JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Wednesday, June 11, 2014

KOLUM MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF: PENGERUSI JK OKU PAS


Pada saat OKU dituduh mengemis

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .
SAYA tak pasti apakah saranan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengenakan hukuman kepada peminta dan pemberi sedekah dibuat secara khusus di bawah mana-mana perundangan. Selain perundangan dan peraturan yang ditetapkan di bawah pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, akta yang berkaitan rapat dengan isu yang dibangkitkan ialah Akta Orang-orang Papa 1977, Akta 183.

Kenyataan beliau tersebut menarik perhatian rakan-rakan saya yang menjalankan kegiatan menjaja bebas. Pada kelazimannya, OKU yang menjalankan kegiatan penjaja bebas ini bergerak dari meja ke meja dengan menjual barangan-barangan ringan dan kecil seperti makanan, coklat, pen atau tisu.

Kita juga akan dapati kebanyakan mereka dibantu atau diiring oleh seorang yang normal. Ingin saya lontarkan satu persoalan, apakah benar kegiatan mereka itu didalangi oleh sendikit?

Sejak dulu lagi kegiatan menjaja bebas dalam kalangan OKU penglihatan khususnya atau OKU umumnya sebagaimana di atas sering dikaitkan dengan kegiatan pengemis yang didalangi oleh suatu sendikit. Tambahan pula dari semasa ke semasa ada saja media yang memberi pelbagai gambaran negatif termasuklah kekayaan yang dikatakan dimiliki mereka.

Jarang media atau orang awam cuba untuk menelusuri dan memahami apakah yang sebenar di sebalik kegiatan menjaja bebas tersebut. Yang biasa diwara-warakan, kegitan mereka tersebut selalu dikaitkan dengan kegiatan mengemis yang ditegah di bawah Akta 183.

Justeru, sering saja kegiatan ekonomi mereka ini diganggu dan tidak disenangi oleh pihak berkuasa atas alasan penguatkuasaan Akta Orang Papa 1977.

Sebelum saya bincangkan permasalahan penguatkuasaan Akta 183, saya tegaskan di sini hampir kesemua penjaja bebas yang terdiri dari OKU ini bukanlah didalangi oleh sebarang perkumpulan mahupun sindiket.

Apa masalahnya dengan Akta Orang-orang Papa 1977?

Sebagaimana dinyatakan pada permulaan statut, Akta 183 ini bertujuan mengadakan peruntukan bagi menjaga dan memulihkan orang papa dan bagi mengawal kutu rayau.

Sehingga tulisan ini dibuat, saya mencari-cari apakah kami OKU yang melakukan kegiatan menjaja bebas disifatkan sebagai orang-orang papa dan kutu rayau?

Seterusnya dalam seksyen 2 Akta 183, perkataan “mengemis” telah didifinisikan sebagaimana berikut:

“mengemis” ertinya apa-apa kelakuan yang dikira akan mendorong pemberian sedekah, sama ada atau tidak terdapat apa-apa perbuatan, pura-pura bernyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya;

Seimbas lalu, definisi ini amat prejudis dan memberi gambaran serong kepada orang yang memberi apatah lagi kepada orang yang menerima. Apakah terlalu buruk pada seseorang yang mencari rezeki dengan keadaan diri yang dilihat dhaif? Apakah terlalu buruk pada masyarakat yang ingin membantu dengan rezeki yang dilimpahkan kepada mereka yang dirasakan dhaif?

Setiap kali ditanya di Dewan Rakyat oleh mana-mana ahli dewan, jawapan daripada pihak kementerian adalah sama. Akta 183 tidak terkecuali kepada kami, golongan OKU termasuk yang menjalankan kegiatan menjaja bebas. Pada kali ini, saya tidak berminat untuk membincangkan pelbagai lagi kepincangan prosedur tahanan dan amalan yang biasa dilaksanakan di bawah Akta 183.

Cukup buat permulaan kepada makluman umum, Akta 183 sememangnya memberi gambaran yang amat tidak manis kepada kebanyakan OKU yang terpaksa melakukan usaha sebagai penjaja bebas. Dengan kenyataan-kenyataan rasmi setiap kali sidang Dewan Rakyat berkaitan Akta 183, kegusaran yang timbul daripada kenyataan Menteri sebagaimana di atas tetap perlu diberi perhatian.

Dalam pada itu, pada tahun 2010, Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Berkaitan Hak-hak Orang Kurang Upaya, Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD). Dalam beberapa artikelnya terutama artikel-artikel 26, 27 dan 28, negara-negara peserta dikehendaki memastikan setiap OKU mempunyai peluang untuk berkerja atau menjalankan sebarang kegiatan ekonomi yang mampu meletakkan OKU dalam situasi yang selesa dalam kehidupan.

