya.

Perbuatan keji ini dianggap merobek kehormatan diri seseorang melalui keturunannya dan lantaran itu Nabi menghalangnya dari awal lagi sehingga ia menjadi akhlak seorang muslim untuk tidak menghina keturunan seseorang dengan kata-katanya.


2. Kaum

Kaum diikat dengan talian yang lebih meluas sehingga mampu membina sebuah masyarakat yang besar dan membentuk kepimpinan lewat perkauman itu.

Islam tidak melihat kaum atau ras sebagai satu masalah, namun yang ditentang oleh Islam ialah sikap perkauman yang berpotensi memporak-perandakan keharmonian sesebuah masyarakat.

Nabi Muhammad s.a.w dibangkitkan di celah himpitan perkauman yang dasyat dan perjuangan perkauman pada asasnya mesti dituruti ciri penghinaan terhadap bangsa lain, itulah ‘asabiyah kaumiyah’ namanya.

Nabi melarang kerana menghina bangsa lain adalah amalan orang yang takabur, sabda Baginda:

“Kesombongan adalah sekatan pada mengenali kebenaran dan menghina manusia” (Riwayat Muslim)

Surah Al Hujurat ayat 11 dan 12 jelas melarang menghina kaum lain. Firman-Nya:

“Wahai orang yang beriman, jangan menghina mana-mana kaum, sesungguhnya yang dihina itu mungkin lebih baik dari yang menghina, janganlah engkau menghina juga mana-mana wanita, yang dihina mungkin lebih baik dari yang menghina, jangan kamu menggelar sesama kamu, amat buruk nama yang kamu namakan setelah kamu mendapat kemuliaan beriman.”

Sememangnya tidak ada alasan apabila sesuatu undang-undang yang bercita-bercita untuk menjaga nama baik dan maruah manusia ditolak.


3. Agama

Agama atas apa pun kepercayaannya adalah satu maruah bagi manusia, cara masing-masing mereka memahami dan mengamalkannya bukanlah alasan untuk kita mengutuk dan memaki-hamun antara satu sama lain atas alasan kepercayaan.

Islam menitikberat perlunya manusia hidup dalam kepelbagaian.

Berbeza daripada fahaman sesetengah pihak yang menganggap agamanya sahaja yang perlu wujud lalu memberi alasan untuk menghina agama lain, Islam mengutuk gaya hidup masyarakat yang sedemikian.

Wujudnya kepelbagaian berdalilkan kepada firman Allah SWT:

“Dan jika Tuhanmu (wahai Muhammad) mengkehendaki, nescaya Dia jadikan kamu berada atas satu agama, tetapi mereka tetap berterusan berbeza (dalam kepercayaan masing-masing). Demikianlah Kami jadikan mereka (yang mendapat petunjuk dan tidak), telah ditetapkan bahawa Kami akan memenuhi neraka dari kalangan jin dan manusia kesemuanya)” (Al Hud: 118-119)

Kerana Islam mahu memelihara kerukunan hidup umat pelbagai agama, syariat Islam telah meletakkan prinsip besar yang menentukan hubungan ini iaitu “Tiada Paksaan Dalam Beragama.”

Prinsip ini konsisten dalam mengiktirafi kepelbagaian, baik semasa period Mekah mahupun period Madinah, tiada kompromi dalam hal ini kerana Islam mahu menjaga prinsip yang lebih besar untuk keberlangsungan hidup manusia yang pelbagai agama sebagai salah satu tanda kebesaran Allah SWT.

Atas alasan yang sama, Islam menutup sama sekali ruang untuk mengutuk dan mengeji agama lain kerana ini akan membawa maruah manusia tercalar atas apa yang diyakininya, walaupun Islam tidak melarang untuk berdialog antara agama dengan cara yang sihat.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu mengutuk (memaki) apa yang disembah oleh mereka yang lain daripada Allah (tuhan-tuhan mereka), nanti (sebagai tindak balas) mereka akan mengutuk (memaki) Allah dengan permusuhan dan kejahilan, Demikianlah kami perintahkan pada setiap pengikut (agama) masing-masing apa yang mereka percayai dari amalan mereka itu, kepada Allah lah mereka akan kembali lalu akan diberitahu kelak (di akhirat) apa yang telah mereka kerjakan.” (Al An’am:108)


Manusia Perlukan Bimbingan

Selain daripada kesedaran kepada memelihara manusia dan maruahnya, seorang Muslim harus menyokong apa sahaja usaha supaya perkara ini mendapat pembelaan daripada terus menjadi mangsa orang yang membudayakan cara hidup benci membenci antara kaum dan agama.

