JUMLAH PENGUNJUNG

AmazingCounters.com

Wednesday, July 2, 2014

MAJLIS KONSULTASI PERPADUAN NEGARA (MKPN)





Kenyataan Tun Hamid sarat emosi dan prejudis - MKPN

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Undang-undang dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) kesal dengan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara yang mempertikaikan kewibawaan MKPN dan melemparkan kesangsiaan kepada deraf rang undang-undang (RUU) baru yang dicadangkan.

Malah komentar Tun Abdul Hamid Mohammed itu dilihat tidak bersifat substantif sebaliknya lebih didorong emosi dan prejudis kepada kewujudan MKPN.

Dalam kenyataan bersama Ahli MKPN, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Lim Chee Wee dan Datuk Saifuddin Abdullah yang dikeluarkan semalam, mereka menyifatkan Abdul Hamid sebagai gagal memahami matlamat penubuhan MKPN dan pandangan beliau yang mengaitkan MKPN dengan pembangkang sebagai mengecewakan.

Berikut adalah kenyataan media MKPN:

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi dan ahli MPKN, kami perlu memberikan beberapa penjelasan terhadap sikap kesangsian bekas Ketua Hakim Negara ini. Namun demikian kami agak kecewa kerana komentarnya tidak substantif kepada kandungan RUU sebaliknya komentarnya lebih terdorong kepada sikap emotif dan prejudis kepada kewujudan MKPN itu sendiri. Di bawah adalah beberapa fakta yang Tun Abdul Hamid Mohammed gagal memahami:

1. MKPN dibentuk oleh kerajaan dan setiap pemilihan anggota dan pengerusinya telah diambil kriteria dan pencapaian tertentu. Perdana Menteri telah memberi tauliah kepada setiap anggota majlis dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Pengerusi untuk memimpin anggotanya dalam skop menyediakan ‘blueprint’ perpaduan nasional untuk diteliti oleh Kerajaan.

2. Majlis ini tidak memperkenalkan dirinya sebagai pembangkang dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian walaupun tidak semua ahli majlis mesti dari parti yang memerintah kerajaan Persekutuan. Saya dari parti PAS, Dato’ Saifuddin Abdullah dari UMNO, manakala yang lain adalah daripada masyarakat sivil dan aktivis dalam bidang masing-masing termasuk dari Majlis Peguam. Kami bekerja dalam satu pasukan dengan matlamat kerja yang jelas dan kami tidak berminat untuk bertanya orientasi sokongan politik seseorang dan berdebat kerananya dalam mesyuarat-mesyuarat kami.

3. Kami dipimpin oleh seorang yang berpengalaman sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan sebelumnya menjawat beberapa jawatan tertinggi perkhidmatan awam. Saya tidak tahu sejauhmana dakwaan Tun Abdul Hamid Mohammed bahawa ia menolak jawatan Pengerusi MKPN yang pernah ditawarkan kepadanya atas alasan tidak mahu diperalatkan. Adakah Pengerusi sekarang rela diperalatkan? Implikasi kenyataan alasan beliau menolak amatlah mengecewakan dan ia tidak sepatutnya datang dari seorang bekas Ketua Hakim Negara.

4. Tuduhan yang menyatakan deraf RUU yang dicadangkan dikuasai pembangkang dan beliau merujuk kepada Majlis Peguam secara khusus adalah satu lagi sikap yang mengecewakan daripada seorang bekas Ketua Hakim Negara. Beralasankan majlis makan malam yang didakwa seolah meraikan kemenangan pembangkang satu masa dahulu, ia sudah cukup bagi beliau untuk melabel Majlis Peguam sebagai pembangkang. Deraf RUU yang baik untuk rakyat Malaysia ini cuba dikaitkan dengan pembangkang walaupun Jawatankuasa yang menyediakan deraf ini terdiri daripada anggota pelbagai latarbelakang yang dimandatkan oleh MKPN.

5. Kami juga menafikan sekeras-kerasnya deraf RUU yang dicadangkan adalah agenda menyisihkan Hak Melayu, Hak Raja-Raja dan Hak Islam, bahkan dengan RUU ini kesemua asas negara ini akan lebih terjamin apabila kebencian agama dan kaum dijadikan sebagai satu jenayah. Apakah kita mahu terus dijajah oleh Akta Hasutan 1948? Apakah kita mahu terus melihat kebencian agama dan kaum menentukan masadepan negara? Kami juga akur bahawa akhirnya Pejabat Peguam Negara akan menasihati Kabinet deraf ini sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk proses bacaan dan perbahasan. Kami yakin Kabinet akan memastikan semangat perundangan ini dapat diketengahkan dan dijadian akta, sebab itu ia tetap akan menjalani proses biasa, cuma bezanya deraf RUU ini melalui proses konsultasi awam yang meluas supaya rakyat melihatnya telus dan bertanggungjawab. Tidak ada apa yang hendak disembunyikan untuk kepentingan bersama.

