JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Sunday, June 8, 2014

PEMUDA PAS MALAYSIA


Tidak semua secekal jiwa Intan

ARIF ATAN | .

Noratikah menyuapkan nasi ke mulut datuknya ketika berbuka puasa di kediaman mereka di Felda Jengka 20.

ZAMAN kanak-kanak Noratikah Yusof di Felda Jengka 20, Pahang riang apabila datuk tempat menumpang kasih menghantarnya ke sekolah.

Namun sejak Julai 2012 lalu, tiba giliran Noratikah, 23, yang mesra dipanggil sebagai Intan pula menjaga makan dan minum Din Awang Kassim, 72.

Penyakit strok dialami datuknya menyebabkan Intan mengambil tanggung jawab untuk memberi sepenuh perhatian untuk menjaga bekas peneroka Felda Jengka generasi pertama itu.

Lebih berat bahu Intan yang memikul apabila turut menjaga ibunya, Rohani Din, 42, serta dua ibu saudaranya iaitu Norzaiha Din, 35, dan Norazlawati Din, 30.

Mereka bertiga tidak mampu menguruskan diri akibat diserang penyakit saraf. Semua perkara dilakukan dengan kudrat tenaga Intan beserta bantuan tiga adiknya dan sepupu yang juga tinggal serumah.

Mengangkat datuk ke tandas dan menukarkan kain lampin pakai buang ibu saudaranya antara rutin yang perlu mereka lakukan.

Berat mata memandang bagi rombongan Pemuda PAS dan Harakah ketika menziarahi keluarga yang menempuh ujian Allah yang hebat ini pastinya tidak sama beban yang mereka hadapi.

Intan sendiri mengambil keputusan yang tidak calang-calang mampu dilakukan oleh anak muda seusia dengannya yang sedang mengejar cita-cita.

Pengorbanannya untuk menjaga ahli keluarga menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan pengajian selama tiga semester sebelum pasrah menerima tindakan pihak universiti menamatkan pengajiannya.

Akibatnya, hajat Intan untuk menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok di Kedah tidak kesampaian.

Kunjungan diketuai Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kai'at serta Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman menjelang waktu iftar pada hari kedua puasa, 30 Jun lalu menyaksikan makna pengorbanan sebenar yang tidak ramai mudah ditempuhi orang lain.

Lebih mengharukan, apabila Intan turut membesarkan dua adiknya yang sedang menuntut di sekolah menengah serta anak saudara berusia hampir dua tahun.

"Dari surat khabarkah? Tak mengapalah. Saya tak mahu dilihat macam meminta belas simpati. Saya masih boleh buat semuanya sendiri," ujar Intan sebaik saya bertanyakan butiran nama ahli keluarganya.

Reaksi spontan Intan yang mulanya berat untuk ditanya lanjut oleh Harakah cerminan dirinya yang berjiwa besar tidak mengharapkan ganjaran atas tenaga dicurahkannya apa lagi meraih simpati orang ramai.

Namun, pastinya kita sebagai masyarakat yang prihatin ditambah mengambil peluang memanfaatkan kebaikan di bulan mulia ini tidak hanya sekadar bersimpati kosong.

Sehubungan itu, sumbangan ikhlas pembaca Harakah boleh disalurkan terus melalui akaun Maybank 5640 2540 0414 atas nama "Tabung Rakyat Prihatin".

Ini memandangkan bantuan diperoleh keluarga itu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak mencukupi bagi menampung kos perbelanjaan harian dan perubatan yang kian meningkat.

Sementara itu, Suhaizan Kai'at menyeru pembabitan kerjasama jabatan atau agensi kerajaan dan swasta membantu meringankan beban keluarga terbabit terutama dari segi lawatan pegawai perubatan secara berkala.

"Ibu Intan yang menghidap penyakit saraf serta dua ibu saudaranya yang tinggal di kediaman sama juga perlukan penjagaan bersama daripada pembantu rumah.

"Aspek pendidikan sempurna pula mesti kita beri penekanan memandangkan adik-beradik dan sepupunya yang masih di bangku sekolah selain anak kecil berusia satu tahun yang mesti dipastikan mendapat pendidikan sempurna dan makanan berkhasiat," ujarnya kepada Harakah di rumah keluarga terbabit di Felda Jengka 20.

Menurut Suhaizan, pembantu rumah juga diperlukan bagi menjaga mereka yang sakit manakala Noratikah atau dikenali sebagai Intan harus menyambung pengajian tingginya.

'Gaji pembantu rumah saya cadangkan dapat ditanggung mana-mana pihak swasta atas dasar tanggungjawab sosial korporat mahupun daripada pihak kerajaan juga," katanya lagi.

Sepetang Harakah bersama pimpinan Pemuda PAS Pusat serta negeri Pahang juga menyaksikan kehadiran tanda cakna Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Nasaei Ismail; Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Roslan Mat Esa.

Turut hadir Ketua Pemuda Kawasan Kuala Krau, Syafie Mat Esa; Timbalan Presiden Anak Pusat, Aris Fezol Ismail dan Ketua Cawangan Jengka 20, Yusuf Abdullah.

Semua ahli rombongan termasuk anggota Unit Amal Kawasan Kuala Krau berbuka puasa bersama keluarga terbabit dengan hidangan nasi Arab berlaukkan kambing dan ayam istimewa masakan isteri Ahmad Lutfi.

Menunaikan solat Maghrib berjemaah di perkarangan rumah keluarga terbabit seusai berbuka puasa mencelikkan kita masih ramai anggota masyarakat hari ini ditimpa kepayahan untuk menempuh kehidupan yang memerlukan bantuan dan sokongan kita bersama. - HARAKAHDAILY, 7/7/2014


Rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Harakah bergambar ramai di hadapan kediaman Noratikah dan keluarga.

Sumber HD - 7-7-2014

Pemuda PAS desak daftar pengundi automatik

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mendesak kerajaan melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik bagi warga negara yang mencapai umur 21 tahun.

