JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

ISLAM : Q N A

Mati dalam bulan Ramadan selamat dari soal kubur?

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL | .
Soalan;

Assalamualaikum ustaz! Di sini saya ingin bertanya, betul ke, saya dengar seseorang yang meninggal dunia pada bulan Ramadan akan terlepas daripada soal kubur sehingga hari kiamat. Pohon penjelasan ustaz.

Jawapan;

Bismillah. Orang yang mendakwanya perlu membawa dalil syarak (al-quran atau hadis). Setakat ini dalam pencarian saya belum menemui hadis yang menyebutnya. Ada hadis menyebutkan; "Sesiapa yg berpuasa kerana Allah, lalu dia mati ketika sedang berpuasa, akan masuk syurga" (Musnad Ahmad: 23324, soheh).

Hadis ini menyebutkan kelebihan mati ketika puasa. Jika seorang itu mati dalam bulan Ramadan ketika sedang berpuasa dia masuk dalam hadis ini. Adapun kelebihan mati dalam bulan Ramadan sahaja (tanpa kaitan dengan puasa), belum menemui hadis tentangnya. Wallahu a'lam.

//ilmudanulamak.blogspot.com

Sumber HD - 7-7-2014

Waktu afdhal solat witir di bulan Ramadhan

http://www.e-fatwa.gov.my | .


Ibadah

Tarikh Keputusan: 1 Jan, 1970

Huraian Tajuk/Isu: Mana lebih afdhal witir jemaah selepas tarawikh di awal malam atau witir di akhir malam tanpa jemaah.
Keputusan:

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bermesyuarat pada 1 Januari 1970 berpendapat bahawa solat witir sunat dita'khirkan kepada akhir malam walaupun luput jemaah kerana ta'khir itu di dalam bulan Ramadhan bagi mereka yang percaya dapat bangun sebelum fajar. jika tidak, afdhal disegerakannya di awal malam.

Keterangan/Hujah:

Sabda Rasulullah s.a.w.: من خاف أن لايقوم من آخر الليل فليوتر أوله ومن طمع أن يقوم أخر الليل فان صلاة آخر الليل مشهودة 
Maksudnya: Sesiapa yang tidak yakin untuk bangun di akhir malam maka tunaikanlah (witir itu) di awal malam. Manakala sesiapa yang yakin untuk bangun di akhir malam maka ia adalah lebih baik.

Sumber HD - 5-7-2014


Bagaimanakah cara solat tarawih sendirian

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL | .
Soalan:

Saya ada dua soalan;
1. Bagaimana nak buat solat tarawih bersendirian?
2. Adakah selawat selepas setiap dua rakaat solat tarawih itu perlu dan bagaimana kalau tidak buat dan cara melakukanya (tidak berselawat)?

Jawapan;

1. Solat terawih sama seperti solat sunat yang lain yang biasa kita lakukan, iaitu ditunaikan dua-dua rakaat dengan bermula daripada takbir dan diakhiri dengan memberi salam. Ketika hendak solat, niatkan di dalam hati untuk mengerjakan solat tarawih atau qiyam Ramadan, kemudian lakukan solat sebagaimana biasa. Bacaan-bacaan di dalam solat juga sebagaimana yang biasa dibaca dalam solat-solat yang lain. Kesimpulannya, yang berbeza dalam solat tarawih ini ialah niatnya sahaja. Adapun rukun-rukun dan sunat-sunat di dalam solat, ia sama seperti dalam solat-solat yang lain. Oleh sebab solat tarawih dilakukan dua-dua rakaat, maka setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki (lapan, dua puluh atau sebagainya).

2. Adapun berselawat selepas setiap dua rakaat, ia tidaklah wajib dan tidak mencacatkan solat tarawih jika tidak melakukannya. Amalan berselawat itu hanya dilakukan sebagai selingan antara dua-dua rakaat solat untuk memberi kerehatan sesuai dengan nama solat itu “Solat Terawih”. Ia bukanlah sabit daripada amalan Nabi SAW secara khusus. Jika kita tidak berselawat, kita boleh menggantinya dengan ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, bertazkirah dan sebagainya. Dan harus juga kita meneruskan solat tanpa menyelanginya dengan sebarang ibadah yang lain.

