JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Sunday, July 6, 2014

PAS NEGERI KEDAH (JILID 2)

Militan: Mashitah usah merepek

ZULKIFLI YAHAYA | .


PENGERUSI Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Dato' Dr Mashitah Ibrahim mendesak kerajaan menggubal undang-undang bagi memantau kewujudan sekolah pondok yang semakin banyak ditubuhkan tetapi terbabit menyebarkan fahaman ekstremis.

Mashitah berkata, ada pihak yang mendekati pondok untuk mengajak warganya menganggotai pasukan jihad yang boleh membawa kepada perjuangan militan. Katanya lagi, Islam tidak pernah mengajar fahaman ekstremis atau keganasan.

Entah apa merepeknya orang yang diamanahkan Dato' Seri Najib Razak untuk menjaga pondok ini tiba-tiba mengaitkan pondok dengan keganasan. Realiti yang berlaku di negara ini, begitu ramai ektremis datangnya dari sebuah parti politik asobiyah kaumiyah dan beberapa buah NGO yang jadi rakan sekutu mereka. Itu tidak dipedulikan. Pondok pula yang jadi sasaran fitnah jahat di bulan Ramadan ini.

Kumpulan rasis Melayu itu bertindak ganas dalam setiap isu yang melibatkan kononnya penentangan terhadap hak Melayu, Islam dan raja. Mereka paling banyak mengadakan 'himpunan haram' termasuk melakukan provokasi melampau berteraskan semangat rasis seperti mengusung kepala lembu berdarah dan sepanduk yang mengandungi kata nista.

Baru-baru kumpulan pelampau tersebut telah menyerang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang. Mujur tidak ada yang terkorban di sebalik keganasan tersebut. Dalam isu tertentu, ada pemimpin kumpulan pelampau itu yang mengugut untuk memancung kepala pihak yang tidak mereka senangi.

Tetapi oleh kerana kewujudan kumpulan pelampau ini adalah dari tarbiyah dan (mungkin) arahan parti asobiyah kaumiyah yang sedang menerajui negara maka tindakan ekstremis mereka semuanya 'ditanggung halal' belaka.

Usaha pihak tertentu mengaitkan pondok, bahkan PAS dengan kumpulan ekstremis adalah apabila tersebar khabar seorang ahli PAS melepaskan jawatan dalam parti, meninggalkan negara dan pergi mengangkat senjata untuk berperang dengan regim Basyar Assad. Dia pergi bukan atas arahan mahupun pengetahuan pemimpin PAS. Tindakannya secara bersendirian dan ijtihadnya untuk memilih kaedah berperang di negara orang itu pun keputusannya sendiri.

Ramai sangatkah warga pondok yang pergi berjihad di Syria? Pihak berkuasa Malaysia tentu ada maklumat. Tetapi kalau hendak dikata habis lengang pondok di Malaysia kerana warganya pergi berperang, tidak masuk akal. Berdasarkan maklumat yang diterima di alam maya, yang pergi berperang di Syria cuma seorang dari Malaysia, yang merupakan bekas anggota PAS.

Jika cuma seorang, apalah yang hendah dikepohkan sangat oleh Pengerusi Publisiti MCA, Dato' Chai Kim Sen yang meminta pihak polis agar membuat pemeriksaan ke atas semua ahli PAS berhubung isu jihad di Syria. Nampak sangat Pengerusi Publisiti MCA itu hanya mencari publisiti untuk dirinya.

Isu jihad tiada kena mengena dengan MCA. Sukar juga untuk diterangkan konsep jihad kepada pemimpinnya yang aqidah pun tidak betul.

Dalam konteks di Malaysia, PAS memilih berjihad secara 'muwajahah silmiyyah' iaitu perjuangan mendapatkan kuasa melalui cara yang aman. Tegasnya adalah melalui sistem demokrasi. Jika ada yang enggan memilih kaedah yang diguna pakai oleh PAS, tiada masalah. Mereka boleh berada di luar PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan serta memecat mana-mana ahlinya yang terlibat di dalam apa jua bentuk aktiviti yang bertentangan dengan prinsip perjuangan yang didokongi PAS selama ini.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang juga berkali-kali menegaskan bahawa pendekatan politik yang diambil PAS di negara ini adalah secara aman dengan terus terlibat dalam proses pilihan raya dan demokrasi walaupun ianya tempang dan tidak adil.

Berhubung isu di Syria, Presiden PAS juga pernah menghuraikan dengan mendalam situasi yang begitu kompleks di sana. Beliau mengambil sikap berhati-hati dan menjauhi dari memihak kepada mana-mana kumpulan, lantaran tidak mahu menjayakan agenda musuh Islam khususnya Barat untuk memecahbelahkan umat Islam sejagat. Sikap tersebut boleh difahami dengan jelas dalam tulisan mahupun ucapannya.

