JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Tuesday, June 10, 2014

PETISYEN PILIHANRAYA


Lajim kekal kerusi Klias, permohonan Isnin ditolak

JOCELYN ANN DRAGON | .
PUTRAJAYA: Ketua pembangkang Sabah Datuk Lajim Ukin kekal menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Klias apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan calon Barisan Nasional (BN) agar keputusan pilihan raya bagi kerusi itu dibatalkan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan panel lima anggota, memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan Isnin Aliasnih tidak mempunyai merit dan oleh itu memerintahkan beliau membayar kos guaman RM20,000 kepada Lajim.

Dalam penghakimannya, Zulkefli berkata Isnin gagal membuktikan bahawa wanita bernama Wong Kui En @ Norliah dilantik sebagai wakil bagi Lajim, yang didakwa mengagihkan wang RM50 dan kupon pada 4 Mei tahun lepas, sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Isnin mendakwa, Norliah yang bertindak sebagai wakil calon bagi Lajim, mengagihkan wang serta kupon berkenaan (yang boleh ditebus untuk mendapatkan wang RM100 sekiranya Lajim memenangi kerusi itu) kepada pemilih di kawasan berkenaan pada PRU-13.

Zulkefli berkata perayu gagal memuaskan hati mahkamah bahawa ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah itu (Lajim) tahu dan merestui perbuatan rasuah Norliah memberi sampul mengandungi wang dan kupon berkenaan.

"Kami berpendapat hakim pilihan raya membuat keputusan betul apabila beliau mendapati perbuatan Norliah pada 4 Mei tahun lepas itu adalah di luar skop tugasnya sebagai wakil calon," katanya.

Beliau berkata apa yang dilakukan Norliah pada 4 Mei tahun lepas itu merupakan perbuatannya secara peribadi, yang dengan tepat disifatkan hakim pilihan raya sebagai “on a frolic of her own”.

Oleh itu, katanya, perbuatan yang didakwa dilakukan Norliah pada 4 Mei tahun lepas dalam menunaikan tugasnya sebagai wakil calon, tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada responden (Lajim).

Lajim memenangi kerusi Klias atas tiket PKR dengan majoriti 179 undi setelah meraih 6,324 undi berbanding Isnin sebanyak 6,145 pada pilihan raya umum 5 Mei.

Isnin memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan apabila Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyennya pada 6 Dis tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Isnin, berkata berikutan implikasi daripada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengkaji untuk meminda undang-undang pilihan raya bagi menjelaskan tentang peranan wakil calon dan wakil pengiraan undi.- Bernama

Sumber HD - 30-6-2014

Kes Mejar Zaidi: Saksi mengaku tak baca laporan polis

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Mejar Zaidi Ahmad hari ini meyaksikan saksi pendakwaan, Laskar Udara Kanan (LUK) Mohd Zunaidy Muchtar diasak peguam pasukan pembelaan, Hanipa Maidin.

Ia bermula dengan keterangan Zunaidy semalam berhubung seorang wanita yang hadir bersama Mejar Zaidi sewaktu membuat laporan polis, yang bercanggah dengan keterangan semasa siasatan.

Hanipa berkata, Zunaidy dalam keterangannya ketika sisasatan mengenal pasti wanita tersebut sebagai isteri kepada Zaidi.

Namun dalam keterangan semalam, Zaidy hanya menyebut sebagai "wanita tidak dikenali", lapor Malaysiakini.

Ekoran bercanggahan itu, Hanipa bertanyakan Zaidi adakah beliau bercakap benar.

Menjawab soalan itu Zunaidy berkata beliau tidak kenal isteri kepada Mejar Zaidi.

Hanipa berkata, sudah tentu pada keterangan itu ada satu yang betul dan satu lagi adalah salah.

Zunaidy bagaimanapun berkata, beliau tetap dengan kenyataan "seorang perempuan tidak dikenali", dan berkata semua kenyataannya adalah betul.

Mengulas laporan polis yang dibuat Mejar Zaidi, Zunaidy mengaku bahawa dia tidak membaca laporan polis tersebut.

Beliau juga mengakui tidak nampak apa-apa keterangan yang menampakkan Mejar Zaidi bercakap pada media "Saya akan buat sidang media".

Ketika ditanya Hanipa, adakah "sidang media" hanyalah anggapan beliau semata-mata, Zunaidy menjawab ia analisis yang dibuatnya sebagai pengintip.

Dalam pada itu, seorang lagi saksi pendakwaan Kapten Norashikin Mohd Azmi memberitahu Mejar Zaidi ditukarkan ke satu jawatan yang tiada dalam rekod pengkalan.

Beliau yang bertugas sebagai pegawai perkhidmatan anggota di Pengkalan Udara Butterworth berkata, pertukaran jawatan dari Pegawai Memerintah No 12 Skuadron kepada penolong pegawai eksekutif pengkalan itu dibuat selepas Mejar Zaidi membuat laporan polis berkenaan dakwat kekal pada 1 Mei 2013. - HARAKAHDAILY 12/6/2014

Sumber HD - 12-6-2014

Kes Mejar Zaidi: Saksi mengaku diarah padam video

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Mejar Zaidi Ahmad hari ini meyaksikan seorang saksi, Sarjan Mohd Khairul Nizam Ishak mengaku diarah untuk memadamkan rakaman sidang akhbar yang dibuat Zaidi di dalam telefon bimbitnya.