Kebencian atas alasan ini berpotensi mencetuskan huru-hara malah boleh membawa berbunuhan sesama manusia.

Tiba masanya syariat Islam diketengahkan dengan membentuk satu undang-undang takzir yang menjadikan kebencian agama dan kaum sebagai satu jenayah yang layak mendapat hukuman kepada pesalahnya.

Segalanya bermula dengan ucapan dan tindakan yang mesti dikawal supaya tidak menjurus ke arah menimbulkan kebencian antara kita, kerana jika kita gagal menyatakan sikap yang tegas hilanglah nanti suasana harmonis dan maruah manusia akan tercalar.

Ketika itu huru-hara akan menguasai masyarakat kita.


RUU Jenayah Kebencian Agama dan Kaum (JKAK)

Sebagai langkah awal menyatakan komitmen kita kepada memelihara kehidupan bermaruah, adalah sukar untuk seorang Muslim menolak RUU JKAK ini.

Tabiatnya adalah Islamik dan selagimana ia menuruti kehendak syariat, maka ini adalah usaha yang murni memartabatkan makna Islam dalam memastikan hubungan antara kaum dan agama terpelihara dalam negara tercinta ini.

Mari sama-sama kita menyokongnya.

__________________
Mujahid Yusof Rawa adalah pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Sumber HD - 2-7-2014

Jalur ekstrem kanan dan kiri cabaran perpaduan negara

DR MUJAHID YUSOF | .

PADA Oktober 2013, saya menerima panggilan telah dijemput untuk menyertai sebuah badan dinamakan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.

Tawaran dibuat dalam keadaan saya sendiri tidak mempunyai maklumat apakah tujuan dan matlamat majlis ini atau singkatannya MKPN dari sudut kuasa dan skopnya. Apa yang saya tahu, skop kerja utamanya ialah untuk perpaduan nasional.


Mendapat Persetujuan

Saya masih ingat, saya menerima panggilan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri itu semasa Muktamar PAS sedang berlangsung. Mereka meminta keputusan segera sebab Perdana Menteri akan memberi tauliah kepada kami ahli majlis dalam masa seminggu lagi.

Saya berbisik pada Presiden PAS di atas pentas muktamar yang berlangsung di Shah Alam tentang tawaran ini sambil menjelaskan sedikit maklumat tentangnya.

Beliau bersetuju dan mengharapkan kehadiran saya dapat menyumbang kepada sikap PAS terhadap perpaduan nasional. Dengan persetujuan itu, saya segera memaklumkan bahawa saya akan menerima tawaran itu.


Perpaduan Nasional

Selaku pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional untuk parti saya sejak tahun 2005, saya banyak terlibat mengoperasikan usaha perpaduan nasional dan menjelaskan sikap parti saya kepada isu-isu perpaduan.

Tugasan utama saya ialah menjadikan Parti Islam Se-Malaysia sebagai parti pelbagai kaum dari segi strukturnya dan luaran pula menggarap isu yang menyinggung perpaduan dari sudut isu-isu kritikal dalam hubungan antara kaum dan agama di negara yang majmuk ini.

Ia membawa saya kepada pertemuan dengan pelbagai NGO dan pihak berkepentingan dalam isu seperti penggunaan kalimah ‘Allah’ dan ketegangan kaum.

Saya merakamkan pemahaman saya kepada isu perpaduan nasional dalam beberapa buku saya seperti Aren't we all Malaysian? dan Engaging Christianity: A Travelogue of Peace. Tulisan-tulisan saya yang lain pula banyak berselerak dalam beberapa portal berita.


Negara-Bangsa

Kerja saya membawa saya kepada tokoh-tokoh agama yang pelbagai dan bertemu dengan mereka serta menjelaskan kepada mereka beberapa perkara, antaranya bersedia berbincang secara terbuka dalam isu yang dianggap sensitif, meletakkan negara dan kepentingan membina perpaduan nasional dan paling utama adalah meletakkan asas untuk generasi akan datang mewarisi negara ini dalam keadaan terbaik.