Di peringkat domestik, kita telah mempunyai Akta Orang Kurang Upaya 2008, (Akta 685). Dalam seksyen 29 (1) Akta 2008, ia telah memperuntukkan hak OKU untuk diberi kerja, melakukan aktiviti ekonomi lain termasuklah berniaga dan berkoperasi.

Pekerjaan atau kegiatan sara diri adalah antara isu yang amat kritikal yang sedang didepani oleh OKU sama ada OKU penglihatan atau lain-lain OKU.

Bukti kepada kebimbangan ini dapat diperhatikan apabila kerajaan terpaksa memberi nafas baru kepada Dasar Satu Peratus pekerjaan kepada OKU dalam sektor awam. Ia dibuat pada 1 April 2008 apabila perkeliling baru bilangan 3/2008 yang telah membatalkan pekeliling 10/1988

Difahamkan bahawa pekeliling baru yang memberi penguatkuasaan semula pekeliling 1988 dibuat disebabkan kurangnya pengambilan OKU dalam sektor awam. Umum mengetahui hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mendahului jabatan-jabatan lain dalam pengambilan OKU yang kini telah melebihi daripada satu peratus.

Biarpun peruntukan undang-undang telah ada untuk memberi ruang kerjaya kepada OKU dalam sektor swasta, OKU masih lagi menghadapi cabaran besar mendapatkan pekerjaan meskipun pelbagai insentif ditawarkan kepada majikan yang bersedia mengambil OKU sebagai pekerja. Kini, jalan keluar segera yang difikirkan mampu dilakukan termasuklah menjalankan aktiviti menjaja bebas sebagaimana yang kita bincangkan di atas.

Catatan: artikel ini telah diubahsuai dari penulisan asal oleh penulis yang telah juga diterbitkan sebelumnya di media-media lain.

Sumber HD - 3-7-2014

Cadangan PM menyenangkan bukan penyelesaian

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

INSYA-ALLAH, kebajikan serta keselamatan mereka akan terpelihara." Demikian cetusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebagaimana dipetik daripada Bernama 1 Julai yang menggesa agar ibu-bapa yang mempunyai anak OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM.

Sejak Malaysia merdeka, sememangnya JKM adalah agensi utama yang dipertanggungjawabkan menjaga hal-ehwal OKU. Dengan pelbagai paparan media dan hebahan daripada pimpinan utama, kami warga OKU dan ahli keluarga sering meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada JKM untuk membantu kami keluar daripada cabaran kecacatan yang dialami.

Dengan sebaran kefahaman yang kian meluas ditambah dengan pengetahuan kenegaraan, harapan tersebut tidak lagi seperti dulu. Ada sesuatu yang perlu diperbaiki demi kepentingan OKU pada masa hadapan.

Secara rialiti dan pengalaman yang dilalui oleh kebanyakan OKU dan ahli keluarga, JKM tidak lebih daripada badan yang berfungsi sebagai pengagih bantuan dan sumbangan kepada mereka yang layak. Apakah adil untuk diletakkan atas bahu JKM perihal 4.4 juta OKU dengan bebanan yang telah sedia ditanggung bagi menangani pelbagai kesulitan masyarakat?

Bagi kebanyakan OKU dan ahli keluarga yang sedar, meletakkan segala macam hal-ehwal OKU kepada JKM bukan lagi pendekatan terbaik. Sebagaimana saya tegaskan sejak awal, komitmen Malaysia meratifikasikan Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) sejak 2010 perlu dizahirkan secara nyata agar dapat dirasai oleh seluruh OKU dan ahli keluarga.

Apatah lagi pada 18 November 2012 dalam 21st ASEAN SUMMIT di Phnom Penh, Kemboja, Malaysia turut menjadi ahli kepada Asean Human Right Declaration. Dalam Asean Human Right Declaration, artikel-artikel 2 dan 4 memberi penegasan untuk setiap negara Asean menyediakan prasarana yang secukupnya termasuklah kepada OKU yang dianggarkan 15 peratus dari jumlah populasi.

Terlebih awal dari itu, Malaysia telah pun menggubal dan mewartakan perundangan domestiknya sendiri dalam hal-ehwal OKU pada Julai 2008. Akta Orang Kurang Upaya 2008 adalah suatu janji perundangan kerajaan Malaysia kepada rakyat yang dikatagorikan sebagai OKU.

