JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Saturday, June 7, 2014

GST - DASAR KERAJAAN BN


S'gor gesa pengecualian GST untuk rumah mampu milik

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor meminta Kerajaan Persekutuan memberi pengecualian dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap bahan-bahan binaan untuk rumah-rumah mampu milik seperti Rumah Selangorku.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata walaupun jika penjualan rumah tidak dikenakan GST tetapi bahan-bahan binaan akan dikenakan GST yang akan meningkatkan kos pembinaan.

Menurut maklumat yang diterima oleh Kerajaan Negeri katanya, bahan-bahan binaan seperti keluli, simen, pasir, batu-bata, jubin dan banyak lagi tidak termasuk dalam pengecualian GST.

"Pemaju mempunyai pilihan sama ada untuk meningkatkan harga jualan atau terpaksa berpuas hati dengan potongan kepada pulangan atau keuntungan mereka.

"Walau bagaimanapun, bagi rumah mampu milik Rumah Selangorku, harga-harga rumah ditetapkan dari RM42,000 hingga RM250,00 berdasarkan kepada keluasan rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, terdapat kemungkinan juga di mana pemaju tidak mahu mengambil potongan kepada pulangan tetapi akan membina rumah dengan kualiti yang lebih rendah.

"Ini sudah tentu tidak adil kepada pembeli-pembeli rumah. Malah lebih merugikan lagi jika pemaju-pemaju tidak mahu membina rumah-rumah mampu milik," jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau menggesa pelaksanaan GST ke atas bahan-bahan binaan perlu dipertimbangkan semula jika harga rumah hendak dikekalkan pada paras yang mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana selain dari memastikan rakyat memiliki kediaman yang berkualiti.

Kerajaan Negeri telah meluluskan polisi rumah mampu milik, Polisi Rumah Selangorku, yang memastikan sejumlah unit kediaman pada projek-projek melebihi keluasan yang ditetapkan dibina rumah-rumah di antara RM42,000 dan RM250,000.

Bilangan ini adalah di antara 30 hingga 40 peratus dan keluasannya adalah melebihi 5 ekar atau 10 ekar bergantung kepada daerah dan mukim.

"Kerajaan Persekutuan juga perlu bersama-sama membantu usaha-usaha agar rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dapat memiliki kediaman yang berkualiti," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/6/2014

Sumber HD - 17-6-2014

GST: Panda, bajet tambahan bukti kerajaan boros

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mendesak agar kerajaan melupakan hasrat untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun hadapan.

Naib ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata, terdapat beberapa faktor yang sangat jelas yang menunjukkan kerajaan masih lagi tidak membuktikan komitmen politik dalam memperbaharui kewangan negara.

"Apa yang berlaku pada minggu lalu, kerajaan meminta Dewan Rakyat untuk meluluskan pembekalan (peruntukan perbelanjaan) tambahan tahun 2014 sebanyak RM4.11 bilion.

"Ini mengulangi tindakan tidak berhemah kerajaan yang merekodkan perbelanjaan tambahan melebihi RM17 bilion pada tahun kewangan 2013," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairil, perbelanjaan tambahan ini ternyata bukan disebabkan perbelanjaan luar jangka sebaliknya disebabkan ketidakpekaan kerajaan dalam mengimbangi prioriti perbelanjaan negara.

Unjuran peruntukan bajet yang dilakukan saban tahun katanya, sewenang-wenangnya dibelanja melebihi had yang diperuntukkan, malah untuk sebahagian perbelanjaan tidak memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh ujarnya, dalam keadaan kerajaan mengurangkan subsidi dan memberi tekanan kepada peningkatan harga barang yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat, kerajaan telah membelanjakan RM20 juta untuk melobi pencalonan Malaysia sebagai Ahli Majlis Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Benarkah Malaysia mampu berperanan dalam isu-isu keselamatan walhal apakah pandirian Malaysia terhadap konflik di Asia Barat, nasib umat Islam di Afrika Selatan, Myanmar dan Syria? Sebenarnya, perbelanjaan ini untuk apa," soalnya.

Beliau turut membangkitkan isu panda gergasi yang menelan kos keseluruhan pemeliharaan menjangkau sehingga RM60 juta.

Ini termasuklah anggaran kos sebanyak RM25 juta yang terpaksa dibelanjakan untuk membina kompleks ‘kediamannya’ di Zoo Negara seluas 1.6 hektar dan anggaran kos sebanyak RM 1.5 juta setahun untuk penjagaannya.

"Walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang merasionalkan projek berkenaan kononnya akan meningkatkan pulangan seperti di negara lain, siapa pula yang bertanggungjawab dengan nasib mereka yang menginap di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berkeluasan hanya 700 kaki persegi dengan harga RM30,000 seunit," soal beliau lagi.

Sementara itu, meskipun kadar inflasi secara keseluruhan mencatatkan 3.4 peratus pada bulan April 2014 iaitu lebih rendah berbanding bulan Disember 2013 dan Mac 2014, namun kadar inflasi bagi sektor pengangkutan, perumahan, utiliti, gas dan bahan api kekal membengkak.