Menurut Ketuanya Suhaizan Kaiat, pelaksanaan ini sekali gus menggalakkan rakyat negara ini untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Malah katanya, ianya juga selaras dengan sistem demokrasi yang digunapakai dalam negara ini melalui pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali.

"Kerajaan kena buat pindaan perlembagaan dalam parlimen iaitu mereka yang mengundi adalah mereka yang menjadi pengundi yang sah dalam daftar pemilih," katanya dalam sidang media hari ini.

Dengan kaedah ini, katanya ia telah mengurangkan beban di peringkat kerajaan kerana maklumat pengundi diselaraskan di semua peringkat.

Beliau juga menolak kononya kerajaan enggan melaksanakan sistem ini kerana bimbang golongan muda yang keluar mengundi memihak kepada pembangkang.

"Itu tidak menjadi sebab utama, kerana ramai juga orang muda dalam pilihan raya umum lepas memihak kepada kerajaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya tidak perlu bimbang tentang peratusan keluar mengundi berkurangan sebaliknya perlu melihat sistem ini dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

"Sekarang kita hendak pentingkan peratus yang keluar mengundi atau rakyat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan kemudahan untuk rakyat menjalankan tugas mereka?" katanya.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia melancarkan Auto21 (Pemilih Automatik Usia 21 tahun) di hadapan Kompleks Sogo pada petang ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang Dewan Negara 30 Jun lalu, memberitahu kerajaan masih mengkaji cadangan pendaftyaran secara automnatik ini.

Katanya, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah Perkara 119 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan adanya daftar pemilih.

Katanya, antara yang perkara yang perlu dipertimbang ialah Perkara 119 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan adanya daftar pemilih. – HARAKAHDAILY 5/7/2014

Sumber HD - 5-7-2014


Mahasiswa: Gantung prosiding tatatertib sehingga undang-undang dipinda

NOORAZMIR ZAKARIA | .
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) memandang serius siri tindakan keras yang diambil oleh pihak berkuasa tatatertib di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mutakhir ini mengenakan pertuduhan bermotifkan politik tatatertib ke atas pemimpin dan aktivis mahasiswa.

Bagi mahasiswa UM, UMS dan kesemua IPTA lain kecuali UiTM, kes-kes tatatartib adalah dibicarakan di bawah kaedah-kaedah tatatertib pelajar di setiap IPTA terbabit yang digubal berdasarkan Seksyen 16C Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Manakala bagi UiTM, kaedah tatatertib yang digunakan adalah digubal di bawah Seksyen 6 Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174)

Merujuk kepada perkara di atas, JUHAM dengan ini mendesak Kementerian Pendidikan dan pengurusan kesemua IPTA supaya menggantung kesemua prosiding tatatertib yang sedang berjalan ke atas mahasiswa-mahasiswa sehingga suatu pindaan besar-besaran di buat ke atas kesemua kaedah-kaedah tataertib yang digunapakai dan juga peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan tatartib pelajar samada di dalam AUKU atau di dalam Akta 174. Ini adalah kerana JUHAM berpandangan prosedur tatatertib yang digunapakai di semua IPTA sekarang bersifat menindas, berat sebelah dan tidak dapat menjamin keadilan kepada para mahasiswa.

Di antara perkara-perkara penting yang perlu diperbetulkan di dalam undang-undang yang berkait dengan tatatetib mahasiswa ialah seperti berikut :

a) Di dalam kaedah-kaedah tatatertib pelajar yang diguna pakai di kesemua IPTA di negara ini dan juga praktis yang menjadi amalan kebanyakan IPTA, bidangkuasa berkenaan dengan hal ehwal tatatertib dan disiplin pelajar IPTA adalah diwakilkan oleh Naib Canselor sesebuah IPTA kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang kemudiannya akan membentuk Jawatankuasa Tatatertib Universiti/Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar. Merujuk kepada AUKU dan juga kaedah tatatertib pelajar, kuasa jawatankuasa tatatertib adalah amat luas dengan meliputi kuasa untuk:

i) menyiasat;
ii) menjalankan pendakwaan;
iii) mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut, dan
iv) membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman sekiranya pelajar yang dituduh itu di dapati bersalah.

Perkara ini amatlah bertentangan dengan kaedah rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semulajadi (rules of natural justice) yang mesti dipatuhi oleh mana-mana adjudicatory body termasuklah mahkamah atau pun mana-mana tribunal dan lembaga tatatertib. Tidak ada jaminan pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib akan mendapat perbicaraan yang adil oleh kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib tersebut adalah terdiri daripada orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukkan di bawah AUKU dan Kaedah Tatatertib. Oleh itu, JUHAM mendesak agar peruntukan di dalam AUKU dan Kaedah Tatatertib ini dipinda supaya kuasa-kuasa yang disebutkan di atas dijalankan oleh pihak yang berbeza bagi menjamin keadilan ke atas pelajar yang dituduh.

b). Perbicaraan di hadapan jawatankuasa Tataertib banyak melibatkan soal teknikaliti undang-undang. Namun, tidak terdapat pun sebarang peruntukan samada di dalam AUKU, Akta 174 mahupun Kaedah Tatatertib Pelajar-Pelajar yang memberikan hak kepada pelajar yang didakwa di hadapan Jawatankuasa Tatatertib untuk mendapatkan khidmat seorang Peguambela dan Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang jika di dakwa di atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh Peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000. Ini adalah suatu diskriminasi yang bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak samarata di sisi undang-undang.

Manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam pilihan sendiri (right to counsel) pula adalah bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. JUHAM berpendirian AUKU dan juga Kaedah Tatatertib Pelajar perlu dipinda bagi membolehkan seseorang pelajar yang dituduh di atas suatu kesalahan tatatertib untuk diwakili peguam pilihannya sendiri. Dalam keadaan hukuman yang boleh dijatuhkan di dalam prosiding tataertib boleh membawa hukuman maksimum dipecat dari universiti, maka sewajibnya para pelajar yang dituduh di hadapan jawatankuasa tatatertib diberikan hak untuk diwakili oleh peguam.

c). Berdasarkan kepada kaedah tatatertib pelajar, peruntukan di dalamnya hanya menyatakan jenis-jenis kesalahan tatatertib tetapi tidak menyatakan secara spesifik hukuman bagi setiap kesalahan tersebut. Tetapi terdapat satu peruntukan yang menyatakan mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib boleh dikenakan mana-mana satu atau gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai yang berikut : a) amaran; b) denda; c) dilarang dari mana-mana bahagian atau bahagian-bahagian tertentu Universiti bagi tempoh yang ditetapkan; d) digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi tempoh yang ditetapkan; e) dipecat dari universiti. Apa yang menjadi masalah, peruntukan ini adalah umum dan ianya tidak menentukan urutan hukuman yang mesti diikuti.

Bentuk hukuman yang hendak dijatuhkan adalah berdasarkan kepada budibicara jawatankuasa tatatertib tanpa dipandu oleh apa-apa garis panduan tertentu. Oleh sebab itu soal proportionality (kesetimpalan) hukuman juga boleh dipertikaikan di mana di dalam beberapa kes, terdapat pelajar yang terus dikenakan hukuman dipecat dari universiti meskipun didapati bersalah melakukan kesalahan kali pertama dan kesalahan tersebut bukanlah kesalahan yang serius. Di dalam hal ini JUHAM mencadangkan agar peruntukan sebegini dipinda dan diadakan semacam suatu peruntukan lain yang spesifik tentang hukuman yang sepatutnya dijatuhkan agar ianya setimpal denga kesalahan yang dilakukan.

JUHAM berpendirian sehingga perkara-perkara yang membabitkan soal undang-undang ini diperbaiki dan dipinda bagi memberikan keadilan kepada mahasiswa, Kementerian Pendidikan dan pihak pengurusan IPTA perlu menggantung serta merta sebarang prosiding tatatertib yang sedang berjalan. JUHAM akan mengadakan sesi perjumpaan dengan para mahasiswa bagi menjelaskan perkara ini bagi membangkitkan kesedaran di kalangan mereka berkaitan dengan hak mereka untuk mendapatkan suatu undang-undang tatatertib yang adil.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Undang-Undang &Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sumber HD - 5-7-2014

Ada pihak cuba kaitkan PAS dengan militan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendapat maklumat ada pihak tertentu cuba memainkan isu militan ketika ini bagi mengaitkannya dengan PAS.

Ketuanya Suhaizan Kaiat percaya, perancangan pihak berkenaan adalah untuk menghalang kepercayaan orang bukan Islam kepada PAS, khususnya.

"Ini merupakan perncangan jahat, dan kita baru dapat maklumat itu hari ini. Kita percaya isu ini untuk mencemarkan imej PAS," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat negara ini jangan mudah mempercayai isu ini yang sengaja diciptakan untuk mengaitkan PAS dengan militan.

"Ini adalah tindakan terancang untuk dikaitkan dengan PAS dan mahu menakut-nakutkan rakyat negara ini mendekati PAS. Jangan terpengaruh dengan perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta mana-mana pihak tidak melabelkan institusi pondok sebagai tempat untuk gerakan ekstrem dan militan.

Malah katanya, institusi pondok seharusnya mendapat perhatian daripada bukannya mendapat cemuhan oleh mana-mana pihak baik pun kerajaan.

"Janganlah terlalu curiga dengan institusi pondok yang banyak melahirkan generasi berilmu dan akhlak, malah ramai ulama-ulama hari ini adalah hasil daripada pondok," katanya. - HARAKAHDAILY 5/7/2014

Sumber HD - 5-7-2014




Pemuda PAS turun akar umbi selami kedaifan hidup

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia pada 24 Jun lalu telah melancarkan Dana Rahmat Ramadan bagi mengimarahkan ketibaan bulan mulia penuh keberkatan ini.

Pelancaran yang disempurnakan ketuanya, Suhaizan Kaiat di pejabat Jabatan Pengarang Harakah menyaksikan kerjasama baik dengan akhbar lidah rasmi parti itu.

Suhaizan berkata, selain sumbangan, pihaknya bersama Harakah juga akan menyantuni golongan miskin dengan mengadakan ibadah berbuka puasa di kediaman mereka untuk merasai keperitan hidup yang dihadapi.

"Sepanjang pemerhatian saya, terdapat kediaman yang cukup sukar untuk dinamakan sebagai rumah kerana kedaifan dari segi keselamatan dan kemudahan seperti api serta air yang bersih.

"Oleh itu, tujuan kita berbuka puasa di rumah golongan miskin itu untuk merasai sendiri keperitan mereka berbuka puasa dengan apa sahaja yang ada di dapur," ujarnya sambil menjelaskan beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti untuk dikunjungi semasa Ramadan ini.

Untuk permulaan, jelasnya, beberapa rumah orang miskin di Johor akan dijadikan tempat berbuka puasa sebelum diadakan di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, kata Suhaizan, golongan sasaran yang turut sama diberikan perhatian adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

Beliau menjelaskan, jika dilihat secara rambang, ternyata golongan tersebut masih jauh dibelakang daripada menikmati hak mereka yang sepatutnya disediakan dengan sempurna oleh kerajaan.

"Bahkan sudah banyak kes yang kita dengar tentang kesukaran mereka dapatkan bantuan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," kata Suhaizan.

"Antara ziarah awal kami ialah keluarga OKU di Jengka 20, Pahang. Keluarga berkenaan amat perlu dibantu dan bebanan mereka diringani," ujarnya.

Sementara itu, menurut Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Nasaei Ismail, masyarakat umum dialu-alukan untuk menyalurkan sumbangan supaya dapat diagihkan kepada golongan memerlukan.

Katanya, sumbangan yang akan diperoleh dapat disampaikan kepada mereka seperti pesakit kronik, fakir miskin, mahasiswa dan mereka yang kurang upaya.