Sekadar memenuhi saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, apa yang diperoleh dalam kes seperti di Nilai? Pertamanya, adik Firdaus layak untuk diberi bantuan sebanyak RM150 setiap bulan. Manakala penjaganya pula layak untuk diberi elaun atas penjagaan sebanyak RM300 setiap bulan.

Apakah elaun ini sahaja telah mencukupi? Perlu kita sedar OKU seperti adik Firdaus memerlukan pelbagai sokongan utama termasuk ubat-ubatan dan makanan yang sesuai. Ini belum dikira keperluan asas diri seperti cawat dan lain-lainnya.

Tidak cukup dengan itu, sokongan emosi kepada penjaga OKU sebegini amatlah diperlukan. Kalau nak dikira, perhitungannya macam mudah. Dengan kompleksiti kecacatan yang ada pada hari ini, ia tidak seperti yang dijangka oleh ramai pihak.

Saya berpandangan cadangan dari Yang Amat Berhormat Perdana Menteri meskipun menyenangkan namun ia bukan penyelesaian.

Justeru, apakah langkah proaktif yang perlu difikirkan oleh kerajaan dalam hal ini? Satu hakikat yang perlu kita sedar adalah sistem pendidikan kita masih belum mampu melahirkan masyarakat yang cakna dan bersikap empati kepada OKU. Kita masih berada dalam suasana masyarakat yang amat berhati-hati dengan keperluan dan keupayaan OKU yang pelbagai katagori.

Dalam hal ini, usaha advokasi dan penghubung jalin antara pelbagai agensi dan kementerian ke arah pembangunan OKU yang menyeluruh wajip dilakukan. Usaha ini tidak wajar diletakkan atas bahu JKM semata-mata.

Pembangunan OKU bukan lagi didasari simpati bahkan ia adalah suatu hak yang dijamin oleh perundangan dan konvensyen antarabangsa. Jika dihalusi pelbagai saranan dari wakil-wakil pertubuhan OKU, portfolio khusus yang bertanggungjawab kepada jemaah kabinat atau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mesti dirintis.

Melantik seorang senator mewakili OKU di Dewan Negara hanyalah sebahagian daripada langkah yang diperlukan. Dengan cabaran semasa dan kompleksiti isu OKU yang pelbagai kategori, sikap berani kerajaan membuka lembaran baru dalam pembangunan OKU amatlah diharapkan.

Suatu badan rujuk dan advokasi yang diterajui oleh OKU sendiri boleh dimulakan sebagai pelengkap kepada agensi yang sedia ada.

Tentunya apabila kita merujuk kerajaan ia turut meliputi kerajaan di peringkat negeri sama ada yang diterajui Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Dalam mengemukakan cadangan sebegini, kita telah punyai kelompok-kelompok OKU dan mereka yang pakar yang sedia untuk bersama bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “Mesra OKU” pada masa hadapan meskipun cabarannya cukup besar. - HARAKAHDAILY 2/7/2014

Sumber HD - 2-7-2014


Daftar anak OKU di JKM untuk dibantu

NURRUL HUDA AHMAD LUTFI | .
KUALA LUMPUR: Langkah mendaftarkan anak Orang Kurang Upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuka pintu kepada pelbagai peluang bantuan dan sokongan bagi ibu bapa dan penjaga dalam menguruskan anak istimewa mereka.

Ibu bapa dan penjaga juga perlu sedar mereka sebenarnya tidak mempunyai hak untuk mengurung anak OKU secara berterusan seperti yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.

Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia Suhairi Abdullah berkata menerusi pendaftaran itu, pegawai JKM boleh memberi panduan menguruskan anak OKU dengan cara yang betul.

Jelasnya, ia turut membuka peluang untuk mendapatkan bantuan seperti peruntukan bulanan, khidmat kaunseling dan khidmat jagaan bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan bagi memastikan kebajikan anak OKU terjamin.

"Yang paling penting sekarang ini sesiapa yang ada anak OKU, daftarlah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebab mereka akan mendapat macam-macam kemudahan," katanya kepada Bernama.

Pegawai JKM juga mampu memberi kaunseling kepada ibu bapa yang menghadapi tekanan dalam menjaga anak OKU, katanya.

Suhairi menegaskan tindakan mengurung anak OKU secara berterusan atas alasan keselamatan atau kesempitan wang adalah menyalahi undang-undang dan hak asasi
manusia.

"Tindakan ini mungkin dianggap betul tetapi sebenarnya tidak betul. Ibu bapa dan penjaga tidak ada hak mengurung OKU ini secara berterusan. Kalau kurung buat Sementara untuk tujuan keselamatan tidak ada masalah," katanya sambil menambah
doktor boleh memberi nasihat dan rawatan bagi OKU yang agresif.