Begitu juga walaupun pelbagai langkah makro diperkenalkan untuk mengekang kenaikan hutang isi rumah yang menokok sehingga 86.8 peratus daripada KDNK, namun hasilannya tidak seperti yang dijangka.

"Selagimana rakyat melarat dengan pergelutan kewangan semasa, dan kerajaan secara sewenangnya berbelanja tanpa mengikut prioriti yang bijak, maka Pemuda PAS Malaysia secara konsisten akan membantah pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan.

"Apalah guna peningkatan hasil sekiranya pemborosan dan ketirisan menjadi amalan kerajaan," tegasnya. - HARAKAHDAILY 17/6/2014

Sumber HD - 17-6-2014




GST: K'jaan perlu utamakan ekonomi rakyat

ABANG AHMAD KARDEE | .
Belum sempat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, sudah banyak telahan dan ramalan bahawa pelaksanaannya mengundang pelbagai masalah seperti kenaikan kadar inflasi negara serta kenaikan harga barangan. Pelbagai pandangan termasuk dari pakar ekonomi bahawa GST akan menyebabkan bebanan lebih kepada rakyat yang menanggungnya.

Antara kebimbangan rakyat adalah kenaikan pada sektor makanan dan minuman. Ia mungkin sukar disekat memandangkan restoran-restoran di seluruh negara turut dikenakan cukai GST sebanyak enam peratus. Restoran-restoran ini akan mengenakan pula bebanan harga kepada pengguna bagi menampung cukai yang mereka tanggung. Dalam soal barangan pula, dijangkakan 70 peratus jenis barangan dan perkhidmatan akan naik harga daripada 40 peratus yang disenaraikan di bawah Indeks Harga Pengguna (IHP).

Kerajaan perlu berterus terang dengan rakyat dengan menjelaskan apakah harga barangan keperluan lainnya tidak meningkat naik. Apakah kesan sebenar GST ke atas harga dan jenis-jenis barangan lain sama ada harganya tetap dan tidak naik, dikecualikan cukai atau dikenakan cukai. Selain itu, amat penting kerajaan menyediakan panduan kepada pengguna mengenai kesan perubahan harga sebenar apabila barang atau perkhidmatan terbabit dikenakan GST.

Kerajaan juga patut menerima pandangan beberapa pakar ekonomi supaya GST dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian serta makanan asas agar tidak menjadi beban pula ke atas pengguna di masa akan datang. Saya juga menyokong penuh cadangan Persatuan Hospital Swasta (APHM) supaya kerajaan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan GST keatas ubat-ubatan, peralatan perubatan dan sumber perkhidmatan luar bagi hospital swasta. Sebarang caj terhadap perkhidmatan dan barangan perubatan akan mengakibatkan kos perubatan akan turut meningkat dan ia akan menjejaskan kehidupan rakyat. Kita tidak mahu pesakit menjadi mangsa dan lebih malang lagi ramai pesakit yang tidak mampu meneruskan rawatan kerana ketidak mampuan mereka.

Dalam soal ini, isu ekonomi rakyat mesti menjadi keutamaan selain pembangunan ekonomi negara. Jaminan kerajaan agar tidak mengenakan GST terhadap keperluan asas amat penting bagi melegakan semua pihak. Kerajaan perlu fikirkan kaedah lain memacu ekonomi negara dengan meletakkan situasi menang-menang, dengan kerajaan mendapat keuntungan manakala rakyat pula tidak kerugian.


*Penulis adalah Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia

Sumber HD - 10-6-2014

Menteri akui GST ke atas petrol, diesel belum diputus

BERNAMA | .


PUTRAJAYA: Kerajaan belum memutuskan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas pembelian petrol dan diesel, kata Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata kemungkinan perkara itu akan diputuskan apabila kerajaan mengumumkan mekanisma baharu rasionalisasi subsidi bahan api tidak lama lagi.

Beliau berkata perkara itu itu perlu menunggu keputusan Kabinet yang juga kini sedang memperhalusi senarai 255 barangan yang mungkin dikecualikan atau dikenakan GST serta mekanisma rasionalisasi subsidi bahan api.

"Jadi saya tidak mahu cakap sama ada minyak akan ada GST atau tidak," katanya pada sesi soal jawab di taklimat GST Media Sosial di sini semalam.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dilaporkan mendakwa harga bahan api itu akan naik selepas pengenalan GST pada April tahun depan.

"Itu hanya spekulasi, tetapi akan ada skim rasionalisasi subsidi bahan api untuk memastikan subsidi yang disalurkan hanya kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Ahmad meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat mengenai pelaksanaan GST dengan melayari laman web Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

GST pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Dalam perkembangan lain, Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata parti itu masih menunggu jawapan daripada surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Yammy Samat, Selasa lalu, kerana didakwa berkempen untuk anak perempuannya, Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan baru-baru ini.

"Surat sudah dihantar...terpulang kepada dia dan bagaimana jika dia menjawab atau tidak menjawab kita akan pertimbang lagi kerana itu prosedur yang ada dalam Umno," katanya. - Bernama

Sumber HD - 7-6-2014

No comments:

Post a Comment