Oleh kerana itu, kami menganggap MKPN mempunyai tugas yang besar dan kerana itu kenyataan Tun Abdul Hamid Mohammed mestilah diberi perhatian pada masa rakyat negara ini ingin menentukan apakah masa depan negara yang mereka mahu.

Persoalannya mudah, adakah kita mahu memelihara negara ini untuk maju ke hadapan atau kita terus diheret dengan mentaliti prejudis sehingga menjejaskan keamanan negara yang berbilang kaum ini?

Kami menasihati Tun Abdul Hamid Mohammed mengambil masa membaca deraf ini terlebih dahulu dan menyarankan agar kritikan dan cadangannya dibuat secara konstruktif dan substantif untuk menambahbaik deraf RUU ini.


Yang benar;

YB DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

LIM CHEE WEE
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH
Anggota Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

Sumber HD - 2-7-2014



Bekas Ketua Hakim: MKPN didominasi pembangkang

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata beliau menolak tawaran menjadi Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) kerana khuatir diperalat pihak tertentu yang sentiasa mencari peluang memperkukuh kedudukan dan menghakis hak orang Melayu dan kedudukan Islam serta anak negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata keputusan itu dibuat sebelum mengetahui komposisi dan nama-nama ahli MKPN.

"Saya takut kiranya saya akan menjadi 'pengkhianat' kepada bangsa Melayu dan agama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata beliau yakin keputusannya adalah tepat apabila melihat komposisi MKPN sekarang, yang didakwa akan menjadi saluran kepada pihak yang mendokong program parti pembangkang.

"Ahli-Ahli Melayu dan Islam tidak akan dapat mempertahankan kedudukan yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan malah ada yang tidak akan mempertahankannya kerana fahaman mereka yang 'liberal' itu.

"Ahli-Ahli yang terdiri daripada anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, terutama sekali yang beragama Kristian, yang kurang senang dengan orang Melayu dan Islam di Semenanjung kerana isu kalimah Allah juga akan bersekongkol tanpa menyedari bahawa hak-hak mereka juga akan terhakis," katanya.

Abdul Hamid juga mendakwa kerajaan, melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) secara sengaja atau tidak, telahpun menyerahkan tugas menetapkan dasar dan menyediakan draf undang-undang iaitu 'Racial and Religious Hate Crime Bill', 'National Harmony and Reconciliation Bill' dan 'National Harmony and Reconciliation Commission Bill' kepada pembangkang, yang dilihat sebagai 'merampas' MKPN.

Beliau berkata jika Majlis Peguam diberi peluang berbuat demikian, badan itu
akan menggubal mengikut kehendak dan kesesuaian parti-parti yang disokongnya.

Abdul Hamid turut mempersoal mengapa pembangkang, khususnya Majlis Peguam, diminta, dibenar dan dibiar menetapkan dasar dan menggubalnya sedangkan mereka mempunyai agenda sendiri.

Katanya, mengikut amalan biasa, apabila kerajaan hendak membuat sesuatu undang-undang, kerajaan (kementerian atau jabatan) akan terlebih dahulu membuat keputusan-keputusan dasar.

"Selepas itu kementerian atau jabatan akan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (melalui pegawai-pegawainya di kementerian atau jabatan itu).

"Tugas Peguam Negara adalah untuk menggubal seperti yang dikehendaki oleh sesuatu kementerian atau jabatan, mengapa amalan itu tidak diikuti?" katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata beliau bukanlah menolak pembangkang dirunding mengenai rang undang-undang itu, namun janganlah sampai menyerahkan penentuan dasar dan penggubalan kepada mereka.

"Kerajaan Barisan Nasional, terutama sekali Umno dan juga PAS akan bertanggungjawab jika undang-undang itu diluluskan dan ia akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

"Pemimpin-Pemimpin anak negeri Sabah dan Sarawak juga tidak akan terlepas daripada tanggungjawab itu," katanya.

Bekas Ketua Hakim Negara itu turut memperjelas sebab beliau mengaitkan Majlis Peguam dengan pembangkang dengan merujuk satu insiden pada majlis makan malam anjuran badan itu selepas pilihan raya umum ke-12 semasa beliau menjadi Ketua Hakim Negara.

"Majlis itu tidak ubah seperti majlis menyambut kemenangan parti-parti pembangkang," katanya. - Bernama

Sumber HD - 1-7-2014

No comments:

Post a Comment