JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Friday, June 13, 2014

NEGARA JIRAN : INDONESIA


Jokowi-Jusuf Kalla belum ada senarai kabinet

BERNAMA | .

JAKARTA: Calon presiden dan naib presiden, Joko Widodo (Jokowi)-Jusuf Kalla (JK) belum memiliki senarai nama individu yang bakal mengisi kabinet akan datang.

Ketua Pasukan Pemenang Jokowi-JK, Tjahjo Kumolo berkata pihaknya kini fokus agar kedua-dua pemimpin berkenaan memenangi Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai depan.

"Belum ada (nama dalam kabinet). Atas nama Jokowi-JK, kita sepakat untuk tidak terpancing dengan kempen hitam, manipulasi dan hal-hal bohong. Saya yakin masyarakat tahu sikap beliau jujur dan terbuka," kata Tjahjo di sini, Ahad.

Beliau mengulas desakan pihak tertentu agar calon presiden dan naib presiden mengumumkan kabinet bayangan masing-masing, jika terpilih dalam Pemilu Presiden itu.

Langkah itu diyakini pihak tertentu dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai percaturan calon presiden dan naib presiden jika terpilih kelak.

Tjahjo berkata Jokowi-JK tidak ingin tergesa-gesa dalam menentukan susunan kabinet, sebaliknya hanya berbuat demikian setelah menang pada Pemilu Presiden itu.

Katanya Jokowi-JK ingin pemerintahan mereka nanti diisi oleh menteri-menteri yang memiliki kemampuan, berintegriti dan 'boleh mendengar denyutan nadi rakyat'. - Bernama

Sumber HD - 30-6-2014

Calon Presiden tidak mahu wanita Indonesia melacur

ELMI RIZAL ALIAS | .

JAKARTA: Prihatin terhadap nasib golongan wanita warga Indonesia yang terpaksa bekerja di luar negeri bagi mencari nafkah, calon presiden Prabowo Subianto (gambar) berjanji untuk mengubah keadaan itu.

Malah pemimpin politik dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) itu sedih kerana ada yang mencari rezeki dengan cara tidak halal.

Justeru, Prabowo berkata jika beliau dan pasangannya, Hatta Rajasa, terpilih dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden 9 Julai depan, usaha akan dilakukan agar golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kami tidak mahu perempuan Indonesia jadi pelacur di luar negeri. Kami tidak mahu perempuan Indonesia diperkosa. Kami tidak mahu perempuan kita jadi tukang sapu di negara lain," katanya ketika berkempen di Boyolali, Jawa Tengah pada Khamis.

Prabowo berkata keadaan itu seolah-olah memperlihatkan Indonesia sebagai sebuah negara yang tidak bermaruah.

Pada masa depan, beliau bertekad memperluas peluang pekerjaan serta memperbaiki kesejahteraan rakyat sekali gus mereka tidak perlu mencari nafkah di negara lain.

"Kami ingin ibu-ibu kami, perempuan kami, hidup bahagia. Kami ingin anak-anak gembira. Kami ingin menjadi negara terhormat. Kami ingin anak muda mempunyai pekerjaan yang baik," katanya.

Prabowo yakin mampu mewujudkan situasi yang hormani itu kerana selama ini, kekayaan negara tidak diguna dan dimanfaat dengan sebaiknya.

"Kami tidak mahu guru-guru kita, selesai mengajar (di sekolah) menjadi tukang ojek (bawa penumpang menggunakan motosikal).

"Kalau masih ada orang miskin di Indonesia, anaknya tidak boleh miskin terus. Hal ini boleh kita lakukan kerana kita mempunyai kekayaan, tetapi kekayaan kita diambil terus oleh orang lain," katanya. - Bernama

Sumber HD - 27-6-2014

Jangan fikir orang kurus penakut - Jokowi

BERNAMA | .
JAKARTA: Calon presiden, Joko Widodo atau Jokowi (gambar) menegaskan beliau tidak akan berdiam diri lagi terhadap pelbagai isu negatif yang dikaitkan dengan dirinya.

Pemimpin Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu berkata beliau sebaliknya akan membalas segala tohmahan itu.

Setakat ini, katanya beliau telah mengenal pasti 23 isu yang menyerangnya menjelang Pemilihan Umum Presiden pada 9 Julai depan.

"Mentang-mentang saya kurus, jangan fikir saya penakut. Ya, belum tahu siapa saya," katanya disambut tepukan gemuruh penyokongnya ketika berkempen di daerah Kubu Raya, Kalimantan Barat pada Isnin.

Dalam pada itu, Jokowi bersyukur kerana tiada fitnah disebarkan mengenai dirinya di daerah Kubu Raya.

Justeru itu, beliau meminta masyarakat di kawasan berkenaan supaya tidak mempercayai berita yang tersebar mengenai dirinya. - Bernama

Sumber HD - 24-6-2014

Populariti Prabowo-Hatta meningkat

Elmi Rizal Alias | .

JAKARTA: Populariti pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden bulan depan, terus meningkat walaupun kedua-dua tokoh berkenaan dikaitkan dengan pelbagai isu negatif, menurut tinjauan beberapa badan kaji selidik Indonesia.

Hasil tinjauan yang dikumpul Nurjaman Center for Indonesian Democracy (NCID) daripada kaji selidik yang dilakukan Survey Focus Indonesia (FSI), Survey and Polling Indonesia (SPIN) dan Indonesia Survey Institute (LSI), menunjukkan bahawa kredibiliti Prabowo-Hatta semakin unggul.

Pengarah Eksekutif NCID, Jajat Nurjaman berkata populariti Prabowo-Hatta yang dinamakan calon presiden dan naib presiden pada Pemilu itu oleh pakatan yang diketuai Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) meningkat berikutan pasukan kempen Joko Widodo atau Jokowi-Jusuf Kalla dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), sering memburuk-burukkan pasangan berkenaan.

"Masyarakat mulai bosan dengan gaya kempen yang dilakukan pasukan pasangan Jokowi dan Jusuf Kalla serta cara mereka yang cenderung memburukkan pasukan lain menerusi satu isu sahaja," kata Jajat kepada pemberita, Khamis.

Hasil kaji selidik FSI menunjukkan Prabowo-Hatta unggul dengan 45.7 peratus sedangkan Jokowi-Jusuf memperoleh 45.2 peratus, manakala keputusan tinjauan SPIN memperlihatkan Prabowo-Hatta memperoleh 44.9 peratus sementara Jokowi-Jusuf 40.1 peratus.

Berdasarkan tinjauan LSI pula, populariti Prabowo-Hatta unggul di wilayah Banten dan Jakarta apabila memperoleh 35 peratus manakala Jokowi-Jusuf meraih 26.25 peratus.

Dalam tinjauan lain yang juga dianalisis oleh NCID, iaitu daripada kaji selidik yang dilakukan Populi Center dan United Data Center (PDB), pasangan Jokowi-Jusuf lebih menyerlah.

Kaji selidik yang dilakukan Populi Center mencatatkan bahawa Jokowi-Jusuf memperoleh 47.5 peratus, sedangkan Prabowo-Hatta 36.9 peratus.

Gandingan Jokowi-Jusuf mendapat 32.2 peratus sementara Prabowo-Hatta mencatat 26.5 peratus daripada tinjauan yang dilakukan oleh PDB.

Pemilu Presiden bagi penggal 2014-2019, akan berlangsung pada 9 Julai ini. - Bernama

Sumber HD - 13-6-2014

No comments:

Post a Comment