Secara ringkasnya saya menekankan perlunya berfikiran negara-bangsa (nation building) dalam melihat segala isu yang mencabar kewujudan negara bangsa Malaysia.
Saya berkeyakinan bahawa negara ini tidak memerlukan kelompok ekstrem dalam menentukan masa depan negara.

Saya bersetuju dengan sahabat saya, Dato’ Saifuddin Abdullah bahawa ia bukan pertembungan parti-parti politik semata-mata akan tetapi persaingan antara kelompok ekstrem dan sederhana dalam menentukan posisi masing-masing dalam pelbagai isu kritikal.

Setiap kelompok pasti akan mempunyai jalur ekstrem kanan atau kiri dalam apa yang diistilahkan sebagai kelompok radikal dan konservatif.

Isu yang berlaku hanya merupakan peluang untuk menonjokkan identiti jalur pemikiran masing-masing dan lebih buruk lagi ialah jika penonjolan sikap ini adalah untuk mengeksploitasi suasana politik lalu meranapkan harapan generasi untuk menerima bahtera merdeka dalam kedamaian.


Perjuangan Menentang Ekstremisme

Negara ini memerlukan pendekatan sederhana untuk maju ke hadapan. Kesederhanaan adalah tabiat semulajadi yang mengimbangi kehidupan manusia dalam semua aktivitinya termasuk dalam beribadat.

Usaha mendamaikan ketegangan agama dan kaum di Malaysia sebenarnya adalah usaha meletakkan keseimbangan pada tempatnya kerana setiap kejadian Allah SWT adalah pada titik perseimbangannya termasuklah hubungan antara agama dan kaum.

Saya tidak mencipta perjuangan yang baru di Malaysia, saya cuma menegaskan asas yang sudah diterima beribu tahun yang lalu.

Sebagaimana generasi terawal berhadapan dengan berbagai kesukaran membawa risalah kesederhanaan, cabaran saya tidaklah terkecuali dan saya menerimanya sebagai motivasi untuk meneruskan jalan kedamaian ini.


Tugasan di MPKN

MPKN atau National Unity Consultative Council (NUCC) mula ‘memperkenalkan dirinya’ dalam isu rampasan Bible bahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

MPKN menyatakan sikapnya bahawa perampasan ini walaupun dengan autoriti atas alasan kalimah ‘Allah’ yang dipakai tetapi ia mesti dilakukan dengan hikmah dan bijaksana dan bukan secara ‘rampasan’.

Kenyataan media sulung oleh MPKN ini setelah mesyauarat sidang penuh pertama diadakan menarik perhatian pelbagai pihak termasuk kelompok yang kurang mesra dengan kami.

Kenyataan itu dituduh sebagai pengaruh kelompok liberal dalam MPKN, namun pada waktu yang sama MPKN mula mendapat kepercayaan orang ramai bagi meletakkan harapan menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Dalam rangka menyediakan perancangan besar perpaduan nasional yang menjadi tumpuan utama kami, beberapa jawatankuasa diwujudkan untuk setiap kami berperanan dalam bidang masing-masing antaranya melibatkan pembangunan inklusif, belia, integrasi nasional, silang budaya dan perundangan.

Saya diberi mandat untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Polisi bersama dengan Lim Chee Wee sebagai timbalan saya.

Anggota majlis lain boleh terlibat secara sukarela dalam mana-mana jawatankuasa dan saya mendesak Dato’ Saifuddin Abdullah sebagai anggota wajib dalam jawatankuasa ini bagi membantu saya dan Lim Chee Wee.

Dengan mandat ini kami mengadakan mesyuarat pertama kami di Bangunan Parlimen kerana pada waktu itu persidangan parlimen sedang berlangsung.


Fokus Jawatankuasa Kerja

Tiada terma rujukan secara khusus tetapi dengan mengambil nama jawatankuasa ini kami menetapkan bahawa fokus kami ialah aspek perundangan dan polisi.

Perundangan ialah dengan melihat apakah rang undang-undang atau akta yang boleh memperkukuhkan perpaduan manakala polisi, kami lebih menumpukan kepada galakan dan insentif menjurus kepada pengukuhan dasar perpaduan yang sedia ada.