"Sumbangan orang ramai yang prihatin setidak-tidaknya berupaya meringankan beban kewangan golongan sasaran terbabit di seluruh negara.

"Mengambil peluang keberkatan bulan Ramadan ini diharap Dana Rahmat Ramadan membolehkan mereka yang kurang bernasib baik dapat menjalani ibadah puasa seterusnya meraikan Syawal dengan gembira," tambah Nasaei.

Sumbangan wang tunai boleh disalurkan terus ke dalam akaun Maybank 5640 2540 0414 atas nama Tabung Rakyat Prihatin.

Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman memberi jaminan pihaknya akan membuat liputan terbaik, terutama untuk menyemai kesedaran masyarakat keperluan untuk terus menyumbang kepada golongan yang begitu memerlukan.

"Masyarakat Malaysia terbukti begitu pemurah dan dermawan sifatnya. Tradisi yang baik ini bertambah subur setiap kali Ramadan tiba. Semoga ia tambah menyerlah tahun ini," ujarnya. - HARAKAHDAILY, 4/7/2014

Sumber HD - 4-7-2014

Penggambaran “Naked And Afraid”: JK-Puspal tidak berfungsi

AFNAN HAMIMI | .

KETIKA pembikin filem tempatan sibuk mengutarakan isu memperkenalkan budaya serta identiti Malaysia ke seluruh dunia menerusi filem, Malaysia sebenarnya sudah berada di hati segelintir pembikin filem dunia.

Jika bukan atas dasar impak dan kualiti daripada filem buah tangan anak Malaysia, setidak-tidaknya pemilihan Malaysia sebagai latar perfileman antarabangsa, sudah cukup untuk menyuntik rasa bangga semua, warganegara Malaysia khususnya.

Banyak sebabnya mengapa Malaysia dipilih sebagai lokasi penggambaran. Bukan sahaja kerana pengkalan peminat yang ramai, kepelbagaian tempat pelancongan serta budaya turut menyumbang kepada faktor Malaysia menjadi pilihan utama.

Malaysia juga telah menjadi tumpuan program realiti TV antarabangsa sejak sedekad yang lalu. Penerbit program realiti TV seperti Survivor, The Amazing Race sudah lama menjadikan negara kita sebagai salah satu platform mereka memaparkan sebahagian aktiviti realiti yang dianggotai oleh peserta dari negara asing untuk tontonan penonton seluruh dunia.

Namun, isu penggambaran realiti TV dari negara Barat mula menjadi kontroversi apabila salah satu program realiti TV, Naked and Afraid yang dibawa khas dari Amerika Syarikat baru-baru ini telah membuat penggambaran di negara kita dengan memaparkan adegan yang menjolok mata yang tidak bersesuaian dengan prinsip moral dan etika yang wujud dalam negara kita.

Program yang diterbitkan oleh Discovery Channel ini telah memaparkan peserta lelaki dan perempuan melalui ujian survival untuk terus hidup di hutan selama 21 hari tanpa memakai sebarang pakaian langsung.

Penggambaran ini merakamkan bagaimana peserta mencari makan minum dan tempat berlindung di hutan itu dalam tempoh tersebut yang mana dipercayai ia telah dirakam di Hutan Royal Belum, Perak baru-baru ini. Malah, video promosi ini telah pun ditayangkan di Youtube yang mana ia boleh ditonton dari segenap pelusuk dunia.

Walaupun ia telah ditetapkan untuk tontonan rakyat Amerika Syarikat semata-mata, ia masih lagi menjadi kontroversi kerana penggambaran itu dibuat di sebuah negara yang bermajoriti penganut agama Islam yang amat menjaga adab dan prinsip moral yang tinggi.

Kerajaan Malaysia melalui Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia sebenarnya telah memiliki garis panduan yang jelas untuk mengelakkan isu ini dari berlaku. Sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk tujuan ini yang dinamakan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

Antara garis panduan untuk penggambaran dari syarikat negara luar yang ditetapkan oleh jawatankuasa ini ialah :-

• Penggambaran itu tidak bertentangan dengan dasar Kerajaan dan Rukunegara;
• Penggambaran itu tidak mengandungi perkara yang mejejaskan imej negara, pemimpin, rakyat Malaysia, dan imej negara luar;
• Penggambaran itu tidak mengandungi perlakuan atau adegan yang menjolok mata, mempromosikan produk tembakau dan/atau minuman keras, menghina dan mempersendakan kesucian agama Islam dan agama lain di Malaysia;
• Penggambaran itu tidak menggambarkan pertelingkahan kaum, agama, kebudayaan, dan seumpamanya yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan keharmonian Negara;
• Penggambaran itu hendaklah mengelakkan penonjolan adegan kezaliman, keganasan, perbuatan negatif jenayah dan kemusnahan secara sengaja dan berleluasa.

Mengikut garis panduan itu tersebut juga, jawatankuasa ini berhak membatalkan kelulusan sesebuah penggambaran dari syarikat luar negara jika didapati ada pelanggaran syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Saya ingin menimbulkan beberapa persoalan berkaitan isu ini iaitu :

1. Adakah penerbit syarikat-syarikat penggambaran asing telah dimaklumkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa ini sebelum memulakan penggambaran?
2. Adakah jawatankuasa ini telah melakukan tapisan yang ketat sebelum menerima permohonan yang telah dibuat oleh syarikat penggambaran asing ini?
3. Adakah jawatankuasa ini melakukan pengawasan yang ketat untuk memastikan syarikat-syarikat penggambaran ini mengikut garis panduan yang telah dibuat setelah penggambaran bermula?
4. Adakah wujud tindakan susulan daripada pihak jawatankuasa ini berkaitan penggambaran tidak senonoh oleh program realiti TV Naked and Afraid untuk mengelakkan isu ini berulang?