Pada 21 Jun lepas, negara digemparkan dengan penemuan seorang remaja lelaki OKU, Muhammad Firdaus Dullah (gambar), 15 tahun yang ditemui terabai dalam keadaan fizikalnya kurus kering dengan kesan najis dan air kencing dalam bilik di sebuah rumah flat di Nilai, Negeri Sembilan.

Ini disusuli penemuan seorang wanita OKU, Nasitah Yahya, 44, pada 27 Jun lepas yang dikatakan dikurung di bawah sebuah rumah di Tumpat, Kelantan, sejak lebih 10 tahun, sebelum diselamatkan polis dan JKM Kelantan.

Mengulas kedua-dua kes berkenaan, Presiden Muscleteer Malaysia Mohd Fadzli Fadhilah berkata tekanan akibat kesempitan hidup bukan alasan untuk ibu bapa mengabaikan anak OKU.

Katanya, pengabaian daripada segi mengurung anak atau individu OKU tanpa makanan dan minuman bagi tempoh yang panjang boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan fizikal, emosi dan mental.

Muscleteer Malaysia ialah sebuah kumpulan sokongan untuk pesakit distrofi otot dan 'amyotrophic lateral sclerosis', penyakit yang dihidapi Mohd Fadzli sendiri.

Beliau turut menyarankan ibu bapa meminta pertolongan persatuan penduduk atau wakil rakyat di kawasan masing-masing sebagai orang tengah untuk memudahkan urusan sekiranya tidak tahu prosedur mendaftarkan anak OKU di JKM.

Selain itu, beliau mahu masyarakat bersikap lebih prihatin dengan membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya disyaki berlaku kes pengabaian OKU di kejiranan mereka.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata ibu bapa khususnya ibu tunggal yang merasa tertekan membesarkan anak OKU tidak digalakkan memendam perasaan kerana ia boleh menjurus
kepada gangguan emosi yang serius.

Sebaliknya, mereka harus meluahkan masalah atau tekanan kepada individu yang boleh dipercayai seperti kawan rapat untuk mengurangkan beban perasaan yang ditanggung.

"Kaunselor JKM perlu diberi lebih latihan dalam bidang kaunseling keluarga supaya setiap isu kekeluargaan dapat ditangani dengan lebih fokus dan sistematik," kata Dr Muhammad Muhsin.

Menurutnya, JKM perlu lebih proaktif dengan menambah baik mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa untuk membantu meringankan beban ibu bapa yang mengurus dan membesarkan anak OKU.

Beliau mengakui kadang-kadang ibu bapa berkenaan tidak pun berniat untuk mengabaikan anak OKU tetapi ia mungkin berlaku atas faktor kekurangan
pengetahuan mengenai prosedur yang perlu diambil untuk mendapatkan bantuan.

Dalam soal ini, beliau meminta supaya sebarang peraturan yang dilihat "merumitkan" atau karenah birokrasi yang mungkin wujud, perlu segera diatasi JKM. - Bernama

Sumber HD - 1-7-2014

No proof war on homeless justified

Harakah Investigative Team | .


The recent furore surrounding Muhammad Firdaus Dullah, the 15 year old disabled boy found severely malnourished in Nilai recently, has spurred many to contact the Harakah Investigative Team (HIT) and voice out their concerns.

Readers were worried about the fate of others who might be in a similar plight as Firdaus and wanted HIT to unearth any similar cases and quickly act to prevent it from happening.

Others wanted HIT to do more, and requested that we do a survey of the usual haunts for the needy.

HIT quickly responded June 26 night by deploying a small team to search any particular persons especially children who might be in need of immediate assistance.

The team also brought along with it food packets consisting of rice, fruits and water.

Due to the last minute decision to deploy as it was raining earlier in the evening, food was bought packed from a stall on Jalan Raja Hussein 3 near Chow Kit.

The stall workers, upon hearing the food was destined for the less fortunate, Alhamdulillah, gave more packets than was being paid for.

“Everyone must do their bit to help, including us” a stall worker said.

Suspicious

The first area that we attended to was in the back-alleys of Jalan Raja Laut.

As it was already past 10pm, many residents of the streets were already asleep when we arrived.

However, they quickly woke upon hearing our approach, and though they were suspicious of our intentions at first as our faces were unfamiliar in these areas, they quickly became more trusting as time went by.

Several also came to us, with requests for extra packets of food and drinks, as their friends had fallen asleep or were too tired to walk to get the food themselves.