//ilmudanulamak.blogspot.com

Sumber HD - 4-7-2014

Terlupa qunut, perlukah sujud sahwi?

ABU HUSAYN | .
Sebarang pertanyaan untuk ruangan Anda Bertanya Ustaz Menjawab ini bolehlah di emel terus ke alamat editorharakahdaily@gmail.com This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Soalan:
Kalau terlupa baca qunut subuh perlukah sujud sahwi?

Jawapan:

Sujud sahwi adalah nama dua sujud yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat, untuk menutup kekurangan yang terjadi ketika solat yang disebabkan kerana lupa.

Kebiasaannya di Malaysia sujud sahwi ini dilaksanakan seperti berikut:

1. Ia dilakukan selepas tahiyat (tasyahhud) akhir sebelum salam.
2. Bacaan dalam sujud

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو

(Maha suci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa).

Sebagaimana dalam bab-bab yang lalu, kita sentiasa menyarankan untuk berpegang teguh dengan perintah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam untuk mencontohi baginda dalam ibadah solat sebagaimana sabdanya:

"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat” maka sepatutnya dalam pengamalan sujud sahwi ini ia juga harus sejajar dengan tata cara yang dilaksanakan oleh Baginda shalallahu 'alaihi wasallam.

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

“Sujud sahwi dilakukan dengan dua kali sujud sebelum salam atau sesudahnya oleh seseorang yang sedang bersolat. Kedua cara ini memang diajarkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.”

Setelah meneliti hadis-hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, kita dapati sujud sahwi ini dilakukan sama ada sebelum atau sesudah salam bergantung kepada situasi kekurangan atau penambahan yang berlaku dalam solat. Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah menyatakan:

Sebab-sebab yang mengharuskan sujud sahwi dalam solat secara global ada tiga hal iaitu:

1. Penambahan gerakan (al-Ziyadah). Misalnya seseorang menambah jumlah rukuk, sujud, berdiri atau duduknya.

2. Pengurangan (Naqs). Misalnya seseorang kurang dalam melaksanakan rukun atau hal yang wajib dalam solat.

3. Ragu-ragu (Syak). Misalnya dia ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat sama ada tiga atau empat.

Sebelum kita meneruskan perbincangan di dalam bab ini, adalah baik sekiranya terlebih dahulu ditegaskan bahawa penambahan atau pengurangan gerakan dalam solat secara sengaja boleh membatalkan solat. Sujud sahwi hanya disyari’atkan ke atas kekurangan atau penambahan yang berlaku di dalam solat secara tidak sengaja. Ini sebagaimana Sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

إِذَا زَادَ الرَّجُلُ أَوْ نَقَصَ فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ.

Jika solat seseorang terlebih atau terkurang, maka hendaklah dia sujud dua kali.

Doa qunut dalam solat subuh adalah antara sunat-sunat Ab’adh. Jika terlupa membaca doa qunut maka hendaklah disempurnakan solat dengan sujud sahwi iaitu dua kali sujud selepas membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam. - HARAKAHDAILY 3/7/2014

Sumber HD - 3-7-2014

Puasa tetapi tidak menutup aurat

DR USTAZAH ASIAH ALI | .

Sebarang soalan untuk ruangan Fiqh Wanita ini bolehlah di emel terus ke alamat editorharakahdaily@gmail.com This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Soalan:

Adakah sah puasa seseorang wanita itu sedangkan dia tidak menutup aurat (memakai tudung).

Terima kasih.

Jawapan:

Sah puasa seorang wanita yang tidak menutup aurat tetapi beliau tetap berdosa kerana tidak menutup aurat.

Sumber HD - 2-7-2014






Bolehkah tunduk untuk menghormati

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL | .
Soalan:

Menghormati seseorang dengan menundukkan kepala di hadapannya, apakah dibenarkan Islam?