Keputusan seorang anggota PAS melepaskan kedudukannya dalam PAS sebelum pergi berjihad di Syria adalah tindakan yang tepat kerana dia tiada mengena lagi dengan apa-apa tanggung jawab dalam PAS.

Justeru, penglibatannya tidak perlu dikaitkan dengan PAS untuk tujuan mengaburi mata masyarakat umum bahawa PAS menyokong militan. Elok kerajaan BN mencari isu lain untuk memburukkan pondok atau PAS. - HARAKAHDAILY, 7/7/2014

Sumber HD - 7-7-2014

Pondok militan: Mashitah buat kenyataan 'cari pasal'

AHMAD TARMIZI SULAIMAN | .

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan pemimpin Umno Dr Mashitah Ibrahim berhubung isu militan.

Beliau dalam Berita Harian 30 Jun 2014 (2 Ramadhan 1435 H) telah mengeluar kenyataan perlunya ada undang-undang untuk mengawal pergerakan pondok yang dikatakan berpotensi menghasilkan pengganas militan.

Beliau juga menyatakan tidak ada undang-undang tegas termasuk di bawah kerajaan negeri untuk mengawal pergerakan pondok yang banyak diwujudkan tetapi ada kalanya untuk kepentingan pribadi.

Kata beliau juga, ada pihak yang cuba mendekati warga pondok bagi menarik mereka menganggotai pasukan‘jihad’yang dibimbangi boleh mempengaruhi mereka bagi menyertai pergerakan ala militan.

Kenyataan melulu Dr Mashitah ini boleh dianggap sebagai ‘kenyataan cari pasal’ yang bakal memusnahkan usaha kerajaan BN untuk berbaik-baik dengan institusi tua ini selepas institusi ini diburukkan serta dipinggir teruk pada zaman pentadbiran Tun Mahathir dahulu.

Apa yang dituduh oleh Dr Mashitah ini adalah fitnah yang sangat besar, yang beliau sendiri tidak boleh mengemukakan bukti dengan cara yang lengkap.

Mungkinkah kenyataan Dr Mashitah ini sebagai tanda kemarahan beliau terhadap institusi pondok yang pernah menempelak tindakan beliau menyenaraikan 28 pondok di bawah Yayasan beliau itu.

Majlis Guru Pondok yang dianggotai 28 pondok pengajian Islam di Kedah tahun 2010 pernah sebulat suara menolak penyertaan mereka ke dalam Yayasan Pembangunan Pondok 1 Malaysia (YPP1M) yang dilancarkan beliau ketika itu.

Semua anggotanya tidak pernah memberi sebarang persetujuan berkaitan penyertaan ke dalam YPP1M, dan para guru pondok faham penubuhan badan itu adalah bertujuan politik memandangkan tiada 'track record' baik kerajaan Umno terhadap institusi pondok.

Kerajaan BN yang tunduk taat dengan White House sanggaup bermatian melanggar sesiapa sahaja atas nama militan sedangkan kumpulan kongsi gelap yang mengganas dalam negara dibiar berleluasa.

Dengan berkempen senada dengan White House, kerajaan BN boleh melabel sesiapa sahaja sebagai militan termasuk anak-anak melayu Islam di pondok-pondok.

Bekas senator itu juga jangan lupa, datuk kepada Tun Abdullah Badawi juga merupakan pejuang institusi pengajian cara pondok malah beliau telah berusaha mengislamkan pentadbiran Umno sehinggakan beliau menegur dalam hal menghalalkan judi pada tahun 1950an dahulu.

Akhbar Utusan Melayu bertarikh 1951, menyiarkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang, iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim bahawa judi loteri adalah haram.

Pada 1951 fatwa loteri haram telah dikeluarkan, tapi pada tahun 1953 loteri tetap dijadikan sumber ekonomi lagi.

Tokoh ulama berprinsip ini telah mengasaskan pondok di Pulau Pinang dan kekal sehingga kini.

Pemuda PAS Kedah juga menyokong kenyataan Ustaz Ahmad Yahya yang juga Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa) iaitu penyebaran fahaman ekstremis adalah satu isu berbeza yang tiada kaitan dengan fahaman sekolah pondok, dan ia perlu ditangani pihak berkuasa secara telus serta yakin mereka berkeupayaan memantau isu berkenaan.

Pemuda PAS Kedah bersepakat untuk mengambil saranan Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin iaitu tiada istilah militan atau pengganas ke atas orang Islam yang mempertahankan saudara Islamnya.

Pandangan Dr Mashitah mengenai jihad perlu diperbetulkan selain menilai sekolah pondok secara fakta.

*Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah

Sumber HD - 6-7-2014

No comments:

Post a Comment