Saya berasa kesal dan sedih kerana isu ini berlaku walaupun telah wujud jawatankuasa khas dan garis panduan yang jelas bagi memastikan sesebuah penggambaran di dalam negara ini dibuat dengan lunas undang-undang yang betul dan mengikut prinsip moral dan adab yang betul. Ia telah memberi gambaran bahawa seolah-olah undang–undang negara ini sewenang-wenangnya boleh diabaikan oleh warganegara asing yang melakukan aktiviti mereka di sini.

Justeru, saya ingin menyeru pihak berkenaan supaya tidak berlepas tangan dalam isu ini dan berusaha memastikan perkara ini tidak berlaku lagi. Amat penting bagi pihak berkenaan memastikan warga asing menghormati undang-undang di sini atau “law of the land” supaya nama dan imej baik negara dapat terjaga dengan baik.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin ialah Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sumber HD - 1-7-2014







Ustaz Abu Bakar ikon kejayaan Pemuda PAS

SUHAIZAN KAIAT | .

Pemuda PAS Malaysia (PPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Datuk Ustaz Abu Bakar Chik yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Bukit Besi, jam 4.30 pagi semalam. PPM merasa terkejut dengan pemergian almarhum kerana baharu sahaja beliau menghadiri beberapa program minggu ini dan yang terakhir pada malam tadi bersama dengan Pemuda PAS Negeri Selangor.

PPM menganggap pemergian almarhum adalah suatu kehilangan besar kepada jemaah Islam khususnya pendokong-penokong PAS kerana beliau adalah pemimpin besar yang sentiasa hidup di hati ahli-ahli PAS serta rakyat umumnya. Kerendahan jiwa dan kekuatan tarbiyahnya mendorong PAS menjadi parti yang disegani rakan dan lawan. Beliau adalah duta dan pemimpin yang berjaya mengukir nama dalam kalendar kejayaan PAS disamping mampu menyebar luaskan dakwah melalui pelbagai lapangan, daripada politik, kegiatan masyarakat, hubungan antarabangsa mahupun pendidikan.

Selain menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sejak tahun 2000 sehingga sekarang serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, kerjaya politiknya sentiasa menyerlah dan cemerlang. Beliau adalah ikon politik, murabbi ummah, guru politik dan aktivis yang berjaya menjadi contoh terbaik. Ketokohan beliau lebih terserlah dalam bidang pendidikan dan banyak mengasaskan sistem pendidikan di negeri Terengganu dan di negara ini. Beliau terlibat mengasaskan Pusat Pendidikan Pra Sekolah TASKI ABIM pada tahun 1979, Mengasaskan Darul Qur’an di Rusila pada tahun 1983, Mengasaskan Pusat Pendidikan Islam Darul Taqwa, Terengganu pada tahun 1987 serta menjadi Pengerusi PASTI Malaysia pada tahun 1989 hingga 1999.

Dalam lapangan masyarakat terutama melibatkan agensi antarabangsa, beliau adalah insan disegani serta kehebatan beliau sukar ditandingi. Beliau pernah menjadi Ahli Persidangan Buruh Antarabangsa, Karachi pada tahun 1989, Pengarah Ijtima’ Perpaduan Ummah Antarabangsa kali pertama dan kedua pada 1989 & 1993, Ahli Persidangan Perpaduan Masyarakat Islam Antarabangsa, Turki pada 1994,1995 dan 1996, menjadi anggota JK Nadwatul Shabab Al Alami di Khortoum, Sudan pada 1997 & 1998, Ahli Persidangan Islamic Development Bank, Tajikistan dan Uzbekistan pada 2003, menjadi Presiden AFMY pada 2005-2013, serta mengasaskan Internasional Muslim Busines Netword (IMBNet) pada tahun 2007.

Kegigihan beliau dalam perjuangan Islam serta menegakkan kebenaran tanpa kenal takut, letih dan jemu sehingga beliau ditahan di bawah ISA pada 1984-1986. Kerana kekentalan jiwanya dan ketokohannya, beliau diangkat sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia selama sepuluh tahun bermula 1989-1999. Sejarah panjanganya dalam Pemuda PAS di era tahun 1980an tidak mungkin dapat dilupakan. Jasa dan sumbangannya amat besar sehingga terbinanya institusi besar yang berdiri megah di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia, antaranya adalah Jabatan AMAL Malaysia, Jabatan Pelajar, Jabatan Kerajaan dan Swasta dan Jabatan PASTI.

PPM akan sentiasa mengenang Ustaz Datuk Abu Bakar Chik sebagai ikon kejayaan pemuda yang melakar kegemilangan demi kegemilangan serta mengharumkan nama pemuda PAS di pentas dunia. Semoga keluarga almarhum Datuk Ustaz Abu Bakar Chik sabar menghadapi ujian berat yang melanda dan PPM mendoakan semoga roh almarhum ditempatkan sebagai insan soleh dan dikurniakan Syahid di Jalan Allah SWT. Al Fatihah.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS

Sumber HD - 24-6-2014

Pilihan raya lambat lagi namun mati hanya sejengkal

SUHAIZAN KAIAT | .



Alhamdulillah seharian bersama pemuda Kuala Krau, Pahang melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan yang menginsafkan.

Masih terlalu ramai yang memerlukan sentuhan dari mereka yang berkemampuan.

Kisah seorang isteri yang menjadi cacat setelah melahirkan anak yang juga cacat lantas ditinggalkan suami, kisah ayah dan beberapa anak perempuannya yang terlantar tidak bermaya kerana penyakit keturunan (mungkin genetik), kisah keluarga 10 beranak yang terpaksa tinggal di rumah sebesar 4 kaki darab 4 kaki sahaja dan kisah-kisah lain mendasari kembara kami pada hari ini...

Pemuda PAS wajib tampil tanpa jemu membantu masyarakat. Mungkin kita tidak menang pilihan raya tapi kita mesti menang hati budi dan perikemanusiaan.

Sebagaimana ditunjukkan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau ini, saya yakin ia juga menjadi agenda utama pemuda PAS kawasan lain.