Mohd Khairul berkata, beliau bertindak memadam rakaman sidang akhbar Zaidi berhubung dakwat kekal itu selepas diarahkan berbuat demikian oleh Pengarah Jabatan Marsyal Provos TUDM, Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob.

Menjawab soalan peguam bela Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Khairul bagaimanapun tidak bersetuju tindakannya memadamkan bukti rakaman itu adalah satu kesalahan.

Beliau berkata tindakannya itu sebagai mengikut arahan pihak atasan agar ianya tidak tersebar.

Mohd Khairul juga memaklumkan bahawa beliau dengan seorang lagi rakan Mohd Zuradi Muchtar diarah untuk mengekori Zaidi pada 1 Mei tahun lalu itu.

Beliau turut memaklumkan telah mengekori Zaidi membuat laporan polis di balai polis IPD Kepala Batas hari sama.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan, ketika disoal balas, Mohd Khairul juga mengaku isu dakwat kekal tidak berada dalam bidang kuasa pasukan tentera atau mana-mana agensinya.

Beliau juga bersetuju dengan Mohamed Hanipa bahawa tugasan yang diberikan kepadanya pada 1 Mei untuk memerhati Zaidi bukan tugasan rasmi.

Mohd Khairul bersetuju laporan polis dan sidang akhbar yang dibuat oleh Zaidi dan isu dakwat kekal tidak berkait dengan tugas serta tanggungjawab tertuduh di TUDM.

Perbicaran dibuat di hadapan lima hakim diketuai Kolonel Saadon Ahmad.

Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Mahkamah akan bersambung semula esok. - HARAKAHDAILY 11/6/2014

Sumber HD - 11-6-2014



Pertuduhan dipinda, Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Lima daripada tujuh pertuduhan ke atas Mejar Zaidi Ahmad yang sebelum ini diketepikan selepas bantahan awal pembelaan, dipinda dan dibaca sebagai pertuduhan baru hari ini.

Zaidi yang juga Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di Mahkamah TUDM di Sungai Besi pagi ini.

Semua pertuduhan berkait dengan dakwaan beliau memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini, lima pertuduhan yang diketepikan dibuat mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972.

Bagaimanapun kesemua pertuduhan itu hari ini dipinda kepada Seksyen 51 akta sama.

Hari ini mahkamah sepatutnya turut mendengar dua lagi pertuduhan yang tinggal iaitu menghantar SMS berbaur politik ketika PRU13.

Peguam mewakili Zaidi, Mohamed Hanipa Maidin berhujah bahawa adalah tidak adil untuk meminda pertuduhan terhadap anak guamnya apabila lima pertuduhan telah diketepikan sebelum ini.

Sambil menyifatkan ianya satu tindakan prejudis, Hanipa turut memohon semakan kehakiman daripada Mahkamah Tinggi bagi membatalkan tuduhan yang dipinda itu.

Yang Dipertua Mahkamah Kolonel Saadon Hasnan bagaimanapun menangguhkan perbicaraan kepada jam 9 pagi esok selepas pihak pendakwaan memohon masa untuk membuat persiapan akhir.

Selain Saadon, lima lagi anggota mahkamah yang mendengar kes tersebut adalah Lt Kol Zainurin Mohd Dom, Mejar Mohd Khuzairi Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S. Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang dan di Pangkalan Udara Butterworth antara 1 Mei dan 3 Mei 2013.

Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin. - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Sumber HD - 10-6-2014

Perbicaraan kes Mejar Zaidi hari ini

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perbicaraan terhadap pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad atas beberapa pertuduhan berhubung isu dakwat kekal pada Plihan Raya Umum ke-13 (PRU13)lalu, bersambung hari ini.

Bagaimanapun pada perbicaraan 8 April lalu, Mahkamah Tentera menerima lima daripada tujuh bantahan awal pertuduhan kerana didakwa cacat.

Yang Dipertua Mahkamah Kolonel Saadon Hasnan menerima bantahan lima pertuduhan itu dengan alasan ianya tidak mendedahkan kesalahan.

Ia kerana lima pertuduhan itu tidak membawa maksud bahawa Majlis Angkatan Tentera ialah pegawai atasan kepada Mejar Zaidi mengikut Seksyen 2 Akta Angkatan Tentera 1972.

Kesemua bantahan itu diputuskan dirujuk kepada "pihak berkuasa sidang" untuk menentukan semula pertuduhan.

Bagaimanapun, dua pertuduhan lain, iaitu menghantar SMS berbaur politik ketika PRU13, akan kekal didengar.

Meja Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang dan di Pangkalan Udara Butterworth antara 1 Mei dan 3 Mei 2013.

Lima daripada tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 dan dua lagi mengikut Seksyen 51 akta sama, berhubung kesalahan menghantar pesanan SMS berbaur politik dan hasutan.

Pertuduhan berkenaan dijalankan ke atas Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia itu pada 7 Februari lalu.

Selain Zainurin dan Saadon, empat orang lagi ahli mahkamah yang mendengar kes ini adalah Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Mejar Zaidi diwakili barisan peguam Hanipa Maidin, Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin. - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Sumber HD - 10-6-2014

No comments:

Post a Comment