Mesyuarat seterusnya, kami mendapat rentak sedikit setelah mendapat maklum balas daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bahawa jawatankuasa kami ini perlu mendatangkan satu deraf awal tentang Akta Keharmonian bagi menggantikan Akta Hasutan yang akan dihapuskan.

Mesyuarat bersetuju supaya Lim Chee Wee yang berpengalaman dalam bidang undang-undang menyediakan deraf awal bersama pasukannya.

Deraf awal itu membolehkan jawatankuasa kami meneliti dan memulakan perbincangan awal bagi menghasilkan deraf untuk tatapan awam. Mesyuarat selanjutnya lebih tertumpu kepada perincian dan penambahbaikan deraf awal tersebut.


Proses Penglibatan Awam

Saya menegaskan bahawa sebagaimana isi kandungan deraf awal perundangan perpaduan itu penting, proses penglibatan awam juga sama pentingnya. Kami mendapat satu konsensus bahawa jika rang undang-undang (RUU) ini hendak dibawa, ia hendaklah menjadi RUU pertama yang mendapat mandat majoriti rakyat, kami mahu namakan RUU ini sebagai RUU rakyat (people's bill).

Alasannya jelas, oleh kerana RUU ini akan melibatkan kepentingan semua pihak dan bagi memelihara perpaduan nasional maka mereka mesti merasakan bahawa mereka adalah komponen terpenting.

Ia menjadi satu piawaian ke hadapan di mana selama ini tiada konsultasi awam berlaku dalam membawa sebarang RUU baru ke Parlimen.

Saya mahu politik baru yang kami perjuangkan ada nilai tambah lewat proses konsultasi. Sememangnya itulah yang berlaku, setelah deraf awal dianggap agak bersedia untuk dikemukakan, bermulalah proses pendengaran awam yang selama ini tidak pernah dilakukan.

Langkah awal ialah pengumuman deraf awal dalam lawan sesawang NUCC untuk akses awam. Kedua ialah menjemput pihak berminat untuk kami bentangkan dan ketiga melibatkan media untuk mewar-warkan ide RUU ini.

Dato’ Saifudin Abdullah khususnya telah menulis dalam kolumnya di Sinar Harian, saya dan Lim sibuk mengadakan kenyataan media dan hingga kini kami telah berjaya mengadakan pertemuan makan tengahari bersama media bagi memperkenalkan ide RUU ini.
Kami juga bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam mendiskusikan deraf ini.


Respons

Kelompok yang respons terdiri daripada yang berhati-hati tetapi optimis dan ada juga yang bersikap pesimistik dan tidak kurang juga yang menolak kesemuanya dengan alasan kita tak perlu lagi undang-undang dalam menguruskan isu hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Kami mengambil kira semua permasalahan ini dengan sikap terbuka dan sepatutnya ia begitu kerana namanya adalah deraf dan ia bukannya muktamad.

Walaupun begitu saya menegaskan dalam pelbagai wawancara media bahawa komentar dan pandangan tidaklah untuk mengundurkan kita ke belakang apatah lagi menggagalkan usaha memperkenalkan undang-undang baru ini.

Dengan kesedaran ini, kami bergerak dengan penuh yakin walaupun tiada contoh awalan yang menjadi petunjuk kepada kami. Dengan itu sebuah deraf RUU yang bernama Akta Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi diperkenalkan kepada rakyat Malaysia.


Ide RUU Keharmonian Nasional

Deraf awal berkembang kepada bentuknya hari ini dengan mengambil kira beberapa konsep.

Konsep pertama ialah undang-undang yang melibatkan kebencian kaum dan agama yang terbit daripada ucapan yang boleh mencetuskan keganasan. Ia dikenali sebagai ide ‘Hate Speech’ yang dianggap sebagai satu jenayah.

Kedua ialah konsep anti-diskriminasi bagi mendidik rakyat erti kesaksamaan di hadapan undang-undang dan larangan membezakan warganegara ini atas kaum, agama, keturunan, tempat lahir dan jantina serta ketidakupayaan fizikal.

Ketiga dan terakhir ialah mewujudkan remedi awam untuk setiap individu yang merasakan dirinya didiskriminasikan atas alasan-alasan di atas melalui sebuah Suruhanjaya Keharmonian Nasional.