Mungkin pilihan raya lambat lagi, namun kematian hanya sejengkal di depan mata kita.

Bagaimana kita mampu menghadap-Nya dalam keadaan kita tidak cakna masalah masyarakat kita.

Saya yakin ini hanyalah secebis kisah dari ratusan ribu masalah lain yang membelenggu masyarakat kita.

Kerja kita sebagai pemuda PAS tidak akan pernah berhenti. Masyarakat di luar, ayuh sama membantu kewangan dan tenaga anda.

Misi ini akan saya teruskan lagi setiap masa. Bulan Ramadhan nanti seluruh negara bakal dijelajah oleh pemuda PAS untuk memberi bantuan.

Ayuh sama-sama membantu...


Sumber HD - 21-6-2014







Pemuda Islam ASEAN akan kembali aktif

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Asean Muslim Youth Secretariat (AMSEC) yang ditubuhkan pada tahun 2000 pada zaman Mahfuz Omar sebagai Ketua Pemuda PAS akan kembali diaktifkan oleh Pemuda PAS sebagai usaha untuk mengabungkan kesatuan pemuda dirantau di Asia Tenggara. Ia akan memberi fokus terhadap isu-isu bersama umat Islam khususnya di rantau Asia Tenggara. Bagi menjayakan usaha ini, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan kumpulan Pemuda Islam Indonesia.

Pada 15 Jun 2014 di Jakarta, SUATU pertemuan dihadiri oleh Pak Karman, Ketua Pemuda PBB, Pak Herman Ketua Pemuda PPP dan pengerak AMSEC di Indonesia Pak Fatur Rahman daripada PBB. Dalam pertemuan berasingan, Ketua Pemuda PAS telah mengadakan pertemuan dengan Dr Saleh P. Daulay, Ketua Pemuda, Muhammadiyah di Masjid Azhar, Jakarta. Dr Saleh adalah salah seorang ahli Parlimen Indonesia daripada PAN. Pertemuan singkat juga diadakan dengan Dr Oni daripada Majlis Syariah Indonesia

Pemuda PAS yang mempunyai hubungan baik dengan pimpinan pemuda di Singapura, Filipina, Thailand, Rohingya dan Kemboja akan memudahkan untuk membina kekuatan AMSEC. Pengembangan PASTI peringkat antarabangsa juga akan membantu urusan ini. Dalam perbincangan bersama pemuda Islam Indonesia ini telah dipersetujui untuk mengadakan sesi 'Brainstorming' dalam waktu terdekat melibatkan pengasas AMSEC seperti Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Dr Raja Ahmad Iskandar, Pak Fatur Rahman dan lain-lain. Sessi ini akan menilai kembali usaha yang telah dibangunkan oleh generasi terdahulu dan bagaimana AMSEC boleh berperanan semula dengan lebih aktif dan melibatkan lebih ramai lagi keanggotaan parti politik dan NGO.

AMSEC pada zaman awal penubuhannya mengangkat Mahfuz Omar sebagai pengerusi dan Pak Hamdan Zulfa, Ketua Pemuda Partai Bulan Bintang Indonesia sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Salahuddin Ayub sebagai setiausaha sementara Dr Raja Iskandar sebagai sekretariat. AMSEC juga seawal usianya dianggotai oleh 17 organisasi dan parti politik, NGO serta gerakan mahasiswa di rantau Asean.

Pemuda PAS berharap AMSEC dapat memperjuangkan isu-isu umat Islam di Selatan Thailand, Rohingya dan Filipina. Umat Islam yang tertindas memerlukan bantuan daripada pemuda-pemuda. Usaha ini adalah termasuk dalam agenda ke dua Pemuda PAS Malaysia membina hubungan dengan organisasi dalam dan luar negara. Harakahdaily 18/6/2014

Sumber HD - 18-6-2014

Pohon sumbangan rumah diroboh DBKL

ARIF ATAN | .

KUALA LUMPUR: Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan beberapa hari lalu telah merobohkan rumah Nasir Ismail, 86, di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul.

Menurut menantunya, Aziz Anuar, 56, pihak keluarganya merelakan pihak berkuasa berbuat demikian ke atas rumah warisan berusia lebih 50 tahun itu memandangkan mereka telah bersetuju dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Hanya pampasan RM7,000 yang dijanjikan belum lagi kami dapat," ujarnya sedih ketika ditemui Harakah semasa operasi perobohan sedang dilakukan.

Sebelum itu, kedua-dua agensi terbabit juga dipercayai mahu merobohkan rumah Suhaimah Alang Dom, 72, yang terletak berdekatan rumah Nasir.

Cubaan kali pertama DBKL dan PTG untuk merobohkan rumah Suhaimah pada petang 9 Jun lalu terhalang apabila ahli keluarga warga emas itu berkubu di dalam rumah tersebut.

Tindakan pihak berkuasa terbabit merobohkan rumah penduduk di kampung tradisi Melayu itu dikatakan menghina mahkamah kerana proses undang-undang melibatkan tuntutan untuk pampasan setimpal masih sedang berjalan.

Sementara itu, tinjauan Harakah juga mendapati keluarga Halim Abd Hamid, 76, dan Abd Hamid Saad, 61, sudah tiga hari tidur di bangsal dan khemah bersebelahan tapak rumah mereka yang dirobohkan sejak 9 Jun lalu.

Halim ketika ditemui berkata, unit PPR yang disediakan kepada mereka masih belum dilengkapi bekalan elektrik.

"Pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) suruh kami dapatkan surat kebenaran daripada DBKL untuk masukkan api (elektrik). Kami dibuat macam bola," ujar Wahidah Salleh, 73, isteri kepada Halim.