Many were a helpful lot, giving pointers where their many friends of a similar plight might be found, so that the food packets could also be delivered to them.

Following the tip given, HIT managed to find those in need and some of the areas that the team managed to cover in a three hour trip included Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, areas surrounding the former Klang bus-stand and Jalan Tun Perak.

A food refill stop was also undertaken at the same stall in Chow Kit that we had bought the food earlier, as our first batch of food packets quickly ran out.

Others were there too

Unsurprisingly, we were not alone in our noble efforts that Thursday night, despite the time being way past midnight.

We spotted a number of people distributing boxes of essential items near where the former Klang bus stand stood, and upon enquiring they introduced themselves as from Reach Out.

Reach Out is a registered charity, an NGO and was formed in Kuala Lumpur in April, 2008.

The Reach Out volunteers informed us that oddly for that night, not many people were present at their usual distribution locations.

Upon exchanging pertinent information on suitable distribution locations and schedules, our teams departed, each wishing the other well and that we all keep up the good work.

Reach Out was not the only charity involved in getting food and other necessities to the people on the streets however, our research indicated there were several others notably Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) and Kechara.

Too simplistic

Our near-impromptu mission opened our eyes to many things.

Firstly, Malaysians are a helpful and generous lot, it is just that sometimes they need a gentle push or wake-up call to remind them not all living in Malaysia are as fortunate as them.

Once “awakened”, they would do all they can to help out and spread the message.

Many companies too are assisting these various NGOs with funds and transportation for example.
However, many more are still not aware of how much change they can initiate, if only they had taken part as well.

And not only the fortunate are helpful, those receiving help are also more than willing to help others.

Should a friend or friends of those in need arrive at a location too late to receive the food and other goods for example, those nearby ‘would pool’ what they had received and ensure that the former would not leave empty handed.

Secondly, a statement made by a minister on the issue of the homeless as published by local daily recently was too simplistic in nature.

The minister had claimed that it was misplaced generosity by certain non-government organisations in Malaysia that was making it difficult to tackle the problem of homeless people in this country.

The minister further said the group of homeless people felt pampered by the NGOs which gave them food on the streets.

The same minister had also said early June the government had declared “war” on the homeless found on the streets of Kuala Lumpur and that starting early next month, enforcement agencies will “sweep” the streets clean of all such people.

Her declaration of “war” was heavily criticized by NGOs working on the ground.

“This problem cannot be solved with just one solution. The homeless situation runs much deeper than just a simple ‘sweep’ of the streets,” Pertiwi vice president Munirah Hamid had said, in a report filed by FMT.

“Many of the homeless are people who face serious problems at home and some are suffering mental issues.
“By ‘sweeping’ the homeless off the streets, the government will just cause added isolation on the very people who require some human touch in their lives.

“What they need is care and patience, not forced off the streets,” Munirah reportedly said.

“The Minister does not realise that the homeless and beggars are two different issues. The homeless are people with real social and emotional problems whereas beggars are normally syndicates trying to get money from the people.”

The founder of Pertiwi’s soup kitchen said that the ministry’s solution was too idealistic and that they do not understand the core of the problem.

The Harakah Investigative Team (HIT) is now reachable 24 hours by phone, text or Whatsapp at 018 299 6659.- ES

Sumber HD - 1-7-2014





Patuhi konvensyen antarabangsa, elak kejadian OKU dikurung

CY MOHAMMAD FAIZAL | .
JULAI tahun ini genaplah empat tahun Malaysia meratifikasikan dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu “PBB” iaitu Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD). CRPD adalah satu dokumen antarabangsa yang mengiktiraf dan memperuntukkan hak-hak kepada Orang Kurang Upaya OKU yang pelbagai katagori.

Terdapat beberapa peringkat dalam proses penerimaan sesebuah negara terhadap CRPD. Pertamanya sesebuah negara itu perlulah menandatangani dokumen tersebut, seterusnya meratifikasikannya. Setelah proses tersebut dilalui, sesebuah negara disaran untuk menandatangani dan meratifikasikan pula suatu dokumen yang dinamai “Optional Protocol” atau Protokol Pilihan.

Protokol Pilihan membolehkan rakyat di sesebuah negara yang menggunapakai protokol tersebut membuat aduan kepada pihak jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh PBB sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan perundangan yang dibuat pada peringkat domestik.

Sehingga kini, terdapat 147 negara yang telah meratifikasikan dan meragui (reserve) CRPD, dan 158 negara yang menandatanganinya. Sementara itu terdapat 82 negara yang telah meratifikasikan dan meragui (reserve) Optional Protocol manakala terdapat 92 negara yang menandatangani protokol terlibat.