Jawapan:

Dalam Sunan at-Tirmizi, Anas bin Malik RA menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW; ‘Wahai Rasulullah, jika seorang dari kami bertemu sahabatnya, bolehkah dia membongkok kepadanya?’. Jawab baginda; ‘Tidak boleh’. Dia bertanya lagi; ‘Bagaimana jika dia memeluk dan mengucupnya?’. Baginda menjawab; ‘Tidak boleh’. Dia bertanya lagi; ‘Bagaimana jika dia berjabat tangan dengannya?’. Baginda menjawab; ‘Ya, boleh’ (Sunan at-Tirmizi; 2728. Berkata at-Tirmizi; hadis hasan).

Berdasarkan hadis ini, kita boleh memahami bahawa menghormati seseorang dengan membongkok di hadapannya tidak disukai agama. Menurut ulama; jika membongkok itu sampai ke paras yang menyamai rukuk dalam solat, hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai sembahan kepada Allah. Jika atas dari kadar rukuk (seperti sekadar menundukkan kepala sahaja), hukumnya makruh dan sebolehnya tidak dilakukan (rujuk; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/135, perkataan; ‘ruku’’. Dalil al-Falihin, bab Istihbab al-Musafahah).

Sumber HD - 1-7-2014

Minta izin sebelum sedekah

DR USTAZAH ASIAH ALI | .

Sebarang soalan untuk ruangan Fiqh Wanita ini bolehlah di emel terus ke alamat editorharakahdaily@gmail.com This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Soalan:
Assalamualaikum Ustazah,

Jika saya ingin bersedekah, adakah perlu minta izin suami terlebih dahulu. Saya bekerja dan duit untuk sedekah itu adalah daripada duit gaji saya sendiri.

Terima kasih.

Jawapan:
Hukumnya harus tanpa minta izin suami. Walau bagaimanapun secara adabnya sebagai suami isteri beritahu lagi elok.

Sumber HD - 30-6-2014








Berimamkan imam solat jamak

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL | .
SOALAN

Saya ingin tahu mengenai solat jamak dan qasar. Bolehkah seseorang solat biasa menjadi makmum kepada orang yang solat jamak dan qasar? Bolehkah sebaliknya pula?

JAWAPAN

1. Menurut mazhab Syafie: Boleh orang solat biasa menjadi makmum kepada orang yang solat jamak dan qasar. Selepas imam memberi salam, dia hendaklah mencukupkan rakaat solatnya seperti biasa.

2. Adapun sebaliknya: Tidak harus orang yang solat qasar berimamkan orang solat biasa. Jika dia mengetahuinya di tengah solat, wajib dia mengubah solatnya daripada qasar kepada solat biasa.

3. Bagi jamak pula, tidak menjadi larangan selepas mengikut imam bagi solat pertama, setelah selesai solat, makmum bangun mengerjakan pula solat kedua. Yakni harus makmum yang menjamak solat menjadi makmum kepada imam yang tidak menjamakkan solat. - HARAKAHDAILY 25/5/2014

//ilmudanulamak.blogspot.com/

Sumber HD - 25-6-2014

Bolehkah melancong ketika iddah?

DR USTAZAH ASIAH | .

Sebarang soalan untuk ruangan Fiqh Wanita ini bolehlah di emel terus ke alamat editorharakahdaily@gmail.com This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

SOALAN

Salam ustazah,

Saya masih dalam iddah selepas kematian suami. Yang menjadi masalah ialah saya dan suami sebelum ini telah membuat tempahan untuk melancong ke luar negara. Jika tidak pergi, duit tempahan itu akan habis begitu sahaja. Jumlahnya juga agak banyak.

Saya pula diberitahu tidak boleh keluar rumah sepanjang tempoh iddah tersebut.

Apa yang patut saya lakukan?


JAWAPAN

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami - Bagi wanita yang ber`iddah kerana kematian suami, Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjang mereka berada dalam tempoh tersebut. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:

a. Haram menerima pinangan

b. Haram berkahwin. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

c. Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

d. Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.

sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias seperti memakai pakaian berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang. Begitu juga dilarang memakai barang-barang kemas. Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan Bersolek.

Justeru, walaupun wanita dalam iddah dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihan dan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh `iddah

Kesimpulan

Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar disebalik setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia. Justeru, sebagai hamba-Nya yang beriman, kita wajib patuh dan taat serta mengambil berat terhadap tuntutan tersebut tanpa sebarang persoalan atau menghadapinya dengan perasaan dan jiwa yang berkeluh-kesah.

Bahkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT itu merupakan satu tanda pengabdian diri dan kepatuhan hamba-Nya terhadap Pencipta Yang Maha Agung.

Dalam kes Puan saya berpandangan puan perlu berbincang dengan pihak agensi pelancongan untuk menangguhkan pelancongan sehingga selesai iddah empat bulan sepuluh hari atau puan boleh menggantikan dengan anak atau waris terdekat puan. - HARAKAHDAILY 24/6/2014

Sumber HD - 24-6-2014










Buku rujukan tentang puasa

DR USTAZAH ASIAH | .

Sebarang soalan untuk ruangan Fiqh Wanita ini bolehlah di emel terus ke alamat editorharakahdaily@gmail.com This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Soalan:

Assalamu'alaikum Ustazah.

Saya ingin menambahkan ilmu dalam ibadah puasa kerana banyak kekurangan ilmu pada diri saya. Ditambah pula bulan Ramadan akan tiba tak lama lagi. Jadi saya ingin meminta bantuan dari pihak ustazah untuk mengesyorkan kepada saya apakah buku rujukan terbaik yang boleh saya buat rujukan untuk menambahkan ilmu saya berkenaan ibadah puasa?

Terima kasih.

Jawapan:

Antaranya:

1.
Nama Buku: Panduan Puasa Ramadhan
Susunan: Sarip bin Adul, Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Penerbit: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

2.
Nama Buku: Puasa Terapi Dalam Ibadah
Penulis: Agus Mustaffa
Penerbit:PTS

Selain itu puan boleh melayari Internet untuk melihat Artikel-artikel mengenai puasa.

Sumber HD - 20-6-2014










Batas-batas aurat dalam Islam

ABU ANAS MADANI | .
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد


Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban.

Manakala dari segi istilah Syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.
Jadi, aurat bermaksud bahagia-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

AURAT KETIKA BERSENDIRIAN

1. Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya.”
2. Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya.”


BATAS-BATAS AURAT LELAKI

Rasulullah SAW bersabda:

عنِ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

((لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ)) [صحيح مسلم]

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” [HR Muslim].

Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau batas aurat lelaki ini;

1. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”.
Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-maisng adalah MAKRUH.

2. Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpendapat: “Aurat lelaki ada dua keadaan:
(1) Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
(2) Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya.
Auratnya adalah seluruh tubuh badannya.
[Rujuk Kitab al-Fiqh ’Ala al-Mazahib Al-Arba’ah, jilid 1 dalam bab Mabhas Sitr Al-Aurah].

BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI

Para Ulama’ bersepakat berpendapat bawah aurat perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadith.
Firman Allah SWT:

{وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ}

Maksudnya: “{Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada}.” [An-Nur: 31].
Firman Allah SWT

{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا} الأحزاب (59)

Maksudnya: {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}.” [Al-Ahzab: 59].
Firman Allah lagi:

{وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ} الأحزاب (53)

Yang bermaksud: “{Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …}” [Al-Ahzab: 53]

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebut riwayat dari Ibn Syihab dari ’Urwah dan dari Aishah, R.anha berkata:

“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur, mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”. [Tafsir Ibn Kathir juz 3 halaman 284]

HR Abu Daud daripada Saidatina Aisyah Radhiyallahu ‘anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).

BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB:

Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah;
1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (HR Al-Bazar dan At-Tirmizi).
2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya (ajnabi) auratnya adalah seluruh tubuh badan.

Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram).

Perbezaan pendapat;

1. MAZHAB SYAFI’IE: ada 2 qaul;


a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.
b) Qaul kedua: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).

2. MAZHAB HAMBALI: ada 2 qaul;


a) Qaul pertama: Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

3. MAZHAB HANAFI: ada 2 qaul;


a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.

4. MAZHAB MALIKI: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA.

1. Bapa sendiri ( bapa kandung).
2. Bapa suami (bapa mertua).
3. Anak lelaki.



4. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
5. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
6. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).
7. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).
8. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
9. Anak lelaki susuan.
10. Bapa susuan.
11. Saudara susuan.
12. Bapa saudara sususan, datuk saudara susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
13. Menantu lelaki.



