JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Saturday, June 7, 2014

PRESIDEN PAS - DS TG HJ ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS sebak hargai simpati semua pihak

HARAKAHDAILY | .
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak dapat menahan rasa sebak ketika menyampaikan tazkirah khas Ramadhan di Masjid Rusila, malam tadi.

Nada sebak itu bermula apabila beliau yang juga Ahli Parlimen Marang memohon Allah memberi balasan yang tidak terhingga kepada semua sama ada parti-parti politik yang ada di Malaysia dan semua pertubuhan Islam dan bukan Islam yang telah menunjukkan simpati kepada beliau semasa menerima rawatan di Istanbul, Turki baru-baru ini.

“Mudah-mudahan Allah menjadi keberkatan dan hidayah, termasuk gerakan Islam dan pertubuhan Islam daripada negara-negara Islam dan negara yang bukan Islam yang berdoa dan menghantar sumbangan, berebut-rebut untuk menghantar sumbangan termasuk pelajar-pelajar yang miskin yang kaya, semuanya bersedia untuk menyumbang.

“Mudah-mudahan semua itu termasuk dalam timbangan amal yang soleh di sisi Allah SWT,” ujar beliau.
Rakaman tazkirah itu dimuatnaik dalam facebook beliau. – HARAKAHDAILY 6/7/2014

Sumber HD - 6-7-2014

TG Abdul Hadi sampaikan tazkirah di Rusila malam ini

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Rusila, malam ini.

“Insya Allah malam ini saya akan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Rusila, Marang selesai solat sunat tarawih,” tulis beliau menerusi facebook.

Justeru, Ahli Parlimen Marang itu berharap perancangan itu berjalan lancar.

"Doakan semoga perancangan ini berjalan dengan lancar setelah sekian lama saya 'direhatkan'.

“Sesungguhnya saya amat rindukan anda semua, terima kasih,” tulis beliau lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2014



Sumber HD - 5-7-2014

Presiden PAS, Anwar tak bincang isu MB S'gor

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan laporan sebuah portal kononnya berlaku perbincangan berhubung isu Menteri Besar Selangor ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Ahmad Samsuri yang turut berada di sisi Presiden PAS ketika pertemuan itu berkata, tiada langsung perbincangan berhubung perkara itu.

"Laporan itu adalah tidak benar sama sekali. Bukan sahaja tidak ada sebarang perbincangan mengenai isu Selangor antara kedua-dua pemimpin itu semasa lawatan ke IJN tempoh hari, malah perkataan 'Selangor' dan 'MB' pun tidak disebut langsung,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Penafian itu merujuk kepada laporan portal Freemalaysiatoday (FMT) hari ini yang melaporkan Tuan Guru Abdul Hadi akhirnya bersetuju dengan cadangan menukar Menteri Besar Selangor yang baharu.

Laporan itu juga menyebut, persetujuan itu dicapai ketika beliau dikunjungi Anwar di IJN baru-baru ini dan menambah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diberhentikan sebagai menteri besar selepas raya Aidilfitri.

Selain itu, laporan itu turut menyebut Adun Kajang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik menjadi menteri besar baharu manakala Adun Bukit Antarabangsa yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali akan dilantik sebagai timbalan menteri besar. - HARAKAHDAILY 4/7/2014

Sumber HD - 4-7-2014




Presiden PAS terima kunjungan PM, pemimpin PR

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berehat di Institut Jantung Negara (IJN) menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tengah hari ini.

Pada sebelah petang pula, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menerima kunjungan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan bekas Exco Kerajaan Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga menziarahi beliau.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melawat Tuan Guru semalam.

Menurut Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Tuan Guru terpaksa berehat hari ini kerana menerima ramai tetamu.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang ingin menziarahi Presiden PAS hari ini supaya berbuat demikian esok.

Tuan Guru Abdul Hadi menerusi facebook pada 27 Jun lalu memaklumkan bahawa cadangan awal untuk balik ke Terengganu semalam terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Sehubungan itu, beliau memohon kemaafan di atas segala kekhilafan yang berlaku.

Sehari sebelum itu, beliau memaklumkan akan pulang ke Terengganu pada Sabtu dan dijangka tiba di Masjid Rusila sekitar jam 3.00 petang. – HARAKAHDAILY 29/6/2014







Sumber HD - 29-6-2014

Bersama Presiden PAS dari Istanbul ke KL

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR | .

HATI ini sebak gembira melihat akhirnya Tuan Guru dapat pulang ke tanah air setelah tiga minggu beliau bersama saya berada di bumi bekasan Constantinople yang dibebaskan oleh Muhammad al-Fateh pada 1453 Masehi. Hati ini meruntun bukan kerana merasa berat berpisah dengan kota bersejarah Kostantiniyye (juga dikenali sebagai Islambol, Dersaadet, Istanbul) yang sarat dengan jutaan pengkisahan dan sejarah, tetapi saya terkenangkan santunan dan persahabatan dengan rakan-rakan di Turki. Ketika ini hati saya teringatkan sabda Rasulullah SAW:

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak boleh tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

Mereka turut sama berada di hospital Medipol Universite Hastanesi di Bagcilar, Istanbul menemani saya setiap hari terutamanya Brother Harun dan anaknya Mus'ab, rakannya Mus'ab Abu Syaaban, pemandunya Abdullah Oflas, Ummit dan Mustafa, Yilmaz dan Abdus Samat dan lain-lain yang memberikan kata-kata semangat, bekalan berdepan dengan hari yang tidak diketahui hujungnya, menghibur hati yang berjauhan daripada sahabat seperjuangan di Malaysia.

Bau kahve dan çay Turki memenuhi ruang bicara kami di kafeteria Medipol bersama sepiring lokum, halva, simit; dengan kadang kala kami jenuh berbicara mauduk semasa yang menjerebu ekonomi – sosio – politik – kehidupan beragama di Turki, berbicara soal etno-politik yang tersepit di antara dua benua – Asia dan Eropah yang dipisahkan oleh Selat Bosphorus dengan kesibukan kapal dagang di Laut Marmara, kekerasan neo-militari yang merombak resam gerakan Islam di Turki. Malah sekali sekala kami mencuba untuk menghangatkan bicara dengan acahan dan prognosis tertentu untuk merungkai kompleksiti masyarakat yang satu masa dahulu adalah sebuah Kerajaan Byzantine dan akhirnya Kerajaan Uthmaniyyah. Ternyata bicara-bicara sedemikian mewajarkan satu bicara dan penulisan khusus, kritis, penuh dengan saranan pro-kontra dan provokatif.

Tidak mampu untuk saya senaraikan setiap orang yang menziarahi kami sepanjang di sini – semuanya ada – tua dan muda. Rakan-rakan dari negara Arab, benua Afrika, Pakistan, Eropah tidak jemu bertandang mendoakan kesihatan berpanjangan. Manakala rakan-rakan di Turki khususnya, Duta dan pihak Kedutaan Malaysia, pakar perubatan, rakan ahli dan pimpinan parti politik dalam negara kita, tokoh korporat dan nasional, wartawan yang tidak jemu menghubungi saya, anak-anak muda pelajar kampus universiti dari beberapa negara, semuanya membawa mesej yang sama: “Semoga Tuan Guru bertambah sihat dan selamat pulang ke tanahair tercinta”.

Sekali sekala hati kami terhibur dengan susah upaya kami berkomunikasi, dalam kalangan pemandu teksi, pekerja hospital, kedai makan, pazari dan sebagainya yang tidak boleh berbicara dalam bahasa Inggeris, Arab apatah lagi bahasa Melayu. Sesekali kesilapan dan salah faham yang berlaku menjadi hiburan hati kecil kami yang tidak menentu di sini. Tetapi itulah rakyat Turki – mereka bangga dengan bahasa mereka, tidak apologetik, tidak longlai dan tidak inferior, bekerja keras sehingga mampu menjadi kuat di benua Eropah. Diaspora rakyat berketurunan Turki di serata Eropah dan Amerika Syarikat menjadi testimoni kekuatan mereka, sungguhpun kepelbagaian fikrah mereka sangat berwarna warni.

Sepanjang tempoh mendapat rawatan, pemulihan dan kerehatan, kadang kalanya kami berkunjung menatap kehijauan alam dan warna-warni kelopak bunga yang sungguh mengasyikkan di bawah jagaan İstanbul Büyükşehir Belediyesi, terkhususnya di Emirgan Park di daerah Sariyer, Istanbul dan sepanjang pesisir yang menghadap Bosphorus dan geografi Turki - Asia. Sepanjang masa itu juga Tuan Guru akan berterusan berbicara persoalan semasa yang mewarnai politik dalam negara dan dunia, berbicara tentang ayat-ayat al-Quran dan sirah, berkongsi analisa dan sebagainya. Bagi saya, semuanya saya kutip-dengar dan menjadi ilmu yang sangat berguna kepada saya. Kesimpulan saya, ternyata bara perjuangan yang ada pada Tuan Guru tidak pernah malap!

Sahabat-sahabat yang berada di tanah air juga begitu banyak membantu menguruskan keluarga kami yang berada Malaysia; termasuklah kalangan doktor pakar yang menghubungi kami dan memberikan pandangan mereka. Mana kala doa dari seluruh ahli, penyokong dan rakyat Malaysia amat kami hargai.

Terimakasih semua. Hanya Allah SWT yang boleh membalas segala kebaikan yang diberikan. Semoga kita semua mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. - HARAKAHDAILY 19/6/2014

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah Setiausaha Politik Presiden PAS
*(Coretan ketika dalam perjalanan dari Istanbul ke Kuala Lumpur)

Sumber HD - 19-6-2014




Presiden PAS selamat tiba, perlu berehat

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah selamat tiba di tanah air pada petang semalam setelah menjalani rawatan perubatan di sebuah hospital berhampiran dengan tempat persidangan di Istanbul, Turki akibat dari komplikasi sesak nafas semasa persidangan berlangsung.

“Walaupun kesihatan beliau sudah bertambah baik dan dibenarkan pulang ke Malaysia, tetapi pihak doktor perubatan masih menasihati beliau supaya dapat terus berehat untuk satu tempoh masa yang tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan media ringkas.

Sehubungan dengan itu juga, katanya adalah diminta supaya ahli-ahli dan kepimpinan parti serta rakan-rakan lainnya dapat memberikan ruang secukupnya kepada Presiden PAS untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat bertemu dan seterusnya memberikan komitmen terhadap program parti dan masyarakat.

Tuan Guru Abdul Hadi dimasukkan ke wad ICU hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul pada 30 Mei lalu selepas mengadu sesak nafas.- HARAKAHDAILY 19/6/2014

Sumber HD -  19-6-2014

Presiden PAS terus terima kunjungan di Istanbul

HARAKAHDAILY | .



ISTANBUL: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang kini sedang berehat di Istanbul terus menerima kunjungan para pemimpin politik di Turki dan antarabangsa.

Selain dari rasa prihatin Kerajaan Turki pimpinan Racep Tayyib Erdogan yang sentiasa membantu dan memantau perkembangan kesihatan Tuan Guru Abdul Hadi, para pemimpin gerakan Islam antarabangsa juga sentiasa mengikuti perkembangan kesihatan beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi yang telah dibenarkan keluar dari Hospital Medipol Istanbul, kini sedang berehat buat beberapa waktu sebelum pulang ke tanah air.

Semalam beliau menerima kunjungan pemimpin gerakan Islam dari pelbagai negara termasuk Dr. Usamah Hamdan dari pergerakan Hamas Palestin, Dr. Hamzah Mansour dari Jordan, Dr. Abdul Razzak dari Algeria, Dr. Nasir Sanie dari Kuwait, Dr. Ahmed Waqqar dari Pakistan serta para pemimpin pertubuhan Islam daripada beberapa negara.

"Para pemimpin gerakan Islam yang hadir melahirkan rasa gembira apabila keadaan kesihatan Tuan Guru Presiden semakin pulih dan kembali sihat.

"Mereka beranggapan bahawa tenaga serta buah fikiran Tuan Guru Abdul Hadi amat diperlukan bagi memimpin gerakan Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa," kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Ustaz Abdul Hadi, tambah beliau melahirkan rasa terharu atas kunjungan para pemimpin gerakan Islam itu dan berharap akan dapat segera bersama mereka memberi sumbangan kepada ummah.

Dr Syed Azman dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kini berada di Istanbul bagi mengiringi Tuan Guru Abdul Hadi pulang ke tanah air.

Presiden PAS sebelum ini menerima rawatan di Hospital Medipol Universite Hastanesi, dekat sini selama seminggu akibat komplikasi jantung dan paru-paru berair.

Beliau dibenarkan keluar wad 7 Jun lalu.

Tuan Guru Presiden berada di Istanbul kerana menghadiri Kongres Umat Islam Antarabangsa anjuran Pusat Penyelidikan Ekonomi (ESAM).

Doktor menasihatkan beliau mendapat rehat secukupnya sebelum pulang ke Malaysia.- HARAKAHDAILY, 16/6/2004


Para pemimpin gerakan Islam yang menziarahi Tuan Guru Abdul Hadi bergambar ramai seusai pertemuan. Turut kelihatan Dr Syed Azman (dua dari kanan).

Sumber HD - 16-6-2014







Salahuddin, Dr Syed Azman bakal iringi Presiden pulang

HARAKAHDAILY | .

ISTANBUL: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersama Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad kini berada di Istanbul menziarahi Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ustaz Abdul Hadi kini semakin pulih dan dinasihati berehat oleh doktor sementara menunggu urusan kepulangan ke tanah air di waktu yang terdekat.

Salahuddin memaklumkan bahawa Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Dr Syed Azman kini sedang menguruskan urusan perjalanan pulang Ustaz Abdul Hadi ke tanah air.

Sementara itu Presiden PAS terus di kunjungi pelbagai pihak termasuk wakil Kerajaan Turki dan gerakan Islam Timur Tengah yang amat prihatin terhadap kesihatan beliau.

Salahuddin bagi pihak PAS merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik yang tidak henti-henti mendokan kesihatan Ustaz Abdul Hadi.

"Begitu juga dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Istanbul yang sentiasa prihatin terhadap kesihatan Presiden PAS," ujar beliau.

Salahuddin juga menyeru ahli dan penyokong PAS agar sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Tuan Guru Presiden agar selamat pulang ke tanah air.

Ustaz Abdul Hadi sebelum ini menerima rawatan di Hospital Medipol Universite Hastanesi, dekat sini selama seminggu akibat komplikasi jantung dan paru-paru berair.

Beliau dibenarkan keluar wad 7 Jun lalu.

Tuan Guru Presiden berada di Istanbul kerana menghadiri Kongres Umat Islam Antarabangsa anjuran Pusat Penyelidikan Ekonomi (ESAM).

Doktor menasihatkan beliau berehat sebelum pulang ke Malaysia. - HARAKAHDAILY 12/6/2014

Sumber HD - 12-6-2014








Terima kasih atas bantuan, doa kepada Presiden PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan bantuan dan sokongan kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika beliau dirawat ke hospital di Istanbul baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS menyanjungi keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan Turki dan parti Saadat kepada Tuan Guru Abdul Hadi serta semua rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan beliau.

“Presiden Turki Abdullah Gul telah menghantar setiausaha dan beliau telah menelefon presiden sendiri. Terima kasih kepada perhatian baik yang diberikan oleh kerajaan Turki,” katanya pada sidang media di Pejaba Agung hari ini.

PAS juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan dutanya di Turki yang telah melawat Tuan Guru Abdul Hadi dua kali ketika dirawat di sana.

“Ucapan terima kasih juga kepada badan-badan antarabangsa dari Turki, Mesir dan London yang membuat kunjungan hormat kepada Presiden PAS.

Begitu juga dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang berkunjung ke sana dan mesej-mesej yang dihantar kepada beliau yang berada di Istanbul memberi sokongan yang begitu tinggi kepada beliau,” tambahnya.

Tuan Guru Abdul Hadi yang menerima rawatan di hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul sejak seminggu lalu dibenar keluar wad semalam.

Doktor menasihatkan beliau berehat beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia. - HARAKAHDAILY 8/6/2014

Sumber HD - 8-6-2014









Presiden PAS dibenar keluar wad pagi ini

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dibenar keluar dari wad pagi ini selepas keadaan kesihatannya semakin baik.

Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan perkara itu melalui laman Facebook Tuan Guru Abdul Hadi petang semalam.

"Alhamdulillah Tuan Guru telah dibenarkan keluar dari wad hospital pada pagi ini.

"Beliau juga dinasihatkan oleh doktor pakar di hospital supaya berehat beberapa hari sehingga pulih sepenuhnya untuk pulang ke Malaysia dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi menerima rawatan di hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul sejak seminggu lalu selelapas mengalami sesak nafas.

Beliau pada Jumaat lalu dimasukkan ke wad ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa pada Selasa lalu selepas kesihatannya beransur pulih. - HARAKAHDAILY 6/6/2014

TPP - http://www.youtube.com/watch?v=JPC0UeBg8nU

Sumber HD - 6-6-2014

No comments:

Post a Comment