Dalam hal berkaitan, Hamid berkata, beliau kecewa kerana tindakan DBKL dan PTG menceroboh kampung dan merobohkan kediaman mereka dilakukan ketika perintah mahkamah masih berkuatkuasa.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menghulurkan derma dan bantuan ikhlas kepada keluarga teraniaya terbabit ditambah bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:

CIMB 7011 2304 04 (Abdul Hamid Saad)

BANK ISLAM 14-014-02-065882-3 (Wahidah Salleh)

Sumber HD - 13-6-2014










Pemuda PAS: Henti roboh Kg Chubadak Tambahan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia dalam kenyataan medianya, melalui Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar mengecam tindakan DBKL yang bertindak merobohkan rumah di Kampung Chubadak Tambahan beberapa hari lalu.

Bagi Pemuda PAS insiden itu merupakan sesuatu yang malang yang menimpa warga negara yang terpaksa merempat di negara sendiri.

“Apalah nasib malang yang menimpa warga negara sendiri yang terpaksa merempat di bumi mereka sendiri. Yang untung akhirnya adalah pemaju dan golongan atasan yang akan meraih keuntungan berlipat kali ganda.” Demikian kenyataan media oleh Pemuda PAS melalui Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar, Pemuda PAS Malaysia

Yang berikut ialah kenyataan penuh Pemuda PAS Malaysia.



Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar Pemuda PAS Malaysia (LTPB PPM) mengecam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk merobohkan Kampung Chubadak Tambahan hari ini. Penduduk kampung menyaksikan kehadiran petugas DBKL dengan peralatan mereka untuk merobohkan kampung mereka hari ini tanpa mereka dapat menghalangnya.

Saya merasa kesal kerana DBKL tidak memberikan notis dan tempoh secukupnya kepada penduduk kampung serta berunding dengan cara yang baik sebelum mengambil tindakan merobohkan kampung mereka. Semalam, saya dan beberapa orang peguam hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon mahkamah membenarkan permohonan menangguhkan saman dan kami mendapat kebenaran mahkamah menangguhkan pendengaran saman tersebut sehingga 26 Jun 2014. Menyedari tindakan drastik yang akan diambil oleh pihak penguasa, pada hari ini juga pasukan peguam berdiri di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah Injunksi menghalang DBKL dari merobohkan rumah-rumah penduduk sehingga mahkamah selesaikan sepenuhnya kes saman ini dahulu.

Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan perintah injunksi mahkamah selama 14 hari untuk menangguhkan perobohan rumah penduduk kampung. Melalui proses teknikal dan prosedur mahkamah, penduduk dapat bernafas lega buat beberapa ketika. Paling tidak ia adalah kelegaan sementara supaya penduduk Kampung Chubadak Tambahan dapat membuat persediaan rapi sebelum kemungkinan besar yang akan mereka hadapi nanti.

Namun apa yang menyedihkan adalah kehadiran DBKL dalam usaha pembersihan atau perobohan manakala penduduk kampung bakal diusir keluar dari kampung tersebut dalam keadaan yang tidak menentu. Apalah nasib malang yang menimpa warga negara sendiri yang terpaksa merempat di bumi mereka sendiri. Yang untung akhirnya adalah pemaju dan golongan atasan yang akan meraih keuntungan berlipat kali ganda.

Pastinya DBKL hadir melalui perintah penguasa lebih tinggi dari mereka dan mereka menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan dedikasi. Yang mengecewakan adalah kurangnya sikap prihatin, toleransi, merasa simpati dan perikemanusiaan sehingga tergamak merobohkan rumah yang masih ada penghuni dan barangan peralatan di dalamnya. Sepatutnya, kerajaan memikirkan langkah panjang serta bersikap prihatin memandangkan kesemua penghuni rumah terbabit beragama Islam dan mereka akan berhadapan dengan bulan Ramadhan beberapa minggu lagi. Nampaknya layanan kerajaan UmnoBN terhadap dua ekor panda yang mendapat tempat tinggal yang selesa jauh lebih baik daripada layanan terhadap rakyat yang terbiar merempat di tanah air sendiri.

LTPB PPM mengharapkan penduduk Kampung Cubadak Tambahan tabah menghadapi dugaan dan ujian besar ini dan juga mengharapkan agar mereka bersatu, berpakat dan bekerjasama dalam membuat keputusan terbaik demi kelangsungan hidup mereka.

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi
Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar
Pemuda PAS Malaysia

Sumber HD - 12-6-2014










Cermin gelap: Hasil bengkel hanya 'berakhir' di Glenmarie?

ZULHAZMI SHARIFF | .

PINDAAN KAEDAH-KAEDAH KENDERAAN MOTOR (LARANGAN MENGENAI JENIS-JENIS KACA TERTENTU) 1991 - DI MANA BERAKHIR?

Pada 15 MEI 2014, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman PDRM SAC Mohd Fuad Abd Latif memaklumkan bahawa suatu operasi besar-besaran berkaitan penggunaan cermin gelap akan mula dilakukan pada 16 JUN 2014.

Beliau seterusnya memberikan amaran kepada pemilik-pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan sedia ada iaitu Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang membenarkan kegelapan cermin hadapan kenderaan 30% dan cermin selainnya 50% yang mana kegagalan mematuhinya akan dikenakan tindakan.

Ekoran dari itu timbul pelbagai reaksi daripada pengguna dan persatuan-persatuan yang berkepentingan. Mengambil langkah pro-aktif, Kementerian Pengangkutan mengadakan suatu bengkel yang disertai agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan berkepentingan dan Ahli-ahli Parlimen. Bengkel tersebut telah dijalankan selama dua (2) hari di Hotel Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam pada 2 dan 3 JUN 2014.

Pelbagai cadangan, respon, reaksi dan bantahan telah dikemukakan semasa bengkel berlangsung. Pada penghujung bengkel Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi memaklumkan bahawa semua cadangan dan maklum balas akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan untuk diambil tindakan.

Hasil bengkel tersebut antaranya mengesyorkan supaya kadar ketelusan cahaya (VLT) untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang dikurangkan kepada 30 peratus berbanding VLT asal sebanyak 50 peratus manakala ketelusan cermin hadapan kekal 70%.

Carian di portal rasmi E-Warta Persekutuan masih tidak kelihatan pewartaan apa-apa kaedah baru yang bermaksud hasil kajian bengkel yang dijalankan baru-baru ini masih di awang-awangan.

Hari ini 11 JUN 2014 bermakna masih ada empat (4) hari sebelum operasi besar-besaran oleh pihak PDRM dijalankan. Pengguna dan pemilik kenderaan masih menunggu apakah keputusan kerajaan. Di mana ianya akan berakhir?

Adakah kaedah lama terpakai atau kaedah baru hasil perbincangan bengkel akan dilaksana sedangkan PDRM sudah tidak sabar-sabar hendak menjalankan operasi? Jika ada pindaan atau kaedah baru, bilakah akan diwartakan?

Kenapa mengambil masa terlalu lama sedangkan Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa semua hasil bengkel akan terus dipanjangkan kepada Menteri untuk perhatian dan jika dipersetujui akan dilaksanakan serta-merta.

Tindakan kerajaan melengah-lengahkan pengumuman dan pewartaan kaedah baru ini memberikan kesan kepada pengguna khususnya pemilik kenderaan. Jika kerajaan umumkan dalam masa yang hampir tarikh perlaksanaan operasi oleh PDRM, maka pengguna akan bersesak-sesak ke kedai aksesori.

Adakah hasil bengkel ini hanya berakhir di Glenmarie? Sama-sama kita tunggu.

*Penulis adalah Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) merangkap Timbalan Pengarah Badan Mobilisasi Rakyat, Pemuda PAS Malaysia.

Sumber HD - 11-6-2014

Halal: Gov’t should heed Mufti’s reminder

Harakahdaily | .


The Malaysian government should take notice of a request by the country’s mufti that its authorities re-examine all products being sold that have been certified to be halal to ensure that the products do not contain porcine or other non-halal ingredients.

“In fact, the government should do more than that, and ensure that all products especially those certified halal by Malaysian bodies are more frequently checked throughout the product chain,” said PAS Youth chief, Suhaizan Kaiat.

“I had been reliably informed,” he said, “that more checks cannot be done as there was insufficient manpower, equipment and expertise with the certifying body”.

Halal certification for food products obtained today for example, does not mean that it would forever be halal, as changes and substitutes of the ingredients could occur any time, thus the demand that samples of these products be tested on a more frequent basis is justified.

The Brunei Mufti had recently called upon the relevant authority in his country to test all products that had been certified halal following the recent turmoil in Malaysia after Cadbury chocolates were initially said to have contained porcine DNA.

Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Hj Awang Abd Juned said this when speaking during the Forum Irsyad ceremony in conjunction with Isra’ Mi’raj 1435H/2014M at the Darul ‘Ifta’ Building, the State Mufti’s office stated recently.

“We shouldn’t be irresponsible about halal and haram in food, such as eating anything we want, without asking questions, without conducting analyses and tests. We shouldn’t be satisfied just because the food company has halal certification or just because the packaging shows a halal logo” he said as was reported by a local daily.

“Asking from Allah the Almighty is easier than asking from fellowmen. There are conditions, but these conditions are not cumbersome. What are the conditions for our wishes to be easily granted? It is simply maintaining and complying with halal consumption” he continued.

He said food that is haram or “syubhah” (suspected to be non-halal) should not taint our supplications and we should make sure that what we consume is not haram or tainted with elements considered forbidden under Islamic dietary rules such as porcine DNA that is derived from commercially farmed pigs.

The Mufti strongly reminded Muslims and the general public that “a certificate is only a license and the logo is only a mark”. He added that both were not absolute determinants for something to be completely halal.

“What I want to address here is that we as the people of Brunei should take this as a lesson, which is that it is not enough to just simply issue a halal certificate and halal logo, we should continue to monitor and test all products which are given the halal certificate and logo from time to time” he added.

“It should not only be limited to products in cans or boxes, but also meat, including poultry and those imported and supplied to local restaurants, shops, eateries, and sold to the public. In addition, all of the people’s favorites such as the different kinds of bread, cake and ice cream will also need to be monitored and reviewed”.

The Mufti said this step was crucial as it was part of Fardhu Kifaya’ (communal obligation) and as protection for Muslim consumers. He urged the relevant authorities to be more proactive and advanced in handling such problems, because present day trends do not teach us to sit quietly or be complacent.

World-wide worry

Indonesian authorities had last week said that they were testing products made by British confectioner Cadbury to check if they complied with Islamic standards after two chocolate products in Malaysia were found to be contaminated with pork DNA.

The scandal over the ingredient banned under Islamic dietary laws has sparked outrage among some Muslim groups in Malaysia, who have called for a boycott on all products made by Cadbury and its parent Mondelez International Inc (MDLZ.O).

"After such an incident, it is prudent to do a test on the other variants to see if they also have traces of the pig DNA. We may have the result in a few days," Roy Alexander Sparingga, head of Indonesia's Food and Drug Monitoring Agency, told Reuters.

Sparingga said the tests would be done on the 10 varieties of Cadbury products that are certified in Indonesia as halal - or permissible according to Islamic law. Those products did not include the two types of Dairy Milk chocolate that Cadbury Malaysia recalled this week after finding pork traces.

Products in Muslim nations are regularly checked to ensure they are halal. Besides pork, items considered non-halal by Muslims include alcohol and the meat of animals and birds that have not been slaughtered according to Islamic rites.

Non-halal food scandals have erupted in Southeast Asia before. In 2001, Japanese food giant Ajinomoto Co Inc (2802.T) became embroiled in a similar case after the Indonesian Council of Ulemas, the highest Islamic authority, accused the company of using pig enzymes in the production process of the widely used seasoning monosodium glutamate.

The then Indonesian president stepped in to try to defuse the row which had hit the company's share price. Ajinomoto's local company subsequently publicly apologised and withdrew some products from the Indonesian market.

Sumber HD - 8-6-2014

No comments:

Post a Comment