DIBOLEHKAN LELAKI BUKAN MAHRAM MELIHAT AURAT WANITA DALAM BEBERAPA KEADAAN.

1. Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang hendak dilihat ialah muka dan kedua tapak tangan sahaja.
2. Ketika berjual beli.
3. Doktor atau tabib bertujuan mengubat.
4. Ketika hendak menjadi saksi.
5. Ketika mengajar.
Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai Muslimah samada mereka sedar atau tidak:
1) Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.
2) Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja.
3) Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian Muslimah.
4) Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang nampak telinganya, nampak lehernya, nampak rambutnya, nampak lengannya, nampak kakinya dan sebagainya.
5) Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.
6) Kainnya nipis sehingga boleh dilihat walaupun kain tersebut menutup auratnya.
7) Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri kemahsyuran, ke’glamour‘an dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya.


Mudah-mudahan dengan tersenarainya beberapa hal di atas, kita mendoakan agar saudara-saudara Muslimah kita semua dapat berubah dan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya. Bukan mereka semua sengaja mahu langgar, tapi kadang-kadang akibat salah faham dan pengaruh sekeliling, maka mereka keliru dan jauh dari petunjuk agama.

Pakaian Muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak syariat Islam ialah:

1) Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan.
2) Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri perhiasan yang boleh menarik perhatian.

3) Mestilah kainnya tebal. Mestilah tidak tembus cahaya dan tidak boleh nampak anggota tubuh.
4) Mestilah longgar (tidak ketat), supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
5) Tidak berwangi-wangian.
6) Tidak menyerupai pakaian lelaki.
7) Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.
8) Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan kemasyhuran atau kesombongan.
Lihat Perbincangan tentang Aurat Wanita di:
MEMELIHARA AURAT ~ LAMBANG PERIBADI MUSLIMAH (http://www.abuanasmadani.com/?p=1902)

Sumber HD - 19-6-2014

Hukum 'tengok bola'


Sebuah kajian ilmiah oleh: Dr.Haji M.Taufiq Q. Hulaimi, MA Med – Direktor Ma’ahad Aly An-Nuaimy, Jakarta dan diolah dalam Bahasa Malaysia oleh: Mohd Fadhlullah Ismail, IAIN Ar Raniry Aceh.
__________________________

Sepak bola tidak pernah dibicarakan dalam buku-buku fiqh klasik. Olahraga ini termasuk nawazil (hal-hal baru). Berdasarkan kaedah fiqh iaitu ‘al-aslu fil asyyaa al-ibahah’, maka hukum menonton sepak bola adalah harus. Adapun sebahagian ulama’ yang mengharamkannya lebih disebabkan kerana ada hal-hal lain yang mengiringi sepak bola. Antaranya adalah:

1) Paha lelaki aurat?

Apabila paha itu adalah aurat, maka menonton sepak bola menjadi haram kerana melihat aurat lelaki. Sebaliknya apabila peha bukan aurat, maka menonton sepak bola hukumnya mubah (harus). Para ahli fiqh (fuqaha’) berselisih pendapat dalam hal ini seperti berikut:

Pendapat pertama: Jumhur ulama’ mengatakan peha lelaki adalah aurat. Pendapat ini berdasarkan sejumlah hadith antara lain “tutupilah pehamu kerana sesungguhnya peha adalah aurat” (Hadis Riwayat Malik, Ahmad, At-Tarmidzi).

Pendapat kedua: Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa peha lelaki tidak aurat. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Bukhari dari Anas bahawa Rasulullah menyingkap pehanya dalam beberapa kesempatan.

Pendapat ketiga: Pendapat para pengikut mazhab Maliki (Imam Malik) bahawa aurat mughallazah (berat) adalah kemaluan dan dubur. Keduanya apabila terlihat ketika melakukan solat, maka solatnya batal.