Mana-mana negara yang meratifikasikan CRPD atau Protokol Pilihan, mereka boleh menggantung iaitu meragui atau (reserve) artikel-artikel tertentu sebelum diratifikasikan sepenuhnya.

Bagi Malaysia, kita hanya meratifikasikan CRPD dengan menggantung beberapa artikel iaitu artikel 15 dan 18. Malaysia masih belum menandatangani Protokol Pilihan sekaligus tidak menjadi ahli kepada Protokol Pilihan tersebut.

Artikel 15 adalah berkaitan tegahan mengenakan sebarang tindakan berbentuk tekanan kekerasan atau kezaliman (sama ada fizikal mahupun mental secara kemanusiaan) terhadap OKU. Manakala artikel 18 adalah peruntukan yang menjamin kebebasan bergerak, dan hak atas kenegeraan. Prinsip-prinsip kesamarataan dan tegahan diskriminasi adalah terpakai kepada kedua-dua artikel tersebut.

Sebagai memperkukuhkan hak-hak OKU yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan memastikan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685), telah tiba masanya penarikan balik kepada penggantungan (reserve) atas artikel-artikel 15 dan 18 dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia. Demikian juga telah tiba masanya Malaysia turut menjadi ahli kepada Protokol Pilihan bagi membuktikan kesungguhan negara memberi perhatian yang cukup sirius kepada pembangunan OKU.

Negara terbaru yang menandatangani dan meratifikasikan Optional Protocol ialah Angola iaitu pada 19 Mei 2014.

Apakah kita tidak mampu menandingi Angola dalam hal-ehwal OKU?

Begitu juga dengan penarikan balik kedua-dua artikel 15 dan 18 oleh pihak kerajaan Malaysia. Pada 19 November 2012, Malaysia telah juga komited kepada Asian Human Right Declearation. Pengisytiharan di peringkat Asian tersebut adalah suatu petunjuk jelas betapa penarikan balik kepada penggantungan terhadap artikel-artikel tersebut suatu yang perlu disegerakan.

Hal ini disebabkan dalam pengisytiharan tersebut, perenggan-perenggan 14, 15, dan 18 adalah perkara yang sama sebagaimana kandungan artikel-artikel 15 dan 18 CRPD. Justeru amat tidak selarai jika di satu peringkat kita bersetuju dan di satu peringkat yang lain kita tidak bersetuju dengan perkara-perkara yang serupa.

Penarikan semula penggantungan terhadap artikel-artikel 15 dan 18 CRPD tentunya akan meletakkan Malaysia pada tahap yang lebih baik dalam rangking kepatuhan kepada hak asasi manusia domestik umumnya dan pembangunan OKU secara khususnya.

Apatah lagi dengan kejadian yang menimpa adik Firdaus di Nilai baru-baru ini, suatu menifestasi bahawa pembangunan OKU perlu memasuki tahap yang lebih bersungguh. Kejadian yang menimpa adik Firdaus bukanlah suatu yang luar biasa dan terpencil. Cabaran yang didepani oleh ibu Firdaus adalah dilema yang menimpa setiap ibu anak OKU di Malaysia.

Masyarakat dan seluruh pimpinan masyarakat perlu sedar bagaimana selama ini individu OKU dan ahli keluarga tidak punyai banyak pilihan untuk mengadu hal dari cabaran hidup yang dihadapi. Rata-rata permasalahan kehidupan yang dilalui sehari-hari dipikul bersendiri tanpa ada yang ambil peduli hinggalah kejadian keterlaluan berlaku sebagaimana dipaparkan.

Pada ruang yang ada, mewakili seluruh warga OKU, saya amat berterima kasih kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang terus-menerus mendokong pembangunan OKU sebagaimana penegasan dalam CRPD dan Akta 685. Selain penganjuran perundingan meja bulat bagi mencadangkan penarikan balik terhadap penggantungan artikel-artikel 15 dan 18, Suhakam terlebih awal dari itu telah pun menyerahkan satu laporan bebas berkaitan pematuhan CRPD di Malaysia kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab.

Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak Suhakam, wajar untuk semua pihak memanfaatkan kekuatan yang ada pada badan bebas ini bagi memastikan hala tuju pembangunan OKU di Malaysia kian kukuh pada masa hadapan. Sebagai seorang warga dalam negara berdaulat, OKU tetap berhak kepada hak-hak asasi manusia yang dijamin oleh perundangan dan perakuan sejagat.