Itulah tiga konsep tentang tujuan utama terbentuknya deraf undang-undang ini.

Elemen penting dalam RUU ini ialah sifat punitif kepada sesuatu yang boleh mencetuskan permusuhan agama dan kaum melalui ucapan dan tindakan manakala yang lain lebih kepada penegasan dan ruang kepada awam untuk mendapat penyelesaian melalui Suruhanjaya yang diberikan autoriti mediasi dan adjudikasi.


Kebimbangan

Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan muncul dalam suasananya yang unik di mana asas kewujudan negara ini dilembagakan dalam artikel utama perlembagaan negara.

Artikel penting yang dimaksudkan ialah kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ramai pihak yang bimbang adakah dengan RUU ini akan menjejaskan ketiga-tiga artikel penting ini dan adakah ia akan menjejaskan sebarang bentuk dasar mementingkan pembelaan Melayu dan Bumiputera yang boleh dianggap sebagai tindakan diskriminasi.

Isu meritiokrasi dijadikan sebagai hujah bahawa jika undang-undang ini berkuatkuasa, Melayu khusus di luar bandar yang perlu pembelaan akan terus terpinggir.

Ada pula yang menganggap Islam akan terjejas kerana diletakkan sebagai satu jenayah jika sebarang kenyataan boleh dianggap melahirkan kebencian, apakah kebencian itu jika ia merupakan satu hak? Tidak kurang juga yang merasakan undang-undang baru ini seolah menyekat kebebasan bersuara.


Memahami RUU Keharmonian Nasional

Pertama, nama undang-undang ini dipositifkan kepada matlamat yang hendak dicapai iaitu keharmonian dan rekonsiliasi berbanding dengan nama sebelumnya yang cuba menyelesaikan isu memelihara perpaduan dengan nama Akta Hasutan.

Setelah merdeka sekian lama, rakyat Malaysia seharusnya bersedia melihat isu perpaduan dalam rangka yang lebih spesifik dengan menjadikan punca utama kepada tercetusnya kebencian dan permusuhan sebagai satu jenayah samada ianya berbentuk ucapan ataupun tindakan.

Kalau dalam akta hasutan isu perpaduan lebih mengutamakan apa yang dikehendaki oleh pemerintah tetapi dalam undang-undang baru ini pemerintah juga bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian nasional tercapai.

Keperluan menghapuskan Akta Hasutan semakin terdesak apabila akta ini dibentuk oleh penjajah British bagi berhadapan dengan pejuang kemerdekaan.

Akta Hasutan 1948 bermentaliti hubungan tuan dan hamba manakala undang-undang baru ini bermentalitikan sebuah negara yang merdeka dan ingin membentuk masa depannya sendiri dengan menghukum para perosaknya.

Kepada mereka yang mahu mengekalkan Akta Hasutan, saya ingin bertanya apakah mereka mahu negara ini terus bermentalitikan pemikiran kolonialis dalam menguruskan soal perpaduan di negara yang sudah merdeka sejak tahun 1957?


Memelihara Asas

Dengan penuh sedar kepada asas negara, kami menderafkan perundangan baru ini dengan mengambil kira kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Kesemua peruntukan dalam perlembagaan persekutuan berkenaan hal tersebut terpelihara melalui pengecualian dengan memberikan intepretasi bahawa ia adalah konsisten dengan peruntukan perlembagaan.

Malah konsep anti-diskriminasi itu sendiri hanya menegaskan lagi artikel 8 dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa setiap warganegara ini dianggap sama di hadapan undang-undang dan mereka tidak boleh dibeza-bezakan atas alasan, kaum, agama, keturunan, tempat lahir, dan jantina. Kami cuma menambahkan satu lagi alasan diskriminasi iaitu ketidakupayaan fizikal.

Persoalan diskriminasi ditakrifkan mengikut dua bentuk diskriminasi yang terpakai oleh perundangan iaitu diskriminasi positif dan diskriminasi negatif.

Ia perlu untuk membezakan sesuatu diberi keutamaan secara positif atas keperluan, konteks dan pengkhususan tertentu manakala yang negatifnya ialah dalam ketiadaan alasan yang diberikan di atas seseorang dibeza-bezakan tanpa sebab.