Para ulama’ berusaha menyatukan dalil-dalil yang bertentangn ini dan mentarjihkannya (mencari yang terkuat). Imam Bukhari berpendapat bahawa hadith Anas yang mengatakan peha bukan aurat lebih kuat sanadnya. Imam As-Syaukani melihat bahawa hadith yang menyatakan peha adalah aurat adalah hadith-hadith yang berkenaan dengan keadaan khusus yang tidak boleh digeneralisasi.

Imam Ibnul Qayyim mengatakan bahawa aurat ada 2 iaitu aurat ringan dan aurat berat (mughallazah). Peha termasuk aurat ringan.

Maka tidak ada pertentangan (kontra) antara larangan melihat peha dan dibolehkannya membuka peha, dilarang melihat kerana peha aurat, dibolehkan dibuka kerana peha adalah aurat ringan. Dr.Yusuf Al-Qardhawi melihat adanya rukhsah (keringanan) untuk menyingkap peha bagi orang yang pekerjaannya menuntut mereka membuka peha.

2) Segala sesuatu yang boleh, apabila ia berlebihan, maka hukumnya haram (al-israf: berlebihan)

Menonton sepak bola apabila berlebihan, maka hukumnya menjadi haram. Kaidah fiqh mengatakan: “segala sesuatu apabila melebihi batasnya, maka hukumnya menjadi sebaliknya”. Demikian pula hal-hal yang berkenaan dengan hiburan, pada dasarnya hukumnya boleh selama tidak berlebihan. Allah SWT berfirman: “Hai anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan” – Al-A’raf: 31. Makan dan minum adalah hal yang mubah (harus), akan tetapi jika berlebihan menjadi haram.

3) Menyia-nyiakan waktu

Waktu begitu sia-sia dengan menonton bola sepak. Waktu menonton adalah 2 x 45 minit, ditambah lagi dengan komentar para pengomentar, iklan dan istirehat. Jika tontonan ini dilihat sampai sebulan penuh, cuba bayangkan berapa waktu yang terbuang sia-sia dalam sebulan? Bukankah waktu itu adalah nikmat? Nikmat akan ditanyakan oleh Allah dalam hal apa dimanfaatkan. Allah berfirman: “kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang nikmat (yang dianugerahkan untukmu)”. – At-Takathur: 8.

Disisi lain, berjaga tanpa ada kepentingan dibenci oleh Nabi SAW. Diriwayatkan dari Abi Barzah beliau berkata, “Rasulullah SAW membenci tidur sebelum isya’ dan bersembang-sembang setelahnya. (Hadis Riwayat Bukhari).

4) ‪‬Pekerjaan pejabat terabai

Orang yang sengaja berjaga untuk menonton bola terkadang juga kurang maksima dalam melaksanakan tugas wajib. Orang beriman tentu sahaja selalu menjaga amanah yang dibebankan padanya. Rasulullah SAW bersabda: “tunaikanlah amanah kepada orang yang mempercayaimu dan tidak perlu engkau membalas dengan mengkhianati orang yang mengkhianatimu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

5) Non-Muslim dijadikan idola

Fenomena yang menimpa para pencandu bola (peminat) adalah mengidolakan non-Muslim. Manakah yang didukung ketika dua Negara bertanding, apakah yang didukung Negara yang seagama? Biasanya yang didukung yang lebih mahir dan lebih cantik dalam bermain tanpa melihat agamanya. Bukankah seseorang akan dikumpulkan dengan orang yang ia cintai dan yang dijadikan idola. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang mencintai suatu kaum melainkan dia akan dikumpulkan bersama mereka pada hari Qiamat nanti”.

Hukum: Antara Fatwa dan Taqwa

Soal hukum menonton bola sepak ini jika dilihat akan terbahagi kepada dua. Pertama, hukum adakalanya dalam aturan fatwa, untuk dipakai oleh umum. Kedua, hukum dalam aturan taqwa, untuk dipakai oleh peribadi. Dalam aturan taqwa, kita boleh berfatwa buat diri kita sendiri sekeras mungkin. Akan tetapi, dalam aturan fatwa para fuqaha’, selalu berusaha untuk mencari yang termudah. Bukankah Rasulullah SAW kalau memilih antara dua hal, selalu ia memilih yang paling mudah selama ia tidak berkenaan dengan yang haram.

Dalam konteks menonton sepak bola hukum yang difatwakan harus dalam konteks aturan fatwa bukan aturan taqwa (baca: ideal). Dalam aturan taqwa, menonton sepakbola diharamkan, sebagaimana dibolehkannya mewajibkan solat tahajud buat diri sendiri (peribadi), kerana itu dipakai oleh peribadi. Tetapi sebaliknya dalam aturan fatwa, harus diuraikan sebijak mungkin kerana dipakai oleh public yang keimanannya berbeda-beda.

Kesimpulan

Ulama’ yang mengharamkan menonton bola sepak didasarkan kekhawatiran akan terjadinya efek buruk dari menonton sepak bola. Kerana efek buruh harus dicegah. Seperti judi, apapun bentuknya judi adalah perbuatan haram. Termasuk disini bertaruh untuk sebuah kesebelasan (team) atau skor. Maka apabila peha bukan termasuk aurat lelaki, menonton sepak bola sebatas hiburan dan tidak berlebih-lebihan, berjaga tidak menggangu pekerjaan di pejabat, mengagumi dengan tidak menjadikan seorang Muslim mengidolakan non-Muslim, maka hukum menonton bola menjadi harus.

Sebaliknya, apabila efek buruk tersebut tidak boleh dihindarkan dan tidak dipisahkan sama sekali (menjadi sebuah talajum), maka hukumnya adalah haram. Hal ini berdasarkan dalil Sadduz Zar’iyyah iaitu secara hukum halal, akan tetapi halal tersebut menjadi jalan timbulnya (perkara) haram, maka hukumnya (diambil) pada kesan yang ditimbulkannya iaitu haram.
_____________________

Dari www.arruhuljadid86mblogspot.com
Dr.Haji M.Taufiq Q. Hulaimi, MA Med – Direktor Ma’ahad Aly An-Nuaimy, Jakarta ditanya oleh seorang pembaca pada ruangan Konsultasi Agama di Majalah Sabili mengenai hukum menonton bola sepak khasnya sempena perlawanan Piala Dunia sekarang. Berikut adalah jawapan beliau yang disiarkan pada ruangan tersebut di Sabili edisi 8 Julai 2010 / 25 Rejab 1431]

Diolah dalam Bahasa Malaysia oleh: Mohd Fadhlullah Ismail, IAIN Ar Raniry Aceh.

Sumber HD - 19-6-2014












Aurat dan perkahwinan antara adik-beradik tiri

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL | .

Soalan

Seorang janda yang mempunyai anak lelaki berkahwin dengan duda yang mempunyai anak perempuan. Apakah ada aurat antara adik-beradik tiri tersebut? Bolehkah adik-beradik tiri tersebut berkahwin?

Terima kasih

Jawapan;

1. Antara adik-beradik tiri tidak ada sebarang ikatan mahram. Mereka adalah ajnabi dan anjabiyah antara satu sama lain. Oleh itu, wajib menutup aurat sesama mereka (*termasuk memakai tudung), tidak harus mereka berdua-duan dan tidak harus bersalaman. Kerana tiada ikatan mahram, mereka berdua boleh berkahwin.

2. Ikatan mahram hanyalah antara bapa dan anak tirinya, dan antara ibu dan anak tirinya. Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita dan ia mensetubuhi wanita itu, haram selepas itu dia mengahwini anak perempuan wanita itu (yakni anak tirinya). Larangan disebut Allah dalam surah an-Nisa’ (bermaksud); “Dan (turut diharamkan ke atas kamu mengahwini) anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu setubuhi, tetapi jika kamu belum setubuhinya, maka tidak berdosa kamu mengawini (anak perempuannya, iaitu setelah kamu ceraikan ibunya)” (Surah an-Nisa’, ayat 23).

Begitu juga, haram mengahwini ibu tiri. Di dalam al-Quran Allah melarang seorang lelaki mengahwini wanita yang pernah dikahwini bapanya. “Dan janganlah kamu kawini wanita yang pernah dikahwini oleh ayahmu” (Surah an-Nisa’, ayat 22). Wallahu a’lam.

Sumber HD - 10-6-2014

No comments:

Post a Comment