Saya penuh yakin dengan pembabitan kian banyak pihak dalam isu-isu berkaitan OKU, Malaysia mampu menjadi sebuah negara “mesra OKU” pada suatu masa kelak. Dengan penggubalan dasar yang inklusif dan perlaksanaan yang komprehensif, cita-cita tersebut bukanlah suatu yang mustahil.

Kesimpulan kepada catatan ringkas ini, suka saya mengajak sekalian pembaca kepada suatu resolusi yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) baru-baru ini sebagaimana dinyatakan dalam laman web mereka http://www.sbmalaysia.org:

“Justeru, sempena Mesyuarat Agong Dwitahunan edisi ke-10 SBM yang berlangsung pada 21-22 Jun 2014 , dengan kehadiran 488 ahli, kami mendokong resolusi berikut UNTUK DIZAHIR:

i) Kami menyeru seluruh pertubuhan bukan kerajaan yang berteraskan OKU yang berjumlah 110, bersatu suara dengan satu nada untuk kebaikan seluruh OKU yang kini dianggarkan 15 peratus daripada 29.7 juta rakyat Malaysia bersamaan 4.4 juta orang.

ii) Kami juga mengesyorkan agar satu portfolio khusus bagi hal-ehwal OKU yang bertanggungjawab terus kepada Kabinet atau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri diwujudkan bagi menyokong usaha pembangunan OKU yang menyeluruh.

iii) Kami juga menggesa agar parti politik sedia memikirkan langkah-langkah yang sesuai bagi membolehkan penggiat OKU membawa suara OKU terus ke Dewan Rakyat agar isu-isu OKU yang cukup kompleks diketengahkan secara berkesan”.

Sumber HD - 27-6-2014

Aku OKU di Malaysia (2)

CY MOHAMMAD FAIZAL | .

NAJIB tersenyum membaca berita di dada akhbar berkaitan pasangan panda yang dibawa dari Negara China untuk pameran di Malaysia. Terkadang Najib terfikir apakah istimewanya pasangan panda tersebut jika dibandingkan dengan beliau dan rakan-rakan OKU nya yang kadangkala begitu sukar menempuh hidup di negara sendiri.

Dia meletakkan akhbar di tangannya di atas meja sebaik mendengar isyarat dari Tabnya. Dia menatap pesanan whatsapp yang dikirimkan oleh Anita, rakan akrabnya semasa belajar di universiti dulu.

“Saya dah isi borang SPA lepas ke JKM hari tu. Pegawai di JKM tu kata saya perlu ikut prosedur biasa.

Tak mengapalah, usaha selagi terdaya”. Najib membalas whatsapp Anita sebaik habis membaca pesanan kiriman Anita.

Anita sering membantu Najib sepanjang pengajiannya di universiti. Dalam ramai-ramai kawan di kampus, Najib memang rapat dan akrab dengan Anita.

Dengan kecacatan yang ada pada Najib, Anita selamba saja berkawan dengan Najib dan membantunya.

Langsung tidak ada rasa kekok atau tidak senang di wajah Anita setiap kali menemani dan membantu Najib di kampus.

Sebagai seorang manusia biasa, kadangkala Najib ada juga terlintas betapa baiknya gadis yang bernama Anita ini. Namun demi mengejar cita-cita, dia mesti kuat dan tangkis segala macam perasaan yang terlintas.

Ada saja rasa indah yang singgah di hatinya terhadap Anita, segera dipadamkan. “Aku mesti fokus. Sedar keupayaan dan kelemahan diri. Allah tentu maha mengetahui”. Itulah yang sering dibisikkan ke dalam hatinya agar beliau tidak leka diulik perasaan.

Kadangkala memang sukar untuk menangkis perasaan yang datang. Namun Alhamdulillah, berkat doa dan munajat yang sering dipanjatkan ke hadrat Ilahi, Najib akhirnya berjaya melalui liku dan cabaran sebagai seorang siswa OKU.

Lamunan Najib terhenti sebaik beliau mendengar isyarat dari Tabnya. Dia menatap whatsapp dari rakan kampusnya yang seorang OKU penglihatan, Arman.

“Aku dah hantar resume aku untuk temuduga. Adalah lebih kurang 70 alamat aku hantar. Yang aku naik bengang, setiap kali dipanggil temuduga, aku maklumkan yang aku buta. Terus pihak syarikat tu kata “Oh, kita tak ambil orang sakit mata”.

Itu antara tulisan Arman dalam whatsapp yang dikirimkan kepada Najib. “Ha ha ha … aku pun tak tahula Man. Banyak juga resume aku antar. Sedia aje lah apa keadaan pun”. Antara pesanan yang dibalas Najib kepada Arman.