Orientasi Seksual

Dalam deraf yang dicadangkan, alasan pembezaan bawah kategori jantina atau gender disebut perkataan ‘orientasi seksual’. Kami terbuka dalam kritikan terhadap orientasi seksual ini, malah ia menjadi tajuk panjang dalam perbahasan kami pada siri-siri mesyuarat yang dijalankan.

Walaupun demikian ruh yang ada dalam deraf ini sebenarnya lebih kepada soal pengambilan kerja supaya seseorang tidak didiskriminasikan kerana orientasi seksualnya.

Dengan mengambil kira secara permukaaannya, implikasinya pula amatlah besar kerana ia menyentuh soal pengiktirafan dan ini boleh menimbulkan pelbagai polemik.

Sebagaimana yang saya nyatakan, isu ini masih terbuka kepada kritikan dan perbahasan, ia bukan muktamad dan boleh ditambah dan dikurangkan dengan respon yang kami terima.


Tidak Perlu Undang-Undang?

Tanggapan ini pula mengandaikan bahawa lebih banyak undang-undang tentang hubungan kaum dan agama dibuat, lebih banyak penindasan berlaku dan akan lebih tidak demokratik sesebuah masyarakat itu.

Tanggapan ini betul pada satu segi tetapi tidak tepat jika diterima bulat-bulat.

Ini memandangkan kepada faktor sebenarnya yang menyumbang kepada penindasan dan tidak demokratik itu bukanlah undang-undang tetapi pendakwaan terpilih dan sikap pemerintah yang mahukan status-quo.

Dengan merumuskan kononnya kita tidak perlu kepada undang-undang keharmonian di atas alasan ini, ia seoalah-olah berkata kita tidak perlu lampu isyarat lagi hanya kerana ia sering rosak.

Seterusnya, masyarakat awam perlu memahami bahawa deraf RUU ini bukanlah tongkat sakti yang ada jawapan segala-segalanya.

Kami memahami keterbatasan inisiatif ini dan sedar bahawa jurisdiksi kami amatlah terbatas. Kami tidak berkuasa atas pendakwaan terpilih dan usaha pendemokrasian yang lembap dan begitu juga soal menimbulkan kesedaran perpaduan yang lebih besar.

Aspek lain bagi melahirkan masyarakat yang sedar dan menolak budaya cetusan kebencian kaum dan agama serta menolak amalan membeza-bezakan manusia perlu dimainkan peranannya oleh aspek lain yang luar dari kerangka perundangan iaitu pendidikan.

Walaupun perundangan itu sebahagian daripada pendidikan namun kematangan dan kejelasan berfikir setiap warganegara adalah benteng utama menjayakan misi keharmonian nasional dan rekonsiliasi ini.


Kita Ada Pilihan

Zaman kini bukan lagi zaman kita dipaksakan apa yang orang lain mahu, ia zaman yang menentukan apa yang kta mahu. Deraf RUU Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memilih apa yang mereka mahu.

Sekian lama kita dihantui hubungan antara kaum dan agama yang mencabar asas kewujudan negara ini, kini sudah tiba masanya rakyat membuat pilihan yang tepat untuk membina Malaysia ke arah yang lebih baik.
_____________________
Mujahid Yusof Rawa ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional. Bahagian ini adalah bahagian pertama dalam siri ini.

Sumber HD - 27-6-2014


Abah kami wira kami...

DATUK DR MUJAHID YUSOF | .



SESUATU nikmat yang paling hampir dengan kita ialah Allah SWT menganugerahkan kita sebuah keluarga. Tanpa nikmat ini dari Allah SWT, kita tiada di dunia ini dan tanpa nikmat keluarga, kita sukar memahami erti kasih sayang dan bagaimana rasanya kita dibelai.

Semua kita ada kisah tentang keluarga dan erti berkeluarga dan tiada memori yang paling berharga melainkan memori seseorang yang kita kasih sudah tiada lagi di sisi kita buat selamanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Bapa pada 15 Jun, saya ingin menukilkan kisah seorang ayah yang merupakan anugerah Ilahi terbaik dalam hidup saya dan jika ada sesuatu yang paling terhebat berlaku dalam hidup saya, kehebatan itu ialah saya telah menjadi anak kepada ayah saya malah kehebatan yang pernah berlaku untuk kesebelasan kami ialah mempunyai seorang ayah yang kami panggil ABAH.

Abah Kami Wira Kami

Abah bukan sahaja seorang ayah tetapi dia adalah seorang wira yang amat kami kagumi. Ia mengajar kami bahawa untuk menjadi wira kami tidak perlu mempunyai tubuh badan yang sasa dan menggerunkan orang lain tetapi kami hanya perlu menjadi wira dengan mempunyai pendirian hidup dan sanggup berkorban untuk kepentingan yang lebih besar.

Hidup abah sarat dengan pengertian ini, dia menjadikan kehidupannya bukan untuk dirinya tetapi kehidupannya adalah untuk orang yang memerlukannya.

Beliau melihat dirinya sebagai orang yang diciptakan bukan untuk dirinya tetapi untuk memberikan kebaikan kepada orang lain. Ini adalah budaya hidup keperwiraan pada tahapnya yang terbaik.

Kisah Keperwiraannya

Selain daripada kami yang melihat sendiri sifat abah yang suka mendahulukan orang lain dalam hidupnya, kisah perlakuan mulianya ini turut diceritakan oleh ramai orang serta menjadi buah mulut orang.

Kisahnya yang menyelamatkan keadaan kesempitan yang dialami seperti musafir terkandas, orang miskin yang berhajat serta bantuan modal untuk si peniaga yang jujur tetapi tiada upaya kewangan kini menjadi lagenda.

Beliau menyimpan senarai fakir miskinnya sendiri dan melantik amilnya sendiri iaitu kawan baiknya Allahyarham Syeikh Ahmad Badjenid. Beliau tidak pernah melupakan mereka setiap kali tiba Ramadan, malah ada kalanya dia sendiri yang membawa zakatnya untuk diserahkan.

Kisah sumbangannya kepada pelajar miskin untuk ke luar negara khususnya Timur Tengah menjadi perbualan ramai. Jasanya kepada anak miskin di estet kepunyaannya di Kedah untuk belajar terus menjadi ingatan kepada mereka yang menikmati hasil keperihatinannya kepada keluarga sang miskin.

Hingga pada hayatnya terakhir beliau sentiasa mengingatkan kami akan pembelaan pada si miskin dan sentiasa mengamalkan belas dan kasih kepada mereka.

Wira Yang Rendah Diri

Satu ciri abah yang tertonjol ialah sikapnya yang suka berendah diri, beliau datang dari keluarga ayahnya yang merantau dari Sumatera Barat dari daerah Rao atau Rawa.

Bapanya Haji Abdullah berhempas pulas membina empayar perniagaannya mendapat tuah apabila berkahwin dengan Hajjah Asmah binti Saleh bin Musa anak perempuan taukenya.

Hajjah Asmah adalah keturunan Tuan Syeikh Rawa atau namanya Haji Abdul Latif atau Abdul Rauf dari ibunya Hajjah Saffiyah Tuan Syeikh Rawa mempunyai tiga anak perempuan, Rugaiyyah, Zainab dan Asmah. Keturunan Tuan Syeikh Rawa yang lain menetap di Langkat dan Medan berasal dari Kota Rajo daerah Rao.

Latar belakang keluarga abah membentuk dirinya hidup dalam disiplin agama yang ketat. Bapanya seorang yang ortodoks dalam pendidikan anak-anak sehingga abah pernah dirotan hanya kerana ponteng kelas Quran, itupun setelah tok guru Qurannya yang bernama Syeikh Maghribi mengadu pada ayahnya.

Abah seorang yang mewarisi tradisi hidup dalam suasana agama yang ketat ke atas kami khusus dalam soal ibadat dan memelihara keperibadian yang tinggi.

Beliau berendah diri kepada rakan-rakannya, kepada rakan non-Muslimnya dan kepada anak-anak muda. Setiap orang yang pernah mengenalinya menganggap beliau seorang yang mudah bergaul, peramah dan tidak suka berbangga diri.

Pernah satu ketika beliau berkata pada saya: “Kesombongan membuatkan orang membencikan kita dan akan menjauhkan diri dengan kita, namun rendah diri mendekat kita dengan orang ramai kerana kasihnya mereka kepada kita.”

Sudah beberapa kali beliau menolak untuk dicalonkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Pulau Pinang sehingga akhirnya beliau menerima juga kerana bagi menghormati pencalonan tersebut.

Beliau enggan menerima sesuatu daripada parti yang beliau sertai sejak kembali ke tanah air dari Makkah, beliau hanya memberi dan memberi malah sering beliau memastikan infak bulanannya kepada parti diteruskan walaupun setelah pencen begitu lama.

Terngiang di telinga saya kata-kata abah: “Dalam perjuangan jangan meminta tetapi banyaklah memberi kerana engkau tidak layak berbuat demikian setelah engkau telah dimuliakan kerananya.”

Wira ini mengakhiri hidupnya tanpa sebarang kekayaan yang dinikmatinya daripada kedudukan dan jawatannya melainkan apa yang diwarisi daripada titik peluhnya sebagai manusia biasa. Paling besar rendah dirinya ialah kepada perjuangan ini.

Wira Kasih

Abah di sebalik kesibukan jadualnya sebagai ahli politik, wakil rakyat selama dua penggal, pemimpin nombor satu Parti Islam Se-Malaysia dan sebagai tokoh agamawan serta ahli perniagaan tidak pernah menggadaikan kasih kami untuk kesibukannya.

Ada beberapa cara abah melakukannya, pertama aktiviti cuci kereta bersekali dengan mandi pada hari Ahad, kedua makan malam beramai-ramai termasuk anak-anak saudaranya, ketiga ‘evening walk’ di persiaran pantai dan sesekali berkelah dengan menaiki bot nelayan yang dimiliknya.

Saya secara peribadi mempunyai pengalaman yang sukar dilupakan antaranya ialah semasa berprogram (mukhayyam) dengannya di Weng, Baling pada tahun 1979. Ketika itu kami tidur dalam satu khemah bersama-sama Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Nor.

Saat mandi sungai di Baling dan mandi laut bersamanya adalah detik indah seolah pada waktu itu abah hanya ada kami dan kami lupa seketika bahwa beliau adalah milik orang ramai.

Bersama dengannya adalah masa yang ditunggu, katanya penuh dengan hikmah sesekali diselit nada ketegasannya. Abah pernah menegur saya kerana mengadu pelbagai tekanan dalam mendaki tangga hireaki parti semasa saya mula menjinakkan diri dengan perjuangan sambil menasihati dengan berkata:

“Kedudukan kita ditentukan oleh Allah, jika Allah mengkehendakinya tiada manusia yang boleh menyekatnya dan jika Allah belum menentukannya, walaupun manusia mahukan kita berada di sesuatu tempat, kita tidak akan sampai di situ.”

Belaian kasihnya tidak ternukil, hanya hati menyimpan pelbagai rasa rindu pada saat saya meneruskan hidup ini dengan harapan abah ada di sisi saya untuk terus membutirkan mutiara-mutiara hikmahya.

Wira Hidup Dalam Kami

Wira kami, abah kami, dalam jarak alam yang terpisah dengan kami, engkau tetap hidup dalam jiwa-jiwa kami memberi semangat pada setiap langkah yang kami ambil.

Kami masih setia dengan semua janji yang terikat semasa hidup bersamamu.

Setiap detik kasih dan pengajaran hidup yang engkau curahkan kami simpan buat bekalan sambil mengenggam azam.

Matinya hamba Allah itu hanyalah untuk memisahkan dua alam yang berbeza namun hakikatnya perpisahan abadi adalah untuk hambanya mengasaskan pengajaran kepada yang lain sementara menghabiskan saki bakinya di dunia fana ini.

Kami menyaksikan engkau wahai abah telah melakukannya yang terbaik untuk kami, malah engkau menjadi inspirasi kepada orang lain juga khususnya kepada perjuangan yang engkau serahkan jiwa dan raga engkau untuk keagungannya.

Pada hari ini dan semasa orang membaca tulisan anak abah ini, izinkan kami melafazkan supaya semua dunia mendengarnnya bahawa: “Sesuatu terindah yang pernah berlaku dalam hidup ini adalah kerana engkau adalah abah kami.” - HARAKAHDAILY, 18/6/2014
____________
Mujahid Yusof Rawa ialah anak bongsu kepada bekas Yang Dipertua dan Mursyidul ‘Am PAS, Almarhum Haji Yusof Rawa. Beliau ialah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Ahi Jawatankuasa PAS Pusat.

Sumber HD - 18-6-2014

No comments:

Post a Comment