Najib dan Arman saling berbalas whatsapp bertanya khabar masing-masing dari semasa ke semasa. Najib cukup tahu, walaupun buta, Arman cukup cekap menggunakan Iphonenya dan laptopnya.

Kadangkala lucu juga rasanya bila Arman menjadi tempat rujukan rakan-rakan di blok tempat mereka tinggal. Macam tak percaya bila seorang buta menjadi tempat rujukan rakan-rakan biasa apabila ada timbul masalah berkaitan setting Iphone atau laptop.

Tapi itulah kelebihan dan keupayaan yang ada pada Arman, seorang geraduan OKU penglihatan dalam bidang ekonomi dari universiti yang sama.

Sedang dia berbalas whatsapp dengan Arman, terdengar di luar rumah hon dari motor abang posmen. Najib segera menuju ke luar kot-kot ada berita untuknya.

Bersambung….

Sumber HD - 16-6-2014





Sedia pertahankan akidah seorang muslim

CY MOHAMMAD FAIZAL | .

KENYATAAN media bersama yang telah dikeluarkan oleh Zarina Abdullah Majid dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam kemelut baru-baru ini, sesuatu yang perlu diberi sokongan padu oleh seluruh umat Islam. Mempertahankan akidah seseorang individu muslim adalah kewajipan seluruh umat. Ia bukan sekadar terletak atas bahu pihak-pihak tertentu.

Mengembalikan apa yang didepani oleh Zarina kepada Mahkamah Syariah adalah jalan terbaik buat beliau dan kesucian Islam itu sendiri. Jangan dibiarkan kes berkaitan umat Islam dan isu-isu Islam diputuskan oleh mahkamah sivil yang sifat dan nalurinya jauh berbeza dengan perundangan Islam.

Kita telah menyaksikan banyak pertikaian melibatkan umat Islam dan isu syriah yang diputuskan oleh mahkamah sivil menemui jalan buntu. Lebih mendukacitakan, sistem perundangan sivil tentunya bukan tempat atau forum terbaik untuk menampilkan roh Islam yang sebenar.

Apatah lagi isu berkaitan akidah dan status agama seseorang muslim. Hanya mereka yang arif dan cukup ilmu sahaja yang sesuai untuk mendengar sebarang pertikaian. Lebih dari itu, tentulah mereka yang terlibat yang beragama Islam sahaja yang menginginkan seseorang muslim itu kekal dalam Islam selagi hayat dikandung badan.

Bagi kes Zarina, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 “Enakmen 2003” telah memperuntukkan perundangan khusus dalam hal penentuan akidah seseorang individu. Seksyen 61 memberikuasa khusus kepada Mahkamah Tinggi Syariah mendengar dan memutuskan perkara-perkara berkaitan status agama seseorang individu.

Bahkan dalam peruntukan umum Enakmen 2003, seseorang hakim syarie boleh memutuskan apa sahaja yang bersesuaian demi memelihara kesucian Islam dalam bidangkuasa yang diberikan.

Dalam kaedah dan amalan semasa, seseorang yang menghadapi krisis akidah, suatu prosiding yang disebut sebagai istitabah telah tersedia untuk dikuatkuasakan. Dalam prosiding ini, individu terlibat akan diberi kaunseling dan perundingan secukupnya dalam suatu tempoh yang telah ditetapkan.

Bahkan dalam kes-kes yang dihadapi, individu yang berhadapan dengan krisis kepercayaan akidah akan kembali kepada keyakinan dan akidah yang sah. Ia dapat dilakukan apabila individu terbabit berpeluang diberi nasihat dan ilmu-ilmu asas berkaitan Islam dan maklumat-maklumat asas berkaitan agama atau kepercayaan lain sebagai perbandingan.

Sememangnya dalam amalan perundangan syariah hari ini, masih banyak yang boleh diberi penambahbaikan. Bahkan perbezaan antara amalan di negeri-negeri wajar diberi perhatian agar dapat diseragamkan demi mencerminkan keutuhan Islam sebagai agama yang diredhai Allah SWT.

Justeru, krisis yang berlaku pada masa kini perlu diambil iktibar oleh semua pihak agar kepincangan yang kian berleluasa dapat dikurangkan seterusnya dibersihkan pada masa hadapan. Selain itu, wajar untuk setiap umat Islam mengambil tahu selok belok perundangan dan peraturan semasa berkaitan mempertahankan akidah agar kita tidak mudah hilang punca bagi menangani krisis seumpamanya pada masa mendatang.

Sumber HD - 11-6-2014

No comments